Sunday, November 20, 2011

Keberkatan taat dan kutukan maksiat

Oleh: ‘Amer Shamakh

Tatkala ada ketaatan, ada keberkatan, taufik, kejayaan, ganjaran dan keselamatan..

“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.  (Al-A`raf: 56)

Disebut oleh Imam Ahmad di dalam Musnad, berkata: "Saya dapati dalam simpanan Bani Umayyah terdapat gandum; Biji-bijian yang banyak, yang tertulis di luar bekas yang terikat: Ini adalah hasil yang tumbuh pada zaman keadilan."

Musa bin A’yan berkata: "Kami memelihara kambing pada masa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Binatang buas dan serigala telah bercampur baur bersama kambing-kambing kami di satu tempat dengan selamat. Tiba-tiba pada satu malam, serigala telah mengganggu kambing-kambing tersebut. Lalu kami katakan: Kami berpendapat seorang lelaki yang solih telah meninggal dunia. Menurut Hammad: Seorang perawi menyampaikan kepadaku bahawa beliau dan lain-lainnya berpendapat demikian, tetapi memang terbukti bahawa Umar bin Abdul Aziz telah meninggal dunia pada hari itu. "

Manakala maksiat pula membunuh pemiliknya, yang mewariskan pelakunya sifat ketagihan kepada kehinaan, dan dikuasai orang yang tidak lagi merahmatinya .. Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Musa: "Wahai Musa, makhlukKu yang pertama mati ialah iblis; kerana ia adalah yang pertama mengingkariKu. Oleh itu barangsiapa yang mengingkariKu bersedialah untuk kematian."

Beberapa orang salaf as-salih pernah berkata: "Seseorang itu melakukan maksiat kepada Allah ketika akal fikirannya tidak berfungsi (untuk berfikir). Oleh itu kalau dia menggunakan fikirannya tentulah dia terhindar dari melakukan maksiat."

Fudhail bin Iyadh berkata: "Allah telah mewahyukan kepada beberapa nabi: Jikalau orang yang mengenaliKu masih mengingkariKu, maka dirinya sebenarnya telah dikuasai oleh orang yang tidak mengenaliKu."

Jelasnya ketaatan adalah keberkatan yang Allah tuliskan kepada para hambaNya yang mukmin. Mereka adalah raja-raja tanpa mahkota, merasai kelazatan dengan kemanisan munajat dan kedinginan iman, menikmati kurniaan Allah di dunia dan di akhirat. Oleh itu mereka memperolehi kehidupan yang baik dan balasan yang besar .. 

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.  (An-Nahl: 97).

Allah SWT mengukuhkan ketaatan, menguatkan mereka dan memantapkan kedudukan mereka di muka bumi, dan menyediakan mereka dengan pelbagai jenis kebahagiaan dan kegembiraan, dan mendatangkan keperluan-keperluan dunia ini yang tidak berkesudahan. Kenapa tidak, sedangkan mereka adalah “Hizbullah” dan para walinya (penolong-penolongNya)?!.

Jikalau anda perhatikan dalam hati orang miskin yang taat pastilah anda akan dapati perasaan kaya dan redha keseluruhannya, kegembiraan dan kebahagiaan yang tidak pernah ditemuinya dalam hati orang-orang mengengkariNya – sekalipun memiliki emas, perak dan harta yang melimpah ruah.

Orang yang bersabar untuk mentaati Tuhan dan mengelakkan dari mengengkariNya, akan menerima pahala dan ganjaran orang-orang yang berbuat baik, dengan menikmati perkara-perkara yang dihalalkan di dunia ini yang berupa nikmat-nikmat dan perkara-perkara yang baik. Ganjaran di hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Tatkala Yusuf a.s enggan  melakukan zina, bersabar dan menahan diri walaupun yang mengajaknya itu mempunyai kedudukan dan kecantikan, namun ganjaran Allah lebih baik. Allah telah memberikannya kekuasaan dan kenabian, dan menyatukan semula ibu bapa dan saudara-saudaranya .. 

“Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.” (Yusuf: 56-57).

Ya, kadang kala keadaan orang-orang beriman bercampur baur dan sekumpulan Syaitan berjaya mendatangkan keburukan kepada mereka – kerana mereka itu manusia, tetapi mereka cepat kembali kepada tabiat semula jadi mereka yang kaya dengan iman dan penuh dengan kecintaan kepada Allah. Justeru, mereka mendapati Allah SWT bersedia menerima mereka, dengan keampunan dan kemurahan hatiNya yang tiada batas dan kerahmatan yang luas dalam semua aspek, yang dikurniakan kepada mereka dengan nikmat dan fadilatNya dan memberi mereka lebih dari apa yang mereka minta .. 

“Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.  (Ali-Imran: 147-148).

Abdullah bin al-Mubarak berkata:

Saya melihat dosa mematikan hati   kekejian mewariskan ketagihan kepadanya
Dan meninggalkan dosa menghidupan hati   adalah lebih baik kepada diri mu untuk menjauhinya

Malangnya, keburukan orang-orang yang berbuat kesalahan dan maksiat, mengeruhkan kejernihan masyarakat, dan mendatangkan kekalahan dan bencana sehingga tiada seorang pun yang selamat dari bencana ini. Ini adalah akibat buruk daripada maksiat dan dosa.

Daripada 'Abdullaah ibn' Umar bin al-Khattab berkata, "Aku bersama bersama sepuluh orang dalam satu kumpulan Muhajirin menemui Rasulullah saw. Lalu Rasulullah menerima kedatangan kami dengan wajah yang ceria sambil berkata (bermaksud):

“Wahai golongan Muhajirin. (Ingatlah tentang)Lima perkara, dan aku berlindung kepada Allah mudah-mudahan lima perkara itu tidak terjadi pada kamu, iaitu: Tidaklah perbuatan zina itu tampak pada suatu kaum, dikerjakan secara terang-terangan, melainkan tampak dalam mereka penyakit ta’un dan kelaparan yang tidak pernah dijumpai oleh nenek moyang dahulu. Dan tidaklah kaum itu mengurangi takaran dan timbangan, melainkan mereka disiksa oleh Allah dengan kesengsaraan bertahun-tahun dan sukarnya keperluan hidup dan kekejaman penguasa. Dan tidaklah kaum itu menahan zakat, melainkan mereka ditahan oleh Allah turunnya hujan dari langit, andai kata tidak ada binatang ternak tentu mereka tidak akan dihujani. Dan tidaklah kaum itu menepati janjinya, melainkan mereka akan dikuasai oleh musuh yang merampas sebahagian kekuasaan mereka. Dan tidaklah pemimpin-pemimpin mereka itu menghukumi dengan selain kitab yang diturunkan oleh Allah, melainkan Allah menjadikan bahaya di antara mereka sendiri.”  (HR. Ibnu Majah)


Malah laknat ke atas maksiat dan dosa mereka menyeluruh ke atas haiwan, burung dan semua serangga yang melata di bumi!! .. 

Kata Abu Hurairah ra: "Sesungguhnya burung yang berleher panjang akan mati di dalam sarangnya akibat kezaliman dan perbuatan orang yang zalim."

Mujahid berkata: "Haiwan ternakan, mengutuk anak-anak Adam apabila berpanjangan tidak diturunkan hujan, dengan berkata: Ini adalah akibat maksiat dan dosa anak Adam."

Ikrimah berkata: "Serangga yang terbang dan merayap termasuk kumbang dan kala jengking, mereka mengatakan: Kita dihalang dari menerima titisan hujan akibat dari dosa dan maksiat anak-anak Adam."

Dengan penderitaan dan kesengsaraan ini, manakah limpahan rahmat Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman di mana isi bumi termasuk batu dan pokok menangisi kematian mereka?!

“Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” (Al-Mujadalah: 22)

Kebaikan tidak akan rosak ..Dosa itu tidak boleh dilupakan

Mungkin ada yang tertipu bahawa mereka tidak melihat kesan dosa mereka...Ini adalah intipati kelalaian dan kebodohan mereka. Padahal sesuatu kebaikan tidak akan rosak dan sesuatu dosa tidak boleh dilupakan. Ini kerana Allah sentiasa menghitung semua dosa yang besar dan kecil, benang yang dianyam dan buah yang berkulit nipis sehingga zarah turut tidak terlepas dari hitungan Allah .. 

“Semasa mereka semuanya dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu.”  (Al-Mujadalah: 6)

Jika berbuat dosa kemudian ditangguhkan saat kematiannya adalah kerana Allah SWT sama ada memberi dia peluang untuk bertaubat dan kembali ke dakapan iman atau Allah akan membiarkannya, kerana penangguhan itu adalah sebagai hukuman yang dimaklumi bahawa selepasnya ia tetap akan diazab.

Ramai manusia yang lupa bahawa mereka telah diperhatikan oleh Allah. Mereka terjerumus ke lembah dosa dan terus menambahkan dosa mereka, tidak malu dengan Allah, dan mereka menjadi golongan yang diperhatikan yang paling hina di sisi Allah. Sebaliknya, orang mukmin beramal dengna ihsan yang merasakan seolah-olah dia melihat Allah. Oleh itu dia merasa malu untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan suruhanNya,

Abdullah bin Dinar berkata: “Pada suatu hari, aku pergi ke Mekkah bersama Umar bin Khattab. Di salah satu jalan, kami berhenti untuk istirahat, tiba-tiba salah seorang penggembala turun kepada kami dari gunung. Umar bin Khattab bertanya kepada penggembala tersebut, “Hai penggembala, juallah seekor kambingmu kepada kami. Penggembala tersebut berkata: “Kambing-kambing ini bukan milikku, namun milik majikanku. Umar bin Khattab berkata: “Katakan saja pada majikanmu, bahawa kambingnya dimakan serigala.” Penggembala tersebut berkata: “Kalau begitu, di mana Allah? Umar bin Khaththab menangis, kemudian ia pergi ke majikan penggembala tersebut, lalu membeli budak tersebut, dan memerdekakannnya dan berkata: Aku telah merdekakan mu di dunia akibat dari ucapan mu. Aku berharap engkau juga akan dimerdekakan di akhirat nanti. "

Orang beriman yang sentiasa melakukan ketaatan dan menjauhkan diri dari maksiat, kerana yakin bahawa Allah melihat perbuatannya dan mendengar percakapannya, maka dia meraih perniagaan yang menguntungkan dengan Allah ..

“Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).  (As-Syura: 23),

“Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).” (Ali-Imran: 101)

Mereka ini dilindungi daripada kebimbangan dan kesedihan, kesusahan dan kesedihan; kerana Allah telah mengambil perjanjian dengan dirinya, bahawa Allah akan menyelamatkan dan membebaskan mereka daripada ujian dan bencana yang menimpa orang-orang yang berdosa, dan membiarkan syaitan menjerumuskan mereka kepada maksiat dan kesesatan ..

Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita. Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.  (Az-Zumar: 62),

Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.  (Al-An’am: 48).

Orang yang melakukan maksiat sebenarnya telah melakukan kemungkaran dan mengharungi kekejian sama ada kecil atau besar, lupa bahawa terdapat para malaikat yang sentiasa menulis dan mengira semua apa yang dikatakan dan apa yang dilakukan ..

“Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan. (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) - kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;”  (Al-Infitaar: 10-13),

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”  (Qaf: 18)

Jelasnya, segala dosa kecil atau besar dicatatkan kepada pelakunya. Begitu juga ketaatan ..

"Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan! 
"Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!"  (Al-Jatsiah: 28-29)

“Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya kami hanya menghitung hari yang sedikit sahaja bilangannya untuk mereka.” (Mariam: 84),

Ini bermakna seorang muslim mestilah berwaspada setia waktunya dan tidak memandang mudah maksiat dan berdosa sambil berkata : Ini kesalahan kecil. Ini akan menjerumuskannya kepada maksiat dan dosa yang lebih besar. Hal ini menjadi punca kepada kematiannya. Kita minta lindungan daripada Tuhan .. 

Hamba Allah dilarang dari menerima jemputan untuk memakan makanan yang haram kerana ianya akan membawa kepada keburukan yang menjauhnya daripada Allah, tidak memperolehi belaian, pemeliharaan dan kurniaanNya, dan seterusnya ditimpa kesengsaraan dan kesusahan.. Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda (bermaksud):

 "Sesungguhnya Allah itu baik dan hanya menerima apa-apa yang baik sahaja. Allah telah memerintahkan orang yang beriman sebagaimana yang diperintahkan oleh para rasul di mana Allah berfirman (bermaksud): Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh;  (Al-Mukminin: 51). Firman Allah SWT  (bermaksud): Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, (al-Baqarah: 172), Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram? (Hadis riwayat Muslim) 


Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top