Di antara sifat-sifat orang yang beriman seperti yang dinyatakan dalam ayat terakhir Surah al-Fath:
“Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud.” (Al-Fath: 29)
Mari kita lihat apa yang diperkatakan oleh para ‘abid yang berilmu, dan marilah kita lakukan seperti apa yang mereka lakukan dalam jihad yang berterusan sehingga kita sampai kepada tujuan beribadah dan mencapai makna ubudiyyah (penyembahan).
1 – Mencapai makna penyembahan:
Firman Allah SWT (bermaksud):
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Az-Zariyyat: 56-58).
Allah adalah Khaliq sekalian makhluk. Oleh itu mereka wajib menyembah-Nya dan Allah tidak memerlukan apa jua dari makhluk. Sebaliknya makhluk wajib mengerjakan ibadah semata-mata untukNya. Tiada makhluk yang memberi sesuatu rezeki kepada-Nya dan tiada makhluk yang memberi sesuatu manfaat kepada-Nya tetapi:
(Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Az-Zariyyat: 58).
2 – Melaksanakan kewajipan bersyukur:
Allah SWT telah memberitahu tentang kisah Nabi Sulaiman a.s dalam ayat (bermaksud):
“Berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (An-Naml: 40).
Firman Allah tentang kisah Luqman a.s (bermaksud):
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”(Luqman: 12),
dan Firman Allah SWT (bermaksud):
“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu.” (Ibrahim: 7).
3 – Menepati syarat-syarat kesempurnaan:
A – Iaitu dengan sibuk beribadah kepada Allah - dengan sendirinya merupakan kesempurnaan - akan menyampaikan hamba kepada kemuncak kemuliaan. Firman Allah SWT (bermaksud):
“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman.” (Al-Munafiqun: 8),
Begitu juga orang yang sibuk beribadah kepada Allah dengan mengikut nabi dengan sebaik-baiknya, akan sampai ke tahap golongan yang dikasihi Allah. Firman Allah SWT (bermaksud):
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.” (Al-Imran: 31).
Manakala tentang kemuliaan, maka sudah tentu ianya hak mutlak Allah, Rasulullah saw dan para mukminin yang diperolehi hasil kesibukan beribadah kepada Allah dan penyembahan kepada-Nya. Manakala orang dikasihi Allah, ianya hanya tercapai apabila mengikuti Nabi berdasarkan syariat Allah yang di turunkan kepada para hambaNya dan mengikutinya dengan baik.
Hasil dari itu – sampai kepada tahap kemuliaan – mengikut nabi akan menjadi orang yang dikashi Allah – akan menerangi hati dengan cahaya ilahi.
Mengawasi lidah dengan zikir dan tilawah al-Quran.
Mengindahkan anggota badan dengan khidmat yang terbaik.
Menurut seorang ahli sarjana: "Sesiapa yang gembira berkhidmat kepada Allah, nescaya semua makhluk akan gembira berkhidmat kepadanya, dan sesiapa yang tenteram hatinya dengan Allah, nescaya semua makhluk akan merasa tenteram melihatnya."
B – Melaksanakan ibadah adalah amanah, dan melaksanakan amanah adalah kesempurnaan.
Firman Allah SWT (bermaksud):
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (AlAhzab: 72),
Amanah agama adalah seluruh agama dan amanah syariat adalah seluruh syariat.
Firman Allah SWT (bermaksud):
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.” (An-Nisa’: 58).
Mari kita lihat ..
Allah telah mencipta kita dalam bentuk yang terbaik, dan menjamin rezeki yang melimpah untuk kita .. Adakah kita menyembah kepadaNya untuk memperolehi demikian?
Allah telah berjanji di atas ibadah dengan balasan syurga, dan menjamin kita memperolehi keteguhan dan berkekalan. Adakah kita menyembah kepadaNya untuk memperolehi demikian?
Allah melimpah kepada kita dengan kurniaanNya, kerana Dialah Pencipta dan Pemberi rezeki yang berdasarkan dengan amal salih yang melayakkannya dengan syurga ..
Oleh itu, manakah perlaksanaan amanah yang telah dipikul oleh manusia, untuk memperolehi kurniaan dan nikmat-nikmat Allah yang terdahulu?!
Diriwayat mengenai seorang lelaki badwi memasuki masjid, lalu mengerjakan solat sambil meninggalkan untanya di luar tanpa ikatan atau pegangan di luar. Para hadirin berasa kagum dengan keelokan solatnya, panjangnya rukuk dan sujud, panjang wirid dan doanya, pada masa yang sama untanya telah berjalan-jalan di luar. Setelah selesai ibadahnya beliau segera keluar menjejaki untanya. Beliau berkata: “Saya telah melaksanakan amanahMu .. Oleh itu, manakah amanahku? Tidak lama kemudian, dia melihat ke sana sini mencari untanya hinggalah dating seorang lelaki yang membawa untanya, dan dia menyerahkan kepadanya sambil berkata: “Inilah amanahmu, lalu ia kembali kepadamu.”
Marilah kita memerhatikan pesanan Rasullah saw kepada sepupunya Abdullah bin Abbas r.a di mana baginda bersabda (bermaksud):
"Peliharalah Allah pasti Allah memelihara anda. " (Tirmizi)
C – Melaksanakan ibadah seolah-olah tenggelam dengan menghadirkan hatinya kepada Allah, yang memindahkan seorang hamba dari dunia yang menipu kepada dunia yang menggembirakan.
Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah menunaikan solat dan orang orang yang lain sedang duduk, tiba-tiba terjatuh seekor ular besar sehingga orang bertepiaran lari. Namun Abu Hanifah sedikitpun tidak berganjak, malah menyelesaikan solatnya. Lalu beliau telah ditanya tentang keadaan tadi. Beliau hanya berkata: “Saya tidak mengetahui.”
Kita boleh katakan bahawa beliau benat-benar tenggelam ketika beribadah... menghadirkan hatinya kepada Allah secara keseluruhan. Benar, beliau telah berada dalam dunia yang menggembirakan.
Marilah kita memerhatikan sekumpulan wanita dalam Surah Yusuf dan keadaan mereka semasa memegang pisau dan buah-buahan. Firman Allah SWT (bermaksud):
“Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka (Yusuf:31).
Selain itu, seorang ‘abid yang tidak tenggelam di dalam ibadahnya adalah seorang yang lalai atau berlakon. Di dalam sebuah hadis menyatakan dengan jelas tahap penerimaan amalan seseorang:
"Allah SWT itu baik, tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang baik.” (Muslim)
"Allah SWT tidak menerima sesuatu amalan kecuali yang ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah SWT. " (Ahmad)
Salah seorang sarjana Islam pernah berkata: "Orang miskin ialah golongan yang cuai kerana telah keluar dari dunia ini dan tidak merasai sesuatu yang lebih baik dari dunia."
Lalu beliau ditanya. Apakah ia? Beliau berkata: "Cinta kepada Allah dan cinta kepada manusia keranaNya."
Semua ini kita katakan: Tidak cukup kita melaksanakan ibadah hanya di peringkat pelaksanaan perintah, tetapi mesti dilakukan dalam keadaan merasai kelazatan, kecintaan dan kerehatan.
Solat adalah suatu kerehatan bagi Rasulullah saw:
“Wahai Bilal! Rehatkanlah kami dengan solat”. (Tabrani)
Rasulullah saw mendapat ketenangan di dalam solat. Sabdanya (bermaksud):
"Aku mendapat ketenangan dalam solat. " (Nasai)
Aishah r.a pernah berkata:
" Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah saw, dan baginda berbual dengan kami dan kami pun berbual dengannya. Namun apabila tiba waktu solat baginda seolah-olah tidak mengenali kami dan kami juga tidak mengenalinya." (Tirmizi)
0 ulasan
Sila berikan komen anda