Oleh: Dr. Ahmad Abdul Khaliq
Pujian hanya bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan dan kekasih kita Muhammad saw, keluarga, para sahabat dan orang yang mengikutinya. Selepasnya:
Sesungguhnya Allah memberi sesuatu kepada semua manusia berdasarkan apa yang dipersembahkannya semasa di dunia. Firman Allah:
“Dan mereka dapati apa yang Telah mereka kerjakan ada (tertulis). dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun". (Al-Kahfi: 49)
Justeru, siapa jua yang menjadi hamba kepada hawa nafsu dan syahwatnya, pangkat, harta, isteri dan anak-anaknya, maka dia akan mendapat balasan yang layak baginya, yang menantinya iaitu akan memakan buah yang ditanamnya dan akibat dari usaha dan perbuatannya. Dirinya akan menjadi bahan bakar dalam neraka di akhirat kerana di dunia dulu dipenuhi dengan maksiat dan kemungkaran. Firman Allah:
“Peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. (Al-Baqarah: 24)
Manakala orang yang menjadi hamba kepada Tuhannya, taat kepada nabinya, takutkan azab Tuhan yang pedih, mengutamakan akhirat daripada dunia dan beramal untuk bekal selepas mati, maka dia akan diperlihatkan khabar-khabar gembira semasa di dunia sebelum mati, di saat kematian dan selepas mati. Firman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang Telah dijanjikan Allah kepadamu". (Fusshilat: 30)
Ibn Qayyim memberi komentar tentang dua kumpulan, ahli syurga dan ahli neraka dengan katanya: “Allah telah menjadikan di dunia ini dengan suruhan, tegahan, pemberian dan larangan. Dengan itu manusia terpecah kepada dua kumpulan: Kumpulan yang menerima suruhan Allah tetapi meninggalkannya, menerima larangan Allah tetapi melanggarnya, menerima pemberian Allah tetapi lalai dari mensyukurinya, menerima tegahan Allah tetapi memarahiNya. Mereka ini adalah musuhNya. Permusuhan Allah kepada mereka berdasarkan tahap kejahatan mereka. Kumpulan yang kedua pula berkata: Kami adalah hambaMu. Oleh itu apa jua yang Engkau perintahkan akan kami laksanakan dengan segera dan apa jua yang ditegah pastilah akan kami tahan diri kami dari melakukannya. Seandainya Engkau berikan kami sesuatu pastilah kami akan memujiMu dan mensyukuriMu dan seandainya Engkau tidak berikan pastilah kami mengingatiMu dan menadah tangan berdoa kepadaMu. Oleh itu jarak antara mereka dan syurga hanyalah tabir kehidupan dunia. Apabila tiba kematian kepada mereka, terus diberikan tempat tinggal yang penuh nikmat dan keseronokan. Namun bagi mereka yang jarak antara mereka dan neraka hanya tabir kehidupan dunia, apabila tiba kematian mereka terus diberikan tempat tinggal yang penuh siksaan dan kesengsaraan”.
Apabila berlaku pertembungan tentera dunia dan akhirat di lubuk qalbu anda dan ingin mengetahui manakah kumpulan anda, perhatikanlah dengan siapakah kecenderungan anda dan dengan siapakah anda perangi, kerana tidak mungkin anda berada pada dua-dua kumpulan serentak. Tentu anda berada pada salah satu antara dua kumpulan ini. Kumpulan pertama sering menipu hawa nafsu, menasihati akal supaya berbincang, mengajak hati supaya berfikir sebab mereka dijadikan, anggota mereka bekerja berdasarkan apa yang diperintahkan, waktu-waktu mereka dipenuhi dengan bekalan yang menentukan kedudukan mereka di akhirat nanti, mereka membayangkan ajal sangat hampir dengan segera beramal, mereka tinggal di dunia tetapi hati mereka rasa bagaikan bermusafir dan telah bermastautin di akhirat sebelum berpindah ke sana. Mengutamakan Allah dan mentaatiNya berdasarkan hajat mereka kepadaNya, mencari bekalan untuk akhirat berdasarkan maqam mereka di akhirat di mana Allah mempercepatkan untuk mereka nikmat syurga dan ruh akhirat mendekatkan denan Allah, lubuk hati mereka menerimaNya, mencintaiNya dan ingin menemuiNya, segala kesenangan mereka digunakan untuk mendekatkan diri denganNya, mengosongkan hati mereka daripada cintakan dunia, merasa sedih dan dukacita kerana meninggalkan akhirat. Mereka hanya mengambil dunia dengan tubuh sahaja sedangkan Allah SWT memenuhi ruh dan jiwa raga mereka.
Oleh itu, ketahuilah berita gembira kepada para mukminin yang bekerja di atas jalan yang lurus, yang melakukan amalan-amalan soleh, kerana mereka melakukan sesuatu perbuatan yang soleh dan berguna, yang memberi manfaat kepada diri mereka dan kepada bangsa, agama dan Negara mereka. Mereka bukanlah mementingkan hanya diri mereka sahaja. Inilah sifat muslim yang mengetahui matlamat kejadiannya dan peranannya di dalam hidup. Matlamatnya ialah memberikan kebahagiaan kepada semua rumah, kegembiraan kepada setiap anggota umat dan memastikan umat hidup di dalam kemuliaan dan ketinggian. Oleh itu kumpulan manusia ini layak memperolehi pahala dan balasan yang melimpah ruah.
Firman Allah:
“Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu." mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang Suci dan mereka kekal di dalamnya”. (Al-Baqarah: 25)
Allah telah menggambarkan syurga dengan menyatakan bahawa di syurga terdapat sungai-sungai yang mengalir di bawahnya iaitu di bawah pohon-pohon dan bilik-biliknya. Di dalam sebuah hadith: “Sungai-sungainya mengalir tanpa parit”. Di dalam sebuah Athar: “Di tepi sungai terdapat ketulan-ketulan permata yang berkilat”. Tiada penafian antara kedua ini. Tanahnya adalah kesturi yang semerbak dan pasirnya adalah permata yang berkilauan. Kita mohon kepada Allah dengan kurnianNya bahwa ini adalah balasan baik daripada yang bersifat Maha Penyayang.
Daripada Abu Hurairah bahwa Rasulullah saw bersabda:
“Sungai-sungai syurga terpancar dari bawah anak bukit (bonggol) atau dari bawah bukit kesturi”.
Firman Allah: “setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu." mereka diberi buah-buahan yang serupa”. Mengikut ahli tafsir, mereka mengetahui nama buah-buahan seperti nama di dunia dahulu, buah epal dengan nama epal, buah delima dengan nama delima. Mereka mengatakan: Semasa di syurga inilah kami dikurniakan rezeki seperti di dunia dahulu dan didatangkan buah-buahan yang serupa seperti yang mereka ketahuinya, tetapi tidak serupa pula tentang makanan.
Firman Allah: “dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang Suci”. Suci daripada kekejian dan keburukan. Menurut Mujahid: Suci daripada haid, berak,kencing, kahak, ludah, mani dan beranak-pinak. Firman Allah: “dan mereka kekal di dalamnya”. Inilah kebahagiaan yang penuh di mana mereka dengan nikmat ini berada pada maqam yang aman daripada kematian dan terputus kerana sudah tiada lagi akhir dan kesudahan untuknya, bahkan berada dalam kenikmatan yang terus kekal abadi.
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=40083&SecID=363
No comments:
Post a Comment
Sila berikan komen anda