Sunday, September 11, 2011

Bagaimana kita menyeru manusia?

Oleh: Dr. Hamdi Fattouh Waly

Kita adalah golongan yang hanya ingin melihat sebuah negara Islam tertegak dan khilafah Islam kembali, kesatuan dan perpaduan umat Islam yang menghimpunkan mereka dalam satu entiti di bawah panji yang satu. Inilah cita-cita termahal, matlamat yang terpuji dan niat yang mulia. Bahkan, usaha ke arahnya dan bekerja kerananya dikira sebagai satu ibadat kerana ingin menyempurnakan tuntutan-tuntutan ibadah. Namun, cita-cita sahaja dengan mengabaikan wasilah untuk mencapainya dan tanpa memastikan kesahihan permulaan tidak akan menyampaikan kita kepada kejayaan seperti yang kita impikan selama-lamanya.

Biarpun tujuannya baik dan keinginan yang meluap-luap untuk cepat menikmati ketinggian dan kemenangan; namun semuanya tetap tidak membenarkan untuk mengabaikan wasilah tersebut dan tidak memberi kita hak untuk meninggalkan tsawabit syar’iah (parameter yang ditetapkan) dan meninggalkan perkara yang dhoruri (penting).

Orang yang meneliti di dalam kitab Allah SWT akan mengetahui hakkat ini dengan jelas dan terang, yang mengesahkan suatu undang-undang yang tidak boleh ditinggalkan; iaitu Allah telah menciptakan alam ciptanNya di atas sunnah (ketetapan) pertumbuhan, perkembangan dan penyempurnaan. Sunnah ini adalah selaras dengan kehidupan manusia. Pencipta yang Maha Bijaksana telah berfirman (bermaksud):

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.”  (An-Nahl: 78),

Allah SWT turut mengesahkan tentang proses berperingkat-peringkat dan beransur-ansur ini dalam firmanNya:

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (Ar-Rom: 54),

Allah SWT sebenarnya mampu untuk menciptakan manusia dalam keadaan yang sempurna.

Dalam aspek alam semesta, Allah SWT memberitahu kita tentang perkembangan dan pertumbuhan ini di dalam ayat:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya! Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian ala. Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa. Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela" Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” (Fussilat: 9-12) .

Anda telah perhatikan bahawa Pencipta yang Maha Bijaksana telah menciptakan bumi dalam dua hari dan kemudian mengindahkannya dan menyediakannya untuk kediaman dan menetapkan keutuhannya. Meneguhkan pasak gunung-ganang pada peringkat yang berikutnya. Kemudian, menciptakan tujuh lapis langit, dan memerintahkan setiap lapisan langit tugasan tertentu. Selepas itu:

“Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya, Dan Ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.  (An-Naziat: 27-29).

Semua peringkat-peringkat ini saling berturutan yang tidak boleh mendahului antara satu sama lain. 

“(demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap - tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.” (An-Naml: 88).

Allah SWT sebenarnya berkuasa atas sekalian hambaNya, di mana Allah sengaja menghendaki proses perkembangan dan beransur-ansur ini, dan Allah mampu mencipta langit dan bumi dengan perkataan "kun" (jadilah) , tetapi undang-undang ilahi seperti yang diingini Allah adalah untuk menjalankan urusan kehidupan. Allah mengajar kita bahwa segala sesuatu dalam alam semesta berkembang dan bergerak dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lain, sehingga mencapai kesempurnaan. Kemudian apabila telah selesai proses perkembangan, mulai tiba saat tanda-tanda kelemahan yang akhirnya terus lenyap.

Apa yang berlaku di alam benda-benda hidup dan alam bukan hidup (seperti batu-batan) turut berlaku seumpamanya dalam dunia perasaan dan sanubari, sebagaimana badan manusia yang semakin membesar dengan makanan dan minuman, berkembang ruh dan semangat manusia dengan cita rasa, sehingga mencetuskan harapan dan cita-cita, rindukan kepada keamanan dan berasa tenang dengan iman. 

“Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.”  (Ar-Ra’d: 28).

Jika orang di zaman kita, cenderung untuk memilih yang betul antara dua persepsi, maka mereka tidak lagi perlukan pemimpin atau pembimbing, yang memimpin mereka kepada matlamat dan mengenal pasti destinasi mereka. Namun apa yang berlaku mereka menuruti hawa nafsu dan akal secara melulu. Oleh sebab itu, tugas pendakwah kepada Allah tidak seharusnya mengabaikan penyakit itu, iaitu usaha menghapuskan kemungkaran dan kejahatan dengan menanamkan ketakwaan dalam diri hamba.

Namun pendakwah kepada Allah memastikan bahawa seruan mereka selaras dengan hati yang khusyuk, minda yang sedar dan nurani yang subur dengan kecintaan yang diisi dengan iman. Jika tidak, mereka seolah-olah hanya menjerit di sebuah lembah dan meniup dalam abu.

Seorang pendakwah biarpun dikurniakan dengan pelbagai kelebihan seperti kepetahan bicara dan keindahan ungkapan-ungkapannya, tidak akan mampu menembusi lubuk hati orang yang diserunya, jika hati mereka sibuk melayani hawa nafsunya dan tenggelam dalam lembah keduniaan ini.

“Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan keingkarannya). Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sanggup beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang berserah diri dengan ikhlas.” (An-Naml: 80-81).

Menurut As-Syahid Sayyid Qutb: "Ungkapan Al-Quran telah meletakkan suatu gambaran yang hidup dan bergerak bagi keadaan psikologi yang sememangnya tidak boleh dirasai, keadaan kebekuan hati, kematian jiwa dan kemurungan perasaan dan kehilangan sensitiviti. Mereka pada satu masa keluar dalam imej yang ‘mati’ ketika Rasulullah saw menyeru mereka, mereka tidak dapat mendengarnya kerana mereka orang yang mati dan mereka tidak merasainya! Mereka pada satu masa keluar dalam keadaan ‘pekak’ dari mendengar seruan itu, kerana mereka tidak mendengar! Mereka pada satu masa mereka keluar dalam keadaan ‘buta’ yang menyebabkan tidak dapat mengenali pembawa petunjuk kerana mereka tidak melihat! Saksikanlah gambaran yang terbentuk dan bergerak ini, mewakili pengertian dan perasaan yang penuh mendalam. !” (Fi Zilal). 

Orang bijak pandai pernah berkata: "Anda boleh membawa kuda anda ke pinggir sungai, tetapi anda tidak boleh memaksanya meminum airnya."

Pendakwah boleh menperdengarkan kepada manusia apa yang ia ingini, tetapi dia tidak berupaya untuk membuka hati mereka terhadap dakwah yang diperkatakannya, melainkan pendakwah hanya mengurus perjalanan kunci-kunci hidayah. Kunci-kunci ini hanya dimiliki Allah yang telah menurunkan Al-Quran di Mekah sebagai kuncinya.

Supaya pendakwah boleh mengeluarkan hati dari keadaan yang mati kepada keadaan yang hidup, dari keadaan penentangan kepada penerimaan, maka pendakwah mestilah bermula seperti apa yang Allah SWT mulakan kepada Rasulullah saw.

Allah telah memulakan bersama Rasulullah saw dengan Al-Quran yang turun di Mekah. Keistimewaan Al-Quran yang turun di Mekah ialah ia menyuruh kepada akidah. Al-Quran mengambil masa lama berbicara tentang hakikat iman kepada hari akhirat dan yang berkaitan dengannya seperti hari kebangkitan, perhimpunan di Mahsyar, Titian Sirat, hari Timbangan, Telaga Haudh, al-Kursi, Syurga dan Neraka, yang sengaja mendahulukan hakikat dan fakta ini, yang menyerupai jalan yang keras dan tegas, tinggi dan berturutan, dalam irama yang bising dan loceng yang cepat, dan dalam irama tertentu yang menyentuh mata hati serta fenomena alam yang menggoncangkan lubuk jiwa.

Allah SWT yang menciptakan hati dan menyediakan fitrah keimanan adalah yang menurunkan tanda-tanda kekuasaanNya ke atas hati dan fitrah sehingga bergoncang, bersinar dan penuh dengan cahaya serta hidup dengan citarasa dan perasaan penuh keimanan dan keyakinan:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Al-Maidah: 15-16).

Oleh itu keadaan orang-orang yang beriman dan mendapat petunjuk dengan Al-Quran adalah seperti orang yang disifatkan sebagai hidup dan mendapat cahaya secara serentak, kerana mereka menang ke atas kematian dan kegelapan seluruhnya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).”  (Al-An’am: 122).

Menurut Bahy al-Khouly: "Allah SWT ketika menurunkan air dari langit menyebabkan segala sesuatu mulai hidup dalam alam kebendaan. Hikmah Allah telah menentukan  kehidupan dari segi ruhi, apa yang diperlukan bagi kehidupannya dan pemakanannya. Setiap manusia terdiri daripada jisim yang zahir dan jisim yang batin. Justeru bukan termasuk hikmah Allah dan dalam sistem penciptaan, di mana Allah menurunkan untuk jisim apa yang diperlukan untuk hidup, dan kemudian mengabaikan kepentingan ruh yang merupakan segala-galanya dalam organisma yang hidup ini. Hanya Allah SWT yang tinggi dan jauh dari itu semua. Allah yang menurunkannya untuk hati dan ruh, bandingan air yang diturunkan untuk badan ialah wahyu yang di turunkan kepada Rasul-Nya semenjak daripada Adam as, bapa manusia sehingga Nabi terakhir dan imam mereka Muhammad saw. Wahyu ini adalah ruh kepada hati dan rahsia kehidupannya. Apabila hati telah mengambilnya dan meresap ke dalamnya, maka hatinya hidup, menyala dan bersinar, dan membawa wahyu ke dalam hati seumpama air membawa ke badan "(Tazkirah ad-Duat).

 Inilah yang kita fahami daripada ungkapan Allah SWT yang bermaksud:

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) perintah Kami.”  (As-Syura: 52).

Salah satu perkara yang paling bahaya yang berlaku kepada para pendakwah hari ini ialah apabila ketiadaan fiqh atau pemahaman tentang reality orang yang diserunya; kerana ia masih berusaha mempertahankan doktrinnya dengan mengingatkan tentang aliran-aliran pemikiran semasa dan trend sekular, dan masih mengumpulkan bukti dan dalil yang termampu dalam menghadapi isu ini, dan mengumpulkan semua keterangan dan bukti yang boleh, kerana yakin bahawa melalui usaha yang teliti ini dan persiapan yang rapi ini  telah sampai ke dalam lubuk jiwa mereka yang diserunya dan menduduki tempat yang mendalam. Alangkah kesal dan menyedihkan. Bahkan satu perkara yang merisaukan ketika melihat keadaan orang-orang yang bekerja keras untuk menyeru mereka di mana mereka terus berdegil dan tidak menerima teguran berhubung perkara itu melainkan mereka sibuk mengumpulkan bukti. Kelihatan mereka terus berada seperti apa yang mereka pegang dan mempertahankan keyakinan dan cita-cita mereka, tanpa perubahan atau pertukaran.

Ketahuilah, sesungguhnya pendakwah tidak akan berasa tenang kerana telah menggembling segala cara yang termampu dan menggunakan segala teknik yang ada dan tidak akan berasa tenang bila diselaputi perasaan putus asa, atau meresap ke dalam dirinya erti kecewa, dan penyakit yang menghalang untuk pendakwah sampai kepada apa yang dia mahu, iaitu ia telah melalui jalan yang salah kepada orang yang diserunya. Hati adalah segala-galanya dalam perjalanan kita kepada Allah, dan tiada satu pun di dalam tubuh organ yang menyamai hati. Benarlah Rasulullah saw pernah menyebutkan yang bermaksud:

“Sesungguhnya dalam tubuh badan manusia itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).” (Bukhari dan Muslim)

Jelasnya ramai pendakwah yang jujur dan ikhlas mempunyai keinginan yang meluap-luap  - untuk mencapai matlamat mereka - untuk mencapai hasil secara tergesa-gesa dan cepat, dan kemenangan yang lambat. Lalu mereka melupakan keperluan asas dan meninggalkan tsawabit syar’iah (parameter yang betul). Justeru, hasil yang terjelma adalah bukan apa yang mereka suka, kerana mereka gopoh ketika melalui marhalah dakwah dan tidak memulakan dakwah seperti apa yang dimulakan oleh Rasulullah saw. Mereka adalah orang yang tidak beriman yang telah merendahkan kedudukan orang yang beriman dan orang yang jahil yang telah merendahkan kedudukan orang yang berilmu. Mereka menjalankan tugas dakwah seolah-olah pendakwah yang faham dan berilmu. Oleh sebab itu, tiada hasil yang diperolehi melainkan kehancuran pada saat yang teguh, kelemahan pada kedudukan yang kuat dan keraguan dan ketidaktentuan pada kedudukan iman dan yakin. Apabila apa yang kita inginkan runtuh dan hancur, tentulah kita kehairanan dan merasai kepahitan dan melupakan firman Pencipta yang Maha Bijaksana.

--------------
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top