Oleh: Prof. Dr. Hussin Sahatah
Kita hendaklah sentiasa membuat muhasabah diri pada setiap waktu dan
ketika:
Muhasabah diri (koreksi, refleksi, penilaian diri) dianggap antara kewajipan
tarbiyah ruhiyah dengan tujuan untuk menilai dan membetulkannya supaya
beriltizam dengan jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang beriman dan
bertaqwa. Allah telah menegaskan hal ini di dalam kitab suciNya. Firman Allah
SWT yang bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah; dan hendaklah tiap-tiap
diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya)
untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang
kamu kerjakan.Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang
yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka
melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka." (Al-Hasyr:
18-19)
Di samping Allah perintahkan hamba-hambaNya yang yang beriman untuk
takut dan gentar kepadaNya, Allah juga perintahkan supaya menilai semula
amalan-amalan yang dipersembahkan sebelum berdiri di hadapanNya pada hari
perhitungan yang teragung. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan
katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan),
maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang
kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu
apa yang kamu telah kerjakan.” (Taubat: 94)
Pengertian ini juga dinyatakan di dalam kata-kata Rasulullah SAW:
(الكيس
من دان نفسه وعمل لما بعد الموت، والعاجز من اتبع نفسه هواها وتمنى على الله
الأماني)
“Orang
yang cerdas ialah orang yang menundukkan nafsunya dan beramal untuk kehidupan
setelah kematiannya. Orang yang paling lemah ialah orang yang mengikuti hawa
nafsunya dan menggantungkan angan-angan kepada Allah.” (HR. Ahmad)
Malah Saidina Omar bin al-Khattab ra. pernah berkata:
“Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah sebelum kami ditimbang,
supaya itu lebih mudah bagimu di hari hisab kelak untuk menghisab dirimu di hari
ini. Bersiaplah kamu untuk pertemuan yang lebih besar, pada saat amalan
dipamerkan dan tidak sedikitpun yang dapat tersembunyi darimu.”
Dengan itu dapat disimpulkan bahawa muhasabah diri termasuk
kewajipan agama.
Perhitungan hari Kiamat yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat
memberikan pertolongan sesuatu apapun kecuali orang-orang yang datang mengadap
Allah dengan hati yang selamat sejahtera.
Seorang muslim mesti menyakini bahawa beliau akan berdiri di
hadapan Allah pada hari kiamat untuk dihisab dan disoal tentang ikrar yang
terbeban di lehernya apabila dia memasuki Islam dan menyebut dua kalimah shahadah
iaitu: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad
adalah Rasul Allah, kemudian berikrar kepada Allah untuk mematuhi rukun Islam
dan rukun iman. Dalam hal ini berkata Nabi saw:
لن تزول قدما
عبد يوم القيامة حتى يُسأل عن أربع: عن عمره فيم أفناه، وعن شبابه فيم أبلاه، وعن
ماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه، وعن علمه ماذا عَمِل به
“Tidak akan bergeser kedua kaki manusia pada Hari Kiamat hingga
(ia) ditanya tentang:
Umurnya, untuk apa ia habiskan? Masa mudanya, apa yang telah dilakukan? Hartanya, dari mana dia peroleh dan untuk apa ia belanjakan? Ilmunya, apa yang telah dilakukan?” (HR. Tirmizi)
Umurnya, untuk apa ia habiskan? Masa mudanya, apa yang telah dilakukan? Hartanya, dari mana dia peroleh dan untuk apa ia belanjakan? Ilmunya, apa yang telah dilakukan?” (HR. Tirmizi)
Para sahabat telah beriltizam dengan tarbiyah ruhiyah ini dan sentiasa
bermuhasabah di hadapan Allah di mana mereka adalah orang yang sangat mengambil
berat untuk memuhasabah diri mereka sendiri. Contoh terbaik dalam hal ini ialah
Umar bin al-Khattab yang kuat berpegang dengan kebenaran ini kerana telah
berkata:
“Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah sebelum kami ditimbang,
supaya itu lebih mudah bagimu dihari hisab kelak untuk menghisab dirimu di hari
ini, dan bersiaplah kamu untuk pertemuan yang lebih besar, pada saat amalan
dipamerkan dan tidak sedikitpun yang dapat tersembunyi darimu.”
Mengapa perlu muhasabah diri sebelum perhitungan di hadapan Allah?
Para ulamak mengatakan: Barangsiapa yang mengambil berat dalam
memuhasabah dirinya di dunia nescaya akan meringankan penghisabannya di akhirat
nanti. Justeru, apabila seseorang memuhasabah dirinya dengan segera, secara harian,
mingguan, bulanan dan setiap tahun, beliau mengetahui berapa jumlah amal soleh
yang diredhai Allah SWT. Ini akan merangsang untuk memperbanyakkannya dan
menambahkan keimanan kepadaNya. Apabila beliau mengetahui bahawa berapa jumlah
kecuaian dan kekurangan di sisi Allah, beliau akan menghukum dirinya, bertaubat dan memohon ampun, memperbaharui
ikrar dan janji dengan Allah untuk tidak mengulangi dosa-dosa itu lagi dan membanyakkan
amal-amal yang soleh untuk menebus perbuatan buruk dan kesalahan yang
dilakukan. Begitu juga, muhasabah diri merupakan ibadah kepada Allah, sebuah
doa kepada Allah dan tarbiyah ruhiyah sehingga dia bertemu Tuhannya dengan hati
yang sejahtera dan jiwa yang tenang serta dialu-alukan oleh malaikat, di mana
Allah berfirman kepadanya (bermaksud):
“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan
kepercayaan dan bawaan baiknya! “Kembalilah kepada Tuhanmu
dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi
diredhai (di sisi Tuhanmu) “Serta masuklah engkau dalam kumpulan
hamba-hambaku yang berbahagia “Dan masuklah ke dalam syurgaKu!”
(Al-Fajr: 27-30)
Wajib membuat senarai semak muhasabah (penyata akaun) bagi tahun yang
berlalu:
Kita akan meninggalkan tahun yang berlalu dan menyambut tahun yang
baru. Hari-hari berlalu hari demi hari. Berseru hari ini dan berkata
kepada-hamba-hamba Allah: “Aku adalah hari yang baru dan amalan kamu adalah
saksi. Oleh itu, ambillah bekal dariku kerana aku tidak akan kembali kepada hari
kiamat.”
Orang mukmin seumpama usahawan.
Seorang usahawan akan menyediakan penyata akaun tahunan untuk mengetahui berapa
banyak keuntungan dan kerugian dalam perniagaan dan mengetahui faktor rugi.
Begitu juga seorang mukmin setiap kali menyambut tahun baru dia hendaklah membuat
senarai semak atau penyata akaun bagi tahun lalu dan bertanya kepada dirinya; Adakah
hubungannya dengan Allah bertambah erat dan sentiasa dalam mentaatiNya? Ia
bersyukur kepada Allah di atas petunjukNya kepada Islam dan pertolonganNya untuk
mentaati dan menyempurnakan ibadah kepadaNya serta menyalahkan dirinya atas kekurangan.
Seterusnya, menanamkan azam untuk menggantikan masa-masa yang sudah hilang dan merancang
untuk tahun depan bagi meningkatkan amal-amal soleh dan menjauhi dosa-dosa
kerana merasai firman Allah SWT (bermaksud):
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal
yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat)
kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani."(Al-Furqan: 70)
Di antara pesanan Rasulullah SAW kepada Abu Dzar al-Ghifari dalam
hal ini:" Baharuilah kapal kerana sesungguhnya laut itu dalam, perbanyakkanlah
bekalan kerana sesungguhnya perjalanan itu jauh, ringankanlah bebananmu kerana
sesungguhnya halangan itu sangat panjang, dan ikhlaskanlah amalanmu kerana
sesungguhnya pengkritik itu sangat teliti. "
Di antara amalan yang perlu ditanya seorang muslim ke atas dirinya apabila
yang berlalu tahun itu dan tiba setahun lagi ialah tentang solat, puasa, zakat
dan haji, amalan soleh, akhlak mulia dan pendapatan dan perbelanjaan, berbuat
baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturrahim, ibadah- ibadah fardu, kewajipan
lain dan amalan-amalan sunat seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dan RasulNya.
Apakah kandungan senarai semak muhasabah tahunan ke atas diri
sendiri?
Orang mukmin hendaklah membuat senarai semak atau penyata akauan tentang
perniagaan dengan Allah, adakah anda untung atau rugi? Di antara perkara yang
mesti terkandung dalam senarai semak ini ialah soalan-soalan tentang diri,
contohnya seperti berikut:
- Adakah
telah meningkat kekayaan iman anda, menambahkan asset kebaikan anda dan berat
amal-amal kebaikan anda?
Jika anda demikian maka anda telah termasuk orang-orang yang beruntung.
- Adakah
anda telah menghiasi diri dengan akhlak Nabi SAW dan benar-benar menjadikan
Rasulullah sebagai contoh teladan dan percaya bahawa Rasulullah adalah contoh
terbaik anda?
Jika anda juga demikian maka anda telah mendapat syafaat beliau pada
hari pembalasan.
- Adakah anda telah membersihkan hati
anda, menyucikan jiwa anda, bertaubat dan beristighfar kepada Allah sehingga anda
bertemu Allah dengan hati yang bersih dan jiwa yang tenang, yang meredhai dan diredhai?
Jika anda juga demikian maka anda telah selamat dari kengerian pada
hari kiamat.
- Adakah
anda telah berusaha untuk menunaikan kepentingan orang lain tanpa mengharapkan
balasan dan ucapan terima kasih?
Jika anda juga demikian maka anda telah bercucuk tanam di dunia dan
Insya-Allah anda akan menuai hasilnya di akhirat.
- Adakah
anda telah membelanjakan harta untuk zakat? Adakah anda telah memberi kerana
Allah dan bersedekah dengan baik?
Jika anda juga demikian maka Allah akan memudahkan anda dalam
urusan-urusan di dunia dan di akhirat.
- Adakah
anda telah menyenangkan orang lain dan menyumbang untuk melepaskan
hutang-hutang mereka dengan baik?
Jika
anda juga demikian maka anda akan mendapat pulangan, keuntungan dan faedah
daripada pelaburan ini di akhirat dengan berlipat kali ganda.
- Adakah
anda telah berjihad (berjuang) dengan diri, harta, masa dan perkataan yang
baik? Adakah anda telah berkata pada diri anda untuk berjihad?
Jika anda demikian maka anda akan memperolehi ganjaran para
siddiqin dan mujahidin seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT
(bermaksud):
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah
orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus
percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda
dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar
(pengakuan imannya).” (Al-Hujurat: 15)
- Adakah anda telah memperolehi
pendapatan dengan cara yang baik dan membelanjakan dengan berjimat cermat, mengutamakan
untuk suatu hari yang mana anda dalam kemiskinan dan sangat berhajat. Adakah
anda menjauhkan diri daripada pendapatan yang haram, keji, berlebih-lebihan dan
membazir?
Jika
anda demikian maka anda adalah hamba Allah yang mewarisi Firdaus syurga yang tertinggi.
- Adakah
anda berbuat baik kepada kedua ibu bapa anda dan menghubungkan silaturrahim
dengan keluarga dan kaum kerabat?
Jika
anda juga demikan maka kedua ibu bapa akan meredhai anda dan menjadi punca mereka
kasih pada anda dan seterusnya Allah akan memberkati rezeki anda dan
memanjangkan umur anda.
- Adakah
anda termasuk dari kalangan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada
yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, serta tidak sesekali kedekut dalam
hal dakwah?
Jika
anda demikian maka bagi anda ganjaran yang besar kerana ganjaran orang yang menunjukkan
kepada kebaikan sama seperti orang yang melakukannya.
Hasil penyata akaun akhirat dengan Allah
Orang Islam mempercayai adanya perhitungan akhirat di hadapan Allah
SWT. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat
yang menjelaskan bahawa pada hari kiamat Allah akan memberi tumpuan kepada timbangan
penghisaban dan mempamerkan setiap orang satu penyata akaun. Dalil hal ini
seperti firman Allah SWT (bermaksud):
“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil
untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri
sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi
(sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung);
dan cukuplah Kami sebagai Penghitung." (Al-Anbiya’: 47)
Firman Allah SWT yang menggambarkan keadaan orang-orang soleh dan orang-orang
kafir pada hari perhitungan terbesar:
Pada hari itu,
kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang
tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi. Maka
sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia
akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah!
Bacalah kamu Kitab amalku ini! “Sesungguhnya
aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku
(pada hari yang ditentukan)!” Maka (dengan itu) tinggalah dia
dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, Di dalam Syurga
yang tinggi (darjatnya), Buah-buahannya dekat untuk dipetik.: “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang
lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu
kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!” Adapun orang yang diberikan
menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan
sesalnya): “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku,
“Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku. “Alangkah
baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang
menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi); “Harta kekayaanku tidak dapat
menolongku sedikitpun; Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah
binasa dan hilang lenyap dariku”. (Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka):
“Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, “Kemudian
bakarlah dia di dalam neraka Jahiim; “Selain dari itu,
masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh
hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! “Sesungguhnya dia
dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar, “Dan dia juga
tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak
diterima oleh) orang miskin.“Maka pada hari ini, tidak ada
baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat
menolongnya), “Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari
air danur, “Yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang
melakukan perkara yang salah”. (Al-Haaqqah
18-37)
Rasulullah telah mengukuhkan lagi tentang gambaran hari perhitungan
dan pembalasan dalam hadis yang telah disebutkan di atas:
“Tidak
akan bergeser kedua kaki manusia pada Hari Kiamat hingga (ia) ditanya tentang:
Umurnya, untuk apa ia habiskan? Masa mudanya, apa yang telah dilakukan? Hartanya, dari mana dia peroleh dan untuk apa ia belanjakan? Ilmunya, apa yang telah dilakukan?” (HR. Tirmizi)
Umurnya, untuk apa ia habiskan? Masa mudanya, apa yang telah dilakukan? Hartanya, dari mana dia peroleh dan untuk apa ia belanjakan? Ilmunya, apa yang telah dilakukan?” (HR. Tirmizi)
Daripada Ibn Abbas r.a berkata; rasulullah SAW bersabda:
“ Apa
yang ada di dalam penutup badan, di dalam dinding dan berita akan dihisab (dihitung)
seorang hamba pada hari akhirat atau akan disoal kepadanya.” (HR. Ibn Majah)
Umar bin al-Khattab telah mengutuskan surat kepada Abu Musa al-Asy'ari
yang menyatakan bahawa:
"Hitunglah dirimu semasa dalam kemewahan sebelum kamu dihitung
semasa dalam kesusahan, "
Terdapat satu atsar bahawa Umar bin al-Khattab r.a memukul
kedua kaki dengan cemeti apabila malam
gelap-gelita dan berkata kepada dirinya sendiri: Apakah yang aku lakukan hari
ini?
Apakah yang diucapkan orang beriman dan apakah yang diucapkan orang
kafir apabila menerima penyata akaun di akhirat?
Orang mukmin bergembira apabila menerima buku catatannya di sebelah
kanan dan orang kafir bersedih dan sesal pada hari tiada penyesalan apabila
menerima buku catatannya di sebelah kiri. Terdapat ayat di dalam al-Quran yang menyebutkan
gambaran indah tentang keadaan orang-orang kafir, orang-orang fasiq dan orang-orang
dihukum sepertinya dan juga keadaan orang-orang beriman yang berjaya pada hari perhitungan
di hadapan Allah SWT di hari kiamat nanti.
Antaranya seperti ayat di akhir Surah al-Mukminun, di mana Allah berfirman yang
menggambarkan keadaan orang-orang yang beriman dan keadaan orang-orang kafir:
“Kesudahan golongan yang
kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara
mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di
dunia) “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam
perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya
perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang
di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga
hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). Kemudian,
apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian
kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan. Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah
orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan
amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka
kekal di dalam neraka Jahannam. Api neraka itu membakar muka
mereka, dan tinggalah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat. (Sambil
dikatakan kepada mereka): “Bukankah ayat-ayatKu selalu dibacakan kepada kamu,
lalu kamu terus-menerus mendustakannya?” Mereka menjawab:
“Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh sebab-sebab kecelakaan kami, dan
dengan itu menjadilah kami kaum yang sesat. “Wahai Tuhan kami,
keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah
itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya
kami orang-orang yang zalim.” (Al-Mukminun: 99
- 107),
Setiap orang Islam mesti meneliti ayat-ayat ini dan melakukan
amal-amal yang soleh sehingga menjadi antara orang-orang yang berjaya dan tidak
termasuk orang-orang yang rugi.
Rasulullah turut menggambarkan keadaan manusia pada hari perhitungan
akhirat di hadapan Allah dengan mengatakan (bermaksud):
“Pada saat itu
manusia berada dalam peluh masing-masing mengikut kadar amal jahatnya; ada
antara mereka yang peluhnya sampai ke mata kakinya, ada yang sampai ke
lututnya, ada yang sampai ke pinggangnya, dan ada yang sampai peluhnya masuk ke
mulutnya.” (HR. Muslim)
Gambaran mengenai hari perhitungan di hadapanAllah, timbangan,
titian as-Sirath, negeri yang kekal, syurga dan neraka, adalah untuk mencegah orang
yang zalim dari terus melakukan kezaliman supaya mereka bertaubat, meminta
ampun dan meningkatkan amal soleh sehingga mereka bertemu Allah dengan hati
yang sejahtera dan jiwa yang redha dan tenang. Oleh itu, hisablah dirimu wahai
saudaraku sebelum kamu dihisab. Bertaubatlah sebelum anda tidak berpeluang lagi
untuk bertaubat. Mudah-mudahan anda dapat bertemu Allah dengan amalan yang
soleh dan ibadah yang ikhlas berdasarkan firman Allah SWT (bermaksud):
“Oleh
itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,
hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan
sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (Al-Kahfi: 110)
Asas muhasabah diri adalah tarbiyah ruhiyah yang dibangunkan di
atas perasaan muraqabah kepada Allah SWT.
Kita memohon kepada Allah SWT agar meringankan perhitungan kita,
memudahkan pertanyaan untuk kita dan menjadikan kita termasuk orang-orang yang
berjaya.
------------
* Profesor
di Universiti Al-Azhar - seorang perunding dalam kewangan Islam.
Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=132972&SecID=363
0 ulasan
Sila berikan komen anda