Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada Rasulullah, keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat .. Selepasnya:
Sesungguhnya telah datang seorang Rasul yang membawa agama agung yang mendaulatkan keadilan, menyebarkan kerahmatan, mewujudkan kesamarataan, menghapuskan ketidakadilan, menghancurkan penyimpangan kuasa dan mengasaslan umat agung yang mengajarkan manusia prinsip-prinsip kebebasan dan persaudaraan .. Dan buat pertama kali dalam sejarah manusia berada dalam keadilan, kesamarataan dan kerahmatan .. Tanpa diskriminasi kepada warna, bangsa, kelas atau kepercayaan:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’: 105),
Allah SWT telah menggabungkan dua sifat daripada nama-namaNya kepada Rasulullah iaitu ar-Raof (belas kasihan) dan ar-Rahim (kasih sayang). Allah SWT telah berfirman (bermaksud):
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah: 128).
Jelasnya Nabi Muhammad saw tidak meninggalkan dinar dan dirham untuk diwarisi .. Tetapi mewariskan kepada kita satu amanah kehidupan seluruhnya, iaitu "Islam" dan meninggalkan kepada kita satu hujah sehingga hari kiamat, iaitu, "Al-Quran". Al-Quran merupakan tali Allah yang memanjang dari langit ke bumi, sebahagian ada pada kita dan sebahagian ada di tangan Tuhan yang akan memberikan kepada orang yang berpegang dengannya kerana hanya Allah yang akan memudahkan jalan kepadaNya dan berpegang kepada simpulan (agama) yang teguh yang tidak akan putus. Di samping itu Rasulullah telah meninggalkan kita sunnahnya sebagai manhaj amali dalam semua aspek kehidupan. Sesiapa yang mengikutinya akan selamat daripada kesesatan kepada petunjuk, hidup berbahagia dan memenangi syurga. Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda (bermaksud):
"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu (dua perkara) yang mana pasti kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu mengambil keduanya atau mengamalkan keduanya; Kitab Allah dan Sunnahku, Kedua pusaka ini tidak berpisah sehingga di datangkan Haudh kepadaku (sampai kiamat). " (HR. Tirmizi)
Dakwah kita adalah tertakluk kepada dua pusaka yang agung ini dan sejarah hidup para salafussoleh yang diberkati Allah. Imam al-Banna rahimahullah pernah mengungkapkan: “Dakwah kita adalah Islam itu sendiri, merangkumi seluruh aspek yang terkandung dalam istilah islam itu sendiri. Fahamilah kandungan Islam ini. Cuma fahaman anda ini mestilah berlandaskan Kitab Allah, sunnah Rasul dan sejarah para salafussoleh. Kitab Allah merupakan asas dan landasan kepada Islam. Sunnah Rasul pula menjadi pentafsir kepada Kitab Allah. Sementara sejarah hidup slafussoleh yang menjadi pelaksana kepada segala perintah dan segala ajarannya merupakan contoh praktikal kepada segala perintah dan ajaran ini.”
"Dan apabila dikatakan kepada anda: Apakah dakwah anda ?.. Katakanlah:Dakwah kami adalah menyeru kepada Islam sepertimana yang telah dibawa oleh Muhammad, kerajaan yang merupakan sebahagian daripada dakwah, dan kemerdekaan yang merupakan antara kewajipan Islam ..".
Rasul contoh terbaik
Di antara kaedah tarbiah yang paling berkesan ke dalam jiwa ialah tarbiah melalui qudwah dan contoh teladan:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab: 21),
Sejarah hidup Nabi dan pendekatan beliau, merupakan sebaik-baik “madrasah” untuk para penguasa, semua ahli politik, setiap guru, setiap suami mahupun setiap bapa. Beliau adalah contoh manusia sempurna dan lengkap untuk semua orang yang ingin menjadi manusia sempurna dalam bentuk yang terbaik. Kemudian slogan kita sejak awal dakwah, "Rasul adalah ikutan kami" dan kemudian "Ikhwan Muslimin" tidak melaungkan sorakan nama seseorang pemimpin selain daripada nabi, di mana sorakan mereka hanyalah "Rasulullah adalah pemimpin kami". Orang Islam tidak akan memperolehi cinta Allah melainkan mengikut petunjuk Rasulullah saw. Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Ali-Imran: 31),
Hinggakan ketika beberapa orang anggota Ikhwan melaungkan nama ustaz al-Banna di dalam satu majlis beliau begitu marah dan menegah daripada berulang dalam apa jua keadaan.
Oleh sebab itu, umat Islam mestilah mengikut dan mencontohi Rasulullah dan berakhlak dengan akhlak Al-Quran kerana "Akhlak Nabi adalah al-Quran ". Dengan cara ini mereka telah dihiasi dengan budipekerti mulia dan akhlak terpuji. Sabda Rasulullah saw bermaksud:
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik"
Allah SWT telah memuji akhlak baginda. FirmanNya yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam: 4)
Gambaran dari kehidupan Nabi akan menerangi jalan untuk kita
Jelasnya umat Arab yang Islam dan dunia Islam memerlukan cahaya yang bersumber daripada petunjuk Nabi, yang akan menghilangkan kegelapan yang telah menutupi mereka, serta memunculkan fajar kebebasan, menyinarkan pancaran keadilan dan melahirkan kemuliaan dan ketinggian bagi umat kita. Inilah beberapa situasi tarbawi daripada kehidupan Rasulullah saw:
Cara baginda menangani peristiwa meletakkan Hajar al-Aswad:
Di saat berlaku perebutan antara puak-puak Quraisy tentang siapakah yang berhak meletakkan Hajar al-Aswad, lalu mereka bersetuju untuk melantik sebagai hakim orang yang pertama masuk di kalangan Bani Hashim dari pintu Bani Syaibah. Justeru, Nabi Muhammad adalah orang pertama masuk. Mereka berkata: “Ini adalah Muhammad. Beliau seorang yang jujur dan amanah, kami rela dengannya.” Lalu mereka melantiknya. Baginda telah menghamparkan kain jubahnya dan meletakkan batu di atasnya, kemudian mengarahkan ketua daripada keempat-empat puak supaya memegang penjuru kain itu dan mengangkatnya ke atas. Akhirnya baginda yang memindahkan Hajar Aswad dengan tangannya yang diberkati dan meletakkan ditempatnya.
Mereka berpuas hati dengan ketelusan dan kejujurannya. Bagindalah yang akan memuaskan hati semua puak dan akan menjatuhkan hukuman dengan adil.
Kita pada hari ini perlu bersikap telus dengan orang dalam kata-kata dan tindakan. Kita hendaklah menjadi seorang yang amanah dalam menjaga kepentingan rakyat dan menitik beratkan soal keadilan. Tiada tempat lagi bagi orang-orang yang berdusta kepada rakyat. Tiada lagi orang yang suka selepas hari ini terhadap orang-orang yang mengkhianati amanah kerana rakyat telah memilih mereka untuk menunaikan amanah ini .. Atau menyimpang dalam pemerintahannya, atau menindas orang-orang mereka sendiri atau membiarkan hak-hak rakyat mereka.
Kita mestilah menjalankan dasar politik kesepakatan antara pelbagai puak, dan bekerja untuk menyatukan barisannya sebagai asas pertama untuk pembangunan umat pada awal pembinaan negara.
Membawa kebaikan untuk manusia:
Islam menyeru kepada berbuat baik dan melakukan kebajikan kepada manusia. Ini adalah salah satu sifat Nabi; di mana Saidatina Khadijah r.a. telah menggambarkan sifat baginda:
"Sekali-kali tidak. Bergembiralah. Allah sekali-kali tidak akan mengsengsarakan engkau, kerana engkau seorang yang menghubungkan silaturrahim, engkau benar dalam berkata-kata, engkau memberi makan orang yang kelaparan, engkau melayani tetamu dan engkau menolong orang dalam perkara yang baik.”
Ini sebahagian daripada sifat-sifat beliau sebelum dibangkitkan menjadi Rasul. Beliau mempersembahkan kebaikan kepada masyarakat di mana beliau hidup. Apabila Nabi berhijrah perkara pertama yang diungkapkan ialah:
"Wahai orang-orang yang beriman, sebarkanlah salam, berilah makan, hubungkanlah silaturrahim, tunaikanlah solat pada waktu malam pada ketika orang sedang tidur, nescaya anda akan masuk syurga dalam keadaan aman. "
Jadi, orang Islam hendaklah mengambil berat terhadap ciri-ciri ini, kerana ianya dapat menyebarkan kesejahteraan, memasukkan kegembiraan ke dalam hati manusia dan memenuhi keperluan mereka, mengukuhkan perhubungan dan perpaduan di kalangan orang Islam, mengeratkan hubungan dengan Allah terutama di tengah-tengah malam .. mahupun melindungi mereka daripada perpecahan dan konflik yang membawa kepada kegagalan.
Umat kita sangat perlu kepadanya pada saat kritikal ini. Pintu-pintu kebaikan terlalu luas, dengan menggembling usaha-usaha golongan ikhlas yang cintakan negara dan bekerja ke arah kebangkitan dan kemajuan .. serta membuat kebajikan kepada manusia tanpa sebarang perbezaan. Menurut kitab Tafsir ar-Razi tentang tafsiran ayat ini:
“Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk).” (Al-Baqarah: 272):
Tidaklah engkau wahai Muhammad boleh menjadikan orang-orang yang lemah mendapat petunjuk sehingga engkau ingin melarang mereka bersedekah supaya mereka masuk ke dalam Islam. Oleh itu, terimalah sedekah mereka kerana Allah, sesuai dengan ayat (bermaksud):
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil).” (Al-Mumtahanah: 8)
Galakan supaya tsabat dan menyebarkan harapan:
Dari sunah nabi yang tsabit berlaku pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, ujian dan pembersihan ke atas pendokong kebenaran, tetapi kemenangan berjaya diraih dalam pusingan terakhir. Mereka terus teguh di atas kebenaran. Mereka sentiasa yakin bahawa Allah akan meneguhkan kedudukan mereka dan menghilangkan ketakutan mereka serta memberikan keamanan kepada tanah air mereka. Firman Allah SWT bermaksud:
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).” (An-Nur: 55).
Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat r.a telah berkata: "Kami telah mengadu kepada Rasulullah S.A.W sedang Baginda pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban. Maka kami bertanya, apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita? Maka bersabda Rasulullah saw:
"Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan menyempurnakan urusan ini (Islam) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhramaut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh." (HR. al-Bukhari)
Berdasarkan pemahaman ini salah seorang anggota Ikhwan yang sedang menanti giliran untuk disiksa di dalam penjara mengulang-ulang ayat (bermaksud):
“Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya”. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.” (Al-Ahzab: 22).
Dengan berita gembira tentang kemenangan, maka kita hendaklah menambahkan ketaatan kepada Tuhan dan menjadi semakin ikhlas dan merendah diri. Kita menyakini bahawa Allah akan menyempurnakan nikmatNya kepada kita dan akan mencapai semua matlamat yang diingini rakyat; kerana Allah telah berjanji untuk membalas dan menyeksa orang-orang yang berbuat salah dan menolong orang-orang yang beriman:
“Kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rom: 47).
Kemaafan dan keampunan:
Sesungguhnya kata-kata yang buruk lebih menyakitkan di dalam hati muslim daripada pukulan cemeti di badan, kerana akan berasa susah hati dengan apa yang dikatakan. Alangkah banyak tohmahan yang disiarkan oleh media secara dusta dan bohong. Bagi kita pada diri Rasulullah itu terdapat contoh yang baik. Allah telah menyatakan kepadanya bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.” (Al-Hijr: 97-99)
Justeru, seorang Islam tidak perlu menyibukkan dirinya dengan apa yang mereka katakan dan tidak perlu bertindak balas kepada mereka, sebaliknya hanya menyibukkan dirinya dengan berzikir kepada Allah, beribadah dan melakukan kerja yang memberi manfaat kepada manusia, menyampaikan kebaikan yang dibawanya kepada orang lain dan bersedia untuk memaafkan dan mengampunkan mereka:
“Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggalah! ‘ Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)!" (Az-Zukhruf: 89).
Langkah seperti ini akan memadamkan permusuhan dan meleburkan persengketaan:
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fussilat: 34).
Sesuatu kejadian adalah tafsiran amali terhadap al-Quran:
Wahai umat Islam bacalah tafsiran Al-Quran daripada “kitab reality” yang telah menterjemahkan makna-makna ayat dan menjadikannya hidup dan bergerak. Anda boleh melihat bahawa mereka yang telah dihukum mati, terus ‘hidup’ sedangkan orang yang menghukum telah ‘mati’. Orang yang dihukum penjara, merasa bebas dari kurungannya sedangkan orang yang menghukumnya pula merasa dirinya dikurung. Orang yang mengatur muslihat supaya menghalang mereka dari sampai ke tempat-tempat yang dapat berbakti kepada rakyat, kini rakyat datang kepada mereka kerana mereka pernah berjaga malam untuk keselesaannya setelah pemerintah dahulu pergi sepertimana mereka pergi dulu. Orang yang sentiasa berada dalam buangan jauh daripada tanah air dan keluarganya, kini kembali dengan harga diri, kemuliaan dan kebanggaan. Orang yang terperangkap di negara asal mereka dan diharamkan dari melakukan perjalanan, kini boleh pergi ke mana sahaja dia mahu tanpa sekatan .. Dan seterusnya akan datang, Insya-Allah, baki dari hasil revolusi Mesir yang diberkati. Semua ini dan lainnya dapat kita lihat secara reality dan nyata di Mesir, Tunisia dan Libya .. merupakan satu tafsiran realistik berdasarkan firman Allah SWT (bermaksud):
“Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: “Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seugama dengan kami”. Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: “Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.“Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji azabKu”. (Ibrahim 13-14),
“Dan demikian itulah keadaan hari-hari, kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.” (Ali-Imran: 140-41).
Wahai umat Islam, semua ini dan yang lain menghasilkan bayangan yang tersebar, pengertian-pengertian yang diperbaharui berkisar ayat-ayat al-Quran, membuatkan kita menyedari bahawa ianya adalah kebenaran yang nyata dan memberikan ketenangan hati, meningkatkan keteguhan dan memperbaharui harapan:
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar.” (Fussilat:53).
"Ketahuilah bahawa apabila manusia menjatuhkan hukuman, maka yang terakhir ialah hukuman Allah Azzawajalla. Seorang muslim hendaklah terus teguh di atas kebenaran, bersabar dan bertahan sehingga Allah melaksanakan hukumannya." Firman Allah SWT (bermaksud):
Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia lah sebaik-baik Hakim. (Yunus: 109)
"Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah." (Ar-Rum: 60)
"Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali." (Hud: 88).
Allah Yang Maha Besar dan segala pujian hanya bagi Allah.
No comments:
Post a Comment
Sila berikan komen anda