Oleh: Dr. Hussien Shahatah
Kehidupan seorang muslim di bulan Ramadhan adalah dalam kerohanian yang tinggi kerana dirinya dipenuhi iman serta mempengaruhi watak, tingkah laku dan tindakannya. Di antara hasil di bulan suci ini ialah menjernihkan hati, membersihkan daripada kesalahan dan dosa, mendidik jiwa dan menyucikannya, meluruskan tingkah laku dan mendisiplinkannya. Seorang muslim akan merasakan bahawa mertabatnya semakin meningkat dan dekat dengan Allah SWT. Ia berharap bahawa sepanjang tahun adalah Ramadhan dan sentiasa mengulangi doa mutawatir ini:
"اللهم أعده علينا أعوامًا عديدة وسنوات مديدة"
"Ya Allah, sediakanlah
Ramadhan untuk kami beberapa tahun dan sepanjang tahun."
Ramai orang tertanya-tanya apakah
tindakan selepas Ramadhan di samping tidak syak lagi bahawa pendidikan
Ramadhan adalah pendidikan sepanjang tahun dan sepanjang hari. Berdasarkan
keistimewaan ini kami utarakan beberapa perintah dan pesanan selepas Ramadan sebagai
peringatan, kerana peringatan itu sangat bermanfaat kepada orang-orang yang
beriman.
Pesanan Pertama:
Anda hendaklah meneruskan
puasa Ramadhan dengan puasa pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu, serta puasa
pada pertengahan bulan Hijrah setiap bulan (hari putih); supaya terus merasai
kerohanian puasa. Diriwayatkan daripada Nabi SAW yang bersabda (bermaksud):
" (Puasa) tiga hari setiap bulan dan Ramadhan kepada Ramadhan. Maka inilah
puasa sebulan penuh. "(HR Muslim daripada Abu Hurairah).
Pesanan Kedua:
Anda hendaklah terus memelihara
solat di masjid secara jamaah seperti anda berada di bulan Ramadhan kerana ianya
mendapat pahala yang besar di mana solat berjamaah menyamai solat di rumah dua
puluh tujuh kali.
Pesanan Ketiga:
Anda hendaklah terus
menghidupkan solat di tengah malam, kerana Nabi SAW telah bersabda (bermaksud):
" Solat yang paling baik (afdhal) selepas solat fardu ialah solat malam." (HR.
Bukhari).
Pesanan Keempat:
Anda hendaklah terus memelihara wirid Al-Quran seperti yang anda lakukan di bulan Ramadan. Rasulullah telah berpesan:
"Bacalah
Al-Quran, ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada orang yang
membacanya." (HR. Muslim).
Pesanan Kelima:
Anda hendaklah menjauhi daripada perkara bid’ah, adat lapuk dan
tradisi yang buruk. Ingatlah kata-kata Nabi SAW (bermaksud):
"... dan
berhati-hati dengan perkara-perkara yang baru, setiap satu perkara yang baru
adalah bid’ah dan setiap yang bid’ah adalah sesat dan setiap kesesatan akan
dimasukkan di dalam api ."
(HR. Muslim)
Pesanan Keenam:
Anda hendaklah menjadi seorang yang pemurah kepada golongan fakir
dan miskin, serta golongan yang memerlukan selepas Ramadhan dan janganlah menafikan
diri anda daripada mendapat rahmat Allah. Rasulullah SAW bersabda (bermaksud):
" Harta yang
disedekahkan tidak akan berkurang. " (HR. Tirmizi)
Pesanan ketujuh:
Anda hendaklah berikan hak-hak orang fakir dan miskin daripada zakat
dan sedekah supaya Allah memberkati harta anda. Allah SWT berfirman (bermaksud):
“Allah susutkan riba dan Ia
pula mengembangkan sedekah-sedekah dan zakatnya.” (Baqarah: 276).
Pesanan Kelapan:
Anda hendaklah menyambungkan silaturrahim dan tunaikanlah hak-hak mereka
yang memiliki pertalian darah sehingga Allah menangguhkan ajal anda dan melapangkan
rezeki anda. Firman Allah SWT (bermaksud):
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke
pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada
Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian
Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada
kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang
terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk
memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta
mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya
apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam
masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam
perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah
orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah
juga orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 177).
Pesanan Kesembilan:
Anda hendaklah terus menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid dan
lain-lain seperti yang anda lakukan pada bulan Ramadhan kerana majlis ilmu adalah
lebih baik daripada beribadah selama tujuh puluh tahun.
Pesanan Kesepuluh:
Anda hendaklah berterusan dalam melakukan taubat dan istighfar.
Firman Allah SWT (bermaksud):
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau
(wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka
sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Al-Anfal: 33)
Nabi SAW bersabda (bermaksud):
“Sesungguhnya aku beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah dan
bertaubat kepadaNya lebih daripada tujuh puluh kali dalam sehari.” (HR. Muslim)
Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=363&ArtID=117024
0 ulasan
Sila berikan komen anda