Sunday, April 1, 2012

Wahai penduduk Syam..Tetap teguhlah kerana kemenangan akan menjelma


Perutusan daripada Prof. Dr. Muhammad Badi' Mursyidul Am Ikhwan Muslimin pada 22 Mac 2012

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada Rasulullah, keluarganya dan orang-orang yang mengikut mereka dengan baik sehingga hari kiamat; Selepas ..

Sesungguhnya apa yang berlaku di atas bumi Syam di Palestin yang suci dan Syria yang mulia; memanggil umat manusia seluruhnya, menuntut umat Islam khususnya dan semua orang yang merdeka di dunia ini, agar menghulurkan tangan bagi membantu dan menyokong mereka. Di samping itu mewajibkan semua orang bagi memberikan bantuan material dan sokongan moral supaya dapat memelihara nyawa dan kehormatan, menyelamatkan harta benda, mahupun mereka dapat menikmati keamanan dan keselamatan di rumah mereka, dan kekal merdeka di tanah air mereka.
  
Sikap membisu dan berdiam diri terhadap jenayah-jenayah keji yang berlaku, atau memberikan sokongan kepada rejim-rejim zalim dan kuku besi yang melakukan penindasan untuk menyembelih rakyat di Palestin dan Syria, membunuh segala yang bernyawa di atas muka bumi adalah satu tindakan pembunuhan beramai-ramai dan suatu jenayah perang; mewajibkan para pesalah dihadapkan ke tribunal antarabangsa, sebagai penjenayah perang dan pelaku penyembelihan beramai-ramai .
  
Wahai umat Islam di mana-mana .. wahai dunia yang merdeka .. Wahai para aktivis hak-hak kemanusiaan  ..

Kini sampailah masa untuk menyelamatkan orang-orang yang tertindas dan melepaskan orang yang dizalimi, mahupun menyelamatkan orang-orang yang dikepong di rumah dan tanah air mereka?!! Kini sampailah masa untuk menghentikan jenayah rejim zalim dan diktator, sebelum dunia terjerumus ke dalam jurang dan terjebak di tengah-tengah perang yang akan menghancurkan?!
  
Wahai umat Islam .. Adakah anda kini tidak memahami sejauh mana perikatan Zionis-US merancang dan melakukan konspirasi terhadap anda untuk melakukan kemusnahan sejak dua dekad yang lalu, di belakangnya ialah kebanyakan kuasa dunia yang menyokong dan menolongnya. Hal ini terbukti dengan jelas apabila terlukis peta bumi yang sentiasa berlegar dan berputar dengan pelbagai kancah peperangan dalam dua dekad yang lalu: Palestin, Bosnia dan Herzegovina, Kosovo, Chechnya, Somalia, Afghanistan, Pakistan, Iraq, Sudan, Yaman, Lebanon, dan akhirnya di Syria kini; Bukankah ianya menimbulkan syak wasangka yang mendalam tentang tujuan di sebalik semua itu adalah untuk menghentikan kebangkitan Islam di negeri-negeri Islam dari mengambil tempatnya iaitu untuk membangkitkan umat mereka, meninggikan panji mereka sehingga tersebar keadilan, meluasnya kasih sayang, mencapai kesamarataan, mahupun semua orang dapat menikmati kebebasan, dan semua orang Islam dan bangsa-bangsa lain merasai keselamtan untuk diri, harta benda dan kehormatan mereka.
  
Allah membela orang-orang yang beriman

Allah SWT berfirman (bermaksud: ( 

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Al-Hajj: 38-39)


Allah telah berjanji untuk mempertahankan orang-orang beriman, yang telah terkandas, yang telah lemah kedudukan mereka dan dikuasai sewenang-wenangnya oleh pemerintah zalim dan kejam, di mana mereka dibunuh dan ditindas, yang mendorong mereka untuk meninggalkan tanah air dan negara asal mereka, memecah belahkan kesatuan mereka dan tiada sebarang pertolongan dari kuasa dunia, bahkan dari jiran yang sebangsa dengan mereka sendiri dan satu agama dengan mereka. Malahan mereka ini menyebelahi penindas dan penzalim, membantunya melakukan kezaliman, mungkin mereka ini lebih zalim dan lebih kejam. Ketahuilah tentang laknat Allah ke atas orang-orang yang zalim dan orang-orang yang membantu mereka yang melakukan kezaliman.
  
Rasulullah saw telah menyatakan bahawa kedudukan para mujahidin di Syria dan Palestin yang tidak mendapat pembelaan dan pertolongan sewajarnya, semua ini sedikitpun tidak akan menggugat dan melemahkan mereka. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah telah bersabda (bermaksud):

“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang berperang dan berjuang di pintu Damsyik dan di sekelilingnya, dan pintu Baitul Maqdis dan di sekitarnya , tidak dapat menggugat mereka orang-orang yang enggan menolong mereka. Mereka terus teguh di atas kebenaran sehingga ke hari kiamat" . (Abu Ya’la dan Ibn ‘Asakir)
  
Dalam usaha untuk mencapai pertolongan dan pembelaan Allah untuk para penolongNya mereka mestilah:

1 – Bersatu padu dan tidak berpecah belah. Pertolongan hanya berlaku apabila berpegang teguh dengan agama Allah:

“Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.” )  Al-Imran: 103)

2 – Taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan berselisih faham:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”  (Al-Anfal: 46)

3 – Terus-menerus dalam kesabaran dan ketabahan, dan juga kuatkan kesabaran mengatasi kesabaran musuh:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan) . (Ali-Imran: 200)

4 – Melakukan persiapan dan persediaan dengan segala kekuatan yang kita miliki .. Tentang kekuatan Imam al-Banna rahimahullah telah berkata:  “Kekuatan adalah lambang Islam dalam setiap system dan undang-undangnya. Al-Quran al-karim sendiri menyebut dengan jelas dan nyata:

“ Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan.” (Al-Anfal: 60)

dan Nabi saw juga ada bersabda (bermaksud) 

“Orang beriman yang kuat lebih baik daripada orang beriman yang lemah.”

 Malah kekuatan menjadi lambang Islam termasuk di dalam doa, sekalipun doa adalah lambang kekhusyukan dan ketenangan.Dengarlah doa Nabi saw untuk dirinya sendiri dan diajarkan kepada para sahabatnya. Baginda bermunajat kepada Tuhannya:

“ Ya Allah, aku memohon agar Engkau jauhi diriku daripada rasa murung dan sedih, aku memohon agar Engkau jauhi diriku daripada rasa lemah dan malas, aku memohon Engkau jauhi diriku daripada rasa takut dan kedekut, aku memohon agar Engkau jauhi diriku daripada kongkongan hutang dan penindasan manusia.”

Bukankah ke semua doa-doa ini bertujuan agar Allah menjauhkan sifat-sifat lemah. Lemah kehendak kerana murung dan sedih. Lemah bekerja kerana tidak berupaya dan malas. Lemah dengan wang kerana rasa takut dan kedekut. Lemah harga diri kerana hutang dan penindasan orang lain. Apa lagi yang kamu mahu daripada penganut agama ini selain mempunyai kekuatan dalam segenap aspek; slogannya ialah kuat dalam segala hal? Ini bermakna setiap anggota Ikhwan al-Muslimin mestilah kuat dan mereka juga perlu bekerja dengan kuat?!

5- Membuang perasaan takut dari hati .. Iaitu dengan cara membaharui keimanan kepada Tuhan dan menyempurnakan tawakal kepadaNya, bergantung kepadaNya, dan yakin Allah sentiasa bersamanya dan kemenangan dariNya. Orang yang diberikan pertolongan dan kemenangan tiada siapa pun yang mampu mengalahkannya .. Allah SWT telah berfirman (bermaksud):

Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Anfal: 10),

 Firman Allah lagi (bermaksud):

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.” (Ali-Imran: 161)

Jika perasaan takut menjadi naluri pada manusia, kita mesti mengatasinya. Para rasul juga terdapat perasaan takut, apabila Tuhan menghantar Musa dan saudaranya kepada Firaun:

“Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami, atau ia akan melampau batas”.Allah berfirman: “Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.”
(Taha: 45-46)
,

Dan pada ketika;

“berkatalah orang-orang Nabi Musa: “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan”. (As-Syu`ara’: 61)

Lalu nabi Musa berkata kepada mereka:

“Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku”. (As-Syu`ara’: 62)

Dan dengan membuang ketakutan dari hati maka semua anggota umat akan mengikuti jejak perjuangan, bahkan melahirkan pejuang-pejuang yang berani, serta melakukan gerakan untuk menikmati ketinggian, kemuliaan dan kebebasan.

6 – Membuang perasaan putus asa dan menghidupkan cita-cita dan harapan .. Orang Islam tidak mengenal putus asa sebagai jalan ke dalam hati, dan putus harapan sebagai jalan ke dalam jiwanya; Al-Quran al-karim mendidik mereka dengan;

 “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”. (Yusuf: 87)

Sekiranya sifat berputus asa telah menimpa sesuatu bangsa dan kekecewaan telah menguasai seseorang, maka akan menyebabkan orang hanya berpeluk tubuh dan meninggalkan kerja, seterusnya mencampakkan mereka ke dalam orang-orang yang rugi.
  
Dalam pada itu, orang Islam hendaklah maju ke hadapan dan sentiasa memastikannya bercita-cita tinggi kerana ia mematuhi sesuatu yang benar dalam kehidupan dan perjuangannya.J anji Allah untuk memenangkan yang benar walaupun memerlukan jihad yang panjang. 

“Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia.” (Al-Anbiya’: 18)

Firman Allah SWT lagi (bermaksud):

“Kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman”. (Ar-Rom: 47)
  
Antara sebab tuntutan harapan dan cita-cita kepada penduduk Syam ialah kerana Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka. Sabda Rasulullah saw kepadanya:" Berbahagialah penduduk Syam”. Kami berkata: Wahai Rasulullah, apakah maksudnya? Beliau berkata: "Allah melimpahkan rahmat kepada mereka " .
  
Oleh sebab itu, janganlah berputus asa wahai orang-orang yang ‘merdeka’ di Palestin dan Syria. Janganlah anda putus harapan dari memperolehi rahmat Allah dan pertolonganNya, tidak kira bagaimana beratnya bentuk kezaliman dan penindasan yang dilakukan dan bagaimanapun tinggi pengorbanan dan tanggungjawab. Ini kerana kebebasan tidak akan diterima daripada manusia dan bukan hasil dari berunding dengan pembunuh yang telah meminum darah, tetapi adalah hadiah yang terlepas daripada orang-orang yang merampasnya dan orang-orang yang  melantik diri mereka sebagai tuhan dengan menggunakan kekerasan, dan mencabut dari wakil-wakil mereka. Jadi bukanlah jalan untuk mencapai kebebasan dengan harga yang murah.
  
Segala yang berlaku di sekeliling kita mencerahkan harapan walaupun ada sikap pesimis daripada golongan pesimis. Imam al-Banna rahimahulah pernah berkata: “ Pernah pada suatu ketika dahulu umat kita kaku  dan diam membisu tetapi kini ia mula bangkit dengan semangat yang membara. Jika tidak kerana belenggu yang terlalu berat dan kepimpinan yang tidak berpusat, sudah tentu kesedaran ini akan membawa kesan yang menakjubkan. Belenggu ini tidak akan kekal selama-lamanya dan pasti berakhir. Dalam sekelip mata Allah boleh mengubah banyak perkara. Orang yang kehairanan tidak akan selamanya dalam kehairanan, setelah dia memperolehi petunjuk dan setelah keadaan huru-hara bertukar menjadi stabil. Segala-galanya terserah kepada Allah. Anda sendiri pernah membaca awal surah al-Qasas:

“Taa, Siin, Miim. Inilah ayat-ayat Kitab – Al-Quran – yang memberi penjelasan. Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” (Al-Qasas: 1-6)

Aabila anda membaca ayat ini anda lihat bagaimana keangkuhan golongan yang sesat. Mereka berbangga dengan kekuatan mereka. Mereka begitu yakin dengan kehebatan mereka sehingga melupakan Allah yang sentiasa memerhati mereka. Di saat mereka begitu gembira dengan kekuatan yang dimilki, Allah yang Maha Berkuasa mengazab mereka. Kehendak Allah pasti membantu orang-orang yang dizalimi dan akan membantu orang yang menolong golongan yang lemah hingga akhirnya golongan yang sesat akan hancur sama sekali. Ketika itu kebenaran akan tertegak kukuh dan pendokongnya akan mencapai kemenangan. Ayat ini dan ayat-ayat lain yang termaktub di dalam Kitab Allah cukup untuk menolak segala alasan untuk berputus asa oleh mana-mana bangsa Islam yang beriman dengan Allah, utusanNya dan kitabNya. Bilakah umat Islam akan memahami hakikat yang dinyatakan oleh kitab Allah ini?
  
Kewajipan kita untuk menolong Palestin dan Syria

- Berusaha secara berterusan dan bekerja keras untuk mencapai perpaduan di kalangan semua rakyat Palestin dan Syria; kerana kemenangan mereka bergantung apabila berpegang teguh kepada Allah dan tidak berpecah-belah. Sebarang perpecahan dan perselisihan mereka adalah tanda kegagalan dan kerugian; kerana perpaduan adalah rahsia kekuatan mereka.

- Bekerja untuk menyatukan bangsa Arab dan Islam, menyatukan pandangan mereka dan menyusun barisan mereka kepada matlamat utama dan yang paling besar, yang boleh disimpulkan dalam dua perkara:

Berdiri teguh di hadapan pemerintah, penzalim dan pembunuh.
Menyumbangkan segala yang ada untuk memberikan bantuan material dan sokongan moral kepada saudara-saudara kita di Palestin dan Syria.

- Bekerja untuk menggembleng seluruh dunia; dalam usaha untuk menyelamatkan rakyat tersebut daripada penindasan dan kekejaman tentera, yang dibantu oleh Barat dan Timur; untuk menghalang senjata daripada sampai kepada regim ini, menyatakan pandangan di dalam forum-forum antarabangsa, mengenakan sekatan dan melemahkan kuasanya.

- Segera dalam berdoa .. Orang Islam selain dari mengambil semua yang ada dari segi material, ia juga hendaklah mengetuk pintu langit dan mengadap wajah kepada Allah dengan doa orang yang ditindas dan ditekan, yang dibukakan kepadanya pintu langit. 

“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).” (An-Naml: 62)

 kerana Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud):

"Sesungguhnya doa dan bencana adalah dua perkara yang berhimpun " .
  
Dengan keengganan Arab menyokong dan menolong rakyat Palestin dan Syria mahupun dunia bersekongkol atas keengganan mereka itu; maka semestinya bagi umat Islam tidak berhenti dari berdoa  kerana doa adalah senjata yang dimiliki oleh setiap umat Islam. Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah mengutus Mu’adz ke Yaman dan baginda berkata kepadanya :

"Takutlah kamu akan doa seorang yang dizalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah". (HR. Bukhari dan Muslim)

 Sabda Rasulullah saw (bermaksud):

“Doa orang yang dianiaya itu akan diangkat oleh Allah ke atas awan, dan dibuka untuknya pintu-pintu langit, kemudian Allah berfirman, "Demi kemuliaan-Ku, sungguh akan Aku akan tolong engkau walaupun tidak sesegera" . (HR. Tirmizi dan Ahmad)
  
Di antara doa Salahuddin al-Ayubi iaitu: "Wahai Tuhanku, kekuatan manusia telah tidak berdaya untuk menolong agamaMu, hanya yang tinggal ialah merasa tenang kepadaMu, berpegang teguh dengan agamaMu, dan bergantung harap kepada keagunganMu. Cukuplah Engkau sebaik-baik tempat berserah." Alangkah lembut dan halus doa ini yang lahir daripada hati orang yang tertindas di Syria: Ya Allah, Wahai Tuhan, tiadalah bagi kami penolong selain Engkau, ya Allah ..

Ya,  tiada penolong untuk anda selain Allah. Tiada bantuan untuk anda melainkan dari Allah. Tiadalah bagi anda penjaga dan penolong selain Allah. Cukuplah Allah sebagai penjaga dan cukuplah Allah sebagai penolong.

Mungkin situasi yang kita lihat di rantau Arab ketika ini, sebagai jawapan daripada Allah kepada doa-doa orang yang dizalimi dan ditindas telah diangkatkan kepada Allah tanpa hijab. Sesungguhnya telah tiba saat kemenangan selepas kekejaman sampai ke kemuncaknya di mana rakyat telah menanggung beban kekejaman seberat gunung sehingga bilangan orang Syria yang terkorban mencecah 10,858 orang syahid di hari ke 365 .
  
Jumlah yang terkorban di Palestin dalam sedekad yang lalu menghampiri 8,000 orang syahid, termasuk 1,923 kanak-kanak dan 460 wanita.
  
Wahai warga Palestin, wahai warga Syria .. Tetap teguhlah, tetap teguhlah kerana kemenangan akan menjelma. Kemenangan akan muncul hari esok dengan pembukaan dan penaklukan dari Allah serta kemenangan yang nyata. Kenapa tidak .. Saudara-saudara anda di Mesir sehingga pada petang 11 Februari tiada seorang pun terbayang bahawa ia berjaya menjatuhkan regim Mubarak selepas beberapa minit kemudian. Sebelumnya di Tunisia presidennya secara tergesa-gesa melarikan diri meninggalkan negara. Di Libya dan Yaman rejim jatuh setelah beberapa ketika. Kini tiba giliran rejim-rejim yang lain di mana orang-orang yang ditindas dan disiksa berkata bilakah datangnya pertolongan Allah?J awapan daripada Tuhan: Ketahuilah bahawa saat pertolongan Allah kian hampir. 

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” (Al-Baqarah: 214),

Janji Allah ialah memberikan ganjaran yang besar di akhirat dan juga kemenangan serta penaklukan di dunia.

 Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (As-Soff: 10-13)

Allah yang Maha Besar dan segala pujian hanya bagi Allah.
  
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw yang bersifat ummi, keluarganya dan para sahabatnya. Segala pujian adalah untuk Allah Tuhan seluruh alam.

Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top