Susunan: ‘Atif Abdul Hadi
Bulan Safar ialah salah satu daripada 12 bulan Hijriah, bulan-bulan Arab yang telah dikenali dan dirayakan oleh masyarakat Arab dan bulan-bulan Islam yang diperakui dan mempunyai hubungan yang erat dan berterusan dari segi ibadah dan syiar.
Bulan Safar ialah bulan yang datang selepas bulan Muharram dan sebelum bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran pembawa petunjuk buat manusia. “Safar” bermakna kosong. Setengah mereka mengungkapkan: Dinamakan demikian kerana Mekah telah tiada penghuninya (kosong daripada penduduknya) apabila mereka bermusafir. Ada pula yang mengungkapkan: Dinamakan bulan ini dengan Safar kerana ketika mereka memerangi sesetengah kabilah, mereka akan meninggalkan kabilah itu tanpa sebarang makanan ( iaitu mereka merampas makanannya sehingga tiada lagi makanan yang tinggal). Ini berdasarkan maksud yang dinyatakan oleh Ibn Manzur di dalam kitab Mu’jamnya (Lisan al-Arab: 4/462-463)
Pengetahuan tentang peristiwa-peristiwa yang telah dilalui dalam sejarah kita khususnya di bulan-bulan Hijrah sangat penting bagi seorang muslim umumnya dan seorang pendakwah khasnya supaya kita dapat mengikuti jalan hari ini seperti jalan-jalan masa lalu dan kita dapat membangunkan sejarah mendatang dengan penuh gemilang dan cemerlang.
Perhatikanlah sebahagian peristiwa dan peperangan yang berlaku di bulan Safar:
Perang Abwa’ (Wuddan)
Perang Abwa’ berlaku pada 12 Safar tahun 2 Hijrah yang merupakan peperangan terawal di dalam Islam. Nabi saw turut terlibat di dalam peperangan ini. Pembawa panji Islam ialah Hamzah bin Abdul Mutalib r.a. Rasulullah telah melantik Saad bin Ubadah r.a. untuk menjaga kota Madinah. Pepeperangan ini seakan-akan perang ekonomi ke atas kafilah Quraisy yang menguruskan dagangan ke negeri Syam. Namun di dalam peperangan ini tidak berlaku sebarang pertembungan antara dua pasukan. Di dalam peperangan ini juga Rasulullah telah mengikat perjanjian dengan Makhsyi bin ‘Amru ad-Damriy bahawa tentera muslimin tidak akan menyerang Bani Damrah dan Bani Damrah tidak akan menyerang tentera Islam. Perjanjian antara dua belah pihak ditulis di atas kertas.
Sariyyah ar-Raji’
Satu rombongan dari Kabilah ‘Adhal dan al-Qarah telah tiba menemui Rasulullah saw. Mereka meminta Rasulullah mengutuskan orang yang boleh mengajar mereka tentang agama dan membacakan al-Quran. Rasulullah telah menerima permintaan mereka dan mengutuskan 10 orang sahabat yng dipimpin oleh ‘Asim bin Tsabit r.a. Mudah-mudahan Allah memberi mereka petunjuk. Peristiwa ini berlaku pada bulan Safar tahun 3 Hijrah. Ketika sampai di kampung satu kabilah dari keturunan Huzail orang musyrikin telah mengkhianati dan menyerang mereka. Tujuh dari mereka telah syahid dan tiga darinya menjadi tawanan iaitu Khubaib bin ‘Adi, Zaid bin ad-Datsnah dan Abdullah bin Tariq.
Abdullah bin Tariq telah diikat dengan tali pemidas panah. Beliau telah diseret oleh orang kafir dan dibunuhnya.
Zaid bin ad-Datsnah telah dibeli oleh Suffian bin Umayyah untuk dibunuh sebagai membalas dendam di atas kematian bapanya Umayyah bin Khalaf. Ketika beliau hendak dibunuh orang-orang kafir datang berkumpul untuk menyaksikan saat itu. Lalu Abu Suffian mendekatinya sambil menyoal: “Cuba kau sebutkan wahai Zaid, adakah kau suka Muhmmad menggantikan tempatmu sekarang ini. Kami pancung lehernya dan kau balik dengan selamat menemui keluargamu?” Jawab Zaid: “Demi Allah, aku tidak rela Muhammad saw itu yang sekarang berada di tempatnya ditikam walau sebatang duri pun yang boleh menyakitinya sedangkan aku duduk bersama keluargaku”. Kata Abu Suffian: “Aku tidak pernah melihat seorangpun dari manusia yang mencintai seorang lain sebagaimana sahabat-sahabat nabi mencintai Muhammad”. Kemudian Zaid telah dibunuh.
Adapun Khubaib telah dibeli oleh Uqbah bin al-Harits untuk dibunuh, kerana Khubaib telah telah membunuh bapanya, al-Harits di dalam peperangan Badar. Orang musyrikin membawanya keluar ke tanah lapang. Merek telah membuat salib dari kayu untuk menyalibnya nanti. Khubaib telah berkata: “Tinggalkan aku sekejap untuk aku solat dua rakaat. Mereka membenarkan beliau solat. Setelah selesai menunai solat dua rakaat buat kali terakhir, beliau kembali menemui mereka sambil berkata: “Kalau kamu menyangka aku ini takut dan gerun dengan mati tentulah aku solat lebih dari itu”. Sebenarnya Khubaib ra. merupakan orang yang pertama yang merintis jalan bersolat dua rakaat sebelum pembunuhan. Ketika mereka mengikatnya di kayu salib beliau telah mengadapkan wajahnya kepda Allah sambil bermadah: “Ya Allah, sekiranya Engkau menghendakiku berkat, pada anggotaku yang hancur lumat, persetankan tubuhku dibunuh mati, untuk Allah kematianku pasti”.
Sariyyah Bi’ru Maunah
Seramai 70 orang sahabat terpilih telah syahid di dalam tragedy Bi’ru Maunah pada 4 Hijrah. Mereka dikenali sebagai “al-Qurra’” kerana mereka sibuk mengumpulkan kayu api di siang hari dan solat di malam hari. Mereka mendermakan hasil jualan kayu api kepada golongan miskin. Di antara mereka ialah Al-Munzir bin amru al-Ansari, al-Harits bin as-Sommah, Haram bin Mulhan saudara Bani ‘Adi bin an-Najjar, Urwar bin Asma’ bin as-solat, afi’ bin Badil bin Warqa’ al-Khuzaiy, Amer bin Fuhairah pembantu Abu Bakar as-Siddiq dn al-hakam bin Kisan.
0 ulasan
Sila berikan komen anda