Oleh: Nabil Jalhoum
Jalan menuju akhirat .. dengan akhlak:
Dalam bulan Ramadan, setiap kita akan menahan lidah supaya tidak digerakkan melainkan untuk berdoa, berzikir, bertasbih atau membaca al-Quran .. Kemudian jika terdapat seorang daripada kita yang terhambur dari mulutnya perkataan lucah, umpatan atau perkataan yang kotor terhadap seseorang, maka kita akan dapati beliau segera beristighfar dan bertaubat.
Justeru, Ramadan memperkuatkan dirinya dengan menahan daripada bertengkar dan memaki hamun yang tidak senonoh, supaya apabila bersama manusia dia bersikap belas kasihan, di wajahnya terukir senyuman manis, pada kecintaannya dia bermurah hati, segala bahaya di jalan segera dibuang, semua keperluan orang segera dipenuhi, membantu orang yang kesusahan di jalan dengan usaha menyelamat, dan dengan isteri dia melayani penuh mesra, dan dengan kanak-kanak dia mengasihi, dan kepada dunia seluruhnya dia menjadi lampu yang menyala, memancarkan akhlak-akhlak yang unggul dan ucapan-ucapan yang mendidik, melembutkan hati dan begitu indah sehingga tiada lagi keindahan selepasnya.
Oleh itu, alangkah indahnya anda wahai saudara tercinta pada bulan Ramadan!
Pelbagai jenis akhlak yang baik terhias dan terdidik darinya untuk manfaat anda selepas Ramadan.
Jalan menuju akhirat .. dengan al-Quran:
Sepanjang hari kita membaca al-Quran. Kita bersungguh-sungguh meletakkan tanda tempat terakhir yang kita baca, dan kemudian kita membacanya lagi. Oleh itu, kita menjadikan al-Quran sebahagian dari kita dan kita menjadinya sepanjang masa bersamanya dan bagaikan saling berpeluk-pelukan.
Kita tidak merasai di bulan-bulan lain sama seperti ketika kita membaca al-Quran di bulan Ramadan .. Kita dapati di antara kita dan al-Quran begitu kasih dan cinta sekali. Kita dapati ketika bersama al-Quran kita begita mesra dan rapat sekali yang tidak berlaku pada masa-masa yang lain.
Benarlah dan tepatlah .. bahawa hidup bersama al-Quran pada bulan Ramadan mempunyai kelazatan tersendiri, ruh yang suci dan indah yang tiada lagi keindahan selepasnya .. Mengapa tidak?!
Ramadan adalah bulan di mana al-Quran telah diturunkan kepada kita. Al-Quran memberikan kita bimbingan, rahmat dan perlembagaan yang menyinari jalan kepada kita, dan melapangkan kita semua yang sempit, membawa bangsa dan umat kita dari segala kesempitan kepada kebahagiaan dan kegembiraan yang benar-benar berlaku .. Jelasnya, al-Quran adalah perlembagaan dan jalan cahaya ..yang hanya memberi petujuk kepada jalan yang benar dan menyampaikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang melaksanakan amalan soleh bahawa mereka memperolehi pahala yang besar .. Firman Allah SWT (bermaksud):
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (Al-Isra’: 9).
Jalan menuju akhirat .. dengan zuhud:
Jadikanlah Ramadan, peluang untuk belajar tentang erti zuhud .. Jangan keterlaluan dalam makan dan minum. Cubalah anda makan dan minum hanya sedikit dan cukup-cukup; untuk menjadi bekal bagi melaksanakan puasa dan qiam.
Apa yang kita lihat pada sesetengah orang atau kebanyakan orang adalah berlebih-lebihan pada bulan Ramadan pada kadar yang melampau sehingga makanan dan minuman melimpah-limpah lebih dari keperluan. Kemudian selepas itu tiada tempat untuk makanan tersebut melainkan masuk ke dalam bekas sampah sahaja!.
Justeru, rasailah semasa anda makan tentang apa yang berlaku kepada saudara kita di Somalia yang dilanda kebuluran dan kelaparan, dan mereka tidak mendapati sebarang makanan yang menghilangkan kelaparan mereka .. Semoga Allah menolong mereka dan menamatkan bencana yang menimpa mereka.
Mintalah kepada Tuhanmu supaya memberikan makan kepada mereka, dan memberikan minuman kepada mereka, dan dengan rahmatNya menurunkan awan (hujan) ke atas mereka dan menyelesaikan hal ehwal mereka.
Ayuhlah, wahai orang-orang yang saya sayangi .. kita melatih diri dengan sifat zuhud pada bulan Ramadan, dengan merasai penderiaan saudara-saudara kita di Somalia, kerana nikmat tidak akan kekal. Kemudian perhatikanlah dan fikirkanlah .. Berapa banyak nikmat yang anda terima, dalam kemewahan yang melimpah ruah, keluasan dan kelapangan hasil kurniaan dari Allah yang Maha Luas dan Agung.
Ketahuilah, bahawa barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang nasib umat Islam, maka dia tidak termasuk salah seorang daripada mereka. Oleh itu, janganlah anda lupakan mereka dalam doa yang sudah pasti memberikan banyak kesan yang baik kepada mereka, dan Allah sudah pasti mengurniakan ganjaran yang besar .. Hantarlah bantuan kepada mereka sedaya mungkin, dan berilah pertolongan yang dapat menampung kebuluran dan menamatkan keperitan yang di tanggung.
Jalan menuju akhirat .. dengan kesabaran:
Dengan menghalang diri dari makan dan nafsu syahwat serta menahan lidah daripada menghamburkan kata-kata yang sia-sia, tidak dinafikan bahawa ianya mendidik kita dengan ketahanan, kesabaran dan kecekalan .. Rentetan dari itu, membekalkan kita dengan kesabaran menghadapi ujian dan kesusahan di dunia. Kita mengetahui bahawa bukan semua ujian itu adalah penyiksaan, malah di samping itu, mengandungi pelbagai nikmat. Sebaliknya, ujian yang menimpa seseorang itu bukan kerana kesalahannya dan bukan kesalahannya yang menyebabkan ia ditimpa kesusahan. Kesabaran adalah sebahagian dari iman, dan menjadi bukti tentang keindahan akhlak dan ihsan .. Justeru, puasa bukan sahaja menahan dan mengharamkan diri dari yang halal, bahkan pada hakikatnya puasa ialah kerelaan kepada Allah dan mengharap balasan dari kemurahanNya, dan memperolehi pintu yang agung bernama ar-Rayyan di dalam syurga yang luas.
Kemudian apabila berbuka puasa selepas sepanjang hari bersabar dari melakukan perkara yang menyeronokkan, tentu merasa gembira yang tergambar di wajah dan kepuasan di dalam hatinya. Dengan itu membangkitkan ruh dan semangat baru yang menegaskan bahawa bersama kesabaran itu ialah kemenangan, dan bersama kesusahan itu ialah kesenangan, tidak kira berapa lama tempoh kesakitan dan kesusahan, pastilah kebaikan dan kelapangan akan datang kepada kita sebagai pembalasan dari Tuhan yang bersifat Maha Mulia dan Pengasih.
Jalan menuju akhirat .. dengan qiamullail:
Solat Terawih adalah ciri yang terpenting Ramadan .. Kita mendirikan solat sebagai tanda “qiam” kepada Allah; untuk kita berada dan mendapat kemuliaan dengan berdiri di hadapanNya.
Solat Terawih lapan rakaat dan disempurnakan dengan solat Witir tiga rakaat, kemudian diakhiri dengan doa dari imam yang boleh melembutkan hati kita, mengalirkan air mata kita, mengoncangkan keegoaan kita dan menyentuh perasaan kita .. Marilah kita lengkapkan kemuliaan qiamullail dengan sepenuhnya selepas selesai solat Terawih
Inilah anugerah Ramadan dari Allah yang hanya menyerahkan untuk para hambaNya sifat belas kasihan, kasih sayang dan kemurahan.
Ia adalah keistimewaan yang membezakan Ramadan .. merasai keistimewaan qiam di sisiNya .. Kemudian masa ia bertahajjud pada malam sepuluh akhir bulan Ramadhan sebagai latihan keimanan, kerohanian dan ke’rabbani’an yang agung, kerana keheningan waktu malam yang syahdu .. terdapat ketenangan di dalamnya .. Kita merasakan bahawa malaikat langit menyertai kita dan bersama kita, malah melekat pada badan kita .. Dengan itu tercapai kemurniaan jiwa, ruh dan fikiran..Justeru, alangkah manisnya ‘madrasah iman’ yang agung ini melalui madrasah qiam ..kerana ianya menjauhkan seseorang itu dari nikmat dan keseronokan di dunia; untuk berdiri di hadapan Pemberi Nikmat Abadi Tuhan kita - Maha Kuasa – sambil berharap dan merayu belas kasihan Tuhan yang Maha Pengasih.
Alangkah manis berdiri di hadapan Tuhan pada waktu berjaga malam!
Alangkah manis titisan air mata yang keluar kerana takut kepada Allah pada waktu berjaga malam!
Alangkah manis mengangkat kedua belah tangan kepada Allah pada waktu berjaga malam!
Alangkah manis pengaduan kepada Tuhan pada waktu berjaga malam!
Kami telah bersumpah kepadaMu, ya Allah, untuk mengharamkan wajah kami, wajah bapa-bapa kami, ibu-ibu kami, isteri-isteri kami, anak-anak kami dan saudara-saudara kami yang Islam dari api neraka.
Jalan menuju akhirat .. dalam perasaan dan sanubari:
Ramadan menjadikan kita seorang yang memiliki hati yang lembut kepada manusia, iaitu dengan menggembling tenaga untuk memperbaiki hubungan dengan mereka sehingga memperolehi kemesraan, membibitkan kasih sayang dan menambat hati mereka .. Oleh itu, ianya mengeratkan perhubungan dengan manusia, menyuburkan, menghidupkan, memperbaharui hubungan padanya dan bersama-samanya semua yang indah tentang perasaan dan sanubari.
Justeru, di bulan Ramadan kekal sebagai penjalin hubungan dengan manusia, penambah belas kasihan sambil diikuti dengan permintaan kepada keredhaan Allah, keampunan dan kemaafan ..Ini kerana,Ramadan mendidik jiwa dan menggalakkan ruh dan perasaannya, ia seakan-akan seperti pokok yang lebat buahnya ketika orang melemparnya dengan batu, ia mencampak buah-buahan yang paling sedap kepada mereka.
Lalu ia menjadi seorang muslim dalam watak dan keperibadiannya seumpama bintang yang memandu orang yang sesat, membahagiakan orang yang susah, menyembuhkan orang yang sakit, menggembirakan orang yang sedih, menolong orang yang kecewa, memberi makanan orang yang lapar, memberi minuman orang yang haus, .. menjadi tempat tinggal setiap orang yang sesat, tempat kerehatan semua orang yang letih, penawar bagi setiap pesakit, jalan untuk orang yang berjalan, dan menjadi contoh yang istimewa untuk semua orang yang ingin hidup bahagia, dan akhirnya ia menyerahkan semua penerimaan dan keredhaan kepada Allah.
0 ulasan
Sila berikan komen anda