Oleh: Ahmed Salah
Kejayaan penghijrahan Muslimin dari Mekah dan sambutan meriah ketika ketibaan mereka dan Rasulullah saw di Madinah adalah saat yang bersejarah dalam sejarah Islam. Inilah saat yang telah membebaskan diri dari ketidakadilan, kezaliman dan penindasan di Mekah selepas tiga belas tahun ‘perang’ aqidah, penghinaan dan penyiksaan. Inilah saat kebebasan dan kemerdekaan kehendak dan permulaan merealisasikan impian untuk membina sebuah negara yang tertegak di atas petunjuk Allah dan nilai-nilai rabbani yang datang untuk membahagiakan, membebaskan manusia dan membangunkan dunia.
Saat tersebut adalah kemenangan dan saat kesyukuran di atas nikmat, kurniaan dan rahmat-Nya. Firman Allah swt (bermaksud):
“Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". (Yunus: 58).
Inilah saat kemenangan yang menyuntik semangat untuk berkerja di jalan Allah, bahkan selama perjalanan itu sendiri. Rasulullah saw telah mendirikan Masjid Quba ' ketika dalam perjalanan ke Madinah sebelum bertemua dengan saudara-saudara mereka dan orang-orang yang disayangi untuk bersama-sama mencapai impian mereka dan menyebarkan Islam di seluruh pelosok dunia.
Semangat ini adalah motivasi untuk bekerja dan merancang strategi dari mula, dan bagaimana membawa golongan Muhajirin ke dalam “mainstream” melalui persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar, dan bagaimana memantapkan tonggak bagi negara yang baru muncul, dengan meletakkan sebuah perlembagaan untuk mengatur hubungan antara kumpulan-kumpulan masyarajat yang berbeza, termasuk Yahudi, dan membina pusat perniagaan untuk menggiatkan aktiviti ekonomi ..dsb.
Umat Islam terus menyalakan semangat mereka dan tidak pernah padam. Kesungguhan dan ketekunan tersebut terbukti dengan tidak henti-henti berdakwah di Madinah sehingga sempurna risalah dengan kurnia Allah selepas 10 tahun. Mereka meneruskan dengan semangat yang baru bagi menyempurnakan penubuhan sebuah Negara Islam dan menyebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia.
Wahai saudara pendakwah .. Bagaimana keadaan semangat anda?!
Saudara yang dikasihi,
Bagaimana keadaan semangat anda setelah lebih dari tiga bulan revolusi menentang ketidakadilan dan korupsi, penindasan dan perhambaan? Adakah semangat anda yang mulai lemah telah menguasai diri anda atau semangat anda bertambah dua kali ganda untuk memulakan langkah di dalam masyarakat dan ‘terbang dengan dua sayap’ anda sambil memuji Allah dan berterima kasih atas rahmat yang besar dan belas kasihan terhadap hamba-Nya? Apakah setelah revolusi anda memilih untuk berehat-rehat atau memulakan langkah menemui keluarga dan menyampaikan berita gembira tentang Islam dengan nilai-nilai, akhlak-akhlak, dan prinsip-prinsip yang dapat menyelesaikan masalah mereka dan memajukan negara mereka? Adakah anda menunggu seseorang yang menggerakkan anda atau anda sendiri yang segera menggerakkan orang lain dan menyuntik semangat dalam hati mereka untuk memberi khidmat kepada agama dan negara mereka? Adakah cukup anda hanya bersyukur kepada Allah dengan berdiri di samping kami sekarang sambil memerangi melalui hati dan lidah sahaja, atau anda terus mengucapkan syukur kepada Allah dengan disertai tindakan, usaha yang berterusan dan kerja keras?
Dari mana kita memperolehi semangat?
Saudara yang dikasihi, marilah merenung sejenak semangat anda, saya ingin mengajak anda melihat beberapa sumber yang mampu menghidupkan hati kita seperti yang baru, dengan izin Allah, iaitu:
Pertama: Iman kita
Keimanan kita kepada Allah akan sentiasa menggalakkan kita bekerja dalam semua situasi dan keadaan, yang menggerakkan kita kepadanya dengan kekuatan pendorong yang tidak akan lemah sama sekali. Kekuatan ini disebut "ikhlas kepada Allah" di dalam sebuah hadith Qudsi dari Allah swt berfirman (bermaksud):
“Aku adalah sekutu yang paling tidak memerlukan persekutuan. Barangsiapa melakukan suatu amalan kemudian dia mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain, maka Aku terlepas dari padanya, amal itu untuk sesuatu yang ia sekutukan". (Ibn Majah)
Ikhlas bererti kita bekerja dan beramal kerana mengharapkan keredhaan Pencipta kita. Ianya merupakan faktor yang cukup dan lengkap supaya kita bekerja dan beramal dengan penuh semangat untuk memperolehi keredhaan-Nya dan menuai pahala siang dan malam, dan beragama demi Allah tanpa menunggu hendak bersyukur atau takutkan sesuatu. Keikhlasan yang masuk ke dalam hati anda memberikan kebahagiaan ilahi yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya yang ikhlas sebagai balasan atas keikhlasannya. Kebahagiaan ini merupakan suntikan semangat yang baru untuk anda, untuk menggerakkan anda yang baru, dan anda sentiasa mengharapkan Allah supaya menerima amalan dan pekerjaan anda.
Kedua: Dakwah kita
Selama lebih dari lapan puluh tahun dakwah kita yang mulia ini telah menempuhi pelbagai tentangan, serangan dan konspirasi dari segala arah dan dari pelbagai pihak, namun mereka bersepakat untuk menghancurkan dakwah dan menzalimi anggotanya. Ada setengah orang yang bersimpati dan menyebelahi kita. Di antara mereka ada yang berubah keadaan kerana dakwah kita yang jelas dan murni telah sampai kepadanya. Kita berdoa kepada Allah siang dan malam supaya menetapkan untuk kita sedikit kebebasan sehingga kita boleh menyampaikan dakwah kita kepada mereka ini supaya mereka tahu dan melihat dakwah ini dengan pandangan mata mereka. Sekarang kita mempunyai peluang terbaik, untuk bergerak di hadapan rakyat, menerangkan kepada mereka dakwah kita dengan kata-kata dan perbuatan dengan jelas tanpa sebarang kekaburan. Kita mendengar pandangan mereka dan kemudian memberitahu mereka secara praktikal: Siapakah kita? Apa yang kita inginkan?!
Adakah dakwah kita yang mulia ini yang telah mengeluarkan kita daripada kegelapan kepada cahaya tidak layak untuk meningkatkan kemampuan kita di hadapan Allah, di hadapan orang dan diri kita sendiri, untuk kita bekerja dengan bersemangat tanpa luntur dan berhenti, supaya kita membawa mereka kepada keindahan dakwah kita. Pada waktu yang sama saya ingin mengambil perhatian bahawa setiap orang di sekitar anda sekarang sedang bergerak untuk menyokong idea mereka dan dakwah mereka. Namun kita hendaklah bergerak seperti mereka bergerak, dalam konteks cinta, kemesraan dan persaingan yang jujur.
Ketiga: Orang
Firman Allah swt (bermaksud):
“Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Al-Anbiya’: 107).
Inilah inti risalah Rasululah saw yang diutus oleh Allah. Risalahmu adalah kepada seluruh alam wahai Muhammad di mana manusia hidup dalam kesengsaraan, kesusahan dan perhambaan. Manusia memerlukan agama yang mampu meninggikan ruh dan menghubungkannya dengan Pencipta di samping dia berjalan di muka bumi, memakan dan membangunkannya. Manusia memerlukan Nur yang menunjukkan jalan dan melindungi dari syaitan yang gelap.
Inilah risalah yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw untuk kita sempurnakannya. Kita ingin mengurangkan beban masyarakat dan berkongsi dengan mereka dalam menyelesaikan masalah mereka. Kita ingin menarik senyuman di wajah orang biasa, dan meringankan bebanan kerja yang terlalu banyak di atas bahu mereka. Kita ingin menerangi jalan kepada para ibu bapa untuk menjaga keluarga mereka; yang dikelilingi oleh bahaya, dan menggalakkan orang-orang muda melalui jalan yang betul untuk membaiki, membangun dan membina dirinya.
Mekanisme untuk mengekalkan semangat
Wahai saudara, para pendakwah secara lumrahnya akan ditimpa beberapa kelemahan dan mengurangkan semangat setelah berlalu beberapa lama. Oleh itu sewajarnya pada saat begini adalah waktu yang kritikal, dan kemudian anda mula mengisi semula hati anda sekali lagi dengan mekanisme berikut:
1 - Terus-menerus membaharui niat
Ingatlah saudaraku yang dikasihi, biarpun dunia telah berubah di sekitar anda, biarpun apa jua yang terjadi seperti kemelut dan kegoncangan politik dan sosial, ingatlah selalu bahawa anda bekerja kerana Allah. Allah sahajalah yang memberikan ganjaran kepada anda. Pekerjaan kepada selain Allah hanya melenyapkan keberkatannya dan menghilangkan ganjarannya. Oleh itu, perbaharuilah niat sebelum anda tidur. Berdoalah kepada Allah supaya sentiasa menyalakan semangat di hari berikutnya untuk bekerja di jalanNya. Rasulullah saw bersabda (bermaksud):
"Allah tidak melihat kepada tubuh anda dan penampilan anda, tetapi melihat hati anda” .
2 – Tentukan objektif anda .. perkembangan objektif anda
Seseorang tidak mungkin dapat berkerja tanpa menentukan objektif, kerana gerakan anda menuju kepada objektif dan objektif akan meningkatkan kelajuan gerakan anda. Anda hendaklah sentiasa menjaga semangat sampai anda mencapai objektif anda, tetapi apa yang akan berlaku selepas anda mencapai objektif anda? Dan bagaimana untuk meneruskan semangat selepas anda mencapai objektif?!
Jika anda boleh memperbaharui objektif anda dan perkembangannya, maka ia akan membaharui semangat lagi dan semangat ini akan menukarkan anda dari satu kejayaan kepada kejayaan yang lain, dan dari satu negeri ke negeri yang lain hingga negeri yang lebih jauh, sehingga tercapai apa yang anda tidak jangkakan.
3 – Perluaskan penyertaan anda dengan orang lain
“Syaitan dekat dengan orang yang bersendirian dan jauh orang yang berdua”.
Inilah kaedah yang bernilai untuk memastikan anda terus bersemangat dalam pekerjaan. Cubalah menyertakan satu atau dua orang dalam perkerjaan anda, lalu mereka akan membantu anda dengan idea, dan mereka akan menggalakkan anda kepada semangat untuk memikul tanggung jawab. Ketika anda telah Berjaya, perluaskanlah penyertaan anda dengan mengaktifkan sebanyak mungkin orang-orang yang kelihatan bersedia untuk bekerja. Kini tidak akan timbul kelemahan semangat sebagai masalah anda, tetapi timbul masalah lain, iaitu masalah kekurangan waktu.
4 – Menerima kritikan dengan lapang dada
Saya ingin mengulangi kembali untuk mengingatkan anda noktah yang pertama. Iaitu noktah ikhlas kepada Allah dalam bekerja. Noktah yang akan membuatkan anda sanggup menerima kritikan walaupun kadang kala menyakitkan, dan anda memuhasabah demi Allah. Justeru, keikhlasan akan menjadi pelindung anda, dengan izin Allah dari kekecewaan yang mempengaruhi setiap pekerja di bidang apapun , asalkan tidak berurusan dengan kritikan, atau yang menyimpan kritikan melalui jalan yang salah yang menyebabkan dia kecewa sehingga akhirnya akan menghilangkan semangat untuk bekerja.
Saudara yang dikasihi,
Sekarang .. bangun dan berwudu’lah, dan tunaikanlah solat dua rakaat untuk memperbaharui niat anda dengan Allah, dan mintalah kepadaNya untuk membantu anda supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh dan serius pada jalanNya, yang tidak berkesudahan melainkan apabila anda menemui kematian.
-------
Terjemahan daripada: http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=360&ArtID=83210
No comments:
Post a Comment
Sila berikan komen anda