Sunday, January 15, 2012

Nabi Sulaiman as dan asas-asas pembinaan Negara



Oleh: Prof. Dr. Ahmad Shahin

1.Ilmu Pengetahuan dan kekuatan:

Mana-mana negara yang ingin bangkit mestilah dibina di atas ilmu pengetahuan yang luas berkaitan ilmu-ilmu dunia dan agama. Ilmu yang utama ialah: Ilmu tentang Allah, mempunyai makrifah tentangNya, mentauhidkanNya, berserah kepadaNya, berterusan meminta pertolongan dan taufikNya. Firman Allah SWT bermaksud:

“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”  (Muhammad: 19),

“Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu.” (At-Talaq: 12).

Manakala ilmu dunia adalah penting dalam kehidupan manusia; kerana Allah telah tetapkan perjalanan alam semesta di atas undang-undang dan peraturan yang tidak pernah berubah, Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya.” (Taha: 50).

Ilmu dunia dibina berdasarkan pengalaman dan perancangan untuk membangun dan memakmurkan dunia. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.) (Hud: 61).

Justeru, Nabi Yusuf as. merangka pelan lima persepuluh bagi menyelamatkan negara daripada kebuluran yang akan memusnahkan segala-galanya dan membunuh semua orang.

Zul Qarnain membuat tembok yang kuat daripada besi dan tembaga untuk melindungi orang yang lemah daripada penindasan Ya’juj dan Ma’juj.

Talut as. yang dipilih oleh Allah sebagai raja kepada Bani Israel adalah kerana beliau memiliki ilmu dan tubuh yang gagah.

Antara ilmu yang penting ialah ilmu bahasa; kerana umat diwajibkan mengajak dunia kepada Islam. Allah SWT berfirman bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Al-Imran: 104).

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.” (Ibrahim: 4).

Malahan semua ilmu adalah hadiah dan kurniaan daripada Allah yang pertama dan terakhir jika disertai niat yang tulus dan keazaman yang betul. Firman Allah bermaksud:

“Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman". (An-Naml: 15),

dan Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: "Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata". (An-Naml: 16).

Sedangkan kekuatan, ia terbentuk dalam barisan tentera yang kuat dan terlatih, yang akan melindungi kebenaran dan mempertahankannya. Oleh sebab itu sesuatu kebenaran mesti dilindungi oleh kekuatan. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.” (An-Naml: 17).

Islam telah memerintahkan kita untuk sentiasa memiliki kekuatan walaupun kita tidak menggunakannya. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia.”  (Anfal: 60),

Di dalam hadis: 

"Tidakkah ini kekuatan itu ialah kemahiran memanah." (Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (2514). daripada Amer bin al-Juhani ra.).

2 – Misi dan matlamat Negara:

Mana-mana umat yang hidup tanpa misi dan matlamat, maka ia menuju kepada kehancuran yang tidak dapat dielakkan. Di mana kerajaan Tatar?, Di mana kerajaan Firaun?, Di mana peradaban kuno?, Semuanya telah lenyap bersama dengan pendokongnya.

Sedangkan umat Islam mereka kekal sehingga hari kiamat; kerana mempunyai misi untuk membimbing umat manusia kepada Islam, mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, mengajar manusia beribadah kepada Allah, menjadikan agama Allah adalah yang tertinggi dan agama semuanya hanya untuk Allah, dan menegakkan keadilan dalam kehidupan. Firman Allah SWT bermaksud:

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. (Shad: 26).

Mana-mana umat yang kosong matlamatnya dan hanya mempunyai misi keduniaan sahaja, serta tujuannya ingin menguaai orang lain adalah umat yang menuju kepada kehancuran yang tidak dapat dielakkan. Di mana Kesatuan Soviet dan lain-lain pada masa ini?

3 – Pemimpin yang bijaksana melihat tentang hal ehwal rakyat:

Nabi Sulaiman seorang pemimpin yang sangat peka dan prihatin sehingga beliau dapat mengetahui kekurangan yang berlaku di dalam kerajaan dengan mudah dan cepat, iaitu ketika ketiadaan seorang tentera biasa tanpa kebenaran ketua. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?  (An-Naml: 20).

Pemimpin yang bijaksana menjatuhkan hukuman sesuai dengan kesalahan yang dilakukan. Tidak menindas sesiapa pun. Dia juga tidak melaksanakan hukuman melainkan setelah mendengar alasan daripada tertuduh. Dia menilainya sehingga dibuktikan bersalah. Firman Allah SWT bermaksud:

“Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)".  (An-Naml: 21).

Kadang-kadang apa yang ada pada tentera itu tidak ada pada pemimpin, apa yang ada pada pelajar itu tidak ada pada guru, apa yang ada pada anak itu tidak ada pada bapanya, dan apa yang ada hud hud itu tidak ada pada Nabi Sulaiman.

Firman Allah melalui kata-kata burung hud hud kepada Nabi Sulaiman yang bermaksud:

"Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.” (An-Naml: 22).

4 – Rakyat melaksanakan tugas mereka:

Di dalam kerajaan Sulaiman rakyat tidak pernah kenal pengangguran, tidak kenal erti malas, dan tidak sekali-kali menjadi manusia yang bergantung kepada orang lain padahal ia sihat dan kuat. Demikianlah, burung hud hud yang tidak dikenali ini tetap memainkan peranan penting dalam tentera, iaitu bertugas menyediakan air dan kemudiannya ia mendedahkan kesalahan yang berlaku dalam kehidupan rakyat yang bertentangan dengan misi dan tujuan Negara. Oleh itu, dengan pantas Nabi Sulaiman telah mengangkat hud hud menjadi panglima tertinggi untuk menangani permasalahan di dalam kerajaannya.

Hud dud telah memberi tumpuan kepada isu-isu penting yang ia lihat:

Seorang perempuan yang menguruskan kerajaan. Ia memiliki kekuasaan, tentera dan kerajaan. Dia dan kaumnya menyembah Tuhan yang lain dari Allah. Hud hud mengenal pasti punca dia dan kaumnya menyimpang kerana syaitan telah memperelokkan pada pandangan mereka tentang perbuatan syirik itu, dan kemudian hud hud mengeluh dan kecewa mereka tidak menyembah Allah SWT yang telah mengeluarkan segala yang tersembunyi di langit dan bumi dan yang mengetahui segala yang zahir dan rahsia. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.” (An-Naml: 23).

Nabi Sulaiman mahu memastikan kebenaran berita itu sebelum mengambil keputusan. Lalu beliau mengutuskan surat kepada Ratu Balqis. Firman Allah SWT bermaksud:

"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka".  (An-Naml: 28).

Ratu Balkis menerima surat yang memujinya kerana Sulaiman memulakan suratnya dengan nama Allah. Firman Allah SWT bermaksud:

"(Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': "Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, (An-Naml: 29-30).

Lalu Ratu Bilqis berbincang dengan ketua-ketua kaum dan menteri-menterinya dalam permasalahan yang sedang dihadapi dan beliau tidak mahu mengambil dari pendapatnya sahaja. Allah  SWT berfirman yang bermaksud:

"Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya".  (An-Naml: 32).

Para Menteri dan ketua kaum menyerahkan keputusan kepadanya, kerana mereka adalah satu kaum yang kepercayaan mereka berkecamuk dan mereka tidak mempunyai pendapat yang muktamad. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.”  (An-Naml: 33).

Ratu Balqis mahu menguji Nabi Sulaiman, adakah beliau seorang Nabi yang diutuskan, atau raja yang mahu meluaskan kerajaannya. Lalu beliau mengirimkan hadiah kepada Nabi Sulaiman. Firman Allah SWT bermaksud:

"Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita"  (An-Naml: 35).

Nabi Sulaiman menolak hadiah yang dikirimkan kepadanya kerana beliau tidak inginkan dan beliau mempunyai harta benda yang cukup. Bakan beliau berjanji akan menyerang mereka jika tidak menyerah dan tidak mahu beriman. Firman Allah yang bermaksud:

"Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan."  (An-Naml: 37).

Nabi Sulaiman mengetahui bahawa Ratu Balqis akan datang mengadap dengan kaumnya. Lalu beliau mahu menguji kepintaran dan kebijaksanaan Ratu Balqis tentang apa yang dilakukan Nabi Sulaiman. Firman Allah SWT bermaksud:

“Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian". (An-Naml: 41).

Orang yang membawa singgahsana atau takhta Ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman adalah seorang lelaki yang salih dan mengatui nama Tuhan yang Agung. Firman Allah bermaksud:

“Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" (An-Naml: 40).

Nabi Sulaiman merendahkan diri kepada Allah di atas nikmat dan kelebihan yang telah diberikan kepadanya. Beliau tidak angkuh dan tertipu seperti yang berlaku kepada Firaun. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".  (An-Naml: 40).

Nabi Sulaiman telah mengubah singgahsana Ratu Balqis untuk melihat kepintarannya. Lalu jawapannya bertepatan dengan kepintarannya. Firman Allah SWT bermaksud:

“Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia.” (An-Naml: 42).

Nabi Sulaiman tahu bahawa Ratu Balqis akan masuk ke dalam Islam kerana Ratu Balqis melihat sendiri kurniaan-kurniaan Allah kepadanya apabila memasuki ke dalam istana Nabi Sulaiman. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca".  (An-Naml: 44).

Punca yang menghalang Ratu Balqis untuk menjadi seorang muslim sebelum itu adalah kerana beliau mewarisi pemerintahan ayahnya yang kafir. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.”  (An-Naml: 43).

Pada ketika Ratu Balkis memeluk agama Islam, maka bersamanya kerajaan dan raja-raja yang lain. Firman Allah SWT bermaksud:

“(sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam ".  (An-Naml: 44).

Kita memohon agar Allah menjadikan kita tergolong ke dalam para mukminin yang kuat, dan mengurniakan kita dengan petunjuk kepada jalan yang lurus.

-----------
* Penulis adalah profesor di Fakulti Dakwah di Universiti Al-Azhar dan Universiti Tayyibah di Madinah.

Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top