Wednesday, August 8, 2012

Kewajipan akh muslim menurut kaca mata “Antara Semalam dan hari Ini”



Oleh: Amer Shamakh

Dalam risalah “Antara semalam dan hari ini” Imam Hassan al-Banna membicarakan tentang perkembangan fikrah, matlamat dan fasanya, memaparkan prinsip-prinsip Islam dan wasilah-wasilah pembaharuan. Paling penting lagi, beliau telah mengenal pasti kewajipan-kewajipan al-akh dalam suasana-suasana politik yang getir, seperti yang kita tempuhi hari ini, di mana terdapat ramai musuh dakwah yang anti-kemajuannya. Beliau ketika mengenal pasti kewajipan-kewajipan ini telah menggambarkan satu reality dengan gambaran yang tepat seolah-olah beliau kini tinggal di samping kita. Semoga Allah merahmatinya dengan kerahmatan yang seluas-luas kepadanya.

1 – Imam Al- Banna menyatakan kepada Ikhwan tentang matlamat dakwah secara umum supaya tiada seoranag pun tersalah jalan, atau terkeluar kepada matlamat lain yang hanya bersifat cabang selain daripada matlamat besar yang ditetapkan oleh dakwah.

Beliau berkata: “Apakah yang kita mahu wahai Ikhwan..? Adakah kita mahu mengumpulkan harta, sedang ia hanyalah bayangan yang akan lenyap. Atau adakah kita mahu kemasyhuran, sedangkan ianya akan hilang. Atau adakah kita mahu menjadi samseng di muka bumi ini..?

Firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah, dipesakakannya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (al A'raf:128).

Dan kita juga membaca firman Allah yang bermaksud;

"Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa" ( al-Qasas:83).

Allah menjadi saksi bahawa kita tidak mahu itu semua dan kita tidak mengajak manusia kepadanya, tetapi ingatlah saudara sekelian, bahawa anda semua mempunyai dua matlamat asasi;

a) Membebaskan tanahair Islam dari sebarang kuasa asing. Ini adalah hak semula jadi setiap insan dan tidak boleh ditolak kecuali orang zalim atau bersifat kuku besi.

b) Menegakkan sebuah negara Islam yang bebas mengamalkan undang-undang Islam, melaksanakan sistem Islam dalam masyarakat, mengiklankan prinsip-prinsipnya dan menyampaikan dakwahnya kepada manusia. Selagi ia tidak tertegak, seluruh umat Islam adalah berdosa dan bertanggungjawab di hadapan Allah 'azza wa jalla atas kecuaian dan kelemahan mereka. Menjadi suatu kezaliman kepada seluruh manusia dalam keadaan sekarang ini bila tertegaknya negara-negara yang berdiri atas prinsip-prinsip zalim dan melaungkan slogan-slogan jahat tetapi tidak ada di kalangan manusia ini orang yang berusaha untuk menegakkan sebuah negara yang hak, adil dan sejahtera.”

2 – Imam Al-Banna telah menyatakan kepada Ikhwan wasilah-wasilah untuk mencapai matlamat ini, yang di luar daripada skop retorik, akses media dan suara-suara lantang kepada wasilah-wasilah tarbiyah yang praktikal, yang merupakan sama dengan wasilah dakwah pertama yang menyebarkan kebaikan dan memenuhkan dunia dengan ilmu dan cahaya.

Beliau berkata: “Bagaimana kita boleh sampai ke matlamat-matlamat ini..?
Syarahan-syarahan, ceramah-ceramah, surat, kursus dan mengkaji sebab kelemahan, kesemua ini adalah tidak mencukupi dan tidak banyak memberi faedah untuk sampai kepada matlamat yang disebut tadi. Dalam setiap dakwah ada cara yang perlu diambil dan dilaksanakan. Cara-cara am untuk berdakwah tidak lebih dan tidak kurang dari 3 perkara;

1. Iman yang mendalam.
2. Pembentukan yang rapi.
3. Kerja terus menerus.

Inilah wasilah kita secara umumnya wahai Ikhwan.
Percayalah dengan fikrahmu, berkumpullah dan berusahalah dengan teguh.

Selain cara-cara am tadi, terdapat cara sampingan yang kadangkala perlu diambil dan diikuti. Ada yang positif dan ada yang negatif. Ada yang selaras dengan ‘uruf setempat dan ada yang menyalahi dan bertentangan. Ada yang lembut dan ada yang keras. Kita perlu melatih diri kita mengikuti kesemua bentuk tersebut dan bersedia demi menjamin kejayaan Islam. Kadangkala kita dituntut supaya menyanggahi adat dan kebiasaan. Kadangkala kita diminta keluar dari cara kebiasaan orang ramai. Sebenarnya tidak di katakan hakikat dakwah melainkan terpaksa keluar dari kebiasaan orang ramai manusia dan bangun merubah segala adat kebiasaan. Apakah anda sudah bersedia untuk itu wahai Ikhwan?”

3 - Imam Syahid menjangkakan bahawa akan ada golongan yang menentang fikrah ini, bersikap skeptis terhadap kebaikannya, dan mengaitkan fikrah ini kepada kegagalan dan tidak kemampuannya di dalam reality manusia dan keadaan semasa .. Mereka lakukan semua ini untuk memperdayakan individu dan melemahkan cita-cita para pemimpin dan ketua. 

Beliau mengatakan: “Ramai orang akan berkata; Apa guna wasilah-wasilah ini.? Adakah ia akan mampu membangun dan menyusun masyarakat yang telah tenggelam dalam masalah dan gejala yang begitu parah ini.? Bagaimana kamu hendak memperbaiki ekonomi tanpa menggunakan riba..? Bagaimana kamu hendak lakukan dengan wanita.? Bagaimana kamu mampu merampas semula hak kamu tanpa menggunakan kekuatan.?

Ketahuilah wahai Ikhwan.. Segala was-was syaitan yang dicampakkan ke dalam cita-cita setiap muslih itu (reformis) akan dihilangkan oleh Allah. Dia amat mengetahui dan bijaksana. Peringatkan kepada mereka, sejarah pernah menceritakan kepada kita kisah umat-umat yang telah lalu dan kini. Ianya mengandungi pelbagai pengajaran dan penyedaran. Umat yang berjuang untuk hidup tidak mungkin akan mati.”

4 – Imam Al-Bann juga menjangkakan -  Semoga Allah merahmatinya - bahawa perkara-perkara tersebut tidak akan terhenti setakat ini sahaja, malah akan melampauinya – sebagaimana yang berlaku hari ini – sehingga mempercepatkan ramai orang untuk menunjukkan permusuhan kepada dakwah, hingga seolah-olah tidak ada lagi pihak yang menyokong dan mengukuhkan binaannya melainkan penggerak dakwah dan para aktivisnya.

Al-Banna berkata: “Lanun-lanun itu juga akan berganding bahu untuk menentang dan memadam sinar dakwah anda. Mereka akan meminta bantuan pemerintah-pemerintah yang lemah dan orang yang berakhlak buruk untuk tujuan yang sama. Anda akan dimusuhi dan dibenci. Anda akan difitnah dan ditohmah. Mereka akan berusaha menampilkan segala kekurangan terhadap dakwah anda. Dengan kekuatan dan kekuasaan yang ada pada mereka, mereka cuba menampakkan anda kepada orang ramai dengan gambaran yang paling hodoh. Mereka akan menindas dengan harta dan kuasa mereka.

Firman Allah yang bermaksud;

"Mereka itu mahu memadamkan agama Allah dengan mulut mereka dan Allah penyempurna agamaNya sekalipun di benci oleh orang-orang kafir" (As-Saff:8).

5 – Manakala cara-cara untuk mengatasi segala rintangan, wasilah-wasilah menghadapi semua musuh dan bebanan ini dan faktor kejayaan al-akh muslim yang bersenjatakan dengannya - sentiasa – telah dirumuskan oleh Imam as-Syahid dengan katanya: 

“Suatu kemestian yang perlu disebut di sini wahai Ikhwan, Di dalam segala rintangan ini, kita perlu ingat bahawa kita berdakwah kepada Allah. Ianya adalah dakwah yang paling tinggi. Kita mengajak dengan fikrah Islam, suatu fikrah yang paling kuat. Kita kemukakan kepada manusia Syariat al- Quran iaitu syariat yang paling adil.

Firman Allah yang bermaksud;

"Celupan Allah dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah" (al-Baqarah:138)

Seluruh alam memerlukan dakwah ini. Setiap yang ada di dalamnya bersedia memberikan jalannya.

Kita sesungguhnya bersyukur kepada Allah kerana kita terlepas dari ketamakan untuk diri sendiri dan jauh dari kepentingan diri. Kita tidak bermaksud selain dari Allah dan kebajikan manusia. Kita tidak bekerja melainkan kerana mencari keredhaanNya. Kita sesungguhnya sentiasa menunggu sokongan dan pertolongan dari Allah. Sesiapa yang ditolongkan oleh Allah maka dia tidak akan kalah.

Firman Allah yang bermaksud;

"Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang beriman dan kerana sesungguhnya orang-orang kafir itu tiada mempunyai pelindung" (Muhammad:11).

Kekuatan dakwah kita, keperluan dunia kepadanya, kemurnian tujuan kita dan sokongan Allah kepada kita adalah faktor-faktor kejayaan kita yang tidak dapat digugat oleh sebarang halangan dan tidak dapat dihalang oleh sebarang rintangan.

Firman Allah yang bermaksud;

"Dan Allah berkuasa terhadap urusannya tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" (Yusuf:21).”

6 - Pada akhir risalah yang tidak ditemui dalam lain-lain risalah yang melebihi 25 risalah – Imam As-Syahid menjelaskan wasiat dan pesanan kepada Ikhwanul Muslimin, mengingatkan mereka tentang matlamat dakwah dan kandungannya, meminta mereka berbangga dengannya, mengambil berat tentangnya dan berdiri teguh mempertahankannya seolah-olah ianya satu wasiat perpisahan. Beliau berkata:

“Wahai Ikhwan;
Dengarlah! Apa yang saya mahu dari kalimat-kalimat ini ialah untuk membentangkan fikrah anda di hadapan anda sekelian. Boleh jadi detik-detik getir sedang menanti kita menyebabkan kita akan berpisah. Pada ketika itu saya tidak akan dapat lagi bercakap atau menulis kepada kamu. Oleh itu saya berwasiat kepada anda sekelian; telitilah kalimat ini, ingatilahnya sedaya yang boleh dan bersatulah padanya. Sesungguhnya setiap kalimat ini mengandungi erti-erti yang sangat padat.

Wahai Ikhwan;
Anda sekelian bukan satu pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, juga bukan suatu badan yang dibentuk untuk tujuan-tujuan terbatas. Anda sebenarnya adalah suatu roh baru yang mengalir di hati umat ini dan dihidupkan dengan al Quran. Anda adalah suatu suara yang bergema tinggi melaungkan dakwah Rasulullah saw. Tidak keterlaluan jika anda merasai bahawa anda adalah penanggung beban Kenabian setelah kesemua manusia enggan melakukakannya.

Andainya anda ditanya, kamu mengajak kepada apa..? Katakanlah, kami mengajak kepada Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw. Pemerintahan adalah sebahagian daripada ajarannya. Kebebasan adalah salah satu dari tuntutannya. Jika dikatakan kepada anda.. ini adalah politik. Katakanlah inilah dia Islam dan kami tidak tahu pembahagian seperti ini. Andainya mereka mengatakan kamu penyeru revolusi. Katakanlah, kami adalah penyeru kebenaran dan kedamaian. Jika kamu mengganggu dan menghalang dakwah kami, Allah telah membenarkan kami mempertahankan diri dan kamu adalah pengacau yang zalim. Andainya dikatakan kepada anda; kamu meminta bantuan dari orang tertentu atau mana-mana pertubuhan. Katakanlah, kami hanya beriman kepada Allah sahaja dan kami kufur dengan segala sekutu-sekutu. Jika mereka berkeras meneruskan permusuhan mereka, katakanlah.. kami tidak mahu orang-orang yang jahil.

Wahai Ikhwan;
Berimanlah kepada Allah, berbanggalah dengan mengenali dan bergantung kepadaNya. Janganlah kamu takut dan gerun selain dari-Nya. Tunaikanlah segala kewajipanNya dan jauhilah larangan-Nya. Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia dan sempurna. Jadilah orang-orang yang mantap dengan akhlak, mulia dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu iaitu kemuliaan orang mukmin dan orang-orang yang bertakwa.

Tatapilah dan kajilah al Quran. Bincanglah Seerah Nabimu. Jadilah orang yang beramal dan bukannya orang yang suka bercakap dan berdebat. Bila Allah memberikan hidayat kepada seseorang, maka diberinya ilham untuk beramal. Sesuatu kaum itu tidak sesat selepas mereka mendapat petunjuk kecuali orang-orang yang suka berdebat. Kasih mengasihilah di antara kamu dan jaga serapi-rapinya ikatan kamu kerana ia merupakan rahsia kekuatan kamu dan tunjang kejayaan kamu. Tetapkanlah diri kamu sehingga Allah membuka di antara kamu dan kaummu dengan kebenaran. Dialah sebaik-baik pembuka.

Dengar dan patuhlah kepada pemimpin kamu di masa susah dan senang, ketika segar dan lesu. Mereka adalah simbol fikrah kamu dan penghubung di antara kamu.

Selepas itu tunggulah kemenangan dan sokongan dari Allah. Peluang tetap akan datang dan janganlah ragu.

Pada hari itu orang-orang mukmin akan merasa gembira dengan pertolongan Allah. Allah akan menolong sesiapa yang dikehendakinya. Dia Maha Berkuasa lagi Penyanyang (Al-Ruum: 4-5)

Semoga Allah memberi taufik kepada saya dan anda sekalian supaya kita dapat melakukan apa yang disukai dan diredhai-Nya. Semoga Allah memimpin saya dan anda sekalian ke arah jalan orang-orang yang baik dan mendapat petunjuk. Semoga Allah anugerahkan kita hidup yang mulia dan bahagia. Semoga Allah menggolongkan kita sebagai seorang pejuang dan syhaid. Sesungguhnya Allah adalah Pelindung dan Penolong yang terbaik.

Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top