Friday, February 1, 2013

Rahmat dan petunjuk kepada sekalian alam


Oleh: Dr. Ahmad Abdul Hadi Shahin

Sesungguhnya junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w merupakan nabi rahmah (bersifat belas kasihan) dan sentiasa memberikan rahmatnya. Kenapa tidak, Allah SWT telah berfirman tentang hak beliau yang bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”  (Al-Anbiya’:107).

Ungkapan "al-‘alamin" di sini meliputi semua makhluk termasuklah manusia, jin, binatang dan burung. Rahmat ini adalah umum untuk semua.

Namun terdapat rahmat yang khas, di mana Allah mengurniakan rahmat Nabi-Nya kepada orang-orang yang beriman sahaja, iaitu Allah memberikan dua nama Allah dari nama-namaNya yang indah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubat:128)

Di samping itu rahmat nabi tidak hanya kepada para sahabat beliau, bukan hanya untuk orang Islam dan bukan hanya untuk orang-orang Arab, tetapi rahmatnya meliputi seluruh alam dan semua makhluk.

1 – Rahmat ke atas sasaran dakwah (mad’u) yang bukan Islam:

Ketika Rasulullah pergi ke Taif yang terletak di luar Mekah untuk berdakwah, beberapa orang musyrikin (pemuka-pemuka Tsaqif) telah menyakiti beliau. Mereka telah menyuruh budak- budak dan orang-orang yang rendah pemikiran supaya melempar batu kepada Rasulullah sehingga luka berdarah kedua kakinya. Lalu Allah telah mengutuskan malaikat penjaga bukit- bukit untuk meminta kebenaran bagi menghempap mereka dengan dua buah bukit (Abu Qubais dan Ahmar). Namun Rasulullah s.a.w sebaliknya berkata: ‘Jangan… jangan! Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah semata, tidak disekutukanNya dengan apa pun… !”(Riwayat Imam Bukhari (3231) dari Aishah r.ha)

Kemudian Rasulullah s.a.w berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak tahu." (Disebut oleh Imam al-Baihaqi dalam Bab Sya’b al-Iman 2/622 dari Abdullah bin Ubaid bin Amir r.a).

Begitu juga ketika ramai para sahabat yang disiksa dan dianiaya oleh orang-orang musyrikin, maka mereka telah meminta Rasulullah mendoakan kehancuran mereka. Beliau hanya berdoa: "Sesungguhnya aku tidak diutuskan untuk melaknat mereka, tetapi aku diutuskan adalah sebagai rahmat." (Riwayat Imam Muslim (2599) dari Abu Hurairah r.a).

Beliau turut berpesan supaya melayani orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam dengan baik. Beliau sedia menentang atau bermusuh terhadap orang yang menganiaya mereka atau tidak berlaku adil. Sabda Nabi s.a.w bermaksud: 

"Sesiapa yang membunuh orang kafir yang telah melakukan perjanjian damai dengan negara Islam nescaya dia tidak akan dapat mencium bau wangian Syurga, padahal bau wangian itu sudah dapat dicium sejauh empat puluh tahun perjalanan.” (Riwayat oleh Imam Bukhari (6914) dari Amr bin Al-As r.a).

2 – Rahmat kepada wanita:

Junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w adalah rahmat bagi wanita, sedangkan wanita sebelum Islam sesuatu yang diabaikan kehormatannya. Wanita dalam masyarakat jahiliah tidak mempunyai sebarang nilai. Sebahagian dari mereka akan membunuh anak perempuan di dalam kandungan lagi atau menanamnya hidup-hidup di dalam tanah; kerana mereka mempercayai bahawa wanita merupakan antara punca rasa malu. Padahal, hakikatnya wanita tidak melakukan dosa dalam semua itu, melainkan ia hanya menjadi perempuan sahaja.

Apabila Nabi Muhammad s.a.w diutuskan wanita telah diberikan haknya yang dirampas. Beliau bersabda (bermaksud):

"Wanita adalah saudara lelaki" (Riwayat oleh Imam Abu Daud (236) dari Aishah r.ha)

Kemudian beliau pernah berpesan supaya memberikan layanan dan pergaulan yang baik kepada wanita; di mana seorang telah datang bertanya kepada beliau: " Siapakah orang yang paling layak untukku melayan dengan baik? Beliau menjawab: Ibumu. Orang itu berkata lagi: Kemudian kepada siapa? Beliau menjawab: Ibumu. Orang itu bertanya lagi: Kemudian kepada siapa? Beliau menjawab: Ibumu. Orang itu bertanya lagi: Kemudian kepada siapa lagi? Beliau menjawab: Ayahmu. " (Riwayat Imam Bukhari (5971) dari Abu Hurairah r.a)

Rasulullah s.a.w telah memberikan wanita tiga hak dan hanya satu hak kepada lelaki, kerana mereka yang hamil, melahirkan anak, menyusukan, menjaga dan merasa letih. Oleh itu, mereka layak memperolehi penghormatan, penghargaan dan terima kasih.

3 – Rahmat kepada anak-anak yatim dan kanak-kanak:

Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w adalah rahmat kepada anak-anak yatim, orang-orang yang lemah dan anak-anak kecil. Beliau berpesan supaya memelihara, mendidik dan menjaga mereka dengan baik. Beliau turut menjadikan orang yang menjaga anak-Anak yatim sebagai temannya di syurga nanti. Sabdanya yang bermaksud:

“Saya dan penjaga anak yatim berada dalam syurga begini, dan baginda menunjukkan dengan jari telunjuk dan jari tengah dan baginda merenggangkan antara kedua-dua jarinya”.  (Riwayat Imam Bukhari (5304 ) daripada Sahl ibn Saad Saa`idi ra).

Pada suatu hari beliau ingin menemui kedua cucunya Saidina Hassan dan Hussein yang sangat manja kepadanya. Lalu beliau mendapatkan mereka, memeluk dan mendukung di dadanya, bermain dan bergurau senda dengan keduanya dan meletakkan mereka di atas dua paha beliau. Lalu seorang lelaki yang baru memeluk Islam, dikenali Aqra’ bin Habis berkata: "Beginikah kalian melayani anak-anak kalian. Demi Allah, aku mempunyai sepuluh orang anak lelaki tapi belum pernah aku melayan salah seorang dari mereka seperti kalian melayan mereka. Rasulullah s.a.w berkata (bermaksud):

"Sesiapa yang tidak mengasihi, maka tidak akan dikasihi." (Riwayat Imam Bukhari (5997) dari Abu Hurairah ra),

Mungkin anda masih ingat bahawa beliau telah memanjangkan sujud dalam solat kerana Hassan dan Hussein berada di belakang badannya sehinggalah mereka puas bermain. Kemudian beliau mengangkat badannya tanpa melarang keduannya dari seronok bemain. As-Shawki pernah berkata dalam bait syairnya:

Apabila anda mengasihi (anak-anak), maka anda adalah ibu dan bapa yang sejati
Kerana di dunia ini keduanya mestilah bersifat pengasih (kepada anak-anak).

4 – Rahmat kepada haiwan:

Di antara ajaran Nabi s.a.w ialah bertujuan menjadi rahmat kepada haiwan-haiwan yang tidak boleh bercakap; di mana beliau berpesan supaya melayani haiwan secara baik dengan memberikan mereka hak untuk makan dan minum serta tidak diseksa. Hal ini telah berlaku sebelum wujudnya kumpulan-kumpulan hak asasi haiwan di dunia sejak empat belas abad yang lalu.

Rasulullah s.a.w telah bersabda (bermaksud): 

"Seorang lelaki telah memasuki syurga kerana seekor anjing. Ketika seorang lelaki dalam perjalanan, ia kehausan. Kemudian setelah menjumpai perigi, ia masuk ke dalamnya. Lalu ia minum di sana. Kemudian ia keluar, tiba-tiba ia melihat seekor anjing di luar perigi yang menjulur lidahnya dan menjilat-jilat tanah lembab kerana sangatnya rasa haus. Maka lelaki itu berkata: Anjing itu merasakan apa yang baru saja aku rasakan. Kemudian ia kembali semula ke dalam perigi dan memenuhi sepatunya dengan air. Lalu ia membawa naik air dengan menggigit sepatu itu, Sesampai di atas ia memberi minum anjing itu. Kerana perbuatannya tadi, Allah berterima kasih dan mengampunkan dosa-dosanya.(Riwayat Imam Bukhari (6009) dari Abu Hurairah ra).

Rasulullah s.a.w juga menyatakan (bermaksud):

"Sesungguhnya perempuan zina yang memberi minum anjing yang sedang kehausan, maka Allah telah mengampunkan dosanya. " (dari Abu Hurairah ra. Hadis ini dinyatakan oleh Ibn Qaisrani di dalam Zakhirah al-Huffaz 1/537)

Dari riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w berkata (bermaksud):

"Bahawa seorang wanita memasuki neraka kerana kucing. Dia mengurungnya tanpa memberi  makan kepadanya atau tidak meninggalkan serangga yang boleh dimakan. Lalu kucing itu mati. Maka ia masuk api neraka." (Riwayat Imam Muslim (2619) dari Abu Hurairah ra).

Inilah perbuatan yang menunjukkan kekejaman; yang mana sesiapa yang tidak mengasihani haiwan, maka bagaimana ia akan mengasihani anak-anak yatim, orang-orang yang lemah dan kanak-kanak?!

Oleh itu, mari kita belajar bersifat belas kasihan (rahmat) dalam berurusan dengan orang lain daripada Rasulullah s.a.w. Allah SWT telah berfirman tentang hak nya:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Al-Imran: 159)
Kita berdoa Allah menjadikan kita termasuk orang-orang yang mengasihani.
Dan merahmati kita dengan rahmatnya di dunia dan akhirat.



Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top