Thursday, April 1, 2010

Menghidupkan hati dengan iman



Oleh:
Syeikh Muhammad Abdullah al-Khatib

Sungguh menghairankan tentang urusan hati ini yang Allah telah jadikan di dalam dada umat manusia. Seandainya baik dan elok hati ini maka elok pula kehidupan seseorang itu tetapi seandainya buruk dan rosak maka rosak pula dunia kerana kesan darinya. Hati yang melapangkan dan membuka pintunya kepada Allah maka Allah akan melapangkan dunia dan segala isi di dalamnya, manakala hati menutup pintu untuk Allah maka dia akan merasai dadanya sempit seolah-oleh ia sedang mendaki langit yang tidak akan mampu dicapai. Firman Allah:

فَمَن يُرِدِ اللّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلإِسْلاَمِ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاء

“ Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya[503], niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit.”. (Al-An’am: 125)

Inilah keadaan petunjuk dan keadaan iman di dalam hati dan jiwa manusia. Begitu juga keadaan kesesatan di dalam hati manusia. Keadaan petunjuk di dalam hati manusia pasti akan melapangkan dada dan menenangkannya, saling berhubungan dengan kebenaran, diberi kerehatan dan merehatkannya. Sebaliknya keadaan kesesatan, hatinya tertutup dan terkunci yang menyebabkan ia merasai sempit, sukar, gusar dan resah gelisah.

Sesungguhnya fitrah yang suci dan bersih yang mengimani bahawa ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’ pasti kegelapan alam tidak akan menutupinya dan hartabenda tidak akan membutakannya, sebaliknya keimanannya itu akan menerangi iman dan memancarkan hati serta menyucikan tauhid. Tanpa keimanan ini akan menggelapkan hati dan membutakannya. Benarlah firman Allah:

فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُور
“Karena Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada”. (Al-Hajj: 46)

Hadith nabi:

إن النور إذا دخل القلب انفسح وانشرح"، قالوا: وهل لذلك من علامة يا رسول الله؟ قال: "التجافي عن دار الغرور، والإنابة إلى دار الخلود، والاستعداد للموت قبل نزوله".

“Sesungguhnya cahaya bila memasuki hati pastilah hati itu menjadi lapang serta tenang”. Para sahabat bertanya: “Adakah keadaan itu ada tanda wahai nabi?”. Sabda nabi: “ Hatinya kosong daripada negeri yang penuh pembohongan, membuka pintu untuk negeri yang kekal dan bersedia untuk mati sebelum ajalnya”.

Hadith nabi yang lain:

ألا إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله، وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب
“Ketahuilah bahawa di dalam hati mengandungi seketul daging, apabila daging itu baik maka baik pula seluruh anggotanya tetapi bila rosak maka rosaklah seluruh anggotanya. Ketahuilah seketul daging itu ialah hati”. 

Inilah petunjuk yang benar daripada nabi saw yang digelar al-amin. Justeru jadikanlah hatimu tempat turunnya cahaya rabbani, rahmat dan naungan ilahi dengan ketaatan kamu kepada Allah.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan Hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (Al-Anfal: 2)

Maksud hati yang gementar seperti yang disebut dalam ayat di atas ialah perasaan gementar yang dirasai oleh seorang mukmin ketika disebut Allah tentang perintah dan larangannya, maka dia takutkan Allah, merasai ketakutannya dalam dirinya, mengakui keagungan dan kebesaran Allah hingga mendorong untuk meninggalkan dosa dan membangkitkannya untuk melaksanakan dan mentaati, berlindung, beristiqamah dan menyahut perintah hanya kepada Allah.

تقول أم الدرداء- رضي الله عنها- وقد سئلت عن معنى "الوجل": "الوجل في القلب كاحتراق السعفة، أما تجد له قشعريرة؟ قال: بلى، قالت: "إذا وجدت ذلك، فادع الله عند ذلك، فإن الدعاء يذهب ذلك" (رواه الثوري عن عبد الله بن عثمان بن خثيم عن شهر بن حوشب).
Ummu Darda’ r.a menyebutkan ketika ditanya tentang makna ‘wajal’ (gementar): “ gementar didalam hati seperti menjerit minta pertolongan ketika kebakaran. Adakah terdapat hati yang gementar?” Sahabat itu menjawab: “Sudah tentu”. Lalu Ummu Darda’ menyatakan: “Apabila wujud yang demikian, maka serahkan kepada Allah kerana doa akan menghilangkan semua itu”.

Inilah keadaan yang mendorong hati yang gementar sangat perlu kepada doa supaya dapat merehatkan dan meredakannya. Hati orang mukmin disebut dalam banyak ayat al-Quran apabila dipenuhi iman akan memberi ketenangan. Inilah Al-Quran yang saling bergaul bersama hati manusia tanpa perantaraan. Hubungan ini hanya terputus dan berubah melalui kekufuran kerana kekufuran yang menutup hati dan menghalang hubungan dengannya. Namun apabila halangan ini terangkat dengan keimanan, maka hati akan merasai kemanisan iman. Wujudlah pandangan yang berkali-kali agar menambahkan iman sehingga mencapai ketenangan hati.

Seorang sahabat pernah menggambarkan hal ini: “Kami datangkan iman dahulu, barulah kami datangkan al-Quran”. 

Hassan bin Ali r.a pernah menyatakan: “Sesungguhnya orang mukmin adalah pemimpin ke atas dirinya sendiri. Ia membuat refleksi atau muhasabah dirinya kerana Allah swt kerana dia takut penghisaban yang sebenar pada hari akhirat ke atas orang yang tidak membuat muhasabah diri mereka di dunia. Bahkan kesukaran penghisaban di hari akhirat akan menimpa orang yang tidak membuat refleksi atau muhasabah di dunia. Seorang mukmin adalah seperti perantau di dunia yang sentiasa berusaha mencari jalan atau destinasi untuk mendekati Allah. Dia tidak akan beroleh kebahagian sebenar sehingga dia menemui Allah swt dan dia mengetahui bahawa pendengaran, penglihatan dan anggotanya dimiliki sepenuhnya oleh Allah. Justeru kebenaran itulah yang paling baik buat manusia yang terletak antara diri mereka dan syahwat mereka. Kerana itu orang mukmin hendaklah bersabar di atas kebenaran kerana menyedari kelebihannya dan mengharap balasan kesudahannya”.

Kita berharap dan berdoa agar Allah membuka hidayah dan keimanan ke atas manusia supaya dengan itu mereka akan keluar daripada kesempitan bumi kepada keluasan langit. Seterusnya semoga Allah membuka kepekaan manusia supaya melihat cahaya kebenaran yang telah menutupinya dengan kegelapan yang pekat.

Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=52768&SecID=363

1 comment:

  1. Salam Ustaz, ada typing error kat hadith hati tu.

    “Ketahuilah bahawa di dalam [JASAD] mengandungi seketul daging, apabila daging itu baik maka baik pula seluruh anggotanya tetapi bila rosak maka rosaklah seluruh anggotanya. Ketahuilah seketul daging itu ialah hati”.

    Ustaz tersilap taip (hati) :)

    Jazakallah khayr katheera

    ReplyDelete

Sila berikan komen anda