Friday, September 30, 2011

Menyelami ruang lingkup ibadah

Oleh: Sheikh Fouad al-Hijrasyi

Ibadah dalam Islam terdapat dua ruang lingkup yang utama. Satu.. Kehidupan dunia dalam semua segi meliputi pekerjaan, penghasilan, penerimaan dan pemberian, pengajaran kemahiran, pertolongan kepada orang yang ditindas dan menghalang orang yang ingin menindas orang lain.

Dan kedua .. Seluruh tubuh manusia dari kepalanya hingga ke kaki, deria, otot dan anggotanya.

Kedua-dua ruang lingkup ini berada di dalam satu kerangka. Perbuatan manusia dalam semua keadaan dan segala aspek sebenarnya dalam kerangka yang telah kita ketahui, bahawa ibadah adalah tunduk kepada Allah, beriltizam dengan syariat dan hanya meletakkan kecintaan kepada Allah.

Inilah ibadah yang sahih dan tulus.

Imam Ibn al-Qayyim r.a berkata: "Ruang lingkup ibadah berkisar pada asas menyempurnakan ibadah yang bermaksud menyempurnakan peringkat penyembahan dan pengabdian."

Jelas bahawa walaupun kita tahu ibadah dibahagikan mengikut tuntutan syariat yang telah ditetapkan Allah ke atas pancaindera dan otot manusia serta anggota masing-masing, iaitu terdapat sepuluh semuanya:

Hati, lidah, pendengaran, penglihatan, bau, rasa, tangan, kaki dan alat sulit, dan menaiki pelbagai binatang tunggangan.

Setiap deria ini akan menjadikan ibadahnya antara wajip, sunat dan harus. Sekiranya ibadahnya diterima, ia akan memperolehi ganjaran pahala dari Allah, dan dikira makruh dan haram ke atas perkara yang dilarang-Nya.

Marilah kita lihat satu contoh tentang deria penglihatan.

Wajib menggunakan penglihatan terhadap al-Quran untuk membaca secara tadabbur dan beribadah, dan pembelajaran apa jua ilmu yang diperlukan. Sunat menggunakan penglihatan untuk melihat buku-buku ilmiah yang meningkatkan iman dan ilmu.

Juga sunat melakukan perkara yang berguna dan mendatangkan kebaikan di dunia dan akhirat.

Pandangan seperti itu menyebabkan pemiliknya akan mendapat ganjaran pahala di akhirat.
Sementara pandangan yang makruh ialah melihat pada perkara yang tiada kebaikan; kerana ia sibuk pada perkara yang tidak diwajibkan.

Haram jika penglihatannya ditujukan kepada aurat.

Mengelakkan diri dari perkara tersebut kerana mentaati perintah Allah menyebabkan pemiliknya memperolehi ganjaran pahala di akhirat.

Allah SWT berfirman (bermaksud):

“ Katakanlah (wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya).” (Yunus: 101).

“maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya.”  (Abasa: 24)

“maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. (At-Tariq: 5).

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).” (An-Nur:  30).

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).” (An-Nur: 31).

Jika anda mahu, kajilah seperti itu terhadap deria pendengaran, rasa, bau atau sentuh. Di dalam deria sentuh juga ada ketikanya wanit, sunat, harus, makruh dan haram serta menyahut perintah Allah pada: “Lakukanlah dan jangan anda lakukan”  berdasarkan apa yang dikatakan oleh Sheikh Shaarawi sesuatu yang membawa kepada memperolehi pahala.

Teras atau tiang antara deria dan anggota ini adalah deria hati seperti yang pernah dinyatakan oleh Nabi saw kepada kita .. Tiadalah yang diperkatakannya melainkan  dari tunjuk ajar dari Tuhan kepadanya:

“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (An-Najm: 3-4)

Baginda telah bersabda (bermaksud):

“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).”

Hati adalah raja segala deria dan anggota, kerana melaksanakan bahagian-bahagian dalam badan ini memerlukan kepada keikhlasan niat, kecintaan dan pergantungan kepada Allah kemudian bersabar menanggung kesusahan beribadat dalam konteks semua ini ..tempatnya adalah hati bukan yang lain.

Hati mempunyai peluang sepenuhnya untuk menyempurnakan pengabdian dan penyembahan kepada Tuhan, kerana dengan keikhlasan, kecintaan, pergantungan dan kesabaran menyebabkannya bertaubat kepada Allah, takut kepada-Nya dan mengharapkan pertolongan-Nya yang merupakan tempat niat bukan yang lain.

Hati membezakan ibadah antara satu sama lain dari segi derjat dan martabat. Justeru wujud perbezaan antara orang yang menyembah dan beribadah kepada Allah melalui usaha-usaha memberi khidmat kepada manusia mengatasi solat, puasa dan ibadah seumpamanya, dan orang-orang yang menyembah dan beribadah kepada Allah, yang khusyuk di sudut masjid, seperti berzikir kepada Allah.

Menurut pengarang kitab "Jami’ Ulum wal-Hikam", Ibn Rejab al-Hanbali hadith ini menunjukkan tentang kesejahteraan pergerakan anggota manusia yang membersihkan diri dari perkara syubhat dan menjauhi perkara yang haram bergantung kepada kesejahteraan hatinya.

Justeru, sekiranya hati itu baik dan sihat,  tidak ada padanya melainkan kecintaan kepada Tuhan dan mencintai apa yang Dia suka, serta takutkan-Nya dan takut terjatuh ke dalam perkara yang dibenci-Nya yang memastikan kebaikan pergerakan anggota tubuh dalam melaksanakan ibadah: Jikalau hatinya tidak baik sudah tentu  pergerakan anggota selain dari itu.

Oleh itu dikatakan: Hati adalah raja anggota badan, di mana anggota badan cukup taat kepada hati tanpa  sedikitpun pernah menentang kemahuannya, sama ada ke kanan atau ke kiri, kerana jika raja itu baik maka tindak tanduk seluruh tenteranya juga baik.

Tiada satu yang bermanfaat di sisi Allah melainkan hati yang baik dan sejahtera: 

“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, "Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (As-Syu’ara’: 88-89)

Di antara doa Nabi saw:

اللهم إني أسألك قلبًا سليمًا
Ya Allah, saya memohon kepadaMu kurniakanlah hati yang baik dan sejahtera”,

Di dalam Musnad Ahmad dari Anas ra bahawa Rasulullah saw berkata (bermaksud):

" Tidak sempurna iman seorang hamba sehinggalah hatinya baik. "

Jelaslah bahawa adalah wajib memelihara hati supaya dalam keadaan baik dan sihat.

Menurut para ilmuan Islam: Hati ada tiga keadaan:

Baik dan sejahtera .. Iaitu hati yang hidup, merendah diri, kembali bertaubat, lembut dan sedar yang merasai sakit apabila melihat dosa, melarikan diri darinya kerana takut dan tidak akan melakukannya sampai bila-bila.

Mati .. Iaitu hati yang kering, terbiar dan sentiasa menuju kepada syahwat dan tidak merasa sakit akibat ‘luka’ maksiat, melakukan kesalahan sehingga menjadi biasa, tidak mengenal dosa dan tidak takutkan pembalasan.

Sakit .. Iaitu hati yang kadang kala baik dan kadang kala rosak seperti bulu yang ditiup angin, sekiranya berada di tempat membawa kepada taat, maka ia melakukannya dan sekiranya berada di tempat maksiat, ia mengambil bahagian dan bersama-sama.

Situasi ini mewajibkannya mendapatkan rawatan yang berkesan sebelum penyakitnya bermaharaja lelasehingga menjerumuskan hatinya kepada kematian. Mohonlah perlindungan kepada Allah dari ditimpa penyakit ini.

Para ilmuan Islam menasihatkan kepada mereka yang memiliki hati yang sakit:

Anda hendaklah hidup di dunia sebagai seorang yang asing, yang sentiasa bersiap sedia untuk meninggalkan dunia dan perasaan akan merasakan hidup di akhirat seolah-olah anda melihat dengan kedua belah mata anda sendiri tentang penghuni Syurga yang berada di syurga saling menziarahi satu sama lain dengan penuh keceriaan. Sebaliknya penghuni neraka di dalam neraka saling merasai kesengsaraan dengan penuh ketakutan dan kengerian.

Ketahuilah bahawa ilmuan yang pertama Nabi saw pernah berpesan kepada Ibn Omar r.a:

Jadilah anda di dunia ini seperti orang asing atau orang yang sedang dalam perjalanan. "

Letakkanlah dunia pada tempatnya yang asal dan janganlah anda lupa intipati dari ayat yang mulia ini: 

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (Al-Ankabut: 64)

Apa sahaja tentang dunia dan apa yang ada di dalamnya pasti akan hancur bersepai:

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; (Al-Hadid: 20).

Itulah dunia dan itulah kesudahannya. Justeru, yang mana satukah yang menjadi tempat pergantungan hati manusia?!

Hiduplah dalam berkhidmat kepada Allah seperti yang pernah dikatakan Yahya bin Muaz ra dan makna ini: Anda hidup dalam berkhidmat kepada diri anda dengan sentiasa taat dan melaksanakan ibadah kepada-Nya, dan segala sesuatu di sekitar anda akan berkhidmat kepada anda dan anda akan nampak jalan kepada Allah.

Yahya berkata: "Barangsiapa yang senang berkhidmat kepada Allah, nescaya segala yang ada di sekelilingnya akan senang untuk berkhidmat kepadanya. Barangsiapa yang suka berhubung dengan Allah , nescaya semua makhluk akan suka memandangnya."

Bukalah diri anda kepada limpahan rahmatTuhan. Rasulullah saw pernah berpesan tentangnya (bermaksud):

"Sesungguhnya Tuhanmu pada hari-hari hidupmu sentiasa melimpahkan rahmat. Oleh itu, bukalah untuknya . "

Ingatlah sebuah Hadis yang mengajar kita masa yang paling sesuai untuk doa yang makbul dan meminta ampun. Tuhan kita setiap hari turun ke langit dunia sambil berfirman yang bermaksud:

"Adakah ada orang berdoa atau meminta, pasti akan Aku perkenankan untuknya. Adakah ada orang yang meminta ampun (beristighfar), pasti akan Ku ampunkannya .. ".

Oleh itu, berdoalah untuk hati anda pada waktu malam supaya menyembuhkannya dari penyakit dan melepaskan diri dari belenggu maksiat dan dosa kepada kemuliaan ketaatan. Orang yang melakukan demikian dan sentiasa berusaha kea rah itu, pasti hatinya akan hilang dari keburukan penyakit, sihat dan baik, dan menjadi orang-orang yang mulia dan berpindah kepada kelapangan dan kejernihan seluruhnya.

Di dalam sebuah Hadith Qudsi Allah SWT telah berfirman (bermaksud):

" Orang-orang yang mulia telah lama merasa rindu untuk bertemu dengan-Ku dan Aku-lah yang lebih rindu untuk berjumpa dengan mereka. "

Saya memohon kepada Allah supaya mengubah hati kita dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lebih baik jika Ia mengkehendaki kita kebaikan. Sesungguhnya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

1 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top