Thursday, October 7, 2010

Bertakwalah di mana jua anda berada



Oleh: Dr. Yassir Abu Syabanah

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas pembawa rahmat ke seluruh alam, keluarga dan para sahabat semuanya.

Saudaraku yang dimuliakan,

Kita berpeluang menjalani kehidupan yang singkat ini di dalam dakapan sunnah nabi saw dan hadithnya yang suci. Riwayat daripada Abu Zar r.a bahawa nabi saw telah bersabda:

“Bertakwalah di mana saja kamu berada, dan susulilah perbuatan dosa dengan amalan yang baik, nescaya amalan yang baik itu akan memadamkannya. Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik”. (Tirmizi)

Hadith ini telah menghimpunkan prinsip hubungan bagi muslim di dunia, iaitu mencakupi hubungan tiga segi:

Hubungan yang pertama ialah dengan Tuhannya dan Khaliqnya iaitu Allah SWT berdasarkan pernyataan nabi: “Bertakwalah di mana saja kamu berada”. Hubungan dengan dirinya sendiri berdasarkan pernyataan nabi: “dan susulilah perbuatan dosa dengan amalan yang baik, nescaya amalan yang baik itu akan memadamkannya”, dan hubungannya dengan semua manusia berdasarkan pernyataan nabi: “Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik”.

1.      Hubungan manusia dengan Allah

Tidak dapat dinafikan bahwa setiap hubungan ini saling berkait antara satu sama lain. Terutama  hubungan manusia dengan Allah SWT yang semestinya wujud dan baik supaya rentetan dari itu  hubungan manusia dengan dirinya baik dan kemudian hubungannya dengan orang lain (masyarakat) pun baik. Begitu juga tidak dinafikan bahwa hadith ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan apa yang diusahakan manusia ketika ini dan banyak hadith telah membicarakannya iaitu tentang isu pembaikan dan perubahan.

“Bertakwalah di mana saja kamu berada”. Bermaksud seorang muslim semestinya merasai kebersamaan Allah pada setiap masa..segelintir manusia menyangka bahawa orang yang berpegang dengan agama terbatas maknanya dalam ruang lingkup yang sempit dan terkepung antara dua dinding masjid. Salah seorang dari mereka bertanya: Adakah anda seorang yang berpegang dengan agama? Maka dengan segera ia menyambut tangannya dengan penuh perasaan sambil berkata: Al-Hamdulillah, saya solat dan saya tidak mengabaikan yang fardu, saya puasa Ramadhan, kalau saya memiliki harta saya pasti membayar zakat dan menunaikan haji. Setengah yang lain pula berkata: Saya telah menunaikan haji beberapa kali.

Kemudian apa pula selepasnya, apakah pula kesan Islam di dalam kehidupannya? Apakah pula kesan perlaksanaan ibadah-ibadah  ini di dalam reality dirinya dan kepada orang lain? Kenapa nabi saw tidak berkata: Bertakwalah kamu di dalam masjid, atau bertakwalah kepada Allah semasa kamu menunaikan ibadah atau semasa kamu menunaikan syiar-syiar ibadat, sebaliknya nabi bersabda: “Bertakwalah di mana saja kamu berada”..bertakwalah kepada Allah semasa kamu berniaga dengan menjadi peniaga yang jujur dan amanah supaya suatu hari nanti akan dikumpulkan bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan salihin. Jikalau kamu seorang pembeli atau pengguna, maka kamu hendaklah menunjukkan tanda jualbeli yang penuh takwa seperti yang dinyatakan oleh nabi saw:

“Penjual dan pembeli diharuskan membuat pertukaran (kerana terdapat kerosakan atau kecacatan pada barang jualan) selagi belum berpisah, kerana sekiranya kedua-duanya jujur dan berterus terang pastilah akan memperolehi keberkatan dalam jual beli tersebut. Tetapi sekiranya kedua-duanya berdusta dan menyembunyikan sesuatu kerana mahukan sesuatu keuntungan, maka perbuatan itu merosakkan keberkatan jualbelinya itu”.

Bertakwalah di sekolah anda seandainya anda seorang pelajar, guru, kakitangan pejabat atau pentadbir sekolah..Bertakwalah di fakulti anda seandainya anda seorang pensyarah atau dekan atau apa jua jawatan anda.

Bertakwalah di kilang anda, bertakwalah di bengkel anda, bertakwalah di syarikat anda, bertakwalah di pejabat anda, dalam semua bidang dan di semua tempat.. “Bertakwalah di mana saja kamu berada”, di mana-mana tempat anda berada, dalam apa jua keadaan anda hendaklah sentiasa bermuraqabah kepada Allah SWT.

Antara contoh perasaan kebersamaan Allah: Saya nyatakan satu peristiwa mengenai seorang pengembala muda ketika Saidina  Umar r.a menemuinya seperti  di dalam satu riwayat atau bersama sekumpulan sahabat dalam riwayat yang lain.

Saidina Umar ingin menguji pemuda itu untuk mengetahui sejauh mana dekatnya dengan Allah dan sejauh mana hubungannya dengan Allah. Umar berkata kepada pemuda itu: “Wahai pemuda, kami telah berjalan selama beberapa hari di padang pasir. Kami benar-benar kelaparan. Berikanlah kami seekor kambing supaya kami boleh memakannya dan ambillah wangnya untuk perbelanjaan dirimu. Katakanlah kepada tuan kambing bahawa serigala telah membahamnya”..Tentu jika dia mahu berbuat maksiat dia pasti beroleh keuntungan dan penyelewengan ini tentu mendatangkan kebaikan untuk dirinya..tetapi lihatlah kepada sifat muraqabah “Bertakwalah di mana saja kamu berada”  Apakah yang diperkatakan oleh pemuda yang bertakwa lagi tulus ini? Pemuda itu tidak mengenali bahawa beliau ialah Umar Amirul mukminin dengan berkata: “Seandainya saya mampu berdusta kepada pemilik kambing bagaimana pula saya mampu berdusta kepada Tuhanku dan Tuhan pemilik kambing?”

Saidina Umar tahu bahwa pemuda ini seorang yang bertakwa, suci bersih dan bermuraqabah dengan Allah yang menghayati hadith nabi saw: “Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada”. Saidina Umar ingin memberi ganjaran kepadanya. Lantas Saidina Umar bertemu tuannya untuk membeli pemuda ini dan sekumpulan kambing miliknya semua dan memerdekakannya kerana mengharapkan keredhaan Allah dan memberi sekumpulan kambing itu sebagai hadiah kepadanya selepas enggan mengambil harga seekor kambing yang diharamkan, kini sekumpulan kambing menjadi miliknya dan lebih dari itu kini beliau merdeka daripada menjadi hamba. Saidina Umar berkata kepada pemuda itu: “Saya telah memerdekakan kamu kerana perkataan kamu di dunia dan saya berdoa kepada Allah supaya membebaskan kamu daripada azab neraka”.    

2.      Hubungan manusia dengan dirinya

Namun begitu kadang kala ada orang berkata: Kita bukan malaikat dan kita bukan terpelihara daripada melakukan sebarang kesalahan, kita hanya manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan, yang boleh melakukan ketaatan dan maksiat. Saya mampu menyantuni anak yatim dan saya mampu mengeluarkan sedekah dan mungkin juga saya mampu mengasari atau memukulnya . Tidak dinafikan bahawa manusia kadang kala terjebak dengan maksiat dan kadang kala menyimpang  dari jalan yang benar. Oleh itu apa yang patut kita buat?

Benar seorang muslim bukan terpelihara daripada melakukan kesalahan: Dalam petikan kedua hadith, ianya berkaitan hubungan manusia dengan dirinya sendiri. Ya, anda bukan seorang yang terpelihara dari melakukan kesilapan dan kesalahan, anda hanya seorang manusia. Justeru seadainya ada telah terjebak ke dalam maksiat atau terjerumus kepada penyimpangan , segeralah kembali ke pangkal jalan dan cepat bertaubat kepada Allah:“dan susulilah perbuatan dosa dengan amalan yang baik, nescaya amalan yang baik itu akan memadamkannya”. Sebaliknya jikalau terus kekal dengan kesalahan dan tidak disusuli dengan amalan baik bahkan ditambah dengan kesalahan yang lain, kemaksiatan yang ke tiga dan penyimpangan yang ke empat, maka akan bertimbunlah penyimpangan itu di dalam hati manusia dan akhirnya menutupi hatinya (kita mohon keampunan dan pemeliharaan daripada Allah) seperti yang diingatkan oleh Allah:

“Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka”. (Al-Mutaffifin:14 )

Orang yang bijak, cerdik dan pintar ialah apabila terjerumus kakinya ke dalam kancah maksiat dan terjebak dengan penyimpangan, maka dia segera bertaubat. Pintu Allah tidak pernah tertutup untuk menerima penuntutnya sampai bila-bila. Cukuplah Allah pernah berpesan bukan sahaja kepada pelaku maksiat bahkan kepada orang-orang yang berlebih-lebihan dan melampai batas dalam maksiat  bahwa pintu rahmat Allah masih dibuka untuk mereka.

Firman Allah:

“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Az-Zumar: 53)

Sebaik-baik  perbuatan dosa disusuli dengan amalan yang baik, nescaya amalan yang baik itu akan memadamkannya. Di antara kemuliaan Allah ialah menjadikan untuk kita pintu taubat yang sentiasa terbuka pada setiap masa. Firman Allah:

“Dan Dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat”. (Hud: 114)

3.      Hubungan individu dengan orang di sekelilingnya

Seandainya seseorang baik hubungannya dengan Allah, diikuti hubungan yang baik dengan dirinya sudah tentu hubungan dengan manusia akan berlaku suatu hubungan yang terbina di atas manhaj allah. Maka tibalah potongan yang ketiga: Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik”.

“Bergaullah dengan manusia”: wanita, semestinya aku menggauli dan melayani isteriku dengan baik, anak-anakku, jiranku, teman sekerjaku, kaum kerabatku, semua manusia mesti aku melaninya dalam bentuk yang diredhai Allah.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=19239&SecID=363





Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top