Wednesday, October 5, 2011

Mengenali keadaan manusia dalam beribadah

Oleh: Syeikh Fouad al-Hijrasy

Ada tiga keadaan manusia:



Sombong untuk beribadah.
Beribadah bukan dengan niat kerana Allah.
Ikhlas semata-mata kerana Allah.


Pertama: Orang yang sombong dan melampaui batas kerana berpaling dari Allah. Mudah-mudahan Allah tetap menyempurnakan nikmatNya kepada orang ini, iaitu dengan memasukkannya ke dalam api neraka:

“Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Ghafir: 60).

Iaitu penghinaan kepada orang-orang yang zalim kerana Allah telah menyuruh mereka untuk beribadah dan berdoa. Firman Allah dalam permulaan ayat:

“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”  (Ghafir: 60).

Oleh itu, apabila mereka sombong dan takbur dari perintah Allah, maka terimalah hukuman mereka ini.

Semua manusia akan kembali kepada Tuhan pada hari kiamat. Justeru, bayangkan begaimana keadaan orang-orang yang sombong di sana. Allah telah menjelaskan kepada kita tentang gambaran keadaan mereka di dalam ayat (bermaksud):

Dan sesiapa yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada Allah, serta ia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya.” (An-Nisa’: 172 )

“Sesudah itu, orang-orang yang beriman beramal soleh, Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka, dan Ia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka. Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah dan berlaku sombong takbur, maka Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan memperoleh sesiapa pun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.”  (An-Nisa’: 173)

Mereka ini dihalang dan tidak diberikan petunjuk oleh Allah kepada jalan yang benar selagi mereka tenggelam dalam kesesatan. Firman Allah SWT bermaksud:

“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.” (Al-A’raf: 146)

Kedua: Orang yang beribadah dengan niat yang lain, bukan ikhlas kerana Allah, atau mensyukuri di atas nikmat kurniaanNya atau mengharapkan balasan syurgaNya dan takut nerakaNya, di mana ibadahnya telah rosak kerana sengaja mengalihkan niatnya daripada Allah SWT semata-mata.

Mereka ini ialah golongan yang beribadah dengan tujuan untuk menenangkan jiwa dan menyucikan diri daripada kebimbangan; supaya layak ke dunia roh, melihat malaikat dan dunia paranormal, dan supaya layak untuk sampai ke makam karamah dan mendapat ilmu Laduni.

Mereka ini ialah golongan yang ditentang oleh orang-orang yang tinggi ilmunya. Mereka berkata bahawa ianya telah terkeluar daripada maksud ikhlas kerana Allah.. Mereka katakan: Ianya termasuk orang yang disebut dalam ayat (bermaksud):

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.” (Al-Hajj: 11).

Keadaan mereka: Kalau orang-orang ini beroleh kebaikan mereka bersenang hati dan bergembira serta terus menjadi seperti apa yang mereka telah niatkan. Lalu, mereka telah menambahkan kecelaruan dalam ibadahnya sedangkan mereka semakin jauh untuk mengharapkan keredhaan Allah. Mereka ini menuju kepada kebinasaan.

Sepatutnya mereka meneliti hadits yang disebut oleh Ibn Razin di dalam kitabnya daripada Ibn Abbas r.a iaitu (bermaksud):

“Barangsiapa yang ikhlas beribadah kepada Allah selama empat puluh hari akan terpancar mata air-mata air hikmah dari hatinya ke atas lidah.” Namun apabila telah genap 40 hari, dan dia tidak memperoleh hikmah maka jalannya menjadi sukar. Lalu dikatakan tentangnya: "Dia hanya ikhlas untuk mendapatkan hikmat dan tidak ikhlas kerana Allah.”

Ketiga: Orang yang beribadah hanya semata-mata kerana Allah. Dia memperolehi kebaikan dari ibadahnya di dunia dan di akhirat:

“Maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". (Taha: 123-124).

Di kalangan mereka terdapat dua darjat. Salah satunya mengatasi yang lain:

Darjat pertama dan yang paling rendah; Orang yang beribadah Kepada Allah kerana inginkan syurga: 

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.”  (Al-Buruj: 11).

Mereka pada kaca mata para ulamak telah sampai kepada balasan yang tidak diketahui melainkan apabila mereka menerima balasan itu nanti. Menurut setengah ulamak: Mereka tidak mengambil ganjaran itu di dunia secara zahir, kerana ada ulamak yang berkata, adalah untuk menjadikan mereka istimewa dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap janji Allah SWT.
 
Darjat kedua adalah darjat yang tertinggi.

Iaitu suatu keadaan di mana mereka lebih mencintai Allah semata-mata, dengan kecintaan yang membelah hati, kerana bersusah payah menanggung kesakitannya, meninggalkan tempat tidurnya, mata yang berjaga malam dan menangis kerinduan dengan harapan mendapat redha dari Allah ..

Iaitu suatu keadaan di mana pada ketikanya penuh harapan dan pada ketika yang lain penuh ketakutan, tidak merasa tenang kecuali Allah telah mencabut perasaan itu. Maka ia segera berdiri di pintu ar-Rahman berdoa dan berharap.

Mereka ini dan seumpamanya mempunyai beberapa keadaan.. Mereka sentiasa memerhatikan dari satu masa ke satu masa dan dari satu urutan peristiwa kepada satu urutan peristiwa yang lain dengan pandangan yang betul, suatu keadaan yang menyenangkan dengan penglihatan Tuhan, dan suatu keadaan yang memerlukan dan berhajat sepertimana orang miskin yang mesti berada di pintu rumah orang yang akan memenuhi keperluannya.

1 – Keadaan mereka yang melihat dengan pandangan yang betul. Mereka adalah pemilik fitrah yang bersih dan kini mereka mengetahui ..

Sama ada kerana pengetahuan mereka mengenai keperluan untuk membaca al-Quran sebagai kitab yang perlu dibaca, diperhati, direnungkan dan ditadabburkan atau mereka dari ahli akademik seperti yang kita lihat orang-orang Timur dan Barat yang mempunyai peluang untuk mengkaji dan menyelidik. Mereka ini apabila membenarkan dengan diri mereka sendiri, dan memenuhi keinginan fitrah yang sihat sudah tentu akan melihat ilmu mereka merupakan cebisan dari tanda-tanda al-Quran Karim contohnya:

Seperti orang yang mendengar firman Allah di Al-Quran (bermaksud): 

“Lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (An-Nur: 35),

Lantas serta merta tunduk sujud kepada Allah dan taat sambil mengisytiharkan penukaran kepada agama Islam. Dia tahu dari kajiannya bahawa jenis minyak zaitun terbaik dan bersih ialah yang ditanam antara dua dinding yang menghalang matahari semasa terbit dan terbenam.

Orang-orang ini dan mereka itu adalah orang yang hidup dengan realiti fiman Allah (bermaksud):

“Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa keterangan-keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.” (Saba’: 6).

2 – Keadaan orang yang merasa tenang dengan penglihatan Tuhan:

Tatkala mereka melihat kebenaran jelas seperti yang dinyatakan Allah swt dan tatkala mereka berserah kepada-Nya sambil tunduk dan patuh, sinar petunjuk menerangi ke dalam hati mereka, Lalu menyinari dan menumbuhkan pohon-pohon iman yang akar tunjangnya kukuh dan tangkai pucuknya menjulang ke langit, ranting-rantingnya mengeluarkan buah-buahan yang paling baik, kata-kata yang baik daripada lidah, dan amal salih daripada anggota. Benarlah firman Allah Yang Maha Agung (bermaksud):

“Bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya.” (Ibrahim: 24-25)

“Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).” (Ibrahim: 25).

Mereka ini adalah golongan yang sentiasa diperhati dan diraikan oleh semua makhluk .. Sentiasa diawasi di sebelah kanan dan kiri dengan sukacita dan gembira, dan malaikat rahmat sentiasa berada di samping mereka dan memastikan hati mereka hidup, dan tanah tempat sujud mereka disaksikan, dan perpisahan mereka mencetuskan kesedihan. Allah yang memberikan kebaikan kepada orang yang berkata:

“Barangsiapa yang mendapat ketenangan dan gembira dengan Allah, maka semua makhluk akan berasa tenang dan gembira dengan melihatnya.”

3 – Keadaan orang yang sangat berhajat kepada Allah:

Orang yang menanamkan iman di dalam hati sebagai pohon yang mengeluarkan buah-buahan yang baik adalah mereka yang menyedari hakikat Uluhiyyah Allah sehingga mereka menjadi orang yang khusyuk. Mereka menyedari Rubbubiyyah Allah sehingga mereka rukuk, sujud dan keluar dari perjalanan dirinya dan hanya Dialah yang mencipta, memberi rezeki dan petunjuk jalan.

Mereka ini: pada awalnya menafikan tanah dan sperma, dan mereka tahu akhirat mereka bangkai busuk, dan hakikat kewujudan mereka dalam bentuk yang baik dan sempurna. Namun, Allah yang menguasai takdir, Dialah yang pertama sekali sebelum sesuatu dan terakhir sekali selepas sesuatu itu. Dialah yang Zahir ke atas segala sesuatu dan yang Batin tiada sesuatu seumpama-Nya.

Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Hadid: 3i).

Mereka sangat berhajat dan memerlukan Allah sambil berlindung kepada-Nya dan mengharapkan ganjaran-Nya. Mereka juga sentiasa tenang, khusyuk dan bertaubat.

            
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

1 ulasan

  1. Alhamdulliah.terima kasih.saya sangat menghargai usaha dan sumbangan anda dalam menyebarkan ilmu Allah.

    ReplyDelete

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top