Saturday, January 7, 2012

Tarbiah iman dan kesannya ke atas persaudaraan

Oleh Sabri Mohammed

Segala puji bagi Allah, kepada-Nya kita memuji, meminta pertolongan dan memohon petunjuk. Kita berselawat dan mengucap salam kepada utusan Allah, Nabi Muhammad saw sebagai hamba Allah terbaik, paling mulia dan terunggul. Adapun selepasnya ..

Saudara yang dikasihi, Alangkah perlunya kita pada hari ini ketika kita berada di atas jalan dakwah untuk mengingati bagaimana Rasulullah saw telah mendidik para sahabatnya yang mulia di atas suatu ikatan yang kukuh; Ketahuilah, itulah ikatan ukhuwwah dan persaudaraan kerana Allah, selepas baginda memimpin para sahabat ke dalam dakapan iman semasa perjumpaan tertutup di rumah al-Arqam yang telah mendidik hati mereka mengenai tauhid. Ayat-ayat Al-Quran di Mekah diturunkan terus ke atas mereka yang telah meninggikan jiwa mereka dan menghubungkannya dengan Pencipta yang Maha Berkuasa.

Pada ketika itu, Bilal bin Rabah ra seorang berbangsa Habshi, apabila hatinya telah terpaut dengan iman ini; maka beliau telah berdiri teguh di hadapan orang-orang musyrik sambil mengisytiharkan keimanannya yang padu (Esa.. Esa). Begitu juga, Khabab bin Aratt (guru Said bin Zaid dan isterinya, Fatimah binti al-Khattab); terus teguh  menghadapi seksaan dengan keimanan dan akidah yang padu. Begitulah juga, Mus’ab bin Umair yang telah memilih untuk meninggalkan dunia dengan segala perhiasan, kemewahan, pakaian yang cantik, haruman semerbak dan katil yang selesa .. Semua ini tidak lain hanyalah kerana Allah; yang telah menghubungkan hati orang-orang yang mencintaiNya, mengEsakanNya dan mengetahui hakikat dunia. Oleh itu, Allah telah mengurniakan kepada mereka sebaik-baik nikmat di dunia dan akhirat. Apabila wujud ikatan keimanan yang kuat di dalam hati, maka ia telah mengeluarkan dari hati-hati ini keburukan dunia dan segala penyakit, antaranya ialah wahn  " cinta dunia dan benci mati " dan hati-hati ini berada di bawah kehendak Allah. Lalu Allah telah menyatukan hati-hati ini dengan kehendak dan kuasaNya. Allah SWT telah berfirman (bermaksud):

“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”  (Al-Anfal: 63).

Justeru, alangkah perlunya kita mendidik diri dengan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Mekah; di mana ianya dapat menghubungkan hati kepada Allah, hari akhirat, syurga, neraka, hari perhisaban, hari dikumpulkan, dibuka buku-buku catatan dan berdiri di hadapan Allah. Inilah ayat-ayat yang telah melahirkan generasi unggul yang terdiri daripada para Sahabat, pengikut Sahabat dan orang-orang salih yang terdahulu hingga ke zaman sekarang yang dapat kita lihat contoh-contohnya yang terlalu banyak dan tidak mampu anda memadamnya.

Namun kita bawakan beberapa contoh jelas yang mana al-Quran menyatakan dalam konteks yang satu iaitu: golongan Muhajirin dan Ansar.

Di antara perkara yang membantu dalam jalan dakwah:

1 – Bersangka baik (husnu-zon):

Pendirian yang sangat jelas dan tidak berbelah bagi daripada keluarga Al-Ayoub terhadap Saidatina Aishah dalam peristiwa Hadits al-Ifk di mana beliau berkata kepada isterinya: “Adakah engkau mendengar apa yang orang katakan?", Isterinya menjawab: "Ya", Beliau berkata: "Jika saya di tempat Aishah, adakah engkau akan lakukan seperti apa yang mereka katakan tentang hal itu?”, Isterinya menjawab: “Tidak”, Beliau berkata: "Aishah lebih baik daripada engkau.", Kemudia isteri Ayub pula bertanya: "Dan jika aku di tempat Safwan, adakah engkau akan melakukan seperti apa yang mereka kata tentang Safwan? Beliau berkata: “Tidak, aku berlindung  kepada Allah.” Isterinya berkata: "Sofwan lebih baik daripada engkau."

Bagaimana keadaan anda dengan saudara-saudara anda jika mendengar sesuatu tentang  diri mereka? Fikirkanlah, jawablah dan lihatlah sendiri.

2 – Sikap ‘iffah (menahan diri) terhadap harta yang dimiliki oleh saudara-saudara anda:

Dalam Sahih al-Bukhari dari Anas ra berkata: “Setelah mereka tiba di Madinah Rasulullah SAW telah mempersaudarakan di antara Abdul Rahman bin Auf dengan Saad bin Rabi’, seorang yang kaya. Saad telah berkata kepada Abdul Rahman, “Saya adalah orang yang paling kaya di kalangan Ansar, marilah kita bahagi dua harta itu. Saya mempunyai dua isteri , pilih yang mana satu anda suka supaya saya ceraikan dia, apabila selesai ‘iddahnya, berkahwinlah dengan dia”. Abdul Rahman bin ‘Auf menjawab: “Mudah-mudahan Allah memberkati keluarga dan hartamu. Tunjukkanlah saya di mana pasar.” 

Wahai saudaraku, saya ingin bertanya di manakah makna-makna ini dalam akhlak kita hari ini? Kita meminjam wang antara satu sama lain dan kadang-kadang melewat-lewat membayarnya kerana mendakwa bahawa wang ini milik  saudara kita. Di manakah sikap iffah (menahan diri) terhadap harta saudara anda dan kehidupan mereka?!

3 – Mengambil berat anak-anak dan rumahnya ketika ketiadaannya:

Marilah kita melihat suatu sikap boleh kita contohi di dalam kehidupan kita, tatkala Jaafar ibn Abi Talib meninggal dunia, beliau telah meninggalkan tiga orang anak, yang miskin dan serba kekurangan. Lalu Nabi saw berkata: "Siapakah yang sanggup membantu anak-anak Jaafar? " Menurut perawi: Tiga sahabat telah berebut-rebut untuk membantunya: “Saya, Ya Rasulullah.. Saya, Ya Rasulullah ..”

4 – Menyembunyikan kelemahan saudara anda semasa hidup dan selepas kematiannya:

Imam al-Banna telah berkata dalam Risalah Usrah: "Hendaklah dia sembunyikan kelemahan itu selama sebulan dan tidak memberitahu kepada sesiapa apa yang diperhatikan itu kecuali kepada naqib usrah. Itupun jika dia gagal mengubahnya. Namun selepas itu dia hendaklah mengekalkan semangat kasih sayang, rasa hormat dan kemesraannya dengan saudaranya itu sehinggalah Allah menentukannya, kerana orang yang menyembunyikan kelemahan seorang Muslim, Allah akan menyembunyikan kelemahan beliau, dan orang yang mendedahkan kelemahan seorang muslim lain, Allah akan mendedahkannya pula. Inilah adab kenabian yang dengan jelas menyatakan balasan berdasarkan perbuatan yang dilakukan. "

5 – Memelihara dengan baik rumah dan keperluannya:

Marilah kita melihat sikap yang unggul Salman al-Farsi (penyelidik kebenaran) dan saudaranya Abu Darda. Hal ini diakui oleh doktor jiwa yang pertama, Muhammad ibn Abdullah yang telah bersabda: " Sesungguhnya Tuhanmu ada hak ke atasmu, dirimu ada
hak ke atasmu, keluargamu ada hak ke atasmu."- Dalam riwayat al-Tirmidhi: " Dan jiranmu ada hak ke atasmu. "- dan kemudian Nabi berkata:"Maka berikanlah oleh mu tiap-tiap yang ampunya hak itu akan haknya.” 

Oleh sebab itu Salman al-Farsi ra memperuntukkan siang dan malamnya mengajar saudaranya satu pelajaran yang akan memberi manfaat kepadanya untuk menjaga rumahnya. Kadang kala manusia sanggup menghabiskan masa, kehidupan dan keseluruhan agendanya; untuk menjaga rumah saudaranya dengan baik. Kadang kala kita lihat masalah-masalah yang berlaku di rumah saudaranya, tetapi tidak berusaha untuk menyelesaikannya dan hanya meneruskan kehidupan seharian seperti biasa. Inilah sikap yang tidak memahami erti persaudaraan, kerana antara kewajipan kita ialah saling nasihat-manasihati, sanggup mengorbankan diri untuk membantunya dan menunaikan keperluannya walaupun terpaksa mengambil masa anda, sanggup melalui perjalanan untuk saudara anda, atau campur tangan dalam pelbagai masalahnya untuk membantu dalam menyelesaikannya. Inilah apa yang difahami oleh para sahabat tentang persaudaraan.

Perkataan yang perlu didengari di telinga saudara

Orang-orang Islam yang ikhlas telah memahami kepentingan persaudaraan tanpa ikatan keturunan, harta benda dan apa jua maslahat. Mereka memahami bahawa tidak akan menjadi suatu umat yang kuat, tidak akan sempurna penyembahan kepada Allah, tidak akan tertegak kuasa Islam yang sepatutnya, melainkan wujudnya persaudaraan sesama mereka. Tiada seorang pun yang dapat menafikan nilai persaudaraan dan penyatuan dalam membina sebuah masyarakat yang baik. Persaudaraan tidak akan berlaku tanpa iman dan tidak akan sempurna iman tanpa persaudaraan. Firman Allah bermaksud:

 “Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara.” (Al-Hujurat: 10)

Wahai sadaraku, saya meminta anda menyatakan apakah yang dimaksudkan dengan persaudaraan bagi anda?
Selawat dan salam ke atas junjungan kita Muhammad, keluarganya dan para sahabatnya.

Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top