Oleh: Walid Syalaby
Perbincangan tentang himmah ‘aliyah merupakan satu perbincangan yang menarik kerana ianya diperlukan oleh tabiat kehidupan, hakikat agama yang kita dokong dan reality menakutkan yang kita lalui ketika ini. Sebuah kehidupan selalu diiringi dengan kesukaran, kesusahan dan bebanan. Matlamat tidak akan tercapai melainkan dengan usaha berterusan, perlukan usaha dan penat lelah. Berapa ramai yang berbicara tentang kesukaran dan cabaran yang pernah ditempuhi ketika memetik hasil kejayaannya. Bagaimana mereka telah menggemblingkan seluruh usaha dan tenaga, melarang diri mereka daripada menikmati keseronokan dan kesenangan, menegah diri mereka dari berehat-rehat dan sentiasa bertungkus-lumus sehingga tercapai matlamat.
Kemenangan yang agung dan pembukaan yang besar tidak akan tercapai melainkan dengan ketinggian semangat (uluwwul himmah) yang antara tuntutannya ialah berpenat lelah dan usaha sepenuh tenaga.
Di samping itu agama Islam yang suci ini menggesa kita berusaha bersungguh-sungguh dan mengerah sepenuh tenaga untuk mencapai matlamat dan tujuan kita tanpa rasa bosan dan jemu sehingga kita Berjaya. Ini yang dilakukan oleh golongan terdahulu yang merupakan generasi pertama dari para sahabat yang diredhai Allah ke atas mereka. Perilaku dan pendekatan mereka ini dipelajari dari nabi Muhammad saw. Slogan mereka dalam hal ini seperti firman Allah:
“Maka berlomba-lombalah (dalam membuat) kebaikan. (Al-Baqarah: 148)
Suasana umat kita yang buruk ketika ini memerlukan lelaki yang bersemangat waja dan memiliki himmah tinggi supaya mereka dapat membangunkan, mengubahnya dan mengembalikan kemuliaan yang diidamkan dengan usaha, titik peluh dan semangat yang tinggi.
Difinisi himmah
Iaitu pendorong untuk melakukan sesuatu yang dikaitkan dengan ketinggian dan kerendahan.
Menurut salah seorang ulamak salaf: “Himmah kamu hendaklah sentiasa dibaja dan disuburkan. Ini kerana himmah adalah permulaan sesuatu. Orang yang baik dan benar himmahnya, maka baik pula amalan-amalannya selepas itu”.
Himmah orang mukmin lebih penting dari amalnya
Orang Islam dituntut menggemblingkan sepenuh tenaga dan berusaha bersungguh-sungguh kerana pahala akan diberikan ke atasnya walaupun tidak Berjaya mencapai hasil. Sabda nabi saw:
“Barangsiapa yang bersungguh-sungguh mengingini pahala, tetapi tidak melaksanakannya, maka Allah tetap akan menuliskan baginya pahala yang penuh”. (Bukhari)
Sabda nabi saw: “Barangsiapa yang meminta kepada Allah dengan tulus untuk memperolehi syahid, maka Allah menyampaikannya kepada kedudukan para syuhada’ sekalipun ia mati di atas perbaringannya”. (Muslim dan lainnya)
Sabda nabi saw kepada orang yang mempersiapkan diri untuk berjihad, kemudian beliau mati sebelum berjihad:
“Allah memberi ganjaran kepadanya berdasarkan niatnya”. (Ahmad dan lainnya)
“Tiada seorang yang ingin mengerjakan solat di waktu malam, lalu beliau tertidur, melainkan dituliskan baginya pahala solat. Manakala tidurnya sebagai sedekah kepadanya”. (Tirmizi dan Abu Daud)
Kepentingan memiliki himmah tinggi
Setiap perbuatan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh perlu kepada motivasi atau semangat untuk melakukannya. Lagi besar sesuatu pekerjaan maka lagi besar semangat yang diperlukan untuk mencapainya. Setiap kali semakin tinggi matlamat maka semakin tinggi penggemblingan tenaga diperlukan untuk mencapainya. Imam Ibn Qayyim pernah berkata:
“Orang yang berjalan mesti memiliki semangat yang akan menjalankannya dan menyampaikannya ke puncak. Sedangkan ilmu hanya menyuluh dan menunjukinya”.
Kepentingan menghiasi diri dengan sifat yang mulia ini jelas dalam perkara berikut:
Mencapai kesempurnaan penyembahan dan pengabdian kepada Allah: Ini kerana orang yang memiliki semangat yang tinggi hanya menyembah Allah semata-mata, bebas dari belenggu hawa nafsunya dan dari kecintaan dirinya kepada harta dan dari menuruti keinginan syahwatnya..bebas dari penyembahan kepada manusia.. Dia adalah manusia yang tidak tunduk kepada perkembangan semasa, tetapi dia bekerja untuk mengubahnya sesuai dengan hukum agamanya..Dia tidak rela membiarkan dirinya tunduk kepada selain dari Allah, bahkan sentiasa bekerja untuk meninggikan panji Islam.
Menempuh kesukaran dalam mencapai matlamat: Seperti sangkaan ramai orang yang menganggap ianya sebagai khayalan atau terlalu sukar untuk dicapai. Antaranya ialah Rasulullah saw telah membina sehebat-hebat umat yang dikeluarkan untuk umat manusia dan mendidik satu generasi al-Quran yang unggul selama 23 tahun, Abu Bakar Berjaya menghapuskan fitnah golongan murtad lebih kurang selama 2 tahun dan mengembalikan Semenanjung Arab ke dalam dakapan Islam.
Justeru manusia biasa pasti merasa sukar melakukan tugas tersebut dan suatu yang mustahil baginya. Namun bagi manusia yang memiliki semangat tinggi yang sejajar dengan matlamat yang suci dan objektif yang mulia mempunyai pandangan yang lain. Maka ia berkait rapat dengan Allah yang menjadi sumber pertolongan dan bantuan.
Para pendakwah akan mencapai matlamat mereka yang besar dan objektif mereka yang suci dengan himmah dan semangat yang tinggi dalam pelbagai bidang kerana mencontohi Rasulullah dan para sahabatnya.
Mengelakkan dari perkara remeh-temeh.. Justeru orang yang memiliki semangat tinggi tidak melihat kepada perkara remeh-temeh tetapi melihat kepada betapa besarnya tugas beliau kerana waktunya lebih penting daripada dibuang pada perkara yang tidak berfaedah yang menghabiskan masa dan tenaganya. Beliau menggunakan sepenuh masanya selagi mendatangkan faedah supaya membuahkan hasil dan membina. Masanya sangat bernilai dan bererti. Ia tidak berlaku begitu sahaja.
Sabda nabi saw:
“Sesungguhnya Allah menyukai perkara-perkara yang penting dan membencii perkara-perkara yang remeh-temeh”.
Himmah di dalam al-Quran dan as-Sunnah
Di dalam al-Quran
Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menggesa orang-orang mukmin supaya mengutamakan urusan yang penting, berlumba-lumba dalam perkara kebaikan dan mengingatkan mereka dari kehilangan semangat:
Pujian Allah kepada orang yang memiliki himmah tinggi. Mereka ialah para nabi dan rasul. Mereka yang mendahuluinya para rasul Ulul ‘Azmi dan pemimpin mereka nabi yang terakhir Muhammad saw:
“Maka Bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul Telah bersabar (Ulul ‘Azmi)”. (Al-Ahqaf: 35)
Allah telah menggambarkan para utusan yang memiliki semangat yang tinggi dengan menggelar mereka sebagai “rijal” kerana keberanian, kecekalan, keazaman dan keteguhan hati di atas ketaatan dan kuat pegangan kepada agama Allah:
“di dalamnya mesjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. dan Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih”. (At-Taubah: 108)
“disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang,37. Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat”. (An-Nur: 36-37)
“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang Telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur. dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merobah (janjinya)”. (Al-Ahzab: 23)
“Maka berlomba-lombalah (dalam membuat) kebaikan”. (Al-Baqarah: 148)
“175. Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang Telah kami berikan kepadanya ayat-ayat kami (pengetahuan tentang isi Al Kitab), Kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), Maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.176. Dan kalau kami menghendaki, Sesungguhnya kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, Maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). demikian Itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka Ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir”. (Al-A’raf: 175-176)
Sabda nabi saw kepada para sahabatnya:
“Sesungguhnya Allah menyukai perkara-perkara yang penting dan membenci perkara yang remeh-temeh”.
“Sekiranya Kiamat akan berlaku sedang di tangan kamu ada sebiji benih, dan selagi Kiamat belum berlaku sedangkan kamu masih berkesempatan untuk menanamnya, maka tanamlah biji benih itu”.
Sabda nabi saw:
“Apabila kamu meminta sesuatu kepada Allah, mintalah syurga Firdaus, kerana ianya syurga pertengahan dan syurga tertinggi, dibawahnya Arays Allah. Darinya mengalirkan sungai-sungai syurga”.
Orang yang memiliki himmah tinggi menyempurnakan dirinya bagi mencapai matlamat dan keinginannya kerana ia menyedari bahawa suatu kecemerlangan berkait rapat dengan kesukaran. Kebaikan dan kemaslahatan tidak akan diperolehi melainkan dengan menempuh kesusahan dan tiada jalan yang dapat dilalui untuknya melainkan melalui jambatan yang memenatkan. Menurut Salaf: “Ketahuilah orang yang tinggi himmah..dengan menempuh kesukaran pasti memperolehi apa yang diinginkan”.
Orang yang memiliki himmah tinggi kelihatan memulakan langkah dengan penuh yakin, kuat dan bersemangat menuju matlamat yang telah ditentukannya dengan penuh kesedaran dan pengetahuan. Justeru mereka tidak mempedulikan kesusahan dan cabaran yang dihadapinya.
Orang yang mengingini syurga..barangan Allah yang mahal tidak luput dari perhatiannya dan tidak tergelincir dari laluannya, bahkan menuju dengan usaha yang keras berdasarkan firman Allah:
“Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, Maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik”. (Al-Isra’: 29)
Tidak melunturkan azamnya..kerana orang yang memiliki himmah tinggi telah mengikat perjanjian dengan Allah, berbaiah denganNya dan berazam untuk mengorbankan seluruh tenaga, usaha dan upayanya untuk mencapai matlamatnya berdasarkan firman Allah:
“Kemudian apabila kamu Telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah”. (Ali-Imran: 159)
Tidak akan redha melainkan perkara yang penting…Orang yang memiliki himmah tinggi tidak akan redha dirinya hanya melakukan perkara remeh-temeh, tetapi ia mestilah menduduki posisi yang memberi kesan dan penting. Justeru ia menyedari jika tiada suatu yang menambah kepada dunia, maka ia akan menjadi orang yang menambah kepadanya.
Tidak akan redha selain dari syurga dan tidak redha kehidupan yang palsu kerana himmahnya hanya kepada kehidupan yang kekal.
Mulia jiwa..orang yang memiliki himmah tinggi menyedari ketentuan dirinya dengan menjauhi sikap takbur, ujub dan lalai. Jikalau seseorang telah menyedari ketentuan dirinya, pasti dia memelihara dirinya dari keburukan dan menjaganya dari kehinaan.
Bidang-bidang yang perlukan himmah tinggi
Mencari kebenaran..Sejarah Islam silam dan moden memaparkan contoh-contoh menarik tentang orang-orang mendapat petunjuk yang telah meningkatkan himmah mereka di dalam mencari agama yang benar dan menggembling tenaga di atas jalan tersebut. Oleh itu mereka menjadi teladan dan sebagai hujjah bagi Allah ke atas makhluknya yang berusaha mencari kebenaran dengan penuh keikhlasan kerana Allah, maka Allah akan memberikan petunjuk kepadanya dan mengurniakan sebesar-besar nikmat di dunia, iaitu nikmat Islam.
Ibadah dan istiqamah..kedua-duanya merupakan matlamat seorang muslim dan puncak cita-citanya. Kedua-duanya sebagai ruang sebenar untuk berlumba-lumba. Menurut al-Hassan: “Barangsiapa yang menandingimu di dalam hal agamamu, maka tandinginya. Barangsiapa yang menandingimu di dalam hal duniannya, maka ia akan menjerumuskan ke dalam permasalahannya”.
Dakwah Islam…Di antara perkara yang perlu diberi perhatian sepenuh oleh pendakwah ialah menyampaikan hidayah kepada kaumnya dan berusaha gigih menasihati mereka. Hal ini jelas bagi orang yang meneliti perjalanan para rasul khususnya nabi Muhammad saw.
Jikalau diperhatikan tokoh-tokoh besar daripada generasi pertama pasti akan kelihatan ketinggian himmah yang merupakan cirri yang dimiliki oleh mereka yang mendapat kemuliaan dengan Islam dan mereka yang memuliakan Islam, menyerahkan kehidupan mereka untuk membela agama dan berkhidmat kepada umat, sama ada mereka itu ulamak, pendakwah, mujaddid, mujahidin, murabbi atau hamba yang soleh.
Jihad di jalan Allah..Justeru memenangkan agama dan mencapai matlamat memerlukan kepada jihad yang besar, mencakupi segala jenis dan bentuk jihad. Matlamat ini akan tercapai melainkan di dokong mereka yang memiliki himmah tinggi berdasarkan firman Allah:
"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka”. (Al-Fath: 29)
Perkara yang menyebabkan himmah menurun
Bagi mengelakkan kita daripada kemerosotan semangat maka kita mestilah mengetahui perkara-perkara yang menyebabkan kemerosotannya:
1. Mensia-siakan waktu yang berharga dengan melebih-lebih dalam perkara harus. Sabda nabi saw:
“Dua nikmat yang memperdaya ramai orang: kesihatan dan waktu lapang”.
2. “Futur” (lemah semangat)..Sabda nabi saw:
“Setiap pekerjaan ada masa cergas, dan setiap yang cergas ada masanya lemah. Oleh itu orang yang semasa lemahnya kembali kepada sunnahku, maka di memperolehi petunjuk. Orang yang merujuk selain itu maka ia akan binasa”.
3. “Wahn”..sebagaimana yang dihuraikan Rasulullah saw:
“Cintakan dunia dan bencikan mati”.
“Dan jika mereka mau berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, Maka Allah melemahkan keinginan mereka. dan dikatakan kepada mereka: "Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu.". (At-Taubah: 46)
5. Menangguh-nangguh dan berangan-angan..
6. Bergaul dengan orang yang rendah semangat..Sabda nabi saw:
“Bandingan orang yang duduk atau bergaul dengan orang soleh atau orang yang jahat, seperti penjual minyak wangi dan pembuat besi. Bagi penjual minyak wangi; sama ada ia memberikan wangian itu kepada mu, atau kamu membeli darinya atau kamu mendapat bau yang harum darinya. Manakala pembuat besi; Sama ada ia ia akan membakar baju kamu atau kamu mendapat bau yang busuk dari darinya”.
7. Berusaha sepenuh dalam memenuhi keperluan keluarga dan anak-anak tanpa disiplin dan kawalan. Firman Allah:
“Hai orang-orang mukmin, Sesungguhnya di antara Isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu Maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka”. (At-Taghabun: 14)
Cara menaikkan himmah
1. Mengikat diri dengan akhirat. Firman Allah:
“Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, Maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.”. (Al-Isra’: 19)
Sabda nabi saw:
“Bagi yang keinginannya (himmah)kepada akhirat, maka Allah akan menghimpunkan perlindungan untuknya dan jadikan kekayaanNya memenuhi hatinya, dan mendatangkan dunia sebagai benteng. Namun bagi yang keinginannya kepada dunia, maka Allah akan menceraikan urusannya, dan jadikan kefakiran antara dua matanya, dan tidak mendatangkan dunia melainkan apa yang Allah tuliskan untuknya”.
2. Berkawan dengan orang yang memiliki himmah yang tinggi. Menurut Salaf: “Orang yang perbuatannya memberi pengaruh atau kesan kepadamu sebelum kata-katanya”.
Sabda nabi saw:
“Di kalangan manusia ada yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan penutup pintu kejahatan”.
3. Berdoa..kerana ianya sunnah para nabi dan mendatangkan semua kebaikan. Sabda nabi saw:
“Manusia akan lemah apabila berhadapan doa (dari orang yang tertindas)”.
Berlindung kepada Allah akan menguatkan keinginan dan keazaman kita, mengukuhkan himmah kita, dan berdoa dengan ikhlas dan penuh kerendahan pada waktu tengah malam dan waktu doa mutajab.
4. Menumpukan kepada urusan yang paling utama. Menurut Hassan al-Basri: “Dirimu jika tidak disibukkan dalam perkara kebenaran tentu engkau akan sibuk dalam perkara yang batil”.
5. Menerima nasihat. Sabda nabi saw:
“Sesungguhnya agama adalah nasihat”.
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik” (QS. Al Ankabut:69)
7. Banyak mengingati mati..Menurut ‘Ato’:
“Umar bin Abdul Aziz mengumpulkan para ilmuan pada setiap malam. Mereka saling mengingatkan tentang kematian, hari Kiamat dan akhirat sambil menangis”.
8. Bermujahadah melawan nafsu. Iaitu langkah yang paling penting yang perlu anda ambil. Firman Allah:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik” (QS. Al Ankabut:69)
9. Mengkaji perjalanan hidup generasi silam..Menurut Imam Ibn Jauzi:
“Hendaklah membaca sejarah hidup generasi silam, mengkaji karangan dan ucapan mereka kerana dengan banyak membaca buku-buku mereka akan mencelikkan tentang kehebatan mereka”.
10. Menjauhkan dari suasana yang merendahkan himmah. Semua orang mengetahui dirinya dan factor yang menyebabkan himmahnya menurun.
Keadaan umat ketika himmah telah lenyap
Himmah yang lenyap adalah sekutu kehinaan dan teman kerendahan dan kelemahan. Ia juga punca kepada penyakit yang melemahkan umat kita kerana mewariskan sebuah umat yang ketandusan “rijal”, taklid buta, bacul dan malas serta menyerah reality yang ada..Apabila umat menjadi lemah kerana penyakit ini, maka mencetuskan kehinaan, kerendahan dan kejatuhan umat.
Kesan ketinggian himmah ke atas individu dan umat
Mereka yang memiliki himmah tinggi adalah orang yang menggembling seluruh tenaga dan usaha demi mencapai matlamat dan tujuan tertinggi. Mereka adalah orang yang menggantikan pemikiran dunia dan mengubah perjalanan hidup dengan jihad dan pengorbanan mereka. Kemudian mereka adalah golongan sedikit yang menyelamatkan umat. Mereka adalah kumpulan yang bergembira dengan tugas “menyelamat” dari keadaan yang hina dan lemah.
Umat yang mengambil berat orang-orang yang bijak telah menyediakan masa depan yang gemilang, kerana mereka sentiasa membaiki urusannya dan memberi sumbangan untuk kecemerlangannya. Umat yang mengabaikan orang-orang yang bijak akan menderita ketika orang-orang jahil mengendalikan urusannya yang menuju ke arah kehancuran atau penyakit jiwa yang membawa ke arah kesengsaraan, atau mereka yang memiliki jiwa yang keji kerana sanggup bersekongkol dan menjual agama dengan harga yang murah.
Justeru, bagi pemimpin umat, penggerak perubahan dan pendakwah perlulah bekerja dengan bersungguh-sungguh dan gigih untuk mengukuhkan pengertian-pengertian himmah di dalam jiwa anggota umat supaya meningkat naik dan mengembalikan ketinggian, keagungan dan kemuliaannya.
Terjemahan dari http://www.ikhwan online.com/Article.asp?ArtID=64858&SecID=363
0 ulasan
Sila berikan komen anda