Oleh: Dr. Muhammad Mahmud Mansur
Firman Allah:
“Wahai manusia, sesungguhnya pelajaran (al-Quran) telah datang kepada mu dari Tuhan mu, penyembuh bagi penyakit dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman. Katakan (Muhammad), dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaknya dengan itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan”. (Yunus: 57-58)
Abu Bakar Al-Jazairi menyatakan bahawa manusia diberi hidayah melalui cahayaNya, diberikan pertolongan dan disempurnakan akal, akhlak, ruh dan dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Firman Allah:
“Taha. Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepada mu (Muhammad) agar engkau menjadi susah”. (Taha: 1-2)
Al-Qurtubi menghuraikan bahwa Al-Quran ialah ‘tangga’ yang membawa kepada kejayaan dan factor kepada kebahagiaan seluruhnya, sedangkan menolak al-Quran ialah factor kepada kebinasaan seluruhnya.
Imam Ibn Qayyim di dalam Madarij Salikin mengungkapkan: Allah SWT menamakan perintah dan laranganNya sebagai wasiat, perjanjian, pengajaran dan rahmat. Allah tidak menyebutnya dengan nama taklif (bebanan) melainkan dari segi penafian seperti firman Allah:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya”. (Al-Baqarah: 286)
Dari manakah datangnya perkataan “bebanan” (taklif) dan “orang yang dibebankan” (mukallaf)? Ia sebenarkan perkataan ilmiah yang digunakan oleh para sarjana untuk membezakan antara orang yang telah baligh dan orang yang belum baligh dalam urusan duniawi dan ukhrawi. Namun bukan bermakna hukum syarak adalah penuh dengan ikatan dan hukuman!! Bagi kita maksud sebenar perkataan taklif ialah penghormatan, kemuliaan dan ketinggian pada pandangan Allah kepada makhluknya.
Setengah hadith nabi kadang-kadang difahami dari sudut yang kurang tepat seperti yang paling terkenal, sabda nabi:
“Jalan ke syurga dipenuhi dengan perkara yang dibenci (susah) dan jalan ke neraka dipenuhi perkara yang digemari”. (Muslim).
Setengah sarjana tersalah memahamkan maksud hadith bahwa sifat siddiq, amanah, setia, adil, syura, kebebasan, kekuatan, ilmu, amal, produktiviti, pekerjaan, keuntungan, berbuat baik dan sebagainya merupakan akhlak yang baik yang memberi kebahagiaan kepada orang yang melaksanakannya di dunia yang penuh dengan perkara yang dibenci. Namun pada pandangan saya, kita tidak perlu mengambil maksud tersebut kerana kemungkinan setengah sarjana menyatakan begitu sesuai dengan zaman mereka ketika umat Islam jauh daripada akhlak-akhlak ini yang menyebabkan mereka merasa sukar dan berat untuk menghayatinya.
Di antara maksud hadith ini ialah galakan dan kecintaan kepada kebaikan dan menolak keburukan, kerana darjat yang tertinggi di syurga ialah orang yang bergiat cergas bukan orang yang malas atau melakukan keburukan. Orang yang bergiat cergas mencintai perbuatan baik kerana bertepatan dengan fitrahnya. Orang yang mengisi hidupnya dengan kebaikan akan merasai kebahagiaan, mendapat keuntungan, diberi kerehatan dan menghilangkan perasaan susah semasa melaksanakannya sebagaimana yang difahami daripada kenyataan Imam Munawi di dalam Kitab Faidhul Qadir Syarah Jami’ Shaghir: “Menurut Ibn Hajar: “Hadith ini adalah di antara perkataan yang menyeluruh dan balaghahnya yang indah di dalam hal mencela syahwat sekalipun nafsu cenderung kepadanya dan galakan kepada ketaatan sekalipun dibenci nafsunya dan merasa sukar melaksanakannya. Di antara perkara yang dibenci ialah sabar di atas semua jenis musibah.
Syariat Islam mendatangkan kebahagiaan kepada manusia seluruhnya sama ada dalam bentuk syiar atau muamalat. Oleh itu syiar-syiar ialah yang menggerakkan hati dan perasaan seterusnya mendorong akal dan jasad untuk melakukannya hingga merasa bahagia dengan syariat. Hal ini diumpamakan seperti bateri kereta yang berfungsi menambahkan tenaga pergerakannya. Seperti juga solat, yang merupakan penghubung antara manusia dan Khaliq yang menolong manusia dan menguatkan diri dan akal manusia kepada kebaikan dan membersihkan keduanya daripada keburukan.
Firman Allah:
“Sesungguhnya solat dapat mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran”. (Al-Ankabut: 45)
Sabda nabi saw:
“Rehatkan kami dengan ibadah wahai Bilal”. (Abu Daud)
Melalui puasa dapat menguatkan tekad dan azam seperti Firman Allah:
" ..mudah-mudahan kamu bertakwa”. (Al-Baqarah: 183)
Melalui ibadah akan menguatkan kemahuan dan tekad kepada seorang muslim sehingga memperolehi banyak nikmat dan kebahagian… Begitu juga dalam bidang muamalah, sifat siddiq umpamanya mencambah kepercayaan dan ketenangan yang akan mengeratkan perhubungan dan memperolehi keuntungan dan kebahagian dari setiap perbuatannya.
Firman Allah:
“Jikalau mereka benar-benar beriman kepada Allah, pastilah itu yang lebih baik bagi mereka”. (Muhammad: 21)
Sifat adil akan memelihara hak masing-masing dan seterusnya pastilah memberi kebahagian kepada semua.
Oleh itu ajaran Islam adalah agama yang memberi kebahagiaan kepada manusia kerana menyusun dan mengatur semua urusan hidup daripada yang kecil hingga besar, termasuk ekonomi, politik, kemasyarakatan. kesihatan, keilmuan, kewartawanan, ketenteraan, kesukanan, kesenian dan sebagainya.
Firman Allah:
“Kami turunkan Kitab (al-Quran) kepada mu untuk menjelaskan segala seuatu, sebagai petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri (muslim)”. (An-Nahl: 89)
Justeru hidayah, rahmat dan berita gembira kepada para muslimin ialah kesempurnaan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Ini kerana di dalam Islam diajarkan bagaimana cara makan, minum, tidur, bangun dari tidur, memakai pakaian, bermain, berkahwin, bekerja, menghasilkan produktiviti, merekacipta, belajar, mengajar, bergaul sesama mereka, saling berkasih sayang, bersahabat, bantu-membantu, nasihat-menasihati, berbincang, mengelakkan perselisihan dan berdamai bila berbeza pendapat dan bertambah kuat ikatan perhubungan...Di dalam Islam juga menerangkan mana yang betul dan mana yang salah, mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang berbahagia dan mana yang berdukacita sejak dari anda lahir hingga anda meninggal dunia supaya anda mengecapi sebaik-baik kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Sesungguhnya Islam adalah deen iaitu system atau peraturan yang menyediakan kaedah akhlak yang umum supaya anda tidak terkeluar dari ruang lingkupnya dan menikmati kebahagian sebenar. Islam juga menyediakan perincian kehidupan yang mengembangkan kecerdikan akal tentang kebaikan dari Allah dalam bentuk disiplin, peraturan, undang-undang dan sebagainya yang bersesuaian dengan suasana dan keadaan mereka.
Kita lihat seorang peniaga atau usahawan, tidak akan terkeluar daripada akhlak yang membahagiakan kerana dia tidak akan memudaratkan, menipu atau menindas sesiapa pun. Begitu juga dalam bidang politik, ekonomi, ketenteraan, keilmuan, kewartawanan, kesihatan, pekerjaan, kesukanan, keseniaan dan sebagainya.
Jelasnya keistimewaan dan ketinggian Islam ialah rahsia kesejahteraannya kepada semua zaman dan tempat hingga hari Kiamat, kerana prinsip dan dasarnya daripada pencipta alam semesta sedangkan perincian dan huraiannya daripada manusia untuk memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu Islam adalah agama penutup kepada umat manusia selepas menempuh pelbagai fasa dengan tujuan untuk merealisasikan manfaat yang lengkap di muka bumi dan menyempurnakan kebahagiaan sebenar yang berterusan hingga hari Kiamat…
Imam Ibn Kathir menghuraikan di dalam tafsirnya tentang “kehidupan yang baik” di dalam ayat:
“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”. (Surah Al-Nahl: 97)
daripada Ibn Abas sebagai kebahagiaan.
Imam Sa’dy di dalam tafsir menyatakan maksud Firman Allah:
“Allah menghendaki kesenangan kepada mu dan tidak menghendaki kesusahan kepada mu”. (Al-Baqarah: 185)
bahawa semua perintah Allah kepada hambaNya dalam ruang lingkup yang mudah bukan susah.
Ayuh wahai para pendakwah yang mengamalkan syariat Islam yang terbukti memberi kebahagiaan dan bukan menyusahkan, supaya menjadikan syariat benar-benar membahagiakan anda, dan kemudian membahagiakan orang yang berada di sekeliling anda. Ayuhlah pendakwah luaskan kecintaan dan penerimaan manusia kepada Islam serta menambah kebahagiaan anda dengan ramainya orang yang berakhlak mulia yang akan memberikan kebaikan kepada anda di dunia dan seterusnya memperolehi pahala yang besar di akhirat.
Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=56507&SecID=360
0 ulasan
Sila berikan komen anda