Oleh: Mahmoud Abu Zahra
Memang tidak syak lagi bahawa hari ini adalah hari Eid, hari yang meriah, berbahagia dan bergembira. Secara umumnya bahawa semoga setiap tahun anda semakin dekat kepada Allah, sentiasa dalam ketaatan kepadaNya dan semakin jauh dari api neraka.
Tetapi dalam kegembiraan di hari hari raya ini jangan lupa untuk memikirkan tentang punca-punca bagi kegembiraan kita. Ini kerana mungkin kita mewujudkan punca-punca kegembiraan yang akan menambahkan lagi kegembiraan kita dan diikuti dalam perayaan-perayaan lain sepanjang setahun, bahkan dalam setiap saat kita hidupkan kegembiraan. Pernahkan salah seorang dari kita bertanya mengapa bergembira? Bagaimana untuk bergembira? Apakah rahsia pada hari raya kegembiraan berlalu dengan pantas? Apakah mungkin untuk melanjutkan kegembiraannya? Marilah bersama kami untuk meneliti kegembiraan hari raya.
Mengapa bergembira?
Firman Allah SWT bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)." (Yunus: 58).
Oleh itu, punca-punca kegembiraan dapat dirumuskan seperti berikut:
- Kita memasuki bulan Ramadan dengan berpuasa. Segala puji hanya bagi Allah. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah mengkhatamkan Al-Quran beberapa kali secara berturut-turut dan kita merujuk semula tafsirannya. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah membuang persengketaan dan pertengkaran antara kita. Kita saling berjabat tangan dan berpelukkan dengan penuh kasih sayang serta memaafkan kesalahan satu sama lain. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah menikmati hidangan juadah berbuka bersama dengan orang-orang Islam yang tidak bernasib baik seperti anak-anak yatim, orang miskin dan kita telah menyantuni mereka. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita mengalirkan air mata dan menyesali atas kekurangan masa lalu dan kecuaian di sisi Allah. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah memilih doa yang khusus untuk kemenangan dan kemuliaan Islam di medan peperangan, dengan jujur, ikhlas, yakin dan pasti. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah menghubungkan silaturahim dan saling ziarah-menziarahi kerana Allah, dan kita melupakan kerapuhan dan kerenggangan hubungan. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah menghalakan tujuan seluruhnya hanya kepada Allah SWT dengan penuh cinta dan tulus, dengar dan taat. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah mengeluarkan zakat harta dan zakat fitrah, maka kita telah mengesat air mata di pipi golongan yang lemah. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah tinggalkan ketidakadilan dan memakan harta orang-orang Islam yang lemah, menindas mereka dan melampaui batas ke atas mereka. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah beri'tikaaf di masjid-masjid, dan kita telah memikirkan tentang hari akhirat dan kesudahan kita serta menilai diri kita semula. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira
- Kita telah korbankan masa kita untuk urusan agama kita dalam solat, tahajjud dan menziarahi masjid-masjid yang jauh. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
- Kita telah tinggalkan tabiat buruk merokok dan menonton televisyen dalam perkara yang diharamkan. Oleh itu menjadi hak kita untuk bergembira.
Bagaimana gembira?
Saudara, setelah kita mengetahui punca-punca kegembiraan kita, marilah bersama-sama kita mempelajari bagaimana untuk bergembira:
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita yang pertama dengan mengucapkan alhamdulillah dan memuji Allah yang membantu kita untuk taat kepada-Nya dan menyembah-Nya dengan betul.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan memelihara solat subuh pada hari raya.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan mandi sunat di pagi raya, iaitu sunnah Nabi Muhammad saw.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan makan kurma sebelum kita dan keluarga meninggalkan rumah kerana mencontohi Qudwah kita yang mulia.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan solat sunat idulfitri di kawasan terbuka seperti yang dinyatakan oleh orang yang benar dan boleh dipercayai.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan dengan senyuman yang terukir di wajah kita pada hari raya di hadapan semua makhluk Tuhan.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan membuka dada kita kepada semua umat Islam. Kita pergi menemui seramai mungkin untuk memberi salam dengan mesra dan menunjukkan keceriaan di hadapan mereka.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan bertakbir, bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sentiasa membersihkan hati dengan mengingati Allah.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan bertanya khabar tentang saudara-saudara kita dan keluarga mereka yang tidak muncul kerana berada di sebalik jeriji besi orang-orang zalim.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan pergi kepada orang yang sakit dan memberikan ucapan kepada mereka agar mendatangkan kegembiraan di hati mereka.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan berkelakuan baik kepada anak-anak, isteri, ibu-ibu dan bapa-bapa kita di hari raya, yang kita mulakan dengan mereka sebelum orang lain. Kita memberikan salam kepada mereka, memegang erat tangan mereka dan mempamerkan senyuman dan keceriaan pada wajah kita di hadapan mereka.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan berpegang teguh kepada nilai-nilai, akhlak-akhlak dan adat-adat terpuji yang kita usahakan sepanjang bulan Ramadan.
- Hendaklah menjadikan kegembiraan kita dengan memakai baju baru atau baju putih yang bersih dan meletakkan minyak wangi dan keluar kepada umat Islam dalam keadaan yang menarik dan menyenangkan, seperti yang dilakukan oleh qudwah kita dan guru kita.
Rahsia kegembiraan di hari raya berlalu dengan pantas:
- kerana meletakkannya sebagai sambutan atau perayaan keduniaan, bukan keagamaan dalam ertikata ramai orang menganggap hari raya hanya sehari atau dua hari sahaja. Oleh sebab itu, mereka berpegang dengan apa yang kami katakan bergembira hanya sehari atau dua hari sahaja.
- kerana konsep perayaan adalah sementara dan manusia tidak memperhatikan punca kegembiraan, mengetahui dan memperbaharuinya.
- Kerana hukum Allah dalam ciptaan-Nya; “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran).” (Ali-Imran: 140).
- Kerana jiwa manusia tiada upaya untuk bersabar melainkan dengan rahmat dan belas kasihan dari Allah. Oleh sebab itu ramai yang kembali jiwanya kepada keadaan sedia ada sebelum Ramadhan.
- Kerana pemberian pada hari raya bukanlah kerana Allah, bahkan kerana saya memberi anda untuk anda memberi saya dan saya membahagiakan anda untuk anda membahagiakan saya. Namun jelasnya pemberian hanya kerana Allah akan kekal dan bersambung dan pemberian kerana selain-Nya akan terputus dan terpisah.
Bagaimana untuk melanjutkan kegembiraan hari raya?
- Kita telah mengikuti sebab-sebab kegembiraan, di tangan kitalah untuk meneruskan dan membetulkannya. Justeru, anda teruskan dan betulkanlah kegembiraan kita.
- Imam Ali pernah berkata: “Bukanlah hari raya itu bagi orang yang memakai pakaian baru, tetapi hari raya ialah bagi orang yang takut kepada hari yang dijanjikan dan setiap hari yang ditempuhi tanpa sebarang maksiat kepada Allah, maka itulah hari raya.”
- Anda boleh menjadikan semua hari anda sebagai hari raya jikalau anda menjauhkan diri dari perlakuan maksiat kepada Allah dan memberikan komitmen dalam mentaati-Nya.
Kegembiraan yang paling besar:
- “Bergembiralah dengan hari yang terbaik sejak ibumu melahirkanmu, wahai Ka’ab. Sesungguhnya Allah telah menerima taubatmu dari atas tujuh langit.” Ketika Allah mengampuni dosa kita dan menerima taubat kita: “Ya Allah, kami menyerahkan kepada-Mu untuk menentukan urusan kami bagi menerima taubat kami pada bulan Ramadan dan mengampuni dosa kami. Oleh itu janganlah kecewakan harapan kami dan janganlah biarkan doa kami tanpa diperkenankan, wahai Tuhan sekalian alam.”
- Salah seorang salaf as-salih pernah ditanya pada hari raya dari hari sebelumnya, beliau berkata: Hari sebelumnya Allah akan memaafkannya.
• Salah seorang dari mereka pernah berkata: Perkara pertama untuk memulakan hari raya kita - hari ini – ialah memaafkan satu sama lain.
• Janganlah salah satu daripada kita ketika menyambut ketibaan hari raya terdapat sesuatu di dalam hatinya kepada saudaranya.
• Kegembiraan kita yang paling besar ialah pada hari kita membebaskan Baitulmuqaddis dari tangan musuh kita dan mengembalikannya ke pangkuan kita. Kita dapat mendirikan solat di ruang solatnya dan beriktikaf di salah satu sudutnya dan kita dapat menyaksikan di depan pintunya.
• Kegembiraan kita yang paling besar ialah pada hari kita lihat negeri Islam bebas dari seluruh rejim yang atheis atau kristian yang kafir atau muslim yang keji.
• Kegembiraan kita yang paling besar ialah apabila kita lihat ulama, guru dan saudara-saudara kita yang berada di balik jeriji berada di samping kita.
• Kegembiraan kita yang paling besar ialah apabila agama Allah adalah yang tertinggi di muka bumi ini. Tiada hukum melainkan hukum-Nya, dan tiada undang-undang yang digubal melainkan undang-undang-Nya yang paling sempurna, lengkap dan adil yang tidak bercampur dengan kebatilan dari hadapan atau belakang kerana undang-indang ini turun dari Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.
• Kegembiraan kita yang paling besar ialah apabila dunia terbuka di hadapan kita yang menyebabkan lenyap halangan antara negara, dan penunggang unta yang sedang berjalan di bumi Allah ini tidak merasa takut melainkan hanya kepada Allah dan serigala yang akan membaham untanya itu.
• Kegembiraan kita yang paling besar ialah apabila kita melihat kurikulum pendidikan Islam berkembang dan tersebar di seluruh muka bumi untuk mengisi mereka dengan cahaya, keindahan, keadilan dan kebahagiaan sehingga tiada lagi persengketaan, peperangan dan pertelingkahan, bahkan manusia meletakkan segenggam makanan ke dalam mulut saudaranya sehingga ia merasai kelazatan makanan di mulutnya ... Perkenanlah, wahai Tuhan.
Ini bukan sekadar impian bahkan pasti menjadi realiti, insya-Allah. Realiti yang berlaku hari ini adalah impian hari semalam, dan impian hari ini adalah realiti hari esok.
“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Yusuf: 87)
Semoga setiap tahun anda dalam kebaikan, dan akhirnya ucapan kita ialah segala puji hanya bagi Allah Tuhan sekalian alam, dan selawat dan salam kepada Nabi kita Muhammad saw, keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
0 ulasan
Sila berikan komen anda