Oleh: Ikhwan Online
Allah telah menyuruh orang mukmin lelaki dan perempuan melakukan perbuatan yang baik. Firman Allah:
“Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.”. (Al-Hajj: 77)
Allah telah memuji sekumpulan mukminin kerana di antara sifat mereka ialah bersegera dalam melakukan kebaikan. Firman Allah:
“Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang saleh”. (Ali-Imran: 114)
Sesuatu perbuatan baik mestilah memenuhi dua syarat: Pertama, hendaklah semata-mata kerana Allah, iaitu berniat melakukannya kerana Allah. Syarat kedua, Sesuatu perbuatan itu hendaklah tidak bertentangan dengan syarak atau hukum Islam. Tetapi dalam hal menyumbangkan barang (harta atau apa saja yang wujud) disyaratkan dengan syarat ketiga, iaitu hendaklah sesuatu barang yang disumabngkan itu halal dan baik supaya pemiliknya mendapat pahala.
Perbuatan baik di dalam Islam diikat dengan disiplin dan kaedah penting. Antaranya:
1. Allah tidak menerima ibadah sunat sehinggalah ibadah fardu ditunaikan..Contohnya, kita mendirikan solat sunat beberapa rakaat pada waktu tertentu tetapi tidak mendirikan solat yang fardu pada waktu tersebut, jadi apakah nilai solat sunat yang kita tunaikannya sedangkan kita abaikan solat yang fardu. Begitu juga kita bersedekah harta benda pada masa yang sama kita tidak menunaikan zakat yang wajib, bagaimana sedekah hendak diterima padahal zakat wajib tidak didirikan.
2. Hadith Qudsi. Firman Allah: “Perbuatan hamba yang mendekatkan kepadaKu lebih Aku sukai seperti ibadah yang Aku fardukan ke atasnya”. Iaitu, perbuatan fardu lebih disukai Allah dan ganjaranya lebih tinggi daripada ibadah sunat. Orang mukmin lelaki dan perempuan dituntut mengetahui perkara fardu dan jenis-jenisnya, memahami Islam dengan menyeluruh yang disertai kefahaman yang sebaiknya supaya membolehkan mereka melaksanakan dalam bentuk yang terbaik dan memilih yang paling utama.
3. Kewajipan masa..atau keutamaan yang fardu. Iaitu ibadah fardu yang telah masuk waktunya, atau wajib sekarang, didahulukan daripada ibadah fardu lain yang mempunyai kelapangan waktu atau perlaksanaannya yang masih panjang, seperti apabila masuk waktu solat, maka ia perlu di dahulukan daripada yang lain. Apabila telah dilaungkan panggilan jihad, maka ia perlu didahulukan daripada yang lain (sekalipun solat ketika dalam pertempuran, atau solat khauf disaat genting dan berwaspada).
4. Perbuatan yang mendatangkan kebaikan sehingga orang lain dapat menikmatinya lebih utama daripada perbuatan yang kebaikan terhad kepada dirinya. Oleh kerana itu Allah telah menjadikan sifat-sifat yang baik yang paling utama ialah usaha-usaha membetulkan masyarakat dan membangunkannya. Firman Allah:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”. (Ali-Imran: 104)
Firman Allah:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”. (Ali-Imran: 110)
Di dalam sebuah hadith:
“Sesiapa mengajarkan suatu sunnah yang baik, maka ia memperoleh pahalanya dan pahala orang yang mengerjakannya”.
Bagi melengkapkan perbincangan yang ringkas ini marilah kita mengenali bahwa ibadah fardu terbahagi kepada dua jenis yang utama:
- Fardu ain, iaitu ibadah yang wajib ke atas setiap individu seperti solat, zakat (jika cukup syarat-syaratnya), puasa dan lain-lain.
- Fardi kifayah, iaitu wajib ke atas umat seluruhnya. Seandainya sebahagian umat telah menyempurnakannya dan telah selesai fardu kifayah itu, maka beroleh pahala bagi orang yang mendirikannya dan menyempurnakannya serta tidak berdosa bagi yang lain. Tetapi seandainya fardu kifayah ini tidak disempurnakan, maka berdosa kesemua umat.
Orang-orang Islam kadang kala telah menunaikan fardu ain dalam bentuk yang sesuai, kemudian mereka menyangka telah menunaikan tuntutan Islam yang sepatutnya tetapi pada masa yang sama setiap hari memikul dosa meninggalkan fardu kifayah yang wajib ke atas umat selagi tidak berusaha bersungguh menegakkannya.
Di antara contoh fardu kifayah: menjalankan hukum Islam, kewajipan mendirikan kerajaan Islam (dengan syarat-syarat yang memenuhi syarak dan tugas-tugas asasi), melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar dalam bentuk system hisbah dan ta’zir..jihad di jalan Allah (ketika tiada penjajahan di negeri Islam atau perampasan ke atas pemilikan mereka dan kehormatan mereka. Tetapi ketika benar-benar berlaku penjajahan, maka hukum jihad telah menjadi fardu ain), menyediakan keperluan umat dari aspek kepakaran atau kerja pembangunan dan kekuatannya…dsb
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=63140&SecID=363
No comments:
Post a Comment
Sila berikan komen anda