Friday, October 21, 2011

Ke arah kepimpinan dakwah di dalam masyarakat

Oleh: Ahmed Salah

Bagaimana bilangan anggota Ikhwan Muslimin di Mesir?

Kemungkinan soalan ini selalu mengisi minda ramai ahli politik, sama ada pembangkang, penyokong atau simpati dengan Ikhwan Muslimin, lebih-lebih lagi mengenai Ikhwan sendiri bagi satu tempoh masa; untuk memberi perhatian terhadap kumpulan yang terbesar dan penganjur politik yang tersusun di Mesir.

Walaupun berlaku perdebatan bilangan dengan angka-angka yang terkeluar, itu hanyalah mengikut andaian atau emosi. Namun sikap berkecuali adalah jawapan paling indah yang kedengaran yang tidak mengandungi apa-apa angka atau rujukan kepada mana-mana nombor kerana “Ikhwan tidak mengutamakan bilangan, tetapi mereka lebih mengutamakan sejauh mana pengaruh mereka dalam masyarakat."

Keindahan jawapan ini berpunca dari kemantapan falsafah Islam dalam menganggarkan kekuatan manusia; kerana Islam tidak mengambil kira kekuatan berdasarkan bilangan mereka, tetapi sejauh mana keberkesanan dan pengaruh di sekeliling mereka. Keberkesanan ini berpunca dari kekuatan iman mereka kepada Tuhan dan pemikiran mereka, keupayaan mereka untuk membawa risalah dengan ikhlas sehingga dirasai oleh orang di sekeliling di mana sahaja mereka bergerak dan di mana mereka bercakap. Oleh sebab itu, mereka tidak peduli dengan isu bilangan umat Islam perlu ramai pada peringkat permulaan dakwah, kerana pada setiap ghazwah atau peperangan menyaksikan kemenangan tentera Islam ke atas musuh-musuh mereka tidak melaporkan tentang bilangan mereka yang ramai..

"Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". (Al-Baqarah: 249),

Melainkan di dalam peperangan Hunain, di mana umat Islam hampir-hampir ditimpa kekalahan tatkala menyusup ke dalam hati mereka perasaan bahawa bilangan adalah penjamin kemenangan. Tatkala'Amr bin al-As meminta bantuan daripada Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab dalam peristiwa penaklukan Mesir, Umar telah menulis surat kepadanya: "Selepasnya .. saya telah menghantar bantuan kepadamu 4000 orang tentera, tiap seribu orang lelaki menyamai 4 ribu orang seperti Zubayr ibn al-Awam, Miqdad bin Amr, Ubadah bin Somit, dan Maslamah bin Makhlad."

Justeru yang sentiasa menjadi isu ialah “bagaimana?” (kualiti) dan bukan “bilangan?” (kuantiti). Isu apakah yang boleh anda lakukan? Dan bukan isu berapa ramai yang akan melakukan?

Dalam satu program menarik “Angin perubahan” kelolaan seorang pendakwah yang kreatif Dr. Tarek Sweidan, telah menggariskan krisis utama kepada umat yang mahu mengembalikan kebangkitan dan kedudukannya yang semula jadi. Beliau telah meletakkan krisis kepimpinan sebagai salah satu daripada krisis utama yang menjadi tempat bergantung dalam proses kebangkitan dan kemajuan. Apa jua kaedah yang berkesan dan baik tidak akan berjaya memajukan umat tanpa kepimpinan yang didorong dan dipandu oleh keikhlasan, kesedaran, kematangan, pengetahuan dan kebijaksanaan .. 

“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Al-Baqarah: 269).

 Apabila kita berbicara mengenai keperluan masyarakat kepada peranan kepimpinan bagi sebuah jamaah, khasnya Ikhwan Muslimin, maka kita berbicara tentang reality tanggungjawab terhadap rakyat yang mulia ini dan di hadapan Allah SWT setelah kita berjanji untuk memikul beban ini dengan tulus dan mengharapkan keampunan dan keredhaan-Nya. Kita tidak berbicara secara mutlak dari aspek ketinggian, wasiat atau penghabisan, tetapi teras peranan kita sebagai pimimpin adalah menganjurkan semua orang untuk bekerja seperti sebuah binaan yang kukuh yang saling menguat antara satu sama lain, mendahulukan saat kesukaran dan melewatkan saat kemenangan dan kejayaan, sambil mengangkat kedua tangan kita kepada Allah untuk penerimaan dan kejayaan.

Masyarakat kini amat memerlukan kepimpinan kerana beberapa sebab:

1 - Masyarakat dalam situasi keliru, tidak tahu ke mana ia akan pergi? Dan ke mana arah tujunya? Peristiwa-peristiwa yang dilalui setiap masa tanpa mengetahui adakah ia berada di dalam barisannya atau sebaliknya. Setiap minit berada di garis pemisah antara betul dan salah, kebenaran dan kepalsuan dalam keadaan tidak pasti atau keliru. Semua ini menjadikan kita begitu perlu untuk berdoa siang dan malam:

اللهم أرنا الحق حقًّا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً وارزقنا اجتنابه
“Ya Allah tunjukkan kepada kami kebenaran itu sebagai benar dan jadikanlah kami sebagai pengikutnya, dan tunjukkan kepada kami kepalsuan itu sebagai palsu dan jadikanlah kami sebagai orang yang menjauhinya.”

2 - Masyarakat telah diresapi kekecewaan dan putus asa sedikit demi sedikit, selepas dikaitkan dengan harapan tinggi selepas revolusi. Kini mulai berkurangan secara beransur-ansur; mengancam kepercayaannya kepada revolusi itu sendiri. Ia merupakan suatu perasaan yang berlaku pada zaman gegaran terbesar kepada masyarakat. Kita perlu memohon kepada Allah mengurniakan kita dengan kesabaran dan ketabahan .. 

"Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir." (Al-Baqarah: 250).

3 - Masyarakat sangat perlu kepada penguasaan satu set nilai-nilai yang boleh diterima untuk dunia baru seperti yang dikehendaki. Dunia yang hanya mendengar tentangnya sahaja tetapi tidak mencuba dalam satu reality hanyalah dunia yang maju seperti yang diharap-harapkan dan diimpikan sahaja. Sekiranya nilai-nilai tidak dilatih akan kelihatan dirinya lemah dan tidak berupaya melainkan sekadar ucapan dan aduan.

Apakah erti kepimpinan masyarakat?

Apabila saya bercakap tentang kepimpinan masyarakat saya tidak bercakap mengenai kepimpinan politik, kerana jalan kepimpinan politik dikenali melalui pilihan raya. Tetapi saya bercakap mengenai kepimpinan dakwah, pemikiran dan individu-individu yang berjalan di kalangan masyarakat, yang melaksanakan peranan mendidik, membimbing, memberi motivasi dan mengajak semua orang untuk bekerja, bergerak dan bergiat cergas; untuk mengubah diri dan mengislah masyarakat dan membangunkan tanah air. Ia merupakan dakwah untuk bekerja, beramal, bergiat cergas dan bergerak yang tidak dapat dipisahkan dari keimanan kepada Allah dan berjalan dalam petunjuk-Nya. Malah ianya sentiasa menjadi pemangkin yang menyalakan api untuk berkerja dan berharap secara serentak.

Ini tidak bermakna juga bahawa kita akan menangguhkan aktiviti-aktiviti dakwah kepada individu dan mengintegrasikan mereka ke dalam takungan tarbawi untuk meningkatkan akhlak mereka, menghubungkan mereka kepada Allah SWT dan mencelikkan mata mereka tentang agama. Tetapi saya ingin menambah langkah dan strategi kita dalam dimensi yang lain menuju kepada masyarakat, dan menuju kepada institusi, jalan-jalan dan kafe untuk berinteraksi dengan mereka melalui program-program nasional (tempatan) dalam strategi yang berikut:

Pertama: Program-program reformasi institusi-intitusi kerajaan yang berbentuk perkhidmatan (seperti kementerian atan jabatan pendidikan sebagai contoh), melalui kerjasama dengan institusi-institusi ini dan pemuafakatan rancangan untuk menyelesaikan masalah yang dialami, sama ada masalah teknikal atau masalah fizikal.

Kedua: Program pengislahan keluarga, yang berasaskan kepada pengislahan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak dari satu aspek, dan di antara pasangan dari satu aspek yang lain. Antaranya melalui aktiviti dan gerakan kesedaran dan pendidikan yang dijalankan melalui program yang berkesan, seperti kursus dan seminar yang membincangkan pengislahan batu asas bagi binaan dalam masyarakat (aktiviti yang berterusan "tahap penyebaran maklumat" dalam bidang pembangunan keluarga).

Ketiga:  Projek perkhidmatan, bertujuan untuk mengkaji masalah walaupun salah satu masalah kronik masyarakat (seperti masalah kebersihan, contohnya), dan kajian untuk menyelesaikan masalah ke akar umbi dengan kerjasama institusi-institusi kerajaan (sama ada sekarang atau selepas pilihan raya) dan kerjasama dengan sector swasta.

Contoh kepada strategi yang pertama:

Cadangan ini adalah untuk menguruskan salah satu sekolah menengah yang boleh kita lakukan untuk menyumbang kepada proses pembaharuan pendidikan dan keilmuan kepada penuntut di sekolah melalui:

1 - Meningkatkan tahap pendidikan dan moral pelajar, melalui program pendidikan  untuk peringkat yang khusus dalam suatu kurikulum atau metodologi yang berkesan.

2 - Sumbangan untuk menyelesaikan masalah dalam bidang akademik bagi pelajar-pelajar lemah yang menjejaskan kesinambungan mereka dengan kurikulum; akibat daripada kelemahan dalam proses membaca dan menulis, contohnya, iaitu melalui kelas-kelas untuk mengukuhkan matlamatnya sahaja yang menutup jurang yang menghalang komunikasi dengan proses pembelajaran, atau meningkatkan tahap pelajar ke tahap yang boleh melihat kurikulum dengan pandangan yang jelas, yang menyebabkannya dapat menyempurnkan pembelajarannya.

3 - Meningkatkan kecekapan guru-guru dari segi pendidikan dan profesional dengan menyediakan beberapa pelatih bagaimana untuk berurusan dengan remaja dan kaedah pengajaran kurikulum.

Sesungguhnya .. Pentadbiran sekolah mengalu-alukan cadangan, dan bersedia menerima idea daripada guru-guru yang berdedikasi, dan mula meletakkan struktur pengurusan dan pelan tindakan.

Model ini mempunyai beberapa objektif:

Pertama: Berfikir untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu setiap keluarga; supaya orang merasakan interaksi dakwah dengan mereka. Mereka melihat dakwah berada pada jalan menyelesaikan masalah mereka dan dakwah telah berjaya mendekati mereka supaya ia boleh terlibat dalam proses rawatan pesakit dengan berani, berupaya dan cekap; tidak terus bercakap dari jauh tentang kewajipan membantu pesakit.

Kedua: Ianya membantu rancangan kerajaan yang dipilih, Insya-Allah, untuk memulakan proses pembaharuan institusi-institusi kerajaan dan menuju kepadanya melalui jalan kebangkitan dan pembangunan yang diingini dengan cepat.

Ketiga: Ianya menggerakkan tenaga masyarakat (dari dalam dan luar sekolah) untuk mengambil bahagian dalam proses pengislahan yang sebenar, akan memberi manfaat kepada semua orang tidak lama lagi.

Menggandakan tenaga

Soalan pertama yang mungkin kita mula berfikir untuk menjalankan tugas ini adalah: Dari manakah kita mendapat tenaga kerja yang membolehkan kita melakukan tugas ini?!

Jawapannya akan hadir dengan syarat bahawa kita meletakkan diri kita dalam kedudukan kepimpinan masyarakat, maka kita mampu, Insya-Allah, untuk mengkaji idea dengan teliti, kemudian memujuk kumpulan sukarelawan untuk bekerja dengan kita dalam projek ini. Ketika ini, kita tidak akan mengira kekuatan kita berdasarkan bilangan yang sebenar, tetapi berdasarkan keupayaan kita untuk meyakinkan orang lain dan pengaruh kita di kalangan mereka. Pada saat itu, akan berganda kekuatan kita dengan lipat kali ganda (manusia dan material melalui orang-orang yang bersemangat terhadap apa yang kita lakukan),

“Menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada.” (Hud: 52);

Ini kerana kita boleh mendapat bantuan dan pertolongan dari masyarakat, dengan syarat kita mengemaskan penyusunan tenaga kerja orang yang bersama kita, dan kita mencari formula pemuafakatan antara kepimpinan organisasi, dan bagaimana untuk menguruskan sukarelawan-sukarelawan individu dengan mengambil kira kebolehan mereka dan membuat mereka merasa dihargai dan berkesan. Kemudian kita akan sedar tentang tenaga, kemahiran dan bakat kita yang akan kita lihat dengan cara ini. Kita juga akan dapati sejumlah sukarelawan yang ikhlas dan rajin kerana mereka mempunyai niat yang baik dan tenaga yang besar, tetapi mereka sedang menunggu orang yang mahu mengambil tangan mereka dan membimbing mereka di jalan yang benar.

Saya tahu apa yang saya cakapkan adalah sukar, dan mungkin di luar skop tradisional kerja dakwah. Namun saya fikir ini adalah perkara penting di peringkat akan datang di mana kita perlu mengambil langkah ini sehingga berjaya, terutama kerana kita sebenarnya adalah golongan yang berada di barisan hadapan medan dakwah, sama ada kita suka atau tidak.

“Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".  (Al-A’raf: 128).

--------



Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top