Monday, September 13, 2010

Jangan Lupa Puasa 6 Syawal

Oleh: Dr. Ahmad Hassan

Ramadhan telah berlalu dan kini Syawal telah tiba. Namun tarbiyah Ramadhan diikuti tarbiyah Syawal juga tarbiyah bulan-bulan lain semuanya dan berkesinambungan dengan ketaatan dan ibadah merupakan bukti penerimaan Ramadhan. Ini kerana Rasul saw bersabda:

“ Sesungguhnya setiap amalan perlu aktif dan setiap keaktifan adakalanya berlaku saat kemerosotan. Justeru barangsiapa semasa saat kemerosotannya kembali kepada sunnahku, maka dia memperolehi petunjuk tetapi barangsiapa semasa saat itu kembali kepada yang lainnya, maka ia pasti akan sesat”.

Wahai orang yang Allah berikan taufik kepadanya di bulan Ramadhan. Janganlah anda kembali kepada dosa-dosa yang anda lakukan sebelum Ramadhan seperti amalan mengumpat, mencerca, menipu, khianat dan sebagainya..kerana anda telah merasai kemanisan air mata dan kelazatan munajat yang merupakan saat yang paling bahagia bagi para hamba. Oleh itu janganlah anda tinggalkan kebahagiaan yang telah dinikmati itu. Begitu juga amalan qiam, puasa, sedekah, tilawah al-Quran dan zikir.

Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain setelah selesai puasa Ramadhan.

Nabi saw telah menyatakan kepada umatnya tentang kelebihan puasa enam Syawal dan mendorong mereka dengan menggunakan teknik galakan supaya melaksanakan puasa 6 hari ini..sabda nabi saw:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, maka ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Muslim dan lainnya)

Menurut Imam Nawawi: Para ulamak menyatakan: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”.

Ibn Rejab menukilkan dari Ibn Mubarak katanya: Bagi yang berpuasa 6 Syawal secara berkesinambungan selepas puasa Ramadhan, maka dia wajib memperolehi pahala puasa sepanjang tahun.

Jikalau tanda penerimaan sesuatu ibadah ialah kecenderungan melakukan ibadah seterusnya, maka puasa 6 Syawal selepas Ramadhan adalah bukti kesyukuran orang berpuasa kepada Allah kerana memberi taufik kepada puasa Ramadhan dan menambahkan kebaikan, sepertimana puasanya sebagai bukti kecintaan kepada ibadah dan ketaatan dan kecenderungan untuk meneruskan jalan ibadah. Bahkan ia seakan-akan suatu perjanjian dengan Allah untuk bersungguh-sungguh beribadah dan melaksanakan ketaatan kerana ia tidak mahu hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan dan meninggalkan ibadah selepas Ramadhan.

Al-Hafiz Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Orang yang menggantikan nikmat taufik puasa di bulan Ramadhan dengan melakukan maksiat selepasnya, maka sebenarnya dia seperti orang menukarkan nikmat Allah dengan kekufuran. Ada yang mengatakan kepada Bisyr al-Hafiy: Suatu kaum yang beribadah dan bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan. Lalu Bisyr berkata: Seburuk-buruk suatu kaum ialah yang tidak mengenali Allah dengan sebenarnya kecuali di bulan Ramadhan sebaliknya orang soleh sentiasa beribadah dan bersungguh-sungguh sepanjang tahun”.

Di antara hikmat puasa 6 Syawal

1. Puasa 6 Syawal selepas Ramadhan menyempurnakan pahala puasa sepanjang tahun bagi seorang muslim.

2. Puasa di bulan Syawal dan Syaaban sama seperti solat sunat dan solat rawatib sebelum atau selepas solat fardu yang berfungsi menampung segala kekurangan dan kecacatan dalam ibadah fardu, kerana ibadah fardu disempurnakan oleh ibadah nawafil di hari Kiamat. Bahkan ramai orang yang puasanya terdapat kekurangan dan kecacatan, maka ia perlukan amalan yang dapat menampung atau melengkapkan kekurangan itu.

3. Puasa Ramadhan mewajibkan seseorang memperolehi keampunan daripada dosa-dosa yang terdahulu. Oleh itu kembali berpuasa selepas Eidul Fitri sebagai tanda syukur kepada nikmat ini kerana tiada nikmat yang lebih besar daripada keampunan daripada dosa.

Allah telah memerintahkan hambaNya supaya mensyukuri nikmat puasa Ramadhan dengan sentiasa mengingatiNya, berzikir dan bermacam-macam cara bersyukur yang lain. Firman Allah:

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah: 185)

Justeru tanda kesyukuran hamba kepada Allah di atas taufikNya dengan puasa Ramadhan, pertolongan dan keampunan daripada dosa ialah melaksanakan ibadah puasa sunat seterusnya.

4. Amalan-amalan yang mendekatkan seorang hamba dengan Allah pada bulan Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan, bahkan masih kekal selagi hamba itu hidup. Oleh itu berpuasa selepas Eidul Fitri menunjukkan kembalinya kepada keinginan untuk berpuasa. Baginya puasa tidak menjemukan dan membebankannya.

Permasalahan berkaitan puasa 6 Syawal

-Setengah orang berpendapat bahawa jika tahun ini mereka berpuasa 6 Syawal, maka mereka mesti berpuasa 6 Syawal pada setiap tahun. Pendapat ini tidak betul kerana ibadah ini adalah pilihan semata-mata sama ada mahu berpuasa tahun ini atau tidak pada tahun berikutnya. Bukanlah wajib berpuasa setiap tahun.

Marilah kita mengingati firman Allah:

“Dan bersegralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa ”. (Ali-Imran:133)

-Setengah orang berpendapat bila seseorang telah mula berpuasa 6 hari di bulan Syawal maka ia mestilah menyelesaikannya sekaligus dan tidak boleh berhenti atau terputus sehari atau dua hari sama ada atas sesuatu sebab atau sakit semsa puasa. Pendapat ini tidak betul kerana orang yang melakukan amalan sunat berhak ke atas dirinya. Ia boleh memutuskan puasanya pada bila-bila masa yang dia mahu berdasarkan sabda nabi saw:

الصائم المتطوع أمير نفسه، إن شاء صام وإن شاء أفطر

“Orang yang berpuasa sunat adalah ketua (berhak) ke atas dirinya dia boleh memilih sama ada mahu berpuasa atau berbuka (tidak berpuasa)”. (Tirmizi)

-Bagi orang yang mahu berpuasa 6 Syawal sepatutnya memulakan niat puasa pada malamnya, kerana puasa pada hari-hari yang khusus pada waktu yang terbatas mempunyai ganjaran yang khusus dan tidak sama seperti puasa sunat mutlak.

-Bagi sesiapa yang tertinggal puasa beberapa hari di bulan Ramadhan, maka ia mestilah mengqada’nya (menggantikannya) dahulu, kemudian barulah berpuasa 6 Syawal kerana puasa Ramadhan adalah ibadah fardu dan puasa 6 Syawal adalah sunat sahaja berdasarkan zahir hadith:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal..”. (Hadith)

Namun masalah ini tidak terlepas daripada perbezaan pendapat ulamak.

-Disunatkan bersegera melaksanakan puasa 6 Syawal yang dimulakan pada hari kedua Syawal, tetapi tidak menjadi masalah jika melewatkan pada pertengahan bulan atau penghujung bulan.

-Puasa Ramadhan yang diikuti puasa 6 hari di bulan Syawal ganjarannya menyamai puasa sepanjang tahun kerana satu hasanah menyamai 10 gandaan berdasarkan hadith Thuban r.a dari nabi saw yang bersabda:

“Puasa Ramadhan pahalanya menyamai sepuluh bulan. Puasa enam hari di bulan Syawal pahalanya menyamai dua bulan. Dengan itu seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Ahmad dan Ibn Hibban)

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=70477&SecID=363

No comments:

Post a Comment

Sila berikan komen anda