Friday, August 20, 2010

Ramadhan..Beberapa Kelebihan dan Kewajipan



Oleh: Walid Shalaby

Kita telahpun mendengar keagungan bulan Ramadhan sebagai bulan kebaikan, keberkatan, keampunan dan keredhaan. Di bulan ini kita disuruh berlumba-lumba kepada kebaikan. Orang yang diharamkan kebaikan untuknya maka dia tidak akan memperolehinya. Oleh itu kita hendaklah mengambil kesempatan dengan kelebihan bulan ini dan memenuhi masa-masa yang ada sehingga dikurniakan nikmat dan limpahan ilahi.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadith yang menyatakan tentang kelebihan bulan yang mulai ini. Antaranya:

1. Bulan diturunkan al-Quran:
“Bulan Ramadhan, adalah bulan diturunkannya Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan bukti yang jelas untuk petunjuk dan Al-Furqan (Al-Baqarah: 185)

Al-Quran adalah panduan umat, kitab yang nyata dan jalan yang lurus. Marilah kita terangkan kepada manusia cara menghayatinya dan saling berinteraksi bersama al-Quran pada bulan ini serta memeliharanya dengan membaca, menghafaz, mendengar dan mengkaji, mentadabbur, mengamal dan melaksanakan ajarannya.

2. Bulan di mana pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan dikurung. Menurut sabda nabi saw: “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu langit dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan dirantai”. Di dalam riwayat lain: “Apabila tiba bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga”. (Bukhari)

3. Bulan di mana amal soleh dilipat gandakan pahalanya

4. Bulan yang terdapat malam Lailatul Qadar yang merupakan lebih baik daripada seribu bulan dan malam yang penuh keberkatan pada sesiapa yang diharamkan pahalanya maka dia diharamkan daripada memperolehi kebaikan yang banyak.

Sabda nabi saw: “Di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Orang yang diharamkan kebaikan, maka dia diharamkan memperolehinya”. (Ahmad dan Nasai menurutnya hadith sahih)

Orang yang bangun pada waktu malam dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan akan diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang terdahulu. Hadith nabi: “Orang yang bangun pada waktu malam dengan penuh keimanan dan keinsafan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Muttafaq Alaih) 

5. Bulan di mana umrah yang ditunaikan pada bulan ini menyamai ibadah haji bersama nabi. Sabda nabi saw:  “Umrah di bulan Ramadhan menyamai ibadah haji” atau sabda nabi “haji bersamaku”.

6. Bulan di mana amalan soleh dilipat gandakan daripada bulan lain. Ketika nabi ditanya apakah sedekah yang paling baik. Jawab nabi: “Sedekah pada bulan Ramadhan”. (Tirmizi dan Baihaqi)

7. Bulan di mana berlaku peperangan Badar al-Kubro iaitu peperangan pemisah antara yang haq dan batil di dalam sejarah Islam dan para malaikat telah turun berperang bersama tentera muslimin. Lalu mereka telah dikurniakan kemenangan yang cemerlang sehingga amalan syirik dan orang-orang musyrikin mulai lenyap. 

8. Bulan di mana berlaku peristiwa Penaklukan Kota Mekah iaitu pembukaan yang mengembangkan cahaya Islam di timur dan barat dan kesan yang nyata ialah manusia berduyun-duyun memasuki agama Islam. Kini Kota Mekah telah menjadi negeri islam dan bermulalah selepasnya siri-siri penaklukan Islam di semua tempat.

9. Bulan yang menjadi sebab segala dosa dan kesalahan dihapuskan. Sabda nabi saw: “Solat lima waktu, jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan berikutnya menghapuskan kesalahan-kesalahan yang terjadi di antara masing-masing apabila kesalahan syirik dijauhi”. (Muslim)

10. Bulan di mana ada solat terawih yang mengumpulkan orang-orang Islam semuanya, lelaki dan perempuan di rumah Allah untuk menunaikannya yang tidak berlaku pada bulan lain.

11.Bulan di mana terlaksana salah satu rukun Islam seperti sabda nabi saw: “Islam terbina di atas lima perkara; mengucap syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahwa nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitul Haram”. (Muttafaq Alaih)

12. Bulan di mana tercapai makna takwa melalaui ibadah puasa. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana orang-orang terdahulu sebelum  kamu mudah-mudahan kamu bertakwa”. (Al-Baqarah: 183)

13. Bulan di mana wujud fenomena yang luar biasa terhadap amal kebajikan dan sambutan di masjid-masjid yang tidak didapati pada bulan yang lain.

Inilah bulan yang terdapat kelebihan dan hadiah manarik yang dikurniakan Allah. Oleh itu sewajarnya kita merebutnya dengan sebaik-baiknya, melabur dengan pelaburan yang menguntungkan serta mengambil kesempatan yang terbaik dan mengisinya dengan pengisian yang bermakna supaya kita memperolehi rahmat dan nikmat Allah yang luas sambil mengharapkan Allah menerima amal kita, mengampuni dosa-dosa kita dan merahmati kita di dalam bulan ini.

Apakah Ramadhan yang kita mahukan??

Di akhir ini satu persoalan penting yang wajib kita tanya diri kita, apakah Ramaadhan yang kita mahukan?

Kami mahukan (Kita mohon Allah mengurniakan seperti yang kita mahukan):
*      Ramadhan yang menambahkan ketakwaan kepada Allah
*      Ramadhan yang menambahkan hubungan silaturrahim, amal ibadah dan amal soleh.
*      Ramadhan yang kita hidupkan sepanjang bulan ini dengan al-Quran, mentadabbur dan meneliti maknanya
*      Ramadhan yang mengukuhkan cita-cita dan memperbaharui harapan di dalam jiwa
*      Ramadhan yang menyatukan soff dan meneguhkan pakatan
*      Ramadhan yang memantapkan kefahaman yang tulin dan menjelaskan keilmuan yang teguh
*      Ramadhan yang menambahkan hubungan kita dengan masjid
*      Ramadhan yang kita hidupkan dengan nilai-nilai sebenar puasa seperti yang dikehendaki Allah
*      Ramadhan yang membiakkan ruh positif di dalam jiwa
*      Ramadhan yang menambahkan belas ihsan kepada semua manusia  terutama kepada jiran tetangga
*      Ramadhan yang menambahkan daya juang dan pengorbanan
*      Ramadhan yang menambahkan kesabaran dan ketabahan

Kewajipan praktikal di bulan Ramadhan

*      Memperbaharui niat kita kerana tiada ganjaran kepada orang yang berpuasa tanpa niat
*      Memperbanyakkan pergaulan dengan al-Quran melalui tilawah, hafazan, pendengaran dan amalan
*      Bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha
*      Memastikan semua anggota turut berpuasa daripada perkara yang Allah haramkan
*      Menghidupkan malamnya dengan zikir dan solat. Jangan hidupkan malamnya dengan berjaga untuk tujuan yang tiada faeadah   
*      Memperbanyakkan zikir, doa, istighfar dan ibadah kepada Allah
*      Memelihara solat lima waktu secara jamaah di rumah Allah
*      Memperbanyakkan masa berada di masjid
*      Menyediakan jadual ziarah ke atas ibu bapa, saudara mara dan jiran
*      Mengurangkan aktiviti menonton television

Inilah bulan Ramadhan..bulan yang dekat dengan syurga..bulan yang jauh dari neraka..Di manakah kedudukan kita pada bulan ini, adakah kita mengambil kesempatan dan menghidupkan hari-harinya? Ayuhlah kita mengambil teladan dari nabi Muhammad saw dan para sahabat yang mulia. Apabila mendengar perintah Allah lalu terus menyahutnya. Apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran gementar hati-hati mereka. Apabila mereka berpuasa semua anggotanya seperti lidah, telinga dan mata turut berpuasa. Mereka menghayati erti puasa dengan nilai-nilainya yang sebenar. Justeru melayakkan mereka memperolehi pertolongan, bantuan dan sokongan Allah. Ya Allah terimalah Ramadhan kami dan bantulah kami melalui puasa dan qiam, realisasikan nilai-nialianya dalam diri kami dan orang yang mengamalkannya.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=69338&SecID=363



Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

1 ulasan

  1. Sesungguhnya memang banyak fadhilat ramadhan di bulan mulia ini

    ReplyDelete

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top