Oleh: Dr. Hussein Hussein Shehata
Maksud sumber halal:
Pendapatan yang terhasil dari kerja-kerja yang sah dari segi syariat atau dari urus niaga dan aktiviti yang menepati hukum dan prinsip syariat Islam. Sumber yang halal dan baik itu mengandungi keberkatan dari segi dalaman dan luaran yang mana akan menambahkan manfaat dan nilainya.
Dalil daripada al-Quran dan Sunnah:
Firman Allah SWT (bermaksud):
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu” (Al-Baqarah: 168),
Di dalam ayat ini Allah SWT menyuruh semua orang mencari yang halal dan baik. Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud):
“Allah menyayangi orang yang bekerja secara halal, membelanjakan hasilnya secara sederhana, dan mengutamakan simpanan (tabungan) untuk hari kekurangan dan keperluannya (di waktu mendatang).” (H.R. Ahmad).
dan di hadis ini Rasulullah saw menegaskan tentang tiga prinsip, iaitu:
- Pendapatan yang halal.
- Bersederhana dalam berbelanja.
- Simpanan dan pelaburan untuk masa depan.
Kami membuat kesimpulan dari perkara di atas bahawa wajib memperolehi pendapatan yang halal dan baik untuk membantu seseorang beribadah kepada Allah; kerana Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik sahaja. Di antara ibadat ialah berdoa dan antara syarat penerimaan sesuatu doa ialah pendapatan yang baik. Inilah apa yang akan kami bincangkan dalam perenggan seterusnya.
Antara syarat penerimaan doa ialah pendapatan halal dan baik:
Rasulullah saw telah menjelaskan bahawa di antara syarat-syarat penerimaan doa ialah memakan makanan yang halal dan baik, seperti yang dilaporkan dari Ibn Abbas r.a, beliau berkata; Aku membaca ayat ini di sisi Rasulullah saw: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.” Ibnu Abbas berkata bahwa Sa’ad bin Abi Waqash berkata kepada Nabi Saw “Ya Rasulullah, doakanlah aku agar menjadi orang yang dimakbulkan doa-doanya oleh Allah.” Lalu Rasulullah saw menjawab: “Wahai Sa’ad perbaikilah makananmu (makanlah makanan yang halal) nescaya engkau akan menjadi orang yang selalu dimakbulkan doanya. Dan demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, sesungguh jika ada seseorang yang memasukkan makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amalnya selama 40 hari dan seorang hamba yang dagingnya tumbuh dari hasil menipu dan riba, maka neraka lebih layak baginya.” (HR. Thabrani)
Sabda Rasulullah saw lagi (bermaksud):
“Barang siapa mengumpulkan harta haram, kemudian menyedekahkannya, maka tidak ada pahala dan dosanya untuknya.” (HR. Ahmad)
Menurut para ulamak fiqh: Allah tidak akan mengampunkan perbuatan keji dengan perbuatan keji yang lain, tetapi Allah hanya mengampunkan perbuatan keji dengan perbuatan yang baik. Mereka mengatakan: "Tidak akan elok satu daging yang tumbuh daripada sumber haram melainkan neraka paling layak baginya ," Rasulullah saw pernah ditanya mengenai seorang wanita yang melakukan zina dan kemudian bersedekah hasil dari perbuatan zina itu, beliau bersabda (bermaksud): " Saya berharap wanita itu tidak berzina dan dia tidak bersedekah (hasil dari perbuatan zina itu). "
Disamping itu terdapat satu riwayat bahawa Rasulullah telah bersabda (bermaksud):
" Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu baik yang tidak menerima kecuali yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang beriman sama seperti yang diperintahkan kepada para rasul. Allah SWT telah berfirman (bermaksud) :
“Wahai para rasul, makanlah dari (makanan) yang baik-baik dan beramallah dengan amalan salih.” (Al-Mukminun: 51)
dan firmanNya (bermaksud):
“Wahai orang-orang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami kurniakan kepada kamu.” (Al-Baqarah: 172)
Kemudian baginda menyebut; "Seorang lelaki melakukan perjalanan jauh, rambutnya kusut, mukanya berdebu, menadahkan kedua tangannya ke langit dan mengatakan,’Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!’ Padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diterima doa itu?” (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya: Anda mesti mencari pekerjaan dan pendapatan yang halal dan membersihkan hartabenda kita daripada yang haram supaya Allah menerima doa-doa kita dan amal salih kita.
---------
* Profesor di Universiti Al Azhar - seorang perunding kewangan syarie
No comments:
Post a Comment
Sila berikan komen anda