Oleh: Sheikh Ahmed Ahmed Gad
Orang beriman yakin bahawa janji Allah itu pasti benar. Allah tidak mungkin melanggar janjiNya. Siapakah yang lebih menepati janji selain dari Allah? Inilah harapan dan impian yang tersemat dalam diri orang beriman. Namun, harapan dan impian ini tidak mungkin menjadi kenyataan melainkan bekerja keras untuk mencapainya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkannya. Ini kerana sunnah Allah menetapkan bahawa rezeki Allah tidak datang kepada manusia tanpa berusaha, mencari dan bekerja. Sesiapa yang berusaha dia yang dapat dan sesiapa yang bercucuk tanam dia yang menuai hasilnya. Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang melakukan pekerjaan yang terbaik. Oleh sebab itu, Allah tidak akan memberikan kemenangan dan kejayaan kepada orang yang pengecut, pemalas dan yang hanya berserah, yang berangan-angan dan berharap kepada Allah dengan seribu harapan. Justeru, mestilah ada persiapan, bekerja dan menggemblingkan tenaga hingga datang janji Allah:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Al-Ankabut: 69),
Manakala mereka yang tidak bekerja dan tidak mengambil sebab, mereka adalah orang yang keliru dan bermain-main! Janji Allah untuk memberikan kemenangan dan kekuasaan hanya untuk orang-orang yang beriman dan soleh. Apabila mereka mengabaikan syarat-syarat kemenangan, pastilah mereka akan kehilangan dan terhina.
Janji Allah kepada orang-orang beriman:
Terdapat banyak teks dari Al-Quran dan Sunnah yang menegaskan tentang janji Allah kepada orang-orang beriman, beramal dan soleh untuk memberikan kemenangan dan kekuasaan. Antaranya:
وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh". (Al-Anbiya’: 105),
Di dalam hadis:
إن الله زوي لي الأرض، فرأيت مشارقها ومغاربها، وإن أمتي سيبلغ ملكها ما زوي لي منها
“Sesungguhnya Allah telah menarik hujung bumi bagi ku, sehingga aku dapat melihat bahagian timur dan baratnya. Dan kelak kekuasaan Umatku akan mencapai bahagian bumi yang telah didekatkan kepadaku.”(Muslim: Fitan: 2889, Abu Dawud: 4252, al-Tirmidzi: 2176 Bertaraf Hassan Sahih dan lain-lainnya),
ليبلغن هذا الأمر ما بلغ الليل والنهار، ولا يترك الله بيت مدر ولا وبر إلا أدخله الله هذا الدين، بعز عزيز أو بذل ذليل، عزًّا يعز به الإسلام وذلاً يذل به الكفر
“Islam pasti akan mencapai wilayah yang diliputi siang dan malam. Allah tidak akan membiarkan rumah yang megah mahupun yang sederhana, melainkan akan memasukkan agama ini ke dalamnya, dengan memuliakan orang-orang yang mulia dan menghinakan orang-orang yang hina. Mulia kerana Allah memuliakannya dengan Islam. Hina kerana Allah menghinakannya akibat kekafirannya." (Ahmad: 4/103:16894 Sahih dan Silsilah Sahihah nombor: 3),
Rasulullah saw pernah ditanya manakah antara dua bandar yang dibuka terlebih dahulu, Konstantinopel atau Rom? Rasulullah saw menjawab: "Bandar Hercules yang pertama akan dibuka." (iaitu Konstantinopel) (Ahmad: 2/176 dan al-Darimi dan lain-lain, dan Silsilah as-Sahihah nombor: 4) Rom adalah ibukota Itali,
“Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Kemudian adalah masa khilafah yang mengikut jejak kenabian (khilafah ala minhaj nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Kemudian di zaman kerajaan yang menggigit (mulkan adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Kemudian adalah di zaman kerajaan yang zalim (mulkan Jabbariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia mengehendaki untuk mengangkatnya. Kemudian di zaman khilafah yang mengikut jejak kenabian. Kemudian nabi diam." (Ahmad:4/274:18319 Sahih dan Silsilah as-Sahihah nombor: 5),
مثل أمتي مثل المطر لا يدري أوله خير أم آخره
"Perumpamaan umatku adalah seperti hujan; tidak diketahui sama ada awalnya atau akhirnya yang baik." (HR al-Tirmidzi: 2869 Bertaraf Hassan. Ahmed: 3/130:12 267 Bertaraf Hassan),
Menurut Tuhfatul Ahwazi: Hadits ini mempunyai jalan-jalan (toriq) yang menaikkannya kepada taraf Sahih. Teks ini ditujukan kepada umat Muhammad saw. Kemenangan dan kekuasaan yang dijanjikan meliputi: Zaman dan tempat. Paling akhir ialah khilafah yang mengikut jejak kenabian dan tercapai janji Allah bahawa bumi ini: “akan diwariskan kepada para hamba-hamba yang salih.” Janji Allah bahawa harapan dan impian ini akan tercapai dengan bekerja, bukan dengan berangan-angan. Di dalam hadits:
ليس الإيمان بالتمني ولا بالتحلي، ولكن ما وقر في القلب وصدَّقه العمل
“Iman bukanlah sekadar angan-angan dan berharap. Iman adalah suatu yang tertanam dalam hati dan dibuktikan melalui amal perbuatan." (Jami’ as-Shoghir: 7570 Dhaif),
Justeru, apa yang tertanam di dalam hati adalah urusan batin sedangkan beramal atau bekerja adalah buktinya dan pengesahannya. Cita-cita adalah harapan yang membawa kepada makna percaya diri dan gembira yang disertai dengan penggemblingan tenaga dan usaha di samping dituruti dengan penyerahan atau tawakal. Manakala berangan-angan adalah penuh dengan kemalasan dan kurangnya usaha, seperti seseorang yang ingin memiliki tanah untuk bercucuk tanam dan makan dari buahnya tetapi tidak mahu bekerja dan berusaha.” (Mukhtasor Madarij as-Salikin .. Manzilah al-Khauf wa ar-Raja’. Dar ad-Dakwah).
الكيس من دان نفسه وعمل لما بعد الموت، والعاجز من أتبع نفسه هواها وتمنى على الله الأماني
“Orang yang bijak ialah orang yang melawan nafsunya dan beramal untuk selepas kematiannya. Adapun orang yang tidak pandai (lemah) ialah, orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan dengan Allah s.w.t.” (Ahmad: 4/124, al-Tirmidzi: 2459 Bertaraf Hassan dan Ibnu Majah: 4260),
Kita mestilah bersangka baik kepada Allah SWT, di dalam hadits:
أنا عند ظن عبدي بي، فليظن بي ما شاء
"Aku adalah berdasarkan sangkaan baik hambaKu terhadapKu, maka bersangka
baiklah tentang-Ku seperti apa yang diingini." (Ahmad: 3 / 491: 15 958 bertaraf Sahih dan ad-Darimi: 2731 dan lihat Shahih al-Jami’ Albany: 4/115).
baiklah tentang-Ku seperti apa yang diingini." (Ahmad: 3 / 491: 15 958 bertaraf Sahih dan ad-Darimi: 2731 dan lihat Shahih al-Jami’ Albany: 4/115).
Siapa yang memiliki kemenangan dan kekuasaan itu? Allahlah yang menciptakan segala sesuatu di alam maya ini dan berkuasa memasukkan malam ke dalam siang.
ذَلِكَ وَمَنْ عَاقَبَ بِمِثْلِ مَا عُوقِبَ بِهِ ثُمَّ بُغِيَ عَلَيْهِ لَيَنصُرَنَّهُ اللَّهُ
“Demikianlah (janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya.” (Al-Hajj: 60),
Allah yang memberikan kemenangan dan keteguhan ialah yang;
ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ يُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَيُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ
“(Pertolongan yang dijanjikan Allah tetap berlaku) kerana Allah berkuasa menukar gantikan sesuatu keadaan sebagaimana kuasaNya memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti).” (Al-Hajj: 61),
Pemilik kuasa ini adalah yang menolong hamba-hambaNya yang beriman dan memenangkan mereka walaupun masih berkeadaan lemah (mustadh’afin).
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). (Al-Imran: 123) ,
وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ (5) وَنُمَكِّنَ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ
“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu.” (Al-Qasas: 5-6), dan ini terlalu banyak.
Tujuan kemenangan dan kekuasaan: Bukanlah Baiah Aqabah kedua dibalas dengan kemenangan dan kekuasaan di muka bumi, tetapi dibalas dengan syurga. Oleh itu, antara kandungan baiah yang ditetapkan oleh Rasulullah saw kepada mereka ialah;
"(Baiah ini atas dasar) kalian memberi pertolongan apabila aku tiba di Yatsrib dan kalian mempertahankanku sepertimana kalian mempertahankan dirimu, isteri-isterimu dan anak-anakmu. Jika kalian melakukan itu, nescaya diberikan untuk kalian syurga. " Lalu para sahabat menyambutnya "Demi Allah, kami tidak akan melanggar Baiah ini. Dengan itu seorang demi seorang bangun dan baginda menghulurkan tangan kepada kami untuk berbaiah dan memberi kami balasan syurga" (Musnad Ahmad: 3/340: 14588 Sahih).
Kesan dari janji Allah dengan kemenangan dan kekuasaan:
Apabila Allah menjanjikan kemenangan kepada orang-orang Islam, padahal orang-orang Islam melalui masa-masa yang kritikal, bencana, kesulitan dan kegoncangan, menyebabkan orang-orang munafik merasa ragu dengan janji Allah. Manakala bagi orang-orang mukmin mereka terus teguh kerana merasa gembira dan melihat bahawa itu semua adalah tanda-tanda kemenangan. Inilah yang berlaku dalam perang Ahzab; di mana tentera musuh datang dari setiap arah dan mengepung orang-orang Islam dalam rangka untuk menghapuskan mereka. Pada masa itu ialah pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah kerana gempar dan bingung serta hati pun resah gelisah kerana cemas takut. Orang-orang munafik mengatakan:
مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلَّا غُرُورًا
Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja" (Al-Ahzab: 12),
tetapi orang-orang beriman pula berkata:
هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلاَّ إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا
" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (Al-Ahzab: 22),
Tiadalah jumlah tentera musuh yang ramai dan tiadalah tekanan, kesempitan dan pengepunan yang mereka lihat melainkan menambahkan keimanan dan kepercayaan mereka kepada Allah dan janji-janjiNya.
Sambungan bahagian 2..
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=76743&SecID=0
No comments:
Post a Comment
Sila berikan komen anda