Saturday, December 18, 2010

Iman dan kerja..jalan kebangkitan umat


Oleh: Syikh Hijazi Ibrahim Tsarya

Segala pujian hanya bagi Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan kita nabi Muhammad saw, keluarganya, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya dengan baik sehingga hari Kiamat..Adapun selepasnya. Firman Allah:

Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, Maka Allah dan rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang Telah kamu kerjakan”. (At-Taubah: 105)

Sesungguhnya di antara prinsip Islam dan jalan para nabi yang salihin bahawa orang-orang beriman diwajibkan bekerja dan memperolehi harta dalam bentuk yang halal untuk dibelanjakannya. Ini kerana dengan harta manusia akan membeli dan memakai, mendidik anak-anak, menghubungkan silaturrahim dan memelihara kehormatannya, menjaga agamanya dan mempertahankan tanahairnya, hidup penuh kemuliaan dan mati penuh sanjungan dan ketinggian. Seseorang sekali-kali tidak akan merasai kemuliaan dan ketinggian serta menikmati kehidupan yang mulia melainkan apabila perutnya merasa kenyang dan tidak perlukan selainnya, dan segala keperluan hidupnya telah disempurnakan.

Oleh sebab itu, Islam melihat tidak boleh sama sekali mengabaikan makna-makna perekonomian dan tidak melupakan tentang pengislahan berbentuk harta. Malah, Islam telah meletakkan prinsip-prinsip yang paling mulia yang menyuburkan kesatuan umat baik kepada individu dan masyarakat, meninggikan taraf hidup dan  mendekatkan semua lapisan masyarakat, memberi keamanan kepada semua, diri mereka, keluarga dan anak-anak mereka, menjamin keadilan social yang sebenar dan menyediakan peluang yang sama kepada semua orang.

Kesan iman dalam pembangunan dan kebangkitan

Seorang muslim adalah khalifah Allah di muka bumi, yang menegakkan syariat, menyebarkan keadilan, kasih saying dan persamaan. Di antara kewajipan seorang khalifah di muka bumi ialah menegakkan ‘pemerintahannya’ melalui titik peluhnya dan mengambil faedah dari segala isi, kemudahan dan kebaikan yang tidak dapat dicapai melainkan dengan bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh.

Di antara factor paling penting kebangkitan umat dan perubahannya ialah memantapkan iman di dalam hati anggota umat, kerana iman adalah cahaya yang menerangi mereka dan menguatkan asas binaan umat. Justeru inilah rahsia iman dikaitkan dengan amal (bekerja) di dalam al-Quran. Firman Allah:

“Sesunggunya mereka yang beriman dan beramal saleh, tentulah kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik”. (Al-Kahfi: 30)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk”. (Al-Bayyinah: 7)

Iman adalah asas kesejahteraan dan kejayaan, iaitu sebagai limpahan tenaga yang menjadi sumber kemahuan yang kuat, sama seperti iman sebagai asas kepada semua kemuliaan, iaitu jalan kepada manusia sampai kepada keamanan. Firman Allah:

Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka Itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk”. (Al-An’am: 82)

Negara yang diasaskan di atas iman, kekal kuat dan teguh binaannya. Sejarah membuktikan hal ini ketika hati-hati rakyat Negara Islam dipenuhi dengan iman dan akal mereka dibekalkan dengan ilmu dan meneguhkannya dengan amal, seluruh tindakan dan perilaku mereka tunduk kepada hukum Islam sehingga mereka menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia. Firman Allah:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia”. (Ali-Imran: 110)

Jelasnya segala kebaikan-kebaikan ini bukan untuk umat yang tertinggal dan mundur di dunia. Di samping itu agama Islam menggalakkan kemajuan di bidang agama dan dunia bersama-sama. Ayat yang terawal turun di dalam al-Quran menggalakkan kepada ilmu yang merupakan tonggak sebuah kemajuan. Firman Allah:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan”. (Al-‘Alaq: 1)

Begitu juga di dalam al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan “al-Hadid” (besi) yang merupakan tonggak industry. Firman Allah:

“Dan kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu)”. (Al-Hadid: 25)

Haram ke atas umat yang membaca al-Quran tentang sanjungan kepada nabi Daud a.s:

“dan kami Telah melunakkan besi untuknya,11.  (yaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya”. (Saba’: 10-11)

dan membaca ayat:

“Dan Telah kami ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, guna memelihara kamu dalam peperanganmu; Maka hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah)”. (Al-Anbiya’: 80)

..jika ‘besi’ itu tidak bangunkan industri untuk memenuhi keperluan seperti pembuatan alatan, kelengkapan dan senjata,  

Islam menggalakkan bekerja dan melarang dari meminta-minta

Firman Allah:

“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, Maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezki-Nya. dan Hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan”. (Al-Mulk: 15)

Dari Abu Hurairah r.a dari nabi saw telah bersabda:

“Pekerjaan yang paling baik ialah pekerjaan seseorang dengan tangannya yang disertai  usaha bersungguh-sungguh dan penuh kualiti”. (Musnad Imam Ahmad)

Daripada Ibn Umar dari nabi saw yang bersabda:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang mahir (professional) dalam sesuatu kerja”. (Tabrani dan Baihaqi)

Di samping itu Islam melarang sikap suka meminta-minta yang berkait dengan malas dan enggan bekerja. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa rasulullah saw bersabda:

“Demi jiwaku di TanganNya, Bahawa seseorang yang mengambil seberkas kayu api dan diletak atas belakangnya untuk dijual, Allah melindungi maruahnya. Itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada mereka memberinya atau tidak.” (Bukhari)

Adab pekerja di dalam Islam

Di antara adab yang wajib dipelihara bagi setiap mulim yang bekerja ialah:

1. Sentiasa bermuraqabah kepada Allah semasa bekerja

Seorang pekerja yang ikhlas adalah manusia yang melaksanakan tugas dan kerja yang diamanahkan kepadanya diiringi dengan bermuraqabah kepada Allah di dalam pekerjaannya dan bersungguh-sungguh mengharapkan keredhaan Allah di sebalik pekerjaannya. Pekerja atau pegawai yang memiliki sifat ini tidak perlu kepada pemantauan manusia. Wujud perbezaan antara orang yang bekerja kerana takutkan manusia. Tanpa pemantauan daripada manusia, mudah baginya melakukan penipuan atau khianat, berlainan orang yang yang bekerja di bawah pemantauan Yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi dan segala rahsia. Inilah martabat ihsan seperti yang dinyatakan nabi saw di dalam sabdanya:

“Kamu beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihatNya, sekalipun kamu tidak melihatNya allah tetap melihatmu”. (Bukhari dan Muslim)

Bagi membangun dan membangkitkan masyarakat Islam daripada belengu kemunduran dan kelemahan dan kembali kepada kemajuan dan kegemilangan seperti zaman silam, sudah semestinya perlu membina pekerja dan kakitangan yang ikhlas dan bermuraqabah kepada Allah.

2. Mengelokkan pekerjaan dan melakukannya penuh kualiti

Orang yang sentiasa dekat dengan Tuhannya akan mengelokkan dan melakukan yang terbaik di dalam pekerjaannya.

Daripada ‘Aisyah r.a bahawa nabi saw bersabda: “Sesungguhnya Allah menyukai apabila sesorang melakukan sesuatu pekerjaan hendaklah mengelokkannya”. (Baihaqi)

Daripada Syadad bin Aus r.a berkata, Rasulullah saw telah bersabda: Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam semua perkara..”. (Muslim)

Ketiadaan kerja yang berkualiti merupakan satu penyakit yang menimpa umat Islam ketika ini. Inilah salah satu sebab kemunduran mereka sedangkan pada waktu yang sama bangsa lain mengecapi kemajuan kerana melakukan pekerjaan duniawi dengan penuh kualiti dan professional.

3. Hendaklah menghiasi diri dengan amanah dan kejujuran

Orang yang dipertanggungjawabkan tentang urusan umat Islam dan menjalani urusan hidup mereka, mestilah mengetahui pekerjaan yang diamanahkan kepadanya dan mampu melaksananya dengan baik, dan mestilah amanah dengan tugas dan mandate yang diberikan kepadanya. Ini berdasarkan kenyataan nabi Yusof a.s:

“Berkata Yusuf: "Jadikanlah Aku bendaharawan negara (Mesir); Sesungguhnya Aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan". (Yusof: 55)

“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang Kuat lagi dapat dipercaya". (Al-Qashashah: 26)

Bencana yang menimpa umat adalah lantaran kehilangan sifat-sifat ini. Sesuatu pekerjaan yang hanya bersandarkan kepada kaum kerabat atau ikatan persaudaraan tanpa sesuatu pengetahuan tentang pekerjaan, atau tiada kejujuran, maka ianya mendatangkan kecelakaan kepada manusia dengan sebab mereka.  

4. Hendaklah mengambil sebab beserta tawakal kepada Allah

Seorang muslim ketika bekerja untuk mencapai kekuatannya hendaklah mengambil sebab-sebab berserta tawakal kepada Allah dan yakin sepenuhnya, bahawa rezeki adalah milik Allah dan di bawah kehendakNya. Allah adalah pembuat atau pelaku sebenar dan bukan sebab. Justeru wujud perbezaan antara orang yang bertawakal dan orang yang hanya duduk sahaja sambil berserah. Orang yang bertawakal akan mengambil sebab untuk mencapai hasil kemudian berserah kepada Allah, sedangkan orang yang yang hanya duduk menunggu rezeki akan dating bergolek sambil berserah.  

5. Hendaklah yakin bahawa rezeki kamu tidak akan hilang selama-lamanya
Seorang muslim hendaklah melakukan pekerjaan dengan penuh kebijaksanaan, susah payah dan kerja keras. Takut kepada kehilangan rezeki kadang-kadang mendorong seorang muslim sanggup menerima kehinaan dan kerendahan. Di samping itu sifat tamak ke atas sesuatu yang bukan hak, akan mendorong seseorang mencuri, menipu atau rasuah.
Daripada Ibn Mas’ud r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda; “Tidak mengetahui seorang kamu tentang rezekinya. Sesungguhnya Jibril telah memberitahuku bahawa seseorang tidak akan dikeluarkan dari dunia (meninggal) melainkan akan disempurnakan rezekinya. Oleh itu Bertakwalah kepada Allah dan perindahlah didalam mencari (rezeki). Janganlah keterlambatan rezeki menjadikanmu mencarinya dengan bermaksiat kepada Allah.Sesungguhnya Allah tidaklah memberikan apa yang ada disisi-Nya kecuali dengan ketaatan kepada-Nya.” (Ibn Majah, Al-Hakim dan Ibn Hibban)
6. Janganlah menjadikan dunia sebagai impian kamu yang paling besar

Kita sememangnya dituntut memakmurkan hidup, tetapi bukanlah bermakna kita menukar perhatian dan tumpuan hanya kepada dunia dan material sahaja. Bekerja di atas jalan ini telah diharamkan ke atas kita oleh baginda saw:

“Orang yang menjadikan dunia sebagai perhatian dan impiannya, maka Allah akan memisahkan kesatuannya,dan menjadikan kefakiran antara dua matanya. Dunia tidak akan diberikan kepadanya melainkan yang telah tertulis baginya”. (Tabrani)

Sesungguhnya di sisi kita terdapat sebuah system yang lengkap dan sempurna yang mampu membawa manusia kepada kesejahteraan yang menyeluruh dan kebangkitan yang sebenar. Inilah Islam, yang telah meletakkan suatu prinsip yang menyeluruh dan paling asas di mana kalau kita kita ketahui dan dilaksanakan dengan sepenuhnya, tentulah akan menyelesaikan segala permasalahan kita. Kita mengetahui bagaimana cara meningkatkan taraf hidup segenap lapisan masyarakat dan kita dapati ianya adalah jalan yang paling dekat kepada kehidupan yang terbaik dan berkualiti.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=48446&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

2 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top