Oleh: Osama Jadu
Setiap tahun moga anda dalam kebaikan. Wahai saudara-saudara yang dimuliakan, saya ingin berbicara dengan anda di kala kita berada di ambang tahun Hijrah yang baru, kita memohon Allah menjadikannya lebih baik, sentiasa dalam kemuliaan dan kemenangan dan memperkasakan umat Islam kita dan merealisasikan impian yang anda harap-harapkan.
Kita menyambut tahun baru Hijrah di saat umat telah menghirup angin kebebasan dan kemuliaan, dan kini hanya di hujung jalan untuk mencapai objektifnya dan memenuhi aspirasi bangsa mereka.
Beberapa ketika umat kita hidup dalam kesakitan siang dan malam, keadaan umat yang menderita, ketidakupayaan anggota umat dan cengkaman pemerintah ke atas umat dan Negara menjadi terbiar dan tertinggal sehingga membangkitkan keinginan umat di negeri ini selepas rakyat mengadakan perarakan selama sebulan hingga mencetuskan kehebatan dan kekaguman di hati orang lain. Umat Islam telah menjalani kehidupan untuk suatu tempoh masa tanpa kedudukan pengaruh dan berada di barisan kepimpinan dan merasai kepimpinan dari mereka yang kehidupannya di sinari cahaya iman sejak berabad-abad lamanya.
Masa telah berlalu sehingga datang kemuliaan kaum yang lain
Yang cedera dan sakit semua bebas mengajukan soalan: di mana umat Islam?
Di atas kehendak Allah telah menentukan bahwa malam yang panjang telah berlalu. Kini muncul fajar yang baru dan terbit cahaya matahari umat kita ke alam nyata. Di sini kita melihat kesejahteraan telah meresap di sendi-sendi dan otot-otot umat kita, dan mula berdiri di atas kakinya, bangkit dari tersungkur, bangun dari tidur dan meneruskan perjalanannya lagi. Pada hemat saya bahawa tahun ini akan menyaksikan kebangkitan dan pembangunan semula umat, kekuatan dan kesejahteraan.
Di kesempatan kita menyambut ketibaan tahun baru Hijrah izinkan saya bercakap tentang bulan Muharram dan hari Asyura, yang merupakan di antara hari-hari yang baik di sisi Allah.
Bulan Muharram
Ayuhlah kita perhatikan bahawa Allah telah membuka tahun baru dengan bulan Muharram dan menutupnya dengan bulan Zulhijjah. Tiada bulan yang paling utama di sisi Allah dalam setahun selepas bulan Ramadan selain dari bulan Muharram. Bulan ini dipanggil bulan “Syahrullah al-Ashom” kerana kehormatan dan kemuliannya itu, sepertimana yang dikatakan oleh Hasan al-Basri ra. Diriwayatkan dari An-Nasaie daripada Abu Zar Ghaffari ra berkata:
سألت رسول الله (صلى الله عليه وسلم): أي الليل خير؟، وأي الأشهر أفضل؟ فقال: "خير الليل جوفه، وأفضل الأشهر شهر الله الذي تدعونه المحرم
Saya bertanya kepada Rasulullah saw: “Apakah malam yang paling baik? Dan manakah bulan yang lebih afdhal?? Nabi bersabda (bermaksud): "Sebaik-baik malam ialah pada tengah malamnya, dan sebaik-baik bulan ialah bulan Allah yang kamu panggil Muharam" .
Adalah sunat untuk berpuasa, kerana terdapat hadits yang sahih dari Rasulullah saw yang melaporkan bahawa berpuasa di bulan Muharram adalah sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan. Laporan itu disokong oleh hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw berkata (bermaksud):
"أفضل الصيام بعد شهر رمضان شهر الله الذي تدعونه المحرم، وأفضل الصلاة بعد الفريضة قيام الليل"
"Sebaik-baik puasa selepas Ramadhan adalah bulan yang anda panggil Muharram, dan sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat di malam."
Ini adalah seruan untuk semua muslimin yang dikasihi supaya menyempurnakan kunjungan mereka di bulan Muharram yang mulia ini. Mereka melakukan perjalanan dengan jalan yang baik, mengisinya dengan ketaatan, menghiasinya dengan ibadah, mengambil kesempatan dengan perbuatan baik dan menjauhi perbuatan jahat. Juga untuk merealisasikan dalam diri mereka erti kesejahteraan seperti yang mereka serukan hingga tercapai pembaharuan dan perubahan. Begitulah mereka mengikuti sunnah alam dalam melakukan perubahan dengan cara yang terbaik dan paling afdhal:
إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11).
Hari Asyura
Pada bulan yang mulia ini terdapat hari yang baik dan keberkatan yang banyak. Ia mempunyai kedudukan yang agong dan kemuliaan sejak dahulu kerana para nabi berpuasa pada hari ini. Tidak pernah diketahui bahawa para nabi berpuasa seperti hari Asyura. Ini kerana kedudukannya yang mulia dan tinggi yang merupakan hari bertaubat, iaitu hari Allah menerima taubat Nabi Adam as dan Allah menerima taubat umat nabi Yunus as, seperti yang dilaporkan oleh Amirul Mukminin Ali ibn Abi Talib ra bahawa Nabi saw bersabda (bermaksud):
إن كنت صائمًا شهرًا بعد رمضان فصم المحرم؛ فإنه شهر الله، وفيه يوم تاب الله فيه على قوم ويتوب على آخرين
"Jika anda ingin berpuasa selepas bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan Muharram. Ia bulan Allah dan terdapat hari yang Allah terima taubat ke atas suatu kaum dan menerima taubat orang-orang yang lain, " Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dan al-Tirmizi dalam Sunan beliau (Kitab Puasa).
Kata-kata Rasulullah saw: “Allah menerima taubat orang-orang yang lain”: adalah untuk menggesa orang ramai dan menggalakkan mereka supaya memperbaharui taubat nasuha mereka pada hari Asyura sambil mengharapkan keampunan dan kasih sayang, serta berharap Allah menerima taubat mereka sepertimana Allah menerima taubat orang-orang lain yang bertaubat sebelum mereka.
Kita berdoa kepada Allah SWT supaya menerima taubat kita semua dan mengampunkan dosa-dosa kita dan memberikan rahmat kepada kita. Kita ulangi bersama-sama:
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنْ الْخَاسِرِينَ
"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi". (Al-A’raf: 23).
Hari Asyura ialah hari di mana Allah telah selamatkan Nabi Nuh as daripada tenggelam apabila bahtera yang dinaiki dapat berlabuh di Gunung Judi. Lalu Nabi Nuh berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah SWT yang telah menyelamatkan nyawa baginda dan orang-orang beriman yang bersama dengannya.
Hari Asyura adalah hari di mana Allah telah selamatkan Nabi Musa as dan pengikut-pengikutnya dari ancaman Firaun dan tenteranya. Lalu Nabi Musa dan kaumnya berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.
Riwayat oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah ibn Abbas ra berkata:
"قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم المدينة، فوجد اليهود صيامًا يوم عاشوراء؛ فقال لهم رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما هذا اليوم الذي تصومونه؟ قالوا: هذا يوم عظيم أنجى الله فيه موسى وقومه، وأغرق فرعون وقومه، فصامه موسى شكرًا، فنحن نصومه. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "فنحن أحق وأولى بموسى منكم" فصامه رسول الله صلى الله عليه وسلم وأمر بصيامه"
“Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah hari yang kalian berpuasa ini?". Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa tanda bersyukur”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”.
Nabi saw berpuasa pada hari Asyura juga seperti yang dilaporkan oleh Abdullah bin Abbas ra katanya:
ما رأيت النبي صلى الله عليه وسلم يتحرى صيام يوم فضله على غيره إلا هذا اليوم يوم عاشوراء، وهذا الشهر يعني شهر رمضان
"Saya tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa pada satu hari yang beliau lebih muliakan dari yang lain kecuali hari ini, hari Asyura. Bulan ini bermakna bulan Ramadan" (Bukhari dan Muslim).
Ia membuktikan bahawa Nabi saw berpuasa dan mengambil berat tentang puasa pada hari Asyura, dan mengarahkan para sahabat berpuasa sebelum difardukan puasa bulan Ramadan. Baginda terus berpuasa hari Asyura selepas difardukan puasa bulan Ramadan dan baginda berpuasa sehingga tahun meninggal dunia.
Puasa pada hari Asyura menebus dosa-dosa setahun yang lalu
وحين سأله أصحابه عن فضل الصيام يوم عاشوراء قال: "يكفر السنة الماضية"
"Dan ditanya (Rasulullah saw) tentang kelebihan berpuasa pada hari 'Asyura'? Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu." (Hadits riwayat Muslim)
Orang-orang salih terdahulu dari umat nabi Muhammad sangat mengambil berat tentang berpuasa pada hari Asyura di mana mereka tetap berpuasa sungguhpun mereka melakukan perjalanan. Di antaranya Abdullah bin Abbas dan Imam Zuhri ulamak Tabien. Beliau berkata: Ramadhan merupakan beberapa hari yang tertentu sedangkan hari Asyura cepat akan berlalu. Imam Ahmad juga berpuasa hari Asyura semasa dalam perjalanan.
Tingkatan berpuasa pada hari Asyura ada tiga;
Pertama: Paling sempurna, iaitu berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas, Insya Allah akan menerima ganjaran penuh dariNya.
Kedua: Berpuasa sehari sebelum atau selepasnya, iaitu berpuasa pada kesembilan dan kesepuluh Muharram, atau puasa pada kesepuluh dan kesebelas Muharram; Dengan itu tercapai seperti yang diingini oleh Nabi saw yang mahukan perbezaan cara berpuasa dari orang-orang Yahudi dan membuktikan penerimaan tawaran untuk berpuasa pada hari Asyura, dan puasa pada hari sebelum atau selepas.
Ketiga; Anda menghadkan berpuasa pada Asyura sahaja. Dengan itu memperolehi kebaikan berpuasa pada hari Asyura seperti yang diberitahu oleh Rasulullah saw: Bahawa berpuasa pada hari Asyura akan menebus dosa tahun lepas.
Biasakan anak-anak dan latih mereka berpuasa pada hari Asyura
Allah SWT meredhai para sahabat Nabi saw; kerana mereka sangat pantas dalam menyahut panggilan dan lebih bersemangat untuk melakukan ketaatan dan mendapatkan ganjaran. Mereka bukan sahaja tidak memadai memenuhi panggilan untuk diri mereka semata-mata tetapi turut berminat untuk melibatkan anak-anak yang remaja dan yang kecil berpuasa pada hari Asyura.
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab Sahih mereka, dari Rabi’ binti Mu'awwiz r.h berkata:
"Rasulullah saw telah menghantar wakil pada pagi hari Asyura ke kampung-kampung Ansar di sekitar Madinah sambil berpesan:
من كان أصبح صائمًا فليتمّ صومه ومن كان أصبح مفطرًا فليتمّ بقية يومه
"Sesiapa yang sedang berpuasa, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang tidak berpuasa, maka hendaklah dia berpuasa esoknya."“Selepas itu kami pun berpuasa dan menyuruh anak-anak kecil kami berpuasa, Insya-Allah, dan kami bawa mereka ke masjid dan menyediakan permainan dari bulu yang dicelup untuk mereka, jika salah seorang daripada mereka menangis meminta makanan, kami berikan semasa berbuka nanti.”
Dalam riwayat lain:
“Kami menyediakan permainan dari bulu yang dicelup. Kami bawa anak-anak bersama. Jika mereka meminta makanan, maka kami berikan mereka permainan yang melalaikan mereka sehingga selesai puasa. "
Dalam hadits ini menunjukkan bahawa para Sahabat yang mulia memahami dari Rasulullah saw tentang nilai puasa pada hari Asyura, kemuliaan dan kedudukan, dan mengetahui ganjaran yang besar darinya. Dengan itu, lalu mereka bersungguh-sungguh berpuasa dan menyuruh anak-anak mereka berpuasa. Di dalam hadits menjadi petunjuk yang jelas tentang tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka dalam keimanan, ketaatan dan ibadat, membiasakan dan melatih mereka sehingga membesar dalam ketaatan dan membiasakan diri dengannya, dan tidak pula merasa sukar apabila dia besar nanti walaupun pada usia kanak-kanak belum ditaklifkan lagi. Namun, membiasakan kepada ketaatan dan melatih kepada ibadah akan membantunya ketika sampai usia baligh dan telah ditaklifkan.
Hadits ini menjadi panduan jelas kepada kedua ibubapa yang takutkan Allah dan ingin mendapat ganjaran dan pahala, dan prihatin untuk melatih anak-anak mentaati Allah. Pimpinlah tangan anak anda kepada ketaatan, ke masjid dan melakukan amal salih. Jadikanlah ia berjalan dalam bayangan anda dan anda menuju kepada Tuhan. Anda hendaklah bersungguh-sungguh mendidik anak-anak dalam iman dan ketaatan. Juga bersungguh-sungguh dalam pendidikan fizikal, pembangunan minda dan pengembangan ilmu.
Bacalah bersama-sama doa yang diajarkan kepada kita:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Al-Furqan: 74).
Semoga Allah menerima amal-amal kami dan anda, dan membantu kita untuk taat kepadanya. Selawat dan salam ke atas Muhammad saw yang mengajar orang kepada yang baik.
------
* Mantan Ahli Parlimen dan seorang peguam di Jabatan Mahkamahh Rayuan dan Perlembagaan Persekutuan.
0 ulasan
Sila berikan komen anda