Friday, January 27, 2012

Pendakwah yang Islam impikan

Oleh: Dr. Ahmad Shahin

Pendakwah yang dikehendaki Islam adalah seorang yang memiliki sifat yang unggul. Contoh teladannya ialah Rasulullah saw dan para sahabat yang mana Allah telah kurniakan kemenangan kepada Islam dan kemuliaan kepada agama melalui mereka. Mereka telah berusaha untuk meneguhkan Islam di muka bumi dengan segala cara yang ada. Oleh itu, mereka telah memberikan saham yang besar untuk menghidupkan umat, membangunkan masyarakat, dan mengukuhkan negara.

- Pendakwah mempunyai iman mendalam yang mampu menggegarkan gunung yang kukuh dan tidak akan berasa lemah imannya dalam menjalankan dakwah, kerana cinta kepada dakwah telah menguasai hatinya dan tiada lagi ruang di dalam hatinya selain dakwah. Beliau tidak akan hidup dengan yang lain, sedangkan dakwah tetap kekal walaupun tanpa dirinya.
 
Sheikh Bahiy al-Kholi pernah berkata yang menggambarkan kesibukan pendakwah kerana cintanya kepada dakwah dan penguasaan dakwah ke atas seluruh dirinya: “Pendakwah adalah seorang yang memiliki kepercayaan yang kuat yang sentiasa menjadikan dakwah menduduki fikiran anda pada setiap masa, yang sentiasa mengingati dakwah dalam tidur dan jaga anda, semasa makan dan ketika bersama keluarga anda, ketika duduk diam dan dalam perjalanan anda. Malah, semua majlis yang disertai orang, maka anda gunakan untuk dakwah. Pada ketika berkeadaan damai atau permusuhan anda menggunakannya untuk dakwah.Juga ketika anda gembira atau sedih tetap ada ruang untuk dakwah.  Pada keseluruhannya dakwah menjadi permasalahan pertama yang hadir dalam kehidupan anda sepanjang masa, dari hal-hak pokok dan juga hal-hal sampingan dalam penghidupan anda. Oleh itu, janganlah anda berfikir bahawa dakwah ini memerlukan masa yang banyak kepada anda. Anda adalah pendakwah dan anda bukan sasaran dakwah (mad’u) kerana kedua-dua antara pendakwah dan mad’u terdapat perbezaan yang besar.” Tazkirah ad-Duat oleh Sheikh Bahiy al-Kholi, ms 31

- Pendakwah  yang memberi perhatian kepada dakwah pada waktu malam dan siangnya, menghabiskan seluruh masanya untuk dakwah, mengerahkan segenap tenaga dan kemampuannya untuk itu, bergaul dengan masyarakat, memberi kesan kepada mereka dan sanggup menjadikan dirinya berpenat lelah demi kerehatan orang lain. “Dakwahnya hidup pada seluruh urat saraf beliau, bercahaya dalam hati nuraninya, mengalir dalam darahnya. Beliau segera meninggalkan waktu rehat dan bersantai untuk bergerak dan bertindak, mementingkan dakwah mengatasi diri, anak-anak dan hartanya. Inilah pendakwah yang  benar yang merasai keimanan kepada dakwahnya dalam persepsi, pergerakan dan petanda, dan di dalam kejernihan yang tergambar pada air mukanya. Justeru, beliau seorang pendakwah yang menyebabkan kata-katanya dapat melunakkan hati orang ramai hingga menggerakkan emosi mereka kepada apa yang dihendaki dari dakwahnya itu.” Tazkirah ad-Duat ms 29

- Pendakwah yang teguh di atas prinsip dan dakwahnya hingga akhir kehidupannya, ia merendah diri kepada sasaran dakwahnya (mad’u), ia melemparkan senyuman kepada orang ramai dan ia tidak meninggi diri, ia menepati janji-janjinya dengan orang dan tidak akan menipu daya seperti serigala. Pendakwah sentiasa mencari keredhaan Tuhannya dan tidak mengharapkan dunia dengan amalan akhiratnya. Dia hidup untuk dakwahnya, berjuang untuk itu dan mati pada jalannya, tanpa pernah menukar atau mengubahnya, atau berhenti dari meneruskan perjalanan dakwahnya yang panjang. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzab: 23).

. - Pendakwah yang percaya kepada ajal dan rezkinya di tangan Tuhan, maka ia tidak akan berubah menurut perkembangan semasa, demi sesuap nasi untuk hidup dan tidak akan makan apa jua yang di hidangkan di atas setiap meja demi untuk hidup, bahkan kematian yang mulia lebih dicintai daripada kehidupan yang memalukan.
  
Slogannya ialah seperti ungkapan penyair:

“Sama ada sebuah kehidupan yang sentiasa jujur     Dan sama ada kematian yang  menjengkelkan musuh.”

- Pendakwah contoh yang melaksanakan usaha dakwahnya di dalam gerak dan diamnya, rahsia dan terangnya, malam dan siangnya, di dalam perjalanan dan menetapnya, dalam senyap dan kata-katanya (yang hanya bercakap tentang rahsia-rahsia dakwah dalam ucapan dan ungkapannya, tidak pernah mengutamakan kepada kebatilan, bahkan menyediakan mereka untuk menerima kebenaran yang akan menyatukan akal dan fitrah). Tazkirah ad-Duat ms 29

- Pendakwah yang mempelajari fiqh dakwah, tahu bagaimana untuk menyeru orang dan memberi kesan kepada mereka dan meningkatkan diri sehingga ke tahap tertinggi dalam usaha pembaikan: “Pendakwah ialah orang yang berusaha untuk masuk ke dalam perasaan orang ramai dengan hikmah dan kebijaksanaan hingga menggerakkan kesedaran dan membangkitkan emosi mereka kepada Allah. Jika anda datang dengan usaha kepada pembaikan itu dan anda ingin melunakkan jiwa mereka dengan kata-kata pembaikan supaya menjadikan mereka seperti yang dikehendaki dalam pembaikan, maka terangkanlah kepada mereka tentang tujuannya dan membangkitkan harapan di dalam hati mereka kepada pembaikan yang mereka sukai.” Tazkirah ad-Duat ms 34

Apa yang diperlukan bukanlah penyediaan pendakwah sahaja tetapi yang dikehendaki oleh Islam ialah pendakwah yang memiliki kefahaman, yang memahami Islam dari segi akidah, syariat, akhlak dan budipekerti, yang mengetahui realiti hidup semasa dengan segala pemasalahannya, menyediakan untuk setiap masalah dengan jalan penyelesaian Islam yang bersesuaian berdasarkan sumber-sumber undang-undang Islam. Masalah yang dikenali oleh masyarakat sebagai arus pemikiran bercampur-baur, yang diimport dari Barat untuk melemahkan kekuatan Islam, yang mempengaruhi ke dalam minda anak-anaknya dengan menimbulkan keraguan, memprovokasi perselisihan yang menutup pintu-pintu penyatuan dan mengambalikan manusia kepada suasana seperti mana ia datang.

Beliau adalah pendakwah (yang mampu menyampaikan dan memberi kesan melalui dakwah dan fikrahnya kepada setiap orang biarpun berbeza kecenderungan, sifat semula jadi dan peringkat mereka, dan biarpun penguasaan ruang massa yang sangat luas dan penguasaan secara intelektual dan fizikal). Penguasaan dalam kehidupan dakwah dan pendakwah. Fathi Yakan, ms. 9

- Kita mahukan pendakwah yang mencapai semua sifat (muwasofat) pendakwah. Sheikh Bahiy al-Kholi telah merumuskan sifat pendakwah yang diingini iaitu: “Pendakwah adalah seorang yang  beriman dengan fikrah yang menyeru kepadanya melalui tulisan, syarahan dan percakapan biasa, seorang yang bekerja keras dalam perjalanan hidupnya yang khusus dan umum dan berusaha sedaya upaya yang boleh melalui pelbagai wasilah dakwah. Oleh itu, beliau adalah seorang penulis, penceramah dan juru bicara utama, serta seorang yang memberi kesan kepada orang melalui perbuatan dan keperibadiannya. Pendakwah juga seorang doktor sosial yang merawat penyakit-penyakit jiwa dan memperbaiki situasi masyarakat yang rosak. Oleh itu, beliau adalah seorang yang celik dan kritikal, di mana hidupnya sentiasa bekerja untuk memperbaiki dan mengubah masyarakat kepada apa yang dikehendaki Allah .. Pendakwah menjadi sahabat, teman dan saudara kepada yang kaya dan miskin, yang besar dan kecil.

Melalui sifat-sifat ini akan menyerapkan kasih sayang ke dalam hatinya, mengalirkan belas kasihan dalam kedua matanya dan melahirkan persamaan dalam lidah dan tangannya. Hal ini sangat diperlukan bagi seorang pendakwah, yang merupakan salah satu dari hadiah roh, bukan dari sifat retorik dan kebolehan lidah.

Pendakwah ... mesti mempunyai pengaruh psikologi, penguasaan rohani, perhubungan dengan Allah dan menggunakan akal untuk menilai apa yang berlaku daripada pengalaman sejarah dan keadaan manusia.” Tazkirah ad-Duat ms 5

Dakwah Islam di zaman kita jika mempunyai pendakwah yang jujur yang mengambil langkah-langkah dalam penyampaian dan sebab-sebab hidayah dalam menyeru manusia, akan ditetapkan kejayaan bagi dakwah dan pendakwah menjadi kuat, mewah dengan pemberian dakwah dan kaya dengan kesannya. Tugas pendakwah adalah memberi petunjuk kepada manusia ke jalan Allah, membawa mereka lebih dekat denganNya dan menggalakkan mereka dengan apa yang ada di sisiNya. Allah berfirman bermaksud:

"Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.”  (Al-A’raf: 181),

“Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.” (Al-A’raf: 159)

Sifat-sifat di atas adalah sifat-sifat pendakwah yang benar, yang telah dipilih oleh Allah untuk menjalankan dakwah, menyampaikan risalahNya dan memimpin orang ramai kepada Tuhan. Pendakwah adalah seorang yang hidup untuk menyebarkan fikrahnya dan merasai penderitaan di jalan memenangkan dakwahnya, dirinya berpenat lelah demi keselesaan orang lain, dan sanggup mengorbankan dirinya demi dakwah dan pengikutnya. Pendakwah seperti ini adalah pendakwah rabbani yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran di dalam ayat (bermaksud): 

“(Nabi-nabi yang telah lalu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalasa mereka.” (Al-Ahzab: 39)

Alangkah perlunya umat kepada pendakwah seperti ini untuk menyebarkan dakwah di dalam masyarakat Islam dan bangsa lain, dan untuk memimpin umat kepada kemuliaan dan kedaulatan, kemenangan dan kekuasaan, dan mereka menjadi kumpulan pembaharuan yang diimpikan. Allah SWT berfirman (bermaksud):

“Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.”  
(Ibrahim: 20)

Kita memohon agar Allah menjadikan kita termasuk daripada mereka.

Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top