Oleh: Dr. Ahmad Abdul Hadi Shahin
Sesungguhnya junjungan besar
kita Nabi Muhammad s.a.w merupakan nabi rahmah (bersifat belas kasihan) dan sentiasa
memberikan rahmatnya. Kenapa tidak, Allah SWT telah berfirman tentang hak
beliau yang bermaksud:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai
Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’:107).
Ungkapan "al-‘alamin"
di sini meliputi semua makhluk termasuklah manusia, jin, binatang dan burung.
Rahmat ini adalah umum untuk semua.
Namun terdapat rahmat yang
khas, di mana Allah mengurniakan rahmat Nabi-Nya kepada orang-orang yang
beriman sahaja, iaitu Allah memberikan dua nama Allah dari nama-namaNya yang
indah. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada
kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang
menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu,
yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan
belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubat:128)
Di samping itu rahmat nabi
tidak hanya kepada para sahabat beliau, bukan hanya untuk orang Islam dan bukan
hanya untuk orang-orang Arab, tetapi rahmatnya meliputi seluruh alam dan semua
makhluk.
1 – Rahmat ke atas sasaran
dakwah (mad’u) yang bukan Islam:
Ketika Rasulullah pergi ke
Taif yang terletak di luar Mekah untuk berdakwah, beberapa orang musyrikin (pemuka-pemuka
Tsaqif) telah menyakiti beliau. Mereka telah menyuruh budak- budak dan
orang-orang yang rendah pemikiran supaya melempar batu kepada Rasulullah sehingga
luka berdarah kedua kakinya. Lalu Allah telah mengutuskan malaikat penjaga
bukit- bukit untuk meminta kebenaran bagi menghempap mereka dengan dua buah
bukit (Abu Qubais dan Ahmar). Namun Rasulullah s.a.w sebaliknya berkata: ‘Jangan…
jangan! Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka
keturunan yang akan menyembah Allah semata, tidak disekutukanNya dengan apa
pun… !”(Riwayat Imam Bukhari (3231)
dari Aishah r.ha)
Kemudian Rasulullah s.a.w
berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku,
sesungguhnya mereka tidak tahu." (Disebut oleh Imam al-Baihaqi dalam Bab
Sya’b al-Iman 2/622 dari Abdullah bin Ubaid bin Amir r.a).
Begitu juga ketika ramai
para sahabat yang disiksa dan dianiaya oleh orang-orang musyrikin, maka mereka
telah meminta Rasulullah mendoakan kehancuran mereka. Beliau hanya berdoa: "Sesungguhnya
aku tidak diutuskan untuk melaknat mereka, tetapi aku diutuskan adalah sebagai
rahmat." (Riwayat Imam Muslim (2599) dari Abu Hurairah r.a).
Beliau turut berpesan supaya
melayani orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam dengan baik. Beliau
sedia menentang atau bermusuh terhadap orang yang menganiaya mereka atau tidak
berlaku adil. Sabda Nabi s.a.w bermaksud:
"Sesiapa yang membunuh orang kafir yang telah
melakukan perjanjian damai dengan negara Islam nescaya dia tidak akan dapat
mencium bau wangian Syurga, padahal bau wangian itu sudah dapat dicium sejauh empat
puluh tahun perjalanan.” (Riwayat oleh Imam Bukhari (6914) dari Amr bin Al-As
r.a).
2 – Rahmat kepada wanita:
Junjungan besar kita Nabi
Muhammad s.a.w adalah rahmat bagi wanita, sedangkan wanita sebelum Islam sesuatu
yang diabaikan kehormatannya. Wanita dalam masyarakat jahiliah tidak mempunyai
sebarang nilai. Sebahagian dari mereka akan membunuh anak perempuan di dalam
kandungan lagi atau menanamnya hidup-hidup di dalam tanah; kerana mereka
mempercayai bahawa wanita merupakan antara punca rasa malu. Padahal, hakikatnya
wanita tidak melakukan dosa dalam semua itu, melainkan ia hanya menjadi
perempuan sahaja.
Apabila Nabi Muhammad s.a.w
diutuskan wanita telah diberikan haknya yang dirampas. Beliau bersabda
(bermaksud):
"Wanita adalah saudara lelaki" (Riwayat oleh
Imam Abu Daud (236) dari Aishah r.ha)
Kemudian beliau pernah
berpesan supaya memberikan layanan dan pergaulan yang baik kepada wanita; di
mana seorang telah datang bertanya kepada beliau: " Siapakah orang yang paling
layak untukku melayan dengan baik? Beliau menjawab: Ibumu. Orang itu berkata
lagi: Kemudian kepada siapa? Beliau menjawab: Ibumu. Orang itu bertanya lagi: Kemudian
kepada siapa? Beliau menjawab: Ibumu. Orang itu bertanya lagi: Kemudian kepada
siapa lagi? Beliau menjawab: Ayahmu. " (Riwayat Imam Bukhari (5971) dari
Abu Hurairah r.a)
Rasulullah s.a.w telah memberikan
wanita tiga hak dan hanya satu hak kepada lelaki, kerana mereka yang hamil,
melahirkan anak, menyusukan, menjaga dan merasa letih. Oleh itu, mereka layak
memperolehi penghormatan, penghargaan dan terima kasih.
3 – Rahmat kepada anak-anak
yatim dan kanak-kanak:
Junjungan kita Nabi Muhammad
s.a.w adalah rahmat kepada anak-anak yatim, orang-orang yang lemah dan anak-anak
kecil. Beliau berpesan supaya memelihara, mendidik dan menjaga mereka dengan
baik. Beliau turut menjadikan orang yang menjaga anak-Anak yatim sebagai
temannya di syurga nanti. Sabdanya yang bermaksud:
“Saya
dan penjaga anak yatim berada dalam syurga begini, dan baginda menunjukkan
dengan jari telunjuk dan jari tengah dan baginda merenggangkan antara kedua-dua
jarinya”. (Riwayat Imam Bukhari (5304
) daripada Sahl ibn Saad Saa`idi ra).
Pada suatu hari beliau ingin
menemui kedua cucunya Saidina Hassan dan Hussein yang sangat manja kepadanya.
Lalu beliau mendapatkan mereka, memeluk dan mendukung di dadanya, bermain dan
bergurau senda dengan keduanya dan meletakkan mereka di atas dua paha beliau.
Lalu seorang lelaki yang baru memeluk Islam, dikenali Aqra’ bin Habis berkata:
"Beginikah kalian melayani anak-anak kalian. Demi Allah, aku mempunyai
sepuluh orang anak lelaki tapi belum pernah aku melayan salah seorang dari
mereka seperti kalian melayan mereka. Rasulullah s.a.w berkata (bermaksud):
"Sesiapa
yang tidak mengasihi, maka tidak akan dikasihi." (Riwayat Imam Bukhari (5997) dari Abu Hurairah ra),
Mungkin anda masih ingat
bahawa beliau telah memanjangkan sujud dalam solat kerana Hassan dan Hussein
berada di belakang badannya sehinggalah mereka puas bermain. Kemudian beliau
mengangkat badannya tanpa melarang keduannya dari seronok bemain. As-Shawki pernah
berkata dalam bait syairnya:
Apabila anda mengasihi
(anak-anak), maka anda adalah ibu dan bapa yang sejati
Kerana di dunia ini keduanya
mestilah bersifat pengasih (kepada anak-anak).
4 – Rahmat kepada haiwan:
Di antara ajaran Nabi s.a.w ialah
bertujuan menjadi rahmat kepada haiwan-haiwan yang tidak boleh bercakap; di
mana beliau berpesan supaya melayani haiwan secara baik dengan memberikan
mereka hak untuk makan dan minum serta tidak diseksa. Hal ini telah berlaku sebelum
wujudnya kumpulan-kumpulan hak asasi haiwan di dunia sejak empat belas abad
yang lalu.
Rasulullah s.a.w telah bersabda
(bermaksud):
"Seorang lelaki telah memasuki syurga kerana seekor
anjing. Ketika seorang lelaki dalam perjalanan, ia kehausan. Kemudian setelah
menjumpai perigi, ia masuk ke dalamnya. Lalu ia minum di sana. Kemudian
ia keluar, tiba-tiba ia
melihat seekor anjing di luar perigi yang menjulur lidahnya dan menjilat-jilat
tanah lembab kerana sangatnya rasa haus. Maka lelaki itu berkata: Anjing itu
merasakan apa yang baru saja aku rasakan. Kemudian ia kembali semula ke dalam perigi
dan memenuhi sepatunya dengan air. Lalu ia membawa naik air dengan menggigit
sepatu itu, Sesampai di atas ia memberi minum anjing itu. Kerana perbuatannya
tadi, Allah berterima kasih dan mengampunkan dosa-dosanya." (Riwayat Imam Bukhari (6009) dari Abu Hurairah
ra).
Rasulullah s.a.w juga
menyatakan (bermaksud):
"Sesungguhnya perempuan zina yang memberi minum anjing
yang sedang kehausan, maka Allah telah mengampunkan dosanya. " (dari Abu Hurairah ra. Hadis ini dinyatakan oleh Ibn
Qaisrani di dalam Zakhirah al-Huffaz 1/537)
Dari riwayat yang lain, Rasulullah
s.a.w berkata (bermaksud):
"Bahawa seorang wanita memasuki neraka kerana kucing.
Dia mengurungnya tanpa memberi makan kepadanya
atau tidak meninggalkan serangga yang boleh dimakan. Lalu kucing itu mati. Maka
ia masuk api neraka." (Riwayat Imam Muslim (2619) dari Abu Hurairah ra).
Inilah perbuatan yang menunjukkan
kekejaman; yang mana sesiapa yang tidak mengasihani haiwan, maka bagaimana ia
akan mengasihani anak-anak yatim, orang-orang yang lemah dan kanak-kanak?!
Oleh itu, mari kita belajar bersifat
belas kasihan (rahmat) dalam berurusan dengan orang lain daripada Rasulullah
s.a.w. Allah SWT telah berfirman tentang hak nya:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah
(kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka
(sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras
hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka
(mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi
mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan
hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah
bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Al-Imran:
159)
Kita berdoa Allah menjadikan kita termasuk orang-orang yang
mengasihani.
Dan merahmati kita dengan rahmatnya di dunia dan akhirat.
Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=136196&SecID=110
No comments:
Post a Comment
Sila berikan komen anda