Thursday, August 30, 2012

Antara hasil bulan puasa .. meneguhkan cita-cita dan menguatkan kemahuan.. dan Eid kemenangan


Perutusan daripada Prof. Dr. Muhammad Badi’ Mursyidul Am Ikhwan Muslimin 16 Ogos 2012

Segala pujian hanya bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka sehingga hari kiamat. Adapun selepas itu:

Bulan Ramadhan akan meninggalkan kita dan kita akan berpisah dengannya sedangkan hati kita telah terikat dengannya, ruh kita sangat dekat kepadanya dan berharap hari-hari yang masih tinggal ini terus berpanjangan. Janganlah malam-malam penghujuang ini berakhir melainkan setelah kita dapat menikmati rahmat yang diturunkan di dalamnya, menjadi semakin dekat dengan Allah dan meraih pembebasan diri dari api neraka.. dengan menerima keampunan dan keredhaan daripada Allah.

Diriwayatkan Jabir bin Abdullah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda (bermaksud):

"Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada Nabi sebelumku. 1: Di malam pertama Ramadhan Allah memerhatikan umatku. Barangsiapa yang diperhatikanNya tidak akan diazab lagi selama-lamanya. 2: Bau mulut mereka yang berpuasa di siang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi. 3: Para malaikat memohon ampun untuk mereka setiap hari dan malam. 4: Allah memerintahkan syurgaNya dan berfirman kepadanya: “bersiaplah kamu dan hiasilah untuk hamba-hambaKu. Mereka akan berehat dari kepayahan dunia menuju negeriKu dan kemulianKu. 5: Pada malam terakhir Ramadhan Allah mengampuni semua dosa mereka. Seorang sahabat bertanya: “Apakah itu malam Lailatul-qadar ya Rasulullah? Beliau bersabda: "Bukan, tidakkah engkau melihat para pekerja yang telah bekerja, jika mereka telah selesai dari pekerjaan mereka nescaya dibayar upah mereka dengan sempurna?" (HR. al-Bazzar)

Puasa adalah madrasah

Bulan Ramadhan adalah madrasah umum. Tempoh pembelajarannya ialah selama sebulan. Di dalam madrasah ini akan memperbaharui iman seorang muslim lelaki dan perempuan dan menguatkan perhubungan dengan Tuhannya. Oleh itu ia menjadi makhluk yang lain, tidak lagi cenderung untuk memilih kehidupan dunia, meningkat ke puncak malaikat dan melengkapkan diri dengan tiga ciri: Rabbaniah, insaniah dan menyebarkan kebaikan dan menentang kejahatan.

1. Rabbaniah bermaksud puasa anda semata-mata kerana Allah dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaranNya . Puasa anda dalam bentuk ini adalah rahsia antara anda dan Tuhanmu .. Di dalamnya mengandungi erti tajarrud dan ikhlas serta meninggalkan keperluan-keperluan fizikal. Siapakah yang mampu meraih tampuk dirinya dan memutuskan kehendak hawa nafsunya hingga berjaya menakluk musuh utama dirinya sendiri, iaitu nafsu yang berada di dalam dirinya? 

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.” (An-Naziat: 40-41)

Tanpa perubahan di dalam diri dan jiwa, pastilah keadaan umat tidak berubah: 

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11).

Dan kemudian seorang penyair pernah menyebutkan:

“Terimalah jiwa sendiri dan lengkapkan segala kelebihannya
Kerana anda hidup dengan jiwa (nyawa) bukan dengan tubuh manusia.”

Puasa adalah madrasah tarbiah rohani; di mana para salaf agung menjadikan Ramadhan sebagai daurah (kursus) iman bagi ruh insan dan sekolah khas bagi tarbiah nafsu atau jiwa. Mereka membebaskan diri daripada kehendak-kehendak fizikal dan meninggalkan keinginan material yang boleh merantai ruh dengan belenggu yang ketat dan menghalang hati manusia untuk meningkat ke puncak  malaikat. Pada siangnya mereka berpuasa dan berzikir. Manakala pada malamnya mereka berqiam, bertilawah dan berfikir. Pandangan dan pemikiran mereka adalah pengajaran, pembelajaran dan inspirasi ..Percakapan mereka adalah al-Quran dan akhlak mereka adalah al-Quran .. Aishah ummul mukminin pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau berkata: "Bahawa akhlak baginda adalah al-Quran."

2. Insaniah (nilai-nilai kemanusiaan) dapat dicapai melalui puasa. Ianya berlaku dengan cara merubah diri, islah nafsu, menaik taraf mereka sehingga ke tahap rabbaniah dan mencapai takwa yang merupakan hasil daripada puasa. Kesan tersebut akan menghidupkan perasaan dan nurani, menyucikan jiwa serta mencetuskan pancutan kelembutan dan keghairahan yang mendorong kepada kemurahan hati dan sanggup berkorban serta menggemari kebaikan dalam nilai-nilai kemanusiaan. Begitulah Nabi kita merupakan orang yang paling pemurah dan lebih pemurah pada bulan Ramadan! Dan begitulah juga puasa menemukan golongan kaya dan miskin di dalam nilai kemanusiaan yang satu.

Bulan Ramadhan adalah bulan rangkaian sosial, mendahulukan kebajikan dan menggembling kebaikan. Semua ini antara faktor kesatuan, kecintaan dan kasih sayang. Semua ini sangat diperlukan oleh umat Islam dalam rangka melakukan perubahan seperti yang berlaku sekarang di rantau Arab dan Islam.

3. Menyebarkan kebaikan dan menentang kejahatan dan kebatilan. Ini adalah tujuan kebangkitan umat ini:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat anusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baaik dan melarang daripada segala perkarayang salah, serta kamu beriman kepada Allah.” (Ali-Imran: 110)

Bukanlah Ramadhan sekadar bulan untuk menanamkan pengetahuan tentang Al-Quran dan perlaksanaan sifat ihsan sebagai perlaksanaan amali kepada matlamat dan objektif ini.

Takwa merupakan rahsia perubahan dan asas kebangkitan

Takwa adalah hasil puasa:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Kita tidak diperintahkan oleh Allah untuk beribadah melainkan hanya untuk mencapai takwa:

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.” (Al-Baqarah: 21)

Malah Allah telah mewajibkan perlaksaan qisas adalah untuk tujuan takwa:

“Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 179).

Takwa ialah melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Oleh itu orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang melihat Allah seperti yang diarahkan dan tidak mendahulukan apa dilarang. Orang-orang yang bertakwa juga mengiktiraf, mengetahui dan menegakkan kebenaran, menolak kebatilan dan menjauhinya serta takut kepada Rabb al-Jalil yang tiada satupun yang tersembunyi dariNya.

Orang-orang yang bertakwa adalah orang beramal berdasarkan Kitab Allah di mana mereka mengharamkan apa yang telah diharamkan dan menghalalkan apa yang telah dihalalkan. Mereka tidak mengkhianati amanah, tidak rela menerima penghinaan dan perlecehan, tidak membenci dan memutuskan perhubungan, tidak memudaratkan jiran-jiran, menyambung persahabatan dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang orang yang pernah menghalang mereka dan memaafkan orang-orang yang pernah menzalimi mereka. Kebaikan bagi mereka adalah perkara yang diharapkan dan kejahatan bagi mereka adalah perkara yang selamat. Mereka tidak mengata, tidak berbohong, tidak berpura-pura, tidak mengadu-domba dan tidak berhasad dengki. Mereka tidak menunjuk-nunjuk, tidak bingung dan tidak menfitnah. Mereka tidak menyuruh kepada perkara buruk dan tidak melarang perkara baik, bahkan mereka sentiasa menyuruh kepada perkara baik dan melarang segala perkara yang buruk. Itulah sifat orang yang benar-benar bertakwa yang takut kepada Tuhan yang mengetahui perkara yang ghaib. Mereka sepanjang masa dalam ketakutan.

Antara kesan puasa kepada golongan salaf  ialah terdapat tanda takwa yang anda boleh lihat melalui kekuatan dalam agama, ketegasan dalam kelembutan, kepercayaan dalam keyakinan, kesungguhaan dalam ilmu, pengetahuan dalam kesopanan, kemuliaan dalam kekayaan, kekhusyukan dalam ibadah, ketabahan dalam kemiskinan, kesabaran dalam kesulitan, keinginan dalam perkara halal, kecergasan dalam petunjuk dan berlepas dari sifat tamak.

“Takutlah kepada Allah dan janganlah anda meninggalkannya
Kerana takwa ialah yang paling berkuasa, paling utama dan paling tepat”

Wahai umat Islam di mana-mana .. Wahai manusia sekalian:

Dalam seluruh syariat Islam bertujuan membebaskan jiwa umat Islam dari ketamakan, hawa nafsu dan keinginan, menghubungkan jiwa mereka kepada Allah Pencipta alam semesta dan kehidupan ini, mengikat kemahuan mereka dengan kemahuanNya sahaja, Allah sahaja yang benar, Allah jualah petanda kebaikan, kasih sayang dan belas kasihan. Oleh itu, orang yang menyukai kebenaran dan seterusnya cenderung menyukai kebaikan dan belas kasihan, maka dia  bebas dari semua sifat-sifat mazmumah (tercela). Mereka adalah orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT dengan kurnianNya sepertimana sabda Rasulullah SAW (bermaksud):

"Sesungguhnya Allah mempunyai segolongan hamba yang diberikan keistimewaan untuk memenuhi keperluan manusia, mereka menyukai manusia dalam kebaikan dan manusia juga menyukai kebaikan untuk mereka. Mereka adalah golongan pengaman ketika manusia ketakutan. "

Jikalau manusia mesti dikuasai oleh idea, kecenderungan atau perilaku, maka orang yang diasuh dan dipimpin supaya menyukai kebenaran lebih baik dan mulia daripada orang yang diperhambakan kepada kebatilan. Orang yang jiwa mereka diisi supaya suka untuk cenderung kepada nilai kemanusiaan yang mulia, sumbernya berasal daripada Allah SWT, maka adalah lebih mulia daripada orang yang diperhambakan untuk cenderung kepada syahwat dan keinginan yang bersumber daripada. Orang yang tunduk kepada Allah, mematuhi perintah dan meninggalkan laranganNya lebih baik, sempurna dan bijak daripada orang yang tunduk kepada syahwat dan nafsu. Malah Rasulullah SAW telah menyebutkan hal ini:

"Orang yang menjual akhirat untuk mendapatkan habuan dunia adalah orang yang bodoh. Orang paling bodoh ialah orang menjual akhirat untuk mendapatkan habuan dunia orang lain. "

Namun wahai saudaraku, tidakkah anda lihat bahawa mereka berhak mendapat belas kasihan dan keprihatinan anda, lebih utama daripada rasa tidak puas hati dan kemarahan dalam dirimu?

Mereka yang berusaha untuk memberikan kebebasan kepada manusia paling besar di sisi Allah dalam ibadah. Mereka ini tidak diperhambakan dengan kekayaan, tidak dikawal oleh nafsu dan syahwat, tidak diperhinakan dengan harta. Keseronokan tidak menghilangkan kemuliaan diri mereka, ketamakan dan kesedihan tidak menghina maruah mereka, ketakutan dan kepanikan  tidak menguasai diri mereka. Jelasnya ibadah kepada Allah telah membebaskan mereka dari perasaan takut selain-Nya:

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Yunus: 62-64)

Benarlah kata-kata Rasulullah yang pernah bersabda (bermaksud):

" Barangsiapa yang takutkan Allah, maka segala perkara akan dijadikan Allah takut kepadanya. Barangsiapa yang tidak takutkan Allah, maka Allah akan menjadikannya takut kepada segala perkara. "

Dalam penyembahan kepada Allah, mereka telah memutuskan daripada semua ketundukan kepada selain-Nya. Maka, mereka adalah ketua pada diri sendiri, merdeka pada hakikat sebenarnya,kemuliaan pada akhlak mereka dan kekayaan dalam hati mereka. Inilah kebebasan dan kemerdekaan yang terbesar. Benarlah sabda ​​Rasulullah SAW bermaksud:

" Bukanlah kekayaan itu dikira daripada harta yang banyak, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa " 

Juga bersabda Rasulullah SAW: 

"Barangsiapa yang telah menjadikan cita-citanya hanya cita-cita yang satu, iaitu Allah dan akhirat, maka Allah telah menjadikan kekayaan di dalam hatinya dan dunia baginya hanyalah kehinaan dan kebenciaan. "

Betapa indah pandangan Ibn Ata’illah:

“Anda merdeka selagi anda memutuskan angan-angan, dan anda menjadi hamba selagi anda tamak! 

Dengan pengertian ini, fahamilah kata-kata hikmah yang dituturkan oleh Ahmad Bin Khaddroah:

"Melalui kemerdekaan akan menyempurnakan penyembahan, Dalam mencapai penyembahan akan menyempurnakan kemerdekaan."

Wahai umat Islam ..

Sesungguhnya orang Islam yang menegakkan syiar-syiar agama dan memelihara ibadat-ibadat yang difardukan kepadanya akan menjadi orang yang lebih menyayangi orang-orang di sekelilingnya, sanggup mencurahkan kebaikan untuk mereka kerana taatkan Allah dan bertaqarrub kepada-Nya, berjaga malam untuk memberikan mereka kerehatan demi mengharapkan keredhaan Allah. Rasulullah menyatakan orang Islam ini sebagai:

 " Beliau menyatukan dan disatukan." 

Malahan Rasulullah menyatakan lagi:

 "Tiada kebaikan orang yang tidak menyatukan dan tidak boleh disatukan."

Kerana sabdanya:

 "Orang yang paling baik ialah orang paling bermanfaat untuk orang lain. "

Antara sifatnya yang lain ialah menghentikan kejahatan dan kesusahan ke atas orang lain kerana takutkan Allah dan gerun kepada balasannya. Justeru, Pengawalan ini lebih penting dan berkuasa daripada pengawalan undang-undang dan kekuasaan. Ianya seperti yang anda lihat ke atas orang sangat setia terhadap tanah airnya, berkorban dalam berbakti dan bekerja secara berterusan dan bermutu dalam agenda pembangunannya. Begitu juga anda dapati orang yang bersegera dalam mempertahankan umatnya, membela tanah airnya dan menawarkan pengorbanan demi Negara dan bangsanya.

Wahai umat Islam ..

Berbanggalah dengan agammu, dan beramallah dengan bersungguh-sungguh untuk Islam hingga berkibar panjinya, supaya mereka mendapat nikmat kebebasan, keadilan sosial, kasih sayang dan persamaan. Juga supaya mereka merasa aman dan selamat di tanah air mereka. Dunia menjadi damai dan tenang mahupun menghilangkan keperitan peperangan dan penyeksaan. Keamanan dinikmati di seluruh alam dan kepada semua manusia tanpa mengira perbezaan warna, bangsa atau kepercayaan. Di samping mendatangkan kebaikan yang lain iaitu Allah membuka pintu-pintu kebaikan dari langit dan bumi untuk anda: 

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Al-A’raf: 96)

Akhirnya kami mengucapkan tahniah kepada semua umat Islam di atas ketibaan Eid al-Mubarak yang merupakan hari kemenangan setelah tamatnya ibadah. Namun ibadah kita sentiasa menjadi tanda syukur di atas kesempurnaan nikmat dan sebagai hadiah di atas amal-amal yang terbaik. Tangan dan hati kita saling bersalaman sambil memohon kepada Allah supaya jangan membiarkan Ramadhan akan datang melainkan Allah telah meneguhkan kedudukan agama yang diredhai untuk mereka, memberikan kebebasan di tanah air mereka, memberikan kepimpinan di negeri mereka, membebaskan daripada penjagaan selain mereka dan meninggikan panji Islam supaya berkibar di negeri-negeri Islam.

“Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 21)


Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

1 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top