Thursday, February 2, 2012

Rasulullah Qudwah Kita


Oleh: Waleed Shalaby

Dengan kemuliaan bulan Rabi ul-Awwal dan ulang tahun kelahiran Nabi saw, marilah kita mengutip beberapa pelajaran dan pengajaran dari sirah Nabi saw di mana kita hari ini berada di hadapan kurniaan terbesar dan di sisi sinaran sirah Nabi yang diberkati. Justeru, Imam as-Syahid telah menggambilnya sebagai slogan bagi dakwah Ikhwan Muslimin dan antara laungan yang sentiasa diungkap-ungkap dengan lidah, hati dan perbuatan mereka: “Ar-Rasul Qudwatuna” .. Ya, "Ar-Rasul Qudwatuna" (Rasulullah adalah ikutan kami) dalam perkataan, perbuatan dan aplikasi, dan seterusnya kita berusaha untuk menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan kita.

Jelasnya kewujudan qudwah yang baik dalam kehidupan umat, bangsa dan dakwah adalah sangat penting supaya dapat diikuti dan menjadi contoh panduan-panduan positif dalam kehidupan, sama ada dengan Allah dalam hal pelaksanaan ibadat dan kewajipan agama, atau dengan diri sendiri, melatih dan mendidik diri dengan akhlak terpuji, atau dengan ibu bapa dan anak-anak dalam keluarga untuk membina sebuah keluarga yang utuh, atau dengan masyarakat dalam urusan agama dan dunia.

Oleh sebab itu, Allah SWT telah menjadikan Nabi saw sebagai qudwah dan contoh yang  telah mempraktikkan agama yang diutuskan kepadanya sehingga manusia dapat menjalani kehidupan bersama agama dan RasulNya secara realiti dan hakiki yang jauh daripada hanya idea semata-mata. Rasulullah saw adalah contoh terbaik kepada umat dalam melaksanakan agama ini, supaya rasul menjadi cahaya buat umat sehingga ke hari kiamat. Justeru, wajib setiap orang Islam mengikut contoh Rasulullah saw, kerana mengambil contoh adalah asas petunjuk. Allah SWT telah berfirman (bermaksud): 

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab: 21)

Rasulullah saw merupakan contoh yang lengkap dalam semua aspek kehidupannya sama ada dari segi iman, ibadah, akhlak, perilaku dan pergaulan dengan orang lain mahupun dalam segala urusan beliau. Kehidupan Rasulullah adalah ideal untuk dilaksanakan di dalam dunia realiti dan memberi pengaruh ke dalam jiwa manusia. Kehidupannya telah terhimpun sifat-sifat kesempurnaan dan seni-seni mempengaruhi manusia. Di dalam kehidupan baginda kata-katanya dituruti dengan tindakan dan perbuatan. Tidak dapat dinafikan bahawa qudwah dan contoh adalah pengaruh yang paling kuat dalam jiwa berbanding bergantung kepada teori-teori cadangan. Atas sebab ini, Allah telah mengutuskan rasul adalah untuk memberitahu kepada manusia supaya mengambil contoh dari petunjuk mereka. Allah mengutuskan Rasulullah saw adalah untuk menjadi contoh yang baik supaya manusia mengambil teladan darinya dan mencontohi kehidupannya. Firman Allah SWT bermaksud:

“Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.” (Al-An’am: 90).

Jelaslah bahawa qudwah dan contoh teladan masih memberi pengaruh yang mengkagumkan dan akan kekal berkesan dalam jiwa manusia, di mana ianya adalah salah satu cara tarbiah yang paling berkesan ke dalam jiwa manusia. Ini kerana adanya rasa kekaguman terhadap seseorang yang lebih sempurna darinya dan sedia untuk dipengaruhi oleh keperibadiannya dan cuba mencontohinya. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa dakwah melalui teladan adalah kaedah yang paling berjaya untuk menyebarkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang didukung oleh pendakwah.

Memahami slogan

Rasulullah saw adalah ketua para pendakwah yang menjadi qudwah, contoh, guru dan murabbi yang bijaksana di mana Allah SWT telah memerintah kita supaya mengkaji jalan hidupnya dan mengikutinya dalam ibadah, dakwah, akhlak, tingkah laku dan dalam semua urusan kehidupan kita. Allah SWT telah berkata (bermaksud): 

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."  (Yusuf: 108).

Jadi kita hendaklah memahami slogan dan laungan daripada "Ar-Rasul Qudwatuna" (Rasulullah adalah ikutan kami) sebagai satu manhaj kehidupan; kerana manhaj Islam perlukan manusia untuk membawa dan menterjemah ke dalam tingkah laku dan tindakan supaya dapat menukarkannya ke dunia realiti dan praktikal yang ketara dan nyata. Oleh sebab itu, Rasulullah saw merupakan gambaran yang lengkap bagi manhaj ini.

Demikianlah kita seharusnya mengambil slogan ini; "Rasulullah adalah ikutan kami" sebagai suatu agenda untuk dipraktikkan kepada kita sendiri sebelum orang lain, mengikut contoh baginda saw dalam semua aspek kehidupan kita. Apa jua pendekatan dan program yang praktikal, bergerak dan diam hanyalah untuk melaksanakan agenda ini dan menukar ke alam realiti yang dapat dilihat kesannya ke atas mereka dalam bentuk tindakan dan perlaksanaan.

Oleh itu kita hendaklah mengambil contoh Nabi saw dalam segenap aspek kehidupan tanpa pengecualian; di rumah, masyarakat, kepimpinan, dakwah dan pendidikan, serta berusaha keras untuk melaksanakan matlamat ini.

Qudwah di rumah

Anggota umat dari semua peringkat dan kategori hendaklah mengikut jalan hidup nabi sebagai pendakwah; di rumah, dakwah, perjalanan hidup dan kerjaya, dan berakhlak dengan akhlaknya dan bergaul dengan keluarga dan kawan-kawan sepertimana Nabi bergaul. Dengan ini melayakkan kita mendapat keredhaan Allah dan memperolehi ganjaran kerana mencontohi sebaik-baik makhluk ciptaan Tuhan.

Seluruh perbuatan Nabi saw tergambar dari firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”  (Al-Qalam: 4),

Perjalanan hidup manusia ini sangat jelas keharumannya dalam semua aspek hidup kekeluargaan bersama dengan isteri dan anak-anaknya; di mana beliau sentiasa berkata dengan perkataan yang paling baik dan ungkapan yang paling lembut. Nabi sentiasa bergurau senda dan bergaul mesra, membawa kebahagiaan ke dalam hati mereka,  mengadili mereka dan sebagainya. Ummul Mukminin Aisyah ra menggambarkan tentang akhlak Nabi saw ketika berkata "Bahawa akhlak Nabi ialah Al-Quran . "

Qudwah di dalam masyarakat

Rasulullah saw memiliki akhlak pada tahap yang tinggi,kesedaran yang hebat dan kasihan belas yang mendalam dalam berurusan dengan masyarakat. Baginda tidak sama sekali meninggi diri kepada sesiapa sahaja daripada mereka, menemui mereka dengan wajah yang manis dan senyum, berkongsi kegembiraan dan kesedihan, mengambil berat dalam permasalahan mereka dan berusaha menyelesaikannya, menyama rata sesama mereka semua tanpa diskriminasi atau perbezaan, sama ada Arab atau bukan Arab, muda atau tua. Dari sini masyarakat memperoleh kekuatan dan keutuhan, dan mustahil untuk kekalahan dan perpecahan.

Oleh itu, masyarakat Islam dengan seluruh elemen-elemennya hendaklah mengikut contoh yang dipamerkan oleh Nabi saw. Baginda tidak pernah sombong terhadap hamba-hamba Allah, tidak menindas, tidak menipu dan tidak menyusahkan hal ehwal mereka, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran, menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada berbuat kejahatan; sehingga dapat meyakinkan orang antara satu sama lain dan meningkatkan kepercayaan sesama mereka. Dengan itu, menghilangkan segala kemarahan dan kebencian dalam masyarakat, mewujudkan keharmonian dan kasih saying. Kemudian memperoleh kemenangan dan tercapai harapan dan aspirasi.

Qudwah sebagai pemimpin

Dalam zaman ini hak kemanusiaan dan kebebasan telah musnah, harus berbunuh-bunuhan, dan kekejaman mengambil tempat belas kasihan, kekejian menggantikan kemuliaan. Semuanya adalah faktor kerosakan dan kemusnahan kepada dunia. Ia sebenarnya bukan sahaja akibat tidak mencontohi akhlak-akhlak mulia dan nilai-nilai yang dibawa oleh Nabi saw, bahkan para pemimpin dan raja-raja mengutamakan kepentingan peribadi, menggunakan kekerasan dan kuasa kepada hak-hak rakyat mereka.

Rasulullah saw mementingkan individu sebagai asas bagi penubuhan sebuah Negara dan keseluruhan agendanya itu dengan memberikan didikan, pembangunan dan penilaian, kemudian diletakkan di dalam masyarakat asas-asas keadilan, kebebasan dan kesaksamaan di kalangan semua anggota masyarakat, yang Islam dan bukan Islam. Jelaslah bahawa dunia telah kehairanan melihat layanan Rasulullah saw dengan musuh-musuhnya. Tidak pernah berlaku dalam sejarah orang yang lebih mengasihani musuh-musuhnya daripada beliau walaupun telah melalui pelbagai kesusahan, penderitaan dan penyiksaan.

Rasulullah saw adalah seorang pemimpin yang merendah diri dan amat mengasihani; yang sanggup tidak tidur malam demi kepentingan rakyat, merasakan berapa banyak tanggungjawab rasmi dan menanamkan pemahaman ini ke dalam jiwa , di mana beliau pernah bersabda (bermaksud):


 Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya." (Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan ini, para sahabatnya apabila diberikan kuasa memerintah selepas baginda, mereka telah menjadikan baginda sebagai contoh mereka dalam hal ini. Mereka merasa bangga dan berbahagia, serta memuliakan umat dan agama mereka. Saidina Omar ra ketika dia memberikan kata-kata nasihat kepada pegawai-pegawainya yang akan menguruskan hal ehwal rakyat, beliau berkata: "Wahai manusia..Sesungguhnya Allah membesarkan hakNya mengatasi makhluknya," dan kemudian berkata: " Saya tidak mengirimkan kalian menjadi penguasa semata-mata dan bukan untuk melakukan kekerasan, tetapi saya mengirimkan kalian adalah untuk menjadi pemimpin ke arah kebaikan yang boleh menjadi ikutan rakyat. Oleh itu, janganlah kalian menghalang hak-hak mereka kerana perbuatan itu merupakan suatu penindasan kepada mereka."

Qudwah dalam pembaharuan dan perubahan

Seolah-olah masa telah berputar seperti keadaan pada hari Nabi saw dilahirkan dan dibangkitkan di mana suasana yang rosak dan adat yang dipakai tidak jauh berbeza daripada norma-norma dan nilai-nilai yang dialami oleh umat manusia dalam tempoh tersebut, tetapi ia dalam bentuk yang berlainan kerana adanya kemajuan sains dan dihiasi dengan kemewahan pembangunan dan kemodenan.

Rasulullah saw telah menempuh situasi politik yang rosak di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa. Untuk melakukan perubahan Rasulullah telah mengumumkan sejak dari awal lagi bahawa iman yang benar dan akidah yang betul adalah satu-satunya jalan untuk pembaharuan dan perubahan.Rasulullah telah tetapkan sejak saat pertama asas yang paling penting untuk pembaharuan dan perubahan apabila beliau berkata: " Wahai manusia katakanlah: “Tidak ada Tuhan melainkan Allah” nescaya kalian akan berjaya.”  Justeru Rasulullah terus menanamkan iman ke dalam hati, menyucikan jiwa dan membersihkan hati, kemudian mendirikan asas-asas sebuah negara.

Ini merupakan titik permulaan untuk perubahan dan pembaharuan di semua peringkat dan dalam pelbagai aspek, iaitu atas asas yang kukuh dari segi iman yang benar dan akidah yang betul dalam hati individu yang rabbani. Mereka berjaya mewujudkan sebuah masyarakat yang salih dan beriman, dan Negara yang mulia dan rabbani yang akan mengubah wajah sejarah.

Cara mengikut contoh

Langkah pertama untuk mencontohi Nabi saw yang mulia ialah kita hendaklah tahu siapa dan apa yang hendak dicontohi, iaitu dengan mengkaji perjalanan hidup nabi dan sunnahnya itu, supaya mengetahui bagaimana kehidupannya, bagaimana pergaulannya dan bagaimana beliau berjalan dalam seluruh aspek kehidupannya. Nabi saw adalah satu-satu manusia secara mudah diketahui kerana seluruh hidupnya adalah bagaikan sebuah buku terbuka untuk semua. Tiada aspek khusus dalam kehidupannya yang orang tidak ketahui, bahkan kehidupannya dari perkara yang paling kecil dan yang paling khusus dapat diketahui oleh para sahabat, bahkan kehidupan baginda dibukukan supaya umat selepasnya dapat membacanya sehingga tiba hari kiamat.

Oleh itu, kita mestilah mempunyai ikatan dengan manhaj dan nilai-nilai yang tetap di dalamnya, dan cuba untuk menyesuaikan variasi yang berbeza dalam kehidupan kita; supaya dapat selari dan bertepatan dengan nilai-nilai yang tetap sehingga kita menjadikannya sebagai pemandu dalam hidup kita. Disamping itu kita mestilah mengeluarkan ruhnya dari pembacaan kita tentang perjalanan hidup Rasulullah dalam menangani sesuatu perkara. Justeru, sepatutnya pembacaan kita terhadap perjalanan hidup Nabi saw adalah pembacaan seorang penyelidik tentang manhaj yang diambil daripada urusan hidupnya.

Kita tidak boleh mengambil qudwah dari Nabi saw hanya dari satu aspek tanpa yang lain, atau perlaksanaan urusan hidup kita berbeza daripada manhajnya. Namun, kita hendaklah mengambil contoh daripada kehidupan Nabi secara menyeluruh dalam semua aspek dan berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat ini.

Jelasnya, mencontohi Nabi saw secara yang betul memerlukan kita: Mengamalkan sunnahnya secara dalaman dan luaran, mencintai pemilik manhaj (Rasulullah), mempunyai pengetahuan tentang manhajnya yang ingin kita contohi dan kesedaran tentang nilai-nilai agung yang berlaku dalam hidupnya. Mengamalkan pada diri sendiri secara beransur-ansur sedikit demi sedikit sehingga menjadi acuan yang berterusan dan bertepatan di atas manhaj Nabi, mengambil panduan dan bimbingan dari orang-orang yang mencontohi Nabi saw daripada para pembaharu dan pendakwah, dan berusaha untuk bergaul dengan rakan-rakan yang soleh yang akan membantu untuk tetap di atas manhaj ini.

Kita janganlah lupa untuk sentiasa memperbanyakkan selawat kepada Nabi saw dan  jangan lupa bahawa mencintai Nabi saw adalah antara asas iman yang tidak  akan sempurna tanpanya. Rasulullah saw telah bersabda:


"Demi jiwa yang berada ditanganNya, tidak sempurna iman seorang kamu sehingga saya lebih dicintai daripada bapanya, anaknya dan semua manusia."

 Firman Allah SWT bermaksud: 

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).” (An-Nisa’: 69)

Oleh itu kita hendaklah menyempurnakan kecintaan sejati untuk Nabi Muhammad saw, dan mendahulukan cinta, kata-kata dan suruhannya daripada yang lainnya:

“Ada tiga perkara, barangsiapa yang tiga perkara itu ada padanya, maka ia akan mendapatkan manisnya keimanan: Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada selain keduanya; tidaklah ia mencintai seseorang kecuali karena Allah;  seorang yang tidak mau kembali kedalam kekufuran, sebagaimana ia benci untuk dilemparkan ke dalam api neraka”.(Al-Bukhari dan Muslim)

Mengikut dan mencontohi Nabi saw adalah bukti kecintaan hamba kepada Tuhannya. Dengan itu ia akan menerima kasih sayang Allah. Dalam hal ini Allah SWT berfirman (bermaksud):

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali-Imran: 31).

Kesimpulan ..

Kita mestilah mencontohi Nabi saw pada setiap langkah dan tindakan. Kita juga hendaklah menjadi sebagaimana yang disukai Allah SWT dan yang dikehendakiNya, dan mencontohi Rasulullah saw yang juga kekasih Allah pada setiap masa dan keadaan, terutama kerana Saidatina Aishah telah menggambarkan Rasulullah saw bahawa ianya adalah "Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi."

Oleh itu kita hendaklah menjalani kehidupan sesuai dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi secara praktikal, mendapatkan pelajaran dan pengajaran daripada keduanya, melaksanakannya kepada diri kita sendiri sebelum orang lain, dan mengerah segenap kemampuan kita untuk mencapai satu model contoh, melaksanakan slogan "Rasul adalah ikutan kami," dan mengubahnya menjadi realiti pada diri kita dan masyarakat kita. Kita hendaklah membuat persediaan kendiri dalam kesucian hati, kesejahteraan akal dan meluruskan anggota.
  
Oleh sebab itu Nabi saw sentiasa hidup di dalam jiwa dan sanubari kita dengan mengikuti dan mengambil qudwah dalam setiap langkah dari langkah kita dan setiap kali diam kita.

----------
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top