Oleh: Prof. Dr. Ahmad Abdul Hadi Syahin
Fakulti Dakwah dan Pengajian Islam Universiti Al-Azhar
Di dalam dakwah dan tarbiyah contoh teladan adalah wasilah yang paling berkesan dan paling hampir kepada kejayaan. Prinsip Islam menekankan ketaatan da’i lebih dahulu sebelum mad’u. Oleh sebab itu Rasulullah saw adalah gambaran kehidupan kepada ajaran Islam yang agung di dalam semua bidang. Orang dapat melihat Islam pada diri nabi saw dengan matanya sendiri yang merupakan setinggi-tingi contoh teladan di dalam sejarah manusia seluruhnya. Sesungguhnya jiwa-jiwa manusia bergerak dari aspek praktikal dan amalan hanya menuruti cahayanya dan mempelajari adab-adab darinya..
Contoh paling jelas dalam mengambil qudwah dari peribadi Rasulullah saw ialah melalui akhlak baginda sebelum diutuskan. Kebanyakan Quraish sudahpun mengenali baginda sebagai benar lagi jujur (al-amin) sejak belum menerima risalah dan kaumnya tidak pernah melihat baginda berdusta. Aisyah r.a menyaksikan sendiri akhlak nabi yang merupakan orang yang paling dekat dengan baginda dan orang yang berada di dalam rumah baginda pernah menyifatkan nabi saw; “Akhlak baginda adalah al-Quran”. “Nabi saw adalah al-Qu’ran yang berjalan di muka bumi”.
Nabi saw apabila menyuruh sesuatu atau menyampaikan sesuatu perintah maka baginda akan melakukannya terlebih dahulu sebelum orang lain supaya mereka meniru atau melakukan seperti yang baginda amalkan. Di dalam sirah banyak bukti boleh diperolehi tentang hal ini, di antaranya ialah;
Ketika selesai Perundingan Hudaibiyah antara pihak muslimin dan Quraisy dan di dalam perundingan itu dinyatakan bahawa kaum muslimin dikehendaki pulang tanpa menunaikan umrah pada tahun ini dan akan kembali semula ke Mekah pada tahun depan. Rasulullah telah memerintahkan para sahabat supaya menyembelih unta dan membuka ihram masing-masing, lalu baginda menyuruh; “Bangunlah…tunaikan ibadah korban dan bercukurlah..”. Namun perintah baginda disambut dengan perasaan malas di pihak sahabat kerana mereka tidak berpuas hati tentang syarat perundingan yang menindas kaum muslimin. Baginda yang kecewa masuk menemui Ummu Salamah dengan perasaan geram dan memberitahu tentang sikap para sahabat yang membelakangi perintahnya. Namun Ummu Salamah menasihatkan baginda supaya segera melakukannya terlebih dahulu di hadapan mereka. Lalu baginda mencukur kepalanya dan menyembelih binatang korban. Lantas para sahabat bergegas melaksanakannya hingga hampir berlaku kejadian bunuh-membunuh kerana mereka berasak-asak dan berebut-rebut bercukur dan menyembelih korban.
Contoh lain yang begitu jelas daripada Sirah Nabi tentang tindakan baginda yang memulakan dengan dirinya sendiri sebelum orang lain melakukannya supaya turut diikuti oleh orang lain ialah dalam peristiwa pembinaan Masjid Nabawi. Baginda turut bersama para sahabat menggali dan memindahkan tanah serta mengangkat bahan-bahan binaan. Oleh itu para sahabat menumpukan pekerjaan mereka berdasarkan kenyataan mereka dalam syair ini;
Seandainya kami duduk sahaja sedangkan Rasul membuat kerja #
Pastilah kami tergolong orang yang mempunyai pekerjaan yang menyesatkan
Pastilah kami tergolong orang yang mempunyai pekerjaan yang menyesatkan
Baginda juga menyertai para sahabat menggali parit di sekitar Kota Madinah di dalam Perang Khandak. Ketika berita ketibaan Tentera Ahzab untuk membinasakan tentera muslimin hingga ke akarnya di Madinah, baginda juga seperti tentera muslimin lain yang menggali parit dan mengangkat tanah di atas bahunya. Apabila mereka menemui sesuatu masalah, dengan segera mereka menemui baginda untuk mendapatkan sentuhan penyelesaian daripada baginda. Semua ini mendorong para sahabat untuk bekerja dengan lebih bersemangat, menguatkan cita-cita dan keazaman mereka. Malah sedikit pun mereka tidak rasa malas atau bosan lantaran mereka melihat pemimpin dan rasul mereka berada di dalam parit yang sama, bekerja sepertimana mereka bekerja, makan sepertimana mereka makan, meminum seperti mana mereka minum, tidur nabi sepertimana mereka tidur . Bekalan mereka hanyalah iman dan penyerahan. Firman Allah:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya pada diri baginda terdapat suri tauladan yang baik bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan hari akhirat. Berzikirlah kepada Allah dengan banyak”. (Al-Ahzab: 21)
Ayat yang mulia ini adalah dalil yang utama menyuruh kita mencontohi Rasul saw dalam perkataan, perbuatan dan hal ehwal hidupnya. Oleh sebab itu Allah memerintahkan manusia supaya mencontohi baginda saw pada Peristiwa Ahzab dalam aspek kesabaran, ketabahan, keteguhan, mujahadah dan penantian baginda terhadap pertolongan dari Allah hingga hari Kiamat.
Pengakuan Allah ke atas Nabi saw
Allah SWT telah mengakui pada diri baginda terdapat akhlak yang agung dalam semua perkara. Firman Allah:
وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ
“Sesungguhnya pada dirimu (wahai Muhammad) terdapat akhlak yang agung”. (Al-Qalam: 4)
Oleh sebab itu, Allah SWT meredhai semua manusia mengambil contoh teladan daripada baginda saw dalam aspek perkataan dan perbuatan.
Faktor utama kepada penyebaran Islam pada zaman nabi, sahabat dan salafus soleh adalah qudwah hasanah dan akhlak yang mulia yang dapat disentuh oleh para mad’u semasa generasi ini sama ada dalam lapangan perniagaan dan urusan jual beli seperti sifat benar, jujur atau di lapangan peperangan dan pertempuran, di mana tentera muslimin tidak membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan ahli ibadah. Akhlak yang dipamerkan ini telah mendorong mereka untuk berfikir tentang agama baru yang dibawa oleh para muslimin. Biasanya orang-orang kafir yang tertarik dengan akhlak mulia ini akan memeluk Islam dan mendekati ajaran-ajarannya.
Justeru qudwah ialah uslub amali di dalam dakwah. Boleh dikira sebagai dakwah secara senyap kerana mampu membuka hati dan akal manusia serta memberi kesan kepada jiwa-jiwa manusia hingga lebih bekesan daripada ceramah atau pengajian.
Faedah-faedah qudwah dalam lapangan dakwah
Qudwah yang baik di dalam lapangan dakwah mempunyai banyak faedah seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Fatah Abu Ghadah; lebih menyentuh di dalam jiwa, sebaik-baik factor yang membantu kefahaman dan ingatan dan paling kuat untuk diikuti dan dicontohi daripada ilmu yang diperolehi melalui ucapan atau penerangan. Malahan pendidikan melalui perbuatan dan amalan ialah kaedah semulajadi dalam pendidikan.
Kesimpulan
Sesungguhnya dakwah Islam pada hari ini memerlukan kepada duat yang istimewa dari segi ilmu, akhlak dan amal. Tambahan pula cita-cita sangat sukar, tugasan sangat berat, jalan yang panjang, musuh lebih ramai daripada penolong atau penyokong. Dengan itu duat merasai betapa sukarnya tugasan yang dipikul ini sedangkan manusia memerhatikan segala tindak tanduknya. Oleh itu para duat hendaklah memohon pertolongan Allah supaya memudahkannya menjadi da’i yang menjadi contoh dalam perkataan, perbuatan, gerakan dan diam, dengan mencontohi nabi yang terakhir dan ketua para mursalin.
Rahmat Allah adalah untuk seluruh alam..selawat dan salam ke atas Rasulullah saw, keluarga dan para sahabatnya
Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=49668&SecID=363
Sangat berguna sebagai pengajaran, menguatkan ilmu, iman dan keutuhan dalam menjalani hidup yang semakin tipis keimanannya kpd. Allah SWT
ReplyDelete