Monday, March 26, 2012

Iman membentuk jiwa yang hidup

Oleh: Dr. Majdi al-Hilali

Semakin kuat iman, maka semakin bertambah sensitiviti individu apabila terjatuh atau mendekati perkara-perkara syubhat dan haram. Sebaliknya, semakin lemah iman akan menurunkan sensitiviti tersebut, kata Abdullah ibn Mas’ud RA berkata:

“Orang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang berada di kaki gunung; dia takut kalau gunung itu akan menghempapnya. Manakala ahli maksiat melihat dosanya hanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya maka mudah untuk menghalaunya.”

Ini bermakna tahap iman individu tercerna dalam perasaan dan sensitivitinya terhadap dosa. Justeru, di manakah ia antara dua kecenderungan tersebut ..

Adakah seperti orang yang duduk di bawah batu di kaki gunung yang akan menghempapnya pada bila-bila masa, atau seperti orang yang dihinggapi lalat pada hidungnya?

Dari sini kita katakan bahawa iman yang hidup akan mengawal tingkah laku manusia, seperti mana Imam Hassan al-Banna pernah berkata: Iman ini meninggalkan ke dalam setiap jiwa “raqib” yang tidak pernah alpa, pengawas dan penjaga agar jiwa manusia tidak pernah lalai, saksi yang tidak pernah bermuka-muka, pilih kasih, menyesatkan dan tidak akan lupa untuk menemani jiwa manusia sepanjang masa; siang dan malam, ketika sendirian atau berkumpulan. Iman ini akan mengawasi manusia setiap masa di setiap tempat, mengajak jiwa manusia supaya melakukan kebaikan dan mencegah agar tidak melakukan kejahatan, mengingatkan manusia agar tidak tergelincir, memimpin manusia supaya dapat membezakan jalan yang betul dan jalan yang salah. (Adakah kita golongan yang bekerja?).

Pada satu hari Rasulullah saw menyatakan tentang jenis-jenis sangkaan; antaranya ada setengah orang yang menyangka ia mendapat pahala, ada yang menyangka kejahatannya tertutup dan ada yang menyangka ia mendapat dosa.

Beliau ditanya mengenai orang yang menyangka kesalahannya tertutup? Beliau berkata: "Ayat yang telah diturunkan oleh Allah kepada saya tentang hal ini hanya satu ayat yang sudah mencakupi dan lengkap ini: 

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”  (Al-Zalzalah: 7-8).

Apabila iman semakin meningkat dan bertambah tentu akan menjadikan seseorang mudah untuk beramal - walaupun seberat zarah seperti yang dinyatakan dalam ayat –. Dengan itu, akan mendorong seseorang untuk bergerak dengan penuh sensitiviti dan waspada semasa melakukan sesuatu  dalam semua perkara.

Ya, inilah undang-undang yang paling penting untuk mengawal tingkah laku. Walaupun dikuatkuasakan suatu undang-undang yang ketat dalam masyarakat untuk mengawal tingkah laku individu tidak akan dapat membuahkan hasil melainkan jika anda memulakan dengan membaharui iman di dalam hati supaya dapat; menguatkan penggerak dalaman. Tepat sekali orang yang pernah berkata:

“Jiwa tidak akan selamat dari kesesatan ... selagi mana di dalam jiwanya tidak terdapat penggerak”

Menurut Abu Ala’ al-Maududi: Iman yang ditanam di dalam diri manusia seumpama polis pengawal yang menggerakannya untuk beramal dan mengalakkannya untuk mentaati perintah-perintah Allah .. Penggerak dalaman dan pengawal dalaman ini adalah yang menguatkan  undang-undang Islam dari segi akhlak dan tingkah laku mahupun menjadikannya pelaksana di kalangan manusia menurut hakikat yang sebenar .. Iman inilah yang memastikan individu muslim dan umat Islam mendapat petujuk kepada jalan yang lurus jika iman telah berada di dalam hati.

Diriwayatkan bahawa datang seorang lelaki lalu duduk di samping Nabi saw. Dia berkata: Wahai Rasulullah, saya memiliki budak suruhan (hamba) di mana mereka telah mendustakan saya, mengkhianati saya dan berbuat jahat kepada saya. Lalu saya telah mencela mereka dan memukul mereka. Bagaimana kedudukan perbuatan saya itu? Rasulullah saw berkata: " Apabila tiba hari kiamat nanti akan dihisab semua perbuatan yang mengkhianati, mendustai dan berbuat jahat kepadamu serta tindakan kamu menghukum perbuatan mereka. Maka seandainya hukuman yang telah kamu jalankan kepada mereka sesuai dengan dosa-dosa mereka, maka ianya tanpa apa-apa bebanan. Tiada hukuman kepada mu dan juga hukuman dosa mereka ke atas mu. Namun, seandainya hukuman mu itu kurang atau tak sepadan dengan dosa-dosa mereka, maka itu yang paling untuk mu. Tetapi seandainya hukuman itu melebihi dosa-dosa mereka ke atas mu ... maka, mereka boleh membalasnya dengan lebih lagi.” Lalu lelaki itu pergi ke satu sudut. Dia meratap dan menangis. Rasulullah saw membacakan ayat ini kepadanya (bermaksud):

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Al-Anbiya’: 47).

Lelaki itu berkata: Wahai Rasulullah, tiada suatupun untuk saya dan untuk mereka sesuatu yang lebih baik daripada melepaskan mereka. Dengan itu, saya bersaksi bahawa mereka semua dimerdekakan.

Dari 'Aishah r.ha pernah berkata: Abu Bakar mempunyai seorang budak lelaki yang selalu menolong mengeluarkan bisulnya. Ketika Abu Bakar ingin mengeluarkan bisulnya, pada satu hari budak itu datang membawa sesuatu yang disukai Abu Bakar yang sedang berlapar. Lalu Abu Bakar makan sesuap makanan pemberian budak sebelum bertanya kepadanya. Budak lelaki itu berkata kepadanya: Adakah tuan tahu apakah ini? Abu Bakar berkata: Apakah ini? Jawab budak itu: Saya telah bekerja sebagai penenun nasib kepada orang ramai di zaman jahiliah walaupun saya bukan ahli tenun yang terbaik. Tetapi sebenarnya saya menipu. Saya telah mendapat upah dari kerja ini. Saya juga makan hasil bertenun ..Lalu, apakah yang telah Abu Bakar lakukan ketika itu! Beliau melakukan sesuatu yang benar-benar mengkagumkan .. Memasukkan jari ke dalam mulut sehingga memuntahkan semua yang ada di dalam perutnya ..

Ibn Jarir alTabari meriwayatkan di dalam Tarikh Tabari, beliau bercerita: Ketika umat Islam berjaya menakluki ibu kota Empayar Parsi, Madain, tiba-tiba datang seorang lelaki muslim membawa sebuah kotak untuk diberikan kepada pemiliknya daripada bangsa Parsi yang bukan Islam. Selepas diserahkan kotak itu kepada pemiliknya, orang-orang Parsi berasa begitu pelik dengan perangai lelaki ini. Mereka berkata sesama sendiri, “Kita belum pernah bertemu manusia yang bersikap seperti ini.” Merekapun bertanya kepada lelaki muslim itu, “Adakah sesuatu yang kamu ambil daripada isinya?” Lelaki muslim itu menjawab; “Demi Allah, jika tidak kerana takut kepada Allah aku pasti tidak membawa kotak ini ke mari.” Dengan jawapan itu, orang-orang parsi menyedari bahawa lelaki ini bukan calang-calang orang. Mereka terus bertanya, “Siapakah kamu?” Lelaki itu menjawab, “Aku tidak perlu memberitahu namaku yang sebenarnya kerana ia akan menyebabkan manusia memujiku. Cukuplah bagiku pujian dan pahala daripada Allah.” Mereka terus bertanya berkenaan hal ehwal lelaki ini dan akhirnya mereka diberitahu bahawa beliau adalah Amir bin Abdul Qais.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan komen anda