Oleh: Ahmed Salah
Usrah yang efektif = penggabungan + agenda tsaqafi dan tarbawi yang baik + bermimpi
Usrah adalah batu bata dakwah sama seperti sebuah keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak yang menjadi batu bata masyarakat di mana kita hidup. Oleh itu, ia dinamakan usrah untuk membawa semua pengertian dan makna yang memelihara dakwah, seperti Taaruf, Tafahum dan Takaful. Justeru, semakin bertambah kekuatan elemen-elemen ini (rukun-rukun usrah), diperkukuh dan diperteguh ikatan usrah-usrah kecil, semakin kukuh dan bertambah utuh dakwah, tercapai harapan yang dicita-citakan dan cekal dalam menghadapi kesukaran dan pancaroba.. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;” (Al-Imran: 103).
Konsep Taaruf, Tafahum dan Takaful adalah konsep yang kukuh dan penting. Jikalau anda sebagai mas’ul menjalankannya dengan penuh teliti dan sempurna, anda akan merasa kesannya yang pasti dalam hati saudara-saudara anda, dan anda akan melihat perkembangan yang amat besar dalam hubungan perkumpulan itu dengan anda dan hubungan anda dengan mereka, dan hubungan saudara-saudara anda antara satu sama lain, dan hubungan mereka dengan dakwah itu sendiri, dan kecintaan mereka dan dedikasi mereka lebih daripada yang dijangkakan.
Kesilapan yang berlaku kepada ramai orang ialah apabila berurusan dengan elemen-elemen usrah ini yang menjadi asas kepada usrah dan membuatkannya tumbuh dan hidup, ialah dalam bentuk mekanisma rutin yang hanya sekadar sebuah agenda tsaqafi dan perbincangan ilmiah tanpa mengambil kira pertautan hati dan kebersamaan anggota dalam kumpulan tarbiyah. Hal ini berpunca dari kegagalan dalam pengurusan usrah yang sepatutnya mengambil kita aspek-aspek yang terpenting ini.
Walaupun terdapat kepentingan agenda tsaqafi dan komponen pendidikan dalam dakwah, namun saya berpendapat bahawa kegagalan dalam himpunan tarbiyah bermaksud kegagalan untuk mengeratkan hubungan antara ahli-ahlinya dan menjadikan mereka berasa bahawa mereka adalah satu tubuh yang tidak boleh terpisah dalam apa jua keadaan. Tubuh ini adalah yang berkaitan dengan tubuh yang terbesar iaitu tubuh dakwah itu sendiri di bawah naungan cinta dan pemeliharaan Allah SWT. Saya berpendapat bahawa kegagalan dalam himpunan tarbiyah ialah apabila orang kehilangan penggabungan mereka kepada usrah. . Timbul beberapa soalan aneh yang sentiasa diulang-ulang sepanjang masa .. Seperti "Kenapa saya pergi ke pertemuan itu hari ini?.. Apa yang akan terjadi jika saya tidak pergi hari ini? .. Apa perkara baru yang akan berlaku?, Suara yang sama berulang.. dll.).
Dari sini anda wajib memberi perhatian kepada elemen-elemen asas (rukun-rukun usrah) yang mengukuh dan melindungi kumpulan tarbiyah, dan kemudian tiba selepas itu agenda tsaqafi yang mudah difahami dan dapat dikuasainya dengan mudah .. elemen-elemen (rukun-rukun) itu ialah:
1 – Taaruf (perkenalan):
Taaruf bererti mengetahui nama akh, pekerjaan ibu bapanya, nama saudara-saudaranya, keadaan mereka dan bidang mereka dalam pengajian atau kerjaya mereka, dengan menyoal mereka dari semasa ke semasa, mengetahui masalah mereka yang terkini untuk memberikan nasihat, bimbingan dan bantuan untuk mereka, mengetahui status akh dan kedudukannya dalam keluarga. Untuk mendalamkan lagi perkenalan anda mestilah mengadakan ziarah khas supaya dapat mengajukan soalan berkaitan khabar kehidupan keluarga mereka dengan penuh kecintaan dan kemesraan sehingga mereka merasakan saudaranya sebahagian dari keluarganya. Perkenalan anda akan sampai kepada kecemerlangan jika anda masuk ke dalam keluarga itu sendiri, mengenali ibu bapa dan adik-beradik secara rapat. Kini anda boleh berbual-bual secara khusus bersama mereka .. Allah SWT telah berfirman (bermaksud):
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Al-Hujurat: 13).
2 – Tafahum (Memahami):
Tafahum bererti mengetahui keperibadian secara lengkap antara satu sama lain dan menyedari keistimewaannya dan keburukannya dalam bentuk yang membuat mereka tahu bagaimana untuk menyatakan nasihat antara satu sama lain dengan penuh kemesraan dan kecintaan ukhuwwah dan membuat seorang akh bergaul dengan saudaranya berdasarkan keperibadiannya. Setiap akh perlu mengetahui keperluan atau kebimbingan saudaranya, kemudian bercakap dengannya dan cuba untuk membantunya hingga setiap akh yang berada dalam kumpulan tarbiyah merasakan apabila ditimpa kesusahan dan ingin memberitahu kepada seseorang, lalu beliau dengan segera menuju kepada saudara-saudaranya dalam kumpulan tarbiyah untuk menceritakan kepada mereka supaya hilang kebimbangannya dan terlepas kesusahannya, dengan izin Allah.
Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud):
“Agama adalah nasihat.” Kami bertanya : Kepada siapa ? Baginda bersabda : “Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan kepada pemimpan kaum muslimin dan rakyatnya.” (Bukhari dan Muslim)
3 – Takaful (bantu-membantu):
Takaful bererti turut sama dalam krisis kebendaan dan kejiwaan, dan segera membantu akh sebelum dia meminta untuk dibantu. Takaful merupakan suatu perkara yang perlu kepada perasaan yang halus dan pengetahuan tentang keadaan ahli kumpulan tarbiyah secara berterusan.
Rasulullah saw pernah bersabda (bermaksud):
"Orang yang berjalan kerana memenuhi keperluan saudaranya lebih baik (pahalanya) daripada beriktikaf di dalam masjidku ini selama sebulan."
Ketiga-tiga rukun ini adalah teras utama terbinanya sebuah kumpulan tarbiyah. Ianya perlu mendapat perhatian dalam kurikulum sebagai topic yang bersesuaian di samping kepentingannya dalam pembinaan dan pemeliharaan kumpulan tarbiyah. Kemudian diikuti dengan agenda tsaqafi dan ilmi yang perlu diletakkan dengan berhati-hati supaya sesuai dengan tahap pengetahuan anggota kumpulan, dan bertujuan untuk menaikkan mereka secara beransur-ansur dalam bentuk yang jelas.
Ketiga-tiga rukun tersebut akan memberikan kesan langsung dalam mendorong kumpulan tarbiyah untuk mencintai dakwah dan berdedikasi terhadapnya. Justeru, kini mereka mula merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada dakwah yang besar dan agung, yang mendorong mereka dengan sendirinya untuk bekerja dengan penuh bersemangat untuk menolong dan mengembangkannya, Kemudian selepas itu tiba peranan anda sebagai mas’ul dan contoh kepada mereka dalam semangat dakwah anda, gerakkan anda yang aktif, kreativiti anda, pembaharuan anda yang berterusan dan kejayaan anda, keupayaan anda untuk menaikkan semangat mereka, mencungkil kebolehan dan bakat mereka dan bijak memberikan tugas dalam dakwah, keupayaan anda untuk memasukkan mereka dalam menggariskan matlamat amal dan mendengar pendapat mereka dan menghormatinya, mengajar mereka supaya tabah dan teguh di atas matlamat biarpun menghadapi pelbagai rintangan dan kesusahan, mendorong mereka untuk menempuh amal-amal yang sukar sehingga merasakan ianya bukan bebanan, berusaha membuatkan mereka merasa bangga dan gembira atas pencapaian-pencapaian dakwah yang mengatasi orang lain dalam bidang dakwah. Ketiga-tiga rukun ini adalah faktor yang diperlukan untuk usrah yang berkesan.
Mimpi
Saudara yang dimuliakan ..
Bermimpilah tentang mereka dan ketika anda terjaga dari tidur. Biarkan mereka bermimpi tentang anda dan rancanglah dengan baik untuk mencapai mimpi ini. Wujudkanlah suatu perasaan dalam diri mereka bahawa anda adalah rakan mereka yang mencintai, menjaga, menasihati dan berada di samping mereka. Riang gembiralah dengan mereka seperti kanak-kanak yang berjaya dalam menyelesaikan suatu kerja yang sukar. Anda hendaklah menjadi seperti wira atau hero yang gagah pada waktu kegagalan, yang meredakan mereka dan cekal di hadapan mereka dengan menzahirkan ruh harapan.
Saudara yang dimuliakan ..
Secara ringkas .. Tiga faktor penting yang diperlukan untuk berjaya dalam pembentukan kumpulan tarbiyah yang utuh serta mampu memenuhi tuntutan dakwah ialah:
1 – Perasaan penggabungan.
2 – Agenda tsaqafi dan tarbawi yang baik.
3 - Keupayaan untuk bermimpi.
------------
0 ulasan
Sila berikan komen anda