Thursday, November 24, 2011

Hijrah pembinaan Daulah

Oleh: Faraj Abu Tir

Para Sahabat telah bersetuju dalam tahun enam Hijrah pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin al-Khattab untuk membuat permulaan sejarah Islam dari tahun penghijrahan, yang merupakan satu episod penting dalam sejarah dakwah Nabi dan ianya meninggalkan kesan kemenangan dakwah dan kemunculannya. Juga dengan berlakunya peristiwa Hijrah melahirkan negara Islam, dan terdapat teras (qaedah sulbah) yang membawa dakwah di peringkat awal dan mengembangkan ke seluruh dunia pada peringkat akhir. Selepas Hijrah, Rasulullah saw telah mula secara langsung meletakkan asas-asas Negara Islam dan usaha-usaha untuk pembinaannya, yang berlaku  dalam aspek-aspek asas yang berikut: 

Pertama: Pembinaan iman dan akhlak 

Tujuan pembinaan ini adalah untuk mengukuhkan hubungan dengan Allah .. 

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.  (Al-Baqarah: 21),

(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.  (Az-Zaariyat: 50),

Ibadah ini adalah kunci pertama untuk membuka tompokan masalah kemanusiaan dan tanpa kunci ini tidak akan berlaku pembaharuan. Oleh sebab itu, Rasulullah saw mula membina Negara dengan asas ini di rumah Arqam bin Abi Arqam di Makkah, kemudian membina masjid Nabi di Madinah; di mana masjid itu sebagai universiti Islam utama yang melahirkan graduan yang memiliki akidah yang kukuh , ibadah yang sahih , akhlak yang luhur, pendidikan dan ilmu yang berguna.

Kedua: Pembinaan sosial

Kekuatan akidah menghasilkan kekuatan kesatuan dan hubungan antara umat Islam awal. Sebaik golongan Muhajirin tiba di masjid tanpa berlengah saudara-saudara mereka dari golongan Anshar mengelilingi dan mengajak tinggal di rumah mereka, dan mengutamakan lebih daripada diri mereka sendiri dan mengorbankan nyawa dan hartabenda mereka, sehingga terpaksa diadakan undian seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam erti:

“Tak seorang pun Muhajirin yang menetap di rumah seorang Anshar melainkan dengan undian.”

 Dengan kasih sayang dan persaudaraan melengkapkan pembinaan sosial: 

“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya.”  (Bukhari),

"Orang-orang Islam adalah sama darah mereka, dan mereka saling menghulurkan tangan ke atas saudara yang lain, dan menghormati golongan yang lebih rendah dari mereka. " (Riwayat Abu Daud),

Melalui iman dan persaudaraan adalah kemenangan dan pembukaan yang nyata bagi negara Islam. Begitulah yang wajib kita lakukan.

Ketiga: Pembinaan politik

Permbinaan ini dicapai melalui apa yang dikenali dengan “Piagam atau Sahifah” yang merupakan perlembagaan pertama dalam sejarah Islam, termasuk prinsip pembinaan  Negara yang bertamadun dan moden, tetapi dengan rujukan Islam yang khusus dan jelas. Di antara prinsip-prinsip ini ialah:

- Umat yang satu .. yang menyatukan semua komuniti di Madinah (Muhajirin - Aus - Khazraj - orang Yahudi), dengan semua bangsa dan etnik mereka.

- Tempat rujukan Islam:

" Sekiranya kalian berselisih dalam sesuatu perkara, kalian hendaklah kembali kepada Allah dan Muhammad saw. "

- Kebebasan dan hak awam:

"Orang Islam dijamin mengamalkan agama mereka dan orang Yahudi dijamin mengamalkan agama mereka."

"Di antara tanggungjawab kita kepada orang-orang Yahudi adalah memberikan pertolongan dan teladan, tidak menindas mereka dan membiarkan mereka tanpa pertolongan.",

"Mereka berhak mendapat kaunseling dan nasihat, berbuat baik dan jangan berbuat jahat kepada mereka."

- Panduan untuk melindungi keselamatan: 

"Adalah tidak dibenarkan bagi seorang mukmin untuk memberi bantuan kepada musuh atau memberi perlindungan, tanpa mengira ia peniaga Quraisy atau orang-orang yang membantunya."

Keempat: Pembinaan ekonomi

Pembinaan ini dicapai melalui penubuhan pasar Islam di Madinah; supaya orang Islam tidak berada di bawah kawalan ekonomi musuh-musuh mereka dan supaya orang-orang Islam dapat menunjukkan perbezaan ekonomi mereka yang berkaitan nilai iman dan akhlak di dalam pengeluaran, penggunaan, perdagangan, pengedaran dan pelaburan dalam semua aspek dan bidang ekonomi, tidak seperti ekonomi Yahudi berdasarkan riba, penipuan, monopoli, dan penindasan terhadap golongan miskin dan lemah.

Kelima: Pembinaan ketenteraan

Berikutan dari Hijrah ke Madinah dan situasi peperangan bertambah buruk antara Madinah dan kuasa-kuasa pemujaan berhala dan penurunan ayat-ayat al-Quran yang memberi kebenaran untuk memerangi dengan senjata, Nabi  saw mulai menyediakan pasukan tenteranya dan membentuk pejuang Islam, selepas kekuatan iman dan persaudaraan didahulukan daripada kekuatan peralatan dan senjata, dan menggiatkan lebih banyak latihan dan kemahiran ketenteraan di samping terus-menerus memberikan nasihat dan panduan maknawi.

Dengan itu, terbina sebuah negara Islam yang kuat, yang merasai tanggungjawab, belas kasihan kepada rakyat,menjalankan keadilan di kalangan rakyat, tidak menyalah gunakan harta awam dan menjalankan perekonomian, memenuhi kewajipan memastikan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, mengembangkan pendidikan, menyiapkan kekuatan fizikal, mengekalkan kesihatan yang baik, menjaga harta awam, meningkatkan  pembangunan sumber, pengawalan kewangan, memperkukuhkan akhlak dan menyebarkan dakwah di segenap pelosok dunia. Oleh itu Negara Islam berhak mendapat kesetiaan dan ketaatan, pertolongan dengan nyawa dan harta. Akhirnya Allah tetapkan untuk Negara Islam dengan kemuliaan, ketinggian dan kedaulatan antara semua umat.

----------
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

3 ulasan

  1. Artikel yg baik dan diterjemahkan juga dgn baik dan jelas oleh uzt. Sangat relevan terutamanya ketika menjelangnya sambutan maal hijrah yg selalunya menjadi rutin biasa shj masyarakat Islam
    dinegara kita.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas komen. Moga ianya memberi manfaat kepada ummah.

    ReplyDelete
  3. mnta izin utk shre d blog ana ustaz

    ReplyDelete

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top