Monday, July 25, 2011

121 idea untuk masyarakat di bulan Ramadan

Oleh: Qassim Abdullah

121 idea ini adalah satu usaha kami untuk membantu dan menolong anda dalam aktiviti kemasyarakatan pada bulan Ramadan, dengan membentangkan idea-idea yang boleh dilaksanakan dalam alam realiti, yang kebanyakannya telah pun dilaksanakan di pelbagai tempat. Justeru, ambillah mana-mana idea yang sesuai dengan anda dan apa yang boleh anda lakukan. Saya percaya bahawa idea-idea yang disenaraikan lebih dari seratus ini bukanlah semua idea-idea yang sesuai untuk disampaikan kepada masyarakat pada bulan Ramadan, bahkan ianya hanya satu model sahaja, dan anda boleh mengambil idea hasil cetusan anda sendiri dan saudara-saudara anda yang akan menambah koleksi idea sedia ada.

Anda akan temui idea yang kami senaraikan di bawah berbeza-beza mengikut keadaan dan tempat seperti di rumah, jalan, masjid dan kampung hingga kepada simbol-simbol, pertubuhan, persatuan, kelab, institusi dan syarikat-syarikat, dan kami tidak lupa kepada wanita, anak-anak, remaja dan pelajar, dan kami akhiri dengan paksi elektronik  kerana kepentingannya pada masa ini.

Kepentingan kerja kemasyarakatan

Apakah masih ada di kalangan kita umat Islam yang tidak menyedari nilai dan kepentingan kerja dalam masyarakat? Maksud saya di sini ialah amal-amal Islam dan dakwah untuk menyebarkan kebaikan, kemuliaan, nilai, prinsip dan akhlak yang mana kerananya Islam datang dan untuknya Islam perjuangkan, membantu dan menolong orang ramai, menyediakan semua jenis bantuan samaada fizikal dan moral. Seandainya mereka ini masih berada di kalangan kita, saya ingin berikan kepada mereka satu ayat dari Kitab Allah dan hadits dari Rasulullah saw. Firman Allah SWT (bermaksud):

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).  (Al-Hajj: 77).

Nabi Muhammad saw telah bersabda (bermaksud):

"Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain. Tingkahlaku yang paling disukai ialah yang menggembiarakan orang Islam yang lain atau meringankan bebannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan. Sesungguhnya orang yang berjalan kerana ingin memenuhi keperluan saudaranya  lebih saya sukai daripada orang yang beriktikaf di masjid ini - masjid di Madinah – selama bulan. Sesiapa yang dapat menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menutup kesalahannya, dan sesiapa yang menahan marah walaupun dia mampu untuk menunjukkannya, nescaya Allah akan memenuhi harapan hatinya pada hari kiamat, dan sesiapa yang berjalan untuk menemui saudaranya kerana memenuhi keperluan saudaranya hingga dapat menyelesaikan keperluannya, nescaya Allah akan meneguhkan kedudukannya pada hari semua kedudukan telah lenyap.” (Tabarani di dalam Mu’jam Ausat, 6 / 139).

Kepentingan perancangan untuk kerja-kerja Islam

Jika perancangan dalam urusan duniawi, perniagaan dan pengurusan badan-badan menjadi keperluan manusia, maka perancangan dalam urusan dakwah kepada Allah dan menyebarkan kebaikan di kalangan manusia adalah satu keperluan syarak. Kaedah syarak menyatakan: "Sesuatu perkara tidak akan sempurna melainkan hanya dengannya, maka perkara itu menjadi wajib. " Atas alasan itu, kerja-kerja Islam mesti mempunyai perancangan, kerana perancangan dalam kerja-kerja Islam, memperkasakan agama Allah di muka bumi dan menyebarkan kebaikan di kalangan manusia merupakan tugas yang wajib dan tidak dapat dielakkan.

Bertitik tolak dari sini, para aktivis Islam mesti duduk dan merancang supaya apabila keluar dari bulan Ramadan nanti seboleh-bolehnya akan memberikan lebih impak kepada dakwah, di setiap tempat, sasaran dan institusi. Perkara pertama dalam perancangan ialah meletakkan objektif yang ingin dicapai, cara untuk mencapai objektif ini, dan mengukur pencapaian bagi setiap cara dan langkah yang telah dilakukan, dan selepas ditentukan semua perkara di atas maka disediakan jadual menjalankan tugas, yang mengandungi objektif, cara-cara, masa, tempat dan orang yang bertanggungjawab bagi pelaksanaan, dan kos aktiviti ini, mengukur pencapaian, dan bagaimana untuk membuat susulan.

Saudara yang bertanggungjawab ke atas sesuatu tempat itu seperti di  masjid, jalan, kampong, Kilang, Sekolah, kolej, syarikat, Yayasan – organisasi, badan kebajikan... dll hendaklah duduk dan merangka pelan Ramadan sebelum kedatangan bulan Ramadan, dengan memperuntukan sedikit masa, kerana jika perancangan dirangka lebih awal, tentu hasilnya adalah lebih menyeluruh.

Silaturrahim

1 - Hendaklah segera mengucapkan tahniah kepada kaum keluarga sempena ketibaan bulan Ramadan yang penuh berkat;
A - Bagi ibu bapa, sebaiknya menziarahi mereka atau sekurang-kurangnya menghubungi mereka melalui telefon. Mesej ‘sms’ tidak dibenarkan sama sekali.
B - Bagi adik-beradik dan ipar duai sebaiknya menghubungi mereka melalui telefon.
C – Bagi saudara-mara dan kaum kerabat sebelah anda dan sebelah isteri anda selain dari yang di atas, bolehlah anda menghantar mesej ‘sms’ atau e-mel kepada mereka. Namun perhubungan secara langsung adalah lebih baik.

2 - Tetapkan tarikh untuk majlis berbuka bersama keluarga dengan anda, dan majlis berbuka itu hendaklah mengumpulkan ibu bapa, adik-beradik, isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka.

3 - Tetapkan tarikh lain untuk majlis berbuka dengan keluarga isteri. Anda hendaklah gembira dengan majlis berbuka ini sepertimana anda gembira berbuka dengan keluarga anda. Dari segi tempat berbuka, tidak ada masalah dengan memilih tempat anda atau tempat mereka berdasarkan persetujuan.

4 - Mengirim brosur, risalah atau poster kepada mereka yang termampu dari kaum keluarga anda dan sebelah isteri anda.

5 – Cubalah anda kumpulkan ahli keluarga, dan terangkan kepada mereka hukum berpuasa dan sebahagian adab di bulan Ramadan.

6 - Suruhlah anak-anak anda untuk berhubung dengan sepupu-sepupu mereka daripada kaum keluarga anda supaya mereka mencapai makna yang lebih mendalam tentang hubungan silaturrahim dan penggabungan sebuah keluarga besar.

7 - Saudara terdekat yang miskin dan sangat memerlukan pertolongan adalah orang yang paling utama untuk anda hulurkan sedekah dan zakat selain ibu bapa, isteri dan anak-anak.

8 - Jika anda diundang oleh salah seorang saudara terdekat anda yang miskin untuk majlis berbuka, penuhilah undangannya sambil membawa makanan yang termampu sebagai hadiah atau memberikan makanan siap atau sebarang manisan.

9 - Tidak boleh mengabaikan adab dan akhlak semasa berbuka, seperti tidak bercampur antara bukan mahram, atau mengabaikan solat Terawih, melupakan zikir di waktu petang atau tidak bersembahyang Maghrib dan Isyak berjemaah di masjid.

Dengan jiran

10 – Seminggu atau sepuluh hari sebelum Ramadan, edarkanlah jadual berbuka dan waktu imsak atau brosur untuk bulan Ramadan kepada jiran anda, jika boleh, disertakan dengan kad ucapan tahniah. Ini lebih baik.

11 – Suruhlah anak-anak anda untuk menyertai anak-anak jiran untuk menghiasi pintu masuk ke apartmen atau kondominium dengan hiasan yang indah dan sesuai selain menampal poster atau brosur yang sesuai.

12 - Menggantungkan lampu ‘tanglung’ dengan saiz yang sesuai di pintu masuk rumah atau apartmen yang boleh dikongsi harganya oleh kebanyakan atau sebahagian penduduk apartmen atau anda sendiri menanggung harganya.

13 – Tetapkan tarikh dengan ketua-ketua keluarga penduduk bangunan itu untuk mengambil bahagian bersama-sama dalam majlis berbuka, dan menyatakan bahawa ini adalah tradisi tahunan dan peluang untuk bersua muka dengan penduduk-penduduk bangunan itu bersama-sama walaupun hanya setahun sekali untuk berbuka dan taat kepada Allah. Tawarkan diri untuk menjadi tuan rumah majlis berbuka di apartmen anda kecuali jika ada penduduk yang menawarkan di apartmennya. Pada pandangan saya jelas tergambar kejujurannya.

14 – Menyuruh isteri anda untuk mencadangkan kepada wanita-wanita di apartmen untuk membuka kelas bimbingan khas untuk mereka, iaitu mempelajari asas-asas bacaan dan hukum Tajwid cara mudah di samping menggalakkan supaya berterusan dan berpanjangan dan sentiasa memuji mereka serta jangan lupa memberikan hadiah.

15 – Mengadakan pertandingan untuk menghafaz beberapa surah atau sebahagian surah Al-Quran untuk kanak-kanak di apartmen dan menyampaikan hadiah dalam majlis yang ringkas.

16 - Menjemput penduduk-penduduk apartmen itu untuk mengambil bahagian dalam kerja-kerja pengedaran ‘plastik’ (ada makanan) Ramadhan.

17 – Antara budaya yang baik yang kian pupus antara jiran ialah bertukar-tukar hidangan manisan. Oleh itu budaya ini hendaklah dihidupkan semula dalam bulan yang mulia ini.

18 - Membantu penduduk-penduduk di kejiranan itu, supaya bangun untuk solat subuh, terutamanya terdapat sesetengah orang yang makan Sahur dan kemudian tidur sebelum solat subuh.

19 – Merebut peluang dari nilai-nilai kerohanian Ramadan dan pertemuan berterusan antara penduduk bangunan itu dengan menyelesaikan mana-mana aspek negatif yang berkaitan dengan apartmen seperti: masalah penyelenggaraan, kebersihan apartmen, keselamatan dan lain-lain lagi.



Idea untuk kerja-kerja di masjid


20 – Solat Terawih mewakili solat yang amat penting dalam bulan Ramadan. Justeru, jika kedudukan solat Terawih yang penting, maka begitu juga pentingnya dalam hal ehwal berkenaan solat Terawih dan yang paling penting adalah soal imam yang akan memimpin solat. Memandangkan hanya sebilangan kecil imam yang memiliki kelunakan suara dan bacaan mereka yang memberi kesan serta adanya respon para makmum dengan mereka, maka perlulah dipercepatkan dapat satu persetujuan daripada imam ini, dan menentukan bilangan solat (juzuk - hizb ... dll) dan dapatkan persetujuan dengan imam tentang imbuhan material (janganlaah terlalu membebankan) dan menguruskan imbuhan ini. Jika imam ada keistimewaan tersendiri dan terkenal di kejiranan dengan masjid, maka pihak pengurusan masjid hendaklah mengumumkan kepada para jemaah dan menggunakan segala cara pemberitahuan untuk menarik jemaah ke masjid untuk solat Terawih.

21 - Berkaitan dengan solat Terawih ialah perkataan ‘tarwih’ (berehat-rehat sambil mendengar tazkirah) yang mesti diletakkan agenda-agenda yang mempunyai objektif dan pengertian untuk disampaikan kepada para jemaah, dan bercakap dalam isu yang mengambil kira keadaan negara dan realiti yang  ada, dan isu-isu yang paling penting yang berlaku dalam masyarakat, dan mengaitkan hal ini dengan hubungan yang baik kepada Allah dan kembali kepada-Nya. Begitu juga tazkirah itu hendaklah sesuai dengan  tempoh rehat yang diperuntukkan, mengikut ketetapan masjid dan jemaah solat. Jika ianya sebuah masjid yang besar sebaik-baiknya diagih-agihkan tugas tazkirah kepada lebih daripada seorang, dan undanglah pendakwah-pendakwah yang istimewa dari dalam dan luar kejiranan atau daerah, dan mengumumkan kepada para jemaah solat sebelum bulan Ramadan dalam masa yang mencukupi.

22 - Jika anda seorang khatib di masjid, maka mulakanlah dari bulan Syaaban untuk menyediakan satu teks khutbah atau lebih tentang persediaan untuk bulan Ramadan dan menyambut dengan baik, keadaan orang-orang soleh untuk menyambut bulan ini, memenuhinya dengan membaca Al-Quran, membentuk hati dan jiwa, kedua-duanya teruja untuk menghayati bulan Ramadhan, dan berdoa kepada Allah supaya sampai ke Ramadan dengan amalan yang terbaik dan banyak.

23 - Jika tidak terdapat khatib di kalangan ikhwah, maka salah seorang hendaklah cuba bercakap dengan khatib masjid dan mengajaknya untuk menyediakan satu teks khutbah atau lebih tentang sambutan bulan Ramadan.

24 – Mengadakan kempen kebersihan dan keindahan masjid, terutama kebersihan masjid, permaidani, dinding, siling, penyelenggaraan lampu dan penyaman udara - jika ada - dan kipas, tandas dan penyejuk air. Semua kempen ini berjalan sebelum kedatangan Ramadan lebih awal. Dari aspek kebersihan masjid adalah jelas dan tidak dapat dinafikan tentang keperluan masjid kepada kebersihan yang berterusan, terutama di bulan Ramadan di mana para jemaah akan berbuka di masjid saban hari, di samping azan maghrib, kesan minuman dan sisa-sisa kurma dan makanan dikumpulkan, dan ramai jemaah yang tinggal lama di masjid - semua ini memerlukan pembersihan sebelum bulan Ramadan dan pada bulan Ramadan tentulah lebih wajib lagi.

25 - Menghias masjid dari luar dengan hiasan yang bersesuaian, sama ada dengan hiasan lampu atau kertas-kertas poster tanpa berlebih-lebihan, terutama di menara masjid.

26 - Menggantung ‘tanglung’ dengan saiz yang sesuai di pintu masuk ke masjid atau tempat yang dipersetujui oleh ajk masjid.

27 – Mengemaskinikan majalah dinding untuk bulan Ramadan atau membeli majalah dinding dari mana-mana kedai yang diletakkan di belakang masjid supaya tidak mengganggu jemaah semasa solat.

28 - Mengedarkan brosur atau risalah tentang bulan Ramadan beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan yang mengandungi beberapa pengertian yang terpilih dan sesuai, dan meminta keizinan dari pengurusan masjid imam untuk membuat pengedaran.



29 – Meminta pihak yang menguruskan masjid untuk menyediakan jadual majlis-majlis berbuka di masjid dan menjemput semua penduduk berdekatan masjid dan mengumumkan kepada mereka lebih awal dan menggesa jemaah solat tidak terikat dengan tarikh yang dicadangkan sehingga dipersetujui orang masjid, dan mengingatkan orang masjid bahawa tujuan berbuka secara berjamaah adalah untuk menghimpunkan orang-orang di masjid bersama-sama untuk perkara ketaatan, bukan semata-mata makan dan minum. Inilah cara untuk mencapai persaudaraan, kasih sayang dan perpaduan antara orang agama dan inginkan kesejahteraan.

30 - Mengatur dan menguruskan kerja-kerja makanan panas kepada orang-orang yang layak di kejiranan dan kawasan sekitar masjid, dan ini memerlukan yang berikut:
A - menganjurkan kempen untuk mengajak orang yang baik untuk menderma bagi menampung kos makanan ini, sama ada dengan wang atau makanan yang tertentu.
B - Memanggil orang muda masjid dan kawasan ini untuk mendaftarkan nama mereka  untuk mengambil bahagian dalam pengurusan dan pengedaran makanan kepada orang yang layak di rumah mereka.
C - Menentukan penyelia untuk tugas ini dan mengutamakan orang yang lebih berpengalaman.
D – Memantapkannya dengan menyediakan kemudahan tertentu seperti peralatan dapur gas dan sebagainya serta berpakat dengan chef dan membayar upah untuk mereka.



Bersambung dalam siri 2

No comments:

Post a Comment

Sila berikan komen anda