Wednesday, September 1, 2010

Slogan 10 Malam Akhir Ramadhan ..Tidak akan Meraih Syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan


Oleh: Ahmad Zahran

Diriwayatkan tentang Aswad bin Yazid an-Nakhaei bahawa beliau seorang yang gigih beribadah, dia berpuasa sehingga tubuhnya menjadi hijau pucat dan kekuningan. Alqamah bin Qis berkata kepada Aswad: “Aduh! kenapa anda menyiksakan tubuh badan ini? Aswad menjawab: Saya mahu merehatkan tubuh ini. Inilah perkara yang baik. Inilah perkara yang baik. Ketika tubuh menjadi hijau pucat saya menangis. Aswad ditanya lagi: Apakah anda merasa bersedih hati? Aswad berkata: Saya tidak merasa bersedih hati. Siapakah yang lebih berhak tentang hal itu dari saya sendiri? Demi Allah, kalau Allah datangkan kepada saya keampunan nescaya saya rasa malu dengan apa yang saya telah buat. Seorang lelaki yang mahu menjadikan dirinya dan seorang lelaki  yang memiliki dosa kecil yang mahu memaafkannya tetap merasai malu dengan dirinya. (Hilyatul Auliya’ dan Sairu A’lam al-Nubala’)

Inilah malam yang disambut dengan perasaan cinta dan asyik, malam-malam 10 akhir Ramadhan yang membawa bersamanya satu tanda iaitu kesungguhan, iaitu tanda malam yang paling besar kerana ia menghubungkan seorang itu kepada Tuhannya. Dia mengetahui bahwa malam-malam ini adalah hari-hari yang tertentu dan istimewa yang memimpinnya dengan penuh kecintaan dan keasyikan kepada Allah.

Hassan al-Basri r.a pernah berkata:

“Hati yang mencintai Allah tentu menyukai kepenatan dan mengutamakan kesibukan. Bahkan tidak akan meraih syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan. Barangsiapa yang lebih mencintai Allah dia seorang pemurah terhadap dirinya dengan tulus dan meninggalkan kerehatan kerana ia adalah senjata untuk orang yang lemah”.

Menurut Imam Syafie r.a:

“Disunatkan menambahkan kesungguhan beribadah pada 10 akhir Ramadhan”.

Namun kenapa 10 malam akhir?

10 malam ini lebih utama daripada 20 hari yang lalu. Ibn Rejab telah menyatakan: “Pada setiap masa secara umumnya ada yang utama pada waktu malam dan siang, di mana waktu akhirnya lebih utama daripada awalnya seperti hari Arafah dan hari Jumaat. Begitu juga malam dan siang pada umumnya yang akhir lebih utama daripada awalnya”.

Salah satu 10 malam itu ialah Malam Laitul Qadar.

Firman Allah:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu Apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) Kesejahteraan sampai terbit fajar”. (Al-Qadar:1-5)
Daripada Aisyah r.a:

“Rasulullah saw sering beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan  dan bersabda: “Carilah malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan”. (Bukari, Muslim dan Tirmizi)

Terdapat hadith yang menyebutkan tentang kelebihan beribadah di malam Laitul Qadar sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah telah menyatakan bahawa sesiapa yang mendirikan ibadah pada malam Laitul Qadar dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosa yang terdahulu.

Daripada Abu Hurairah r.a dari nabi saw bersabda:

“Barangsiapa yang menghidupkan malam Laitul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari dan Muslim)

Amalan-amalan soleh pada 10 malam akhir Ramadhan

Seandainya kita akan meninggikan slogan: “Tidak akan meraih syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan” pada 10 malam ini, maka semestinya kita memberikan perhatian dan menggiatkan amal-amal soleh. Antaranya ialah:

1. Menghidupkan malam

Telah diriwayatkan di dalam hadith sahih daripada Aisyah r.a bahawa Nabi saw bila masuk 10 malam akhir baginda akan menghidupkan malam, membangunkan isteri-isterinya, mengetatkan tali kainnya. Makna menghidupkan malam iaitu berjaga malam dengan mendirikan solat, zikir dan sebagainya.

 Aisyah r.a telah berkata:

“Saya tidak mengetahui Rasul saw membaca al-Quran semuanya pada satu malam, tidak bangun untuk solat sehingga subuh dan tidak puasa penuh selain di bulan Ramadhan”. (Nasai)

2. Iktikaf

Sebuah hadith sahih daripada Abu Said al-Khudri r.a berkata: Rasulullah saw beriktikaf pada sepuluh hari yang pertama di bulan Ramadhan, kemudian beriktikaf pada sepuluh pertengahan di dalam Qubbah Turkiyah. Qubbah ialah sebuah khemah yang berbentuk bulat, pintu yang dibuat dari tikar. Said berkata: Nabi mengambil tikar dengan tangannya dan diletakkan di sudut khemah, kemudian menjengukkan kepalanya. Maka orang berkata sambil menghampiri baginda. Lantas nabi bersabda: Aku beriktikaf pada sepuluh malam yang awal dengan memenuhi malam-malam ini, kemudian aku beriktikaf pada sepuluh pertengahan Ramadhan, kemudian aku didatangi seorang sahabat, lalu berkata: Bagi saya ialah sepuluh malam yang terakhir. Orang yang menyukai beriktikaf dari kamu maka beriktikaflah. Lalu ramai sahabat yang beriktikaf bersama baginda. Menurut Abu Said: Aku lihat malamnya berlaku pada malam ganjil. Aku sujud pada keesokan paginya di atas tanah dan air. Ia bermula pada malam 21. Nabi saw menghidupkan malamnya sehingga subuh. Apabila hujan turun dari langit baginda berpindah ke dalam masjid. Aku lihat tanah dan air. Baginda keluar apabila selesai solat subuh sambil jubah dan hidung baginda disaluti tanah dan air. Peristiwa ini berlaku pada malam 21 yang merupakan 10 malam akhir Ramadhan. (Muslim)

Terdapat riwayat Imam Bukhari bahawa nabi saw beriktikaf pada tahun kewafatannya selama dua puluh hari .

Menurut Imam Zuhri Rahimahullah: “Sungguh menghairankan tentang orang-orang Islam, mereka sentiasa beriktikaf bersama nabi saw dan tidak pernah meninggalkannya sejak tiba di Madinah sehingga Allah mencabut nyawanya”.

3. Pelbagai ibadah

Terdapat riwayat bahwa nabi saw berusaha bersungguh-sungguh pada 10 malam ini lebih daripada malam yang lain. Kesungguhan ini menyeluruh dalam semua ibadah seperti solat, tilawah al-Quran, berzikir, sedekah dan sebagainya. Bahkan nabi saw mengetatkan kainnya yang bermaksud menjauhi isteri-isterinya untuk menumpukan kepada solat dan berzikir. Bahkan nabi saw menghidupkan malamnya dengan qiam, membaca al-Quran, berzikir dengan hati, lidah dan anggotanya. Semua ini kerana baginda mahu memuliakan malam-malam 10 ini disamping berharap dapat menemui malam Laitul Qadar di mana sesiapa yang didirikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu oleh Allah.

4. Membangkitkan keluarga  
  
Ini termasuk dalam bab “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya” (Muslim).

Nabi saw tidak membiarkan seorangpun dari isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun beribadah dan berjaga malam serta memiliki kekuatan untuk itu melainkan nabi akan membangkitkannya. Di dalam Kitab Fath al-Bari menyebutkan riwayat dari Tirmizi dan Muhammad bin Nasir dari hadith Zainab binti Ummu Salamah: “Nabi saw tidak membiarkan isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun pada 10 malam penghujung Ramadhan melainkan nabi mengejutkannya. Bahkan nabi saw didapai beribadah pada bulan ini lebih banyak daripada bulan yang lain. Malah nabi bersungguh-sungguh pada 10 yang akhir yang tidak sama kesungguhan nabi dalam 20 hari yang pertama di bulan Ramadhan. (Tirmizi)

Dari Aisyah r.a berkata: “Nabi saw memenuhi malam 20 hari yang awal dengan solat dan tidur. Namun pada 10 yang terakhir nabi saw mengetatkan tali pinggang kainnya  dan berjaga malamnya, menjauhi tempat tidurnya dan meninggalkan tidur  - biarpun waktu tidur sepanjang usianya agak kurang - dan memastikan isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun bersamanya”. (Ahmad)

Daripada Aisyah r.a berkata: Rasulullah saw menghidupkan malam dengan solat, doa dan ibadah-ibadah yang lain. Baginda memastikan isteri-isterinya turut sama dalam kebaikan ini dengan membangkitkan mereka untuk qiam bersamanya”. (Muslim)

Ini adalah dalil disyariatkan membangkitkan isteri dan anak pada 10 malam.  Maksudnya di sini ialah menguatkan hukum sunat membangkitkan isteri. Tetapi tidak di sunatkan bagi semua hari.

Hadith dari Abu Soleh dari Abu Hurairah r.a bahwa nabi saw bersabda:

“Allah merahmati lelaki yang bangun malam untuk mendirikan solat, kemudian membangkitkan isterinya lalu bersolat. Tetapi jika enggan maka renjiskanlah air di mukanya. Allah merahmati wanita yang bangun dan mendirikan solat, kemudian membangkitkan suaminya lalu solat. Tetapi jika enggan, maka renjiskanlah air di mukanya”. (Abu Daud)

Sufyan At-Thauri berkata: “Amalan yang paling aku sukai apabila masuk 10 malam akhir Ramadhan ialah bertahajud di waktu malam dan bersungguh-sungguh bertahajud, dan membangunkan isteri dan anak untuk mendirikan solat seandainya mereka berkemampuan melaksanakannya”. 

Satu riwayat yang sahih bahwa nabi saw membangkitkan Fatimah dan Ali pada waktu malam. Lalu nabi berkata kepada keduanya: “Hendaklah kamu berdua bangun, lalu keduanya mendirikan solat”. (Bukhari)
 
5. Memperbanyakkan doa

Malam 10 akhir adalah malam-malam yang penuh kebaikan, kebajikan dan ihsan. Nabi saw menyatakan kepada orang yang berpuasa bahawa berdoa ketika berbuka tidak ditolak oleh Allah.

Nabi turut mengkhabarkan bahawa Allah SWT turun pada ¾ malam, lalu nabi bersabda:
 
“Barangsiapa yang berdoa ketika itu pasti dikabulkan dan barangsiapa yang beristighfar (memohon ampun) pasti akan diampunkan dosanya”. (Tirmizi dan Ibn Majah)

Ketika Aisyah r.a bertanya nabi dengan berkata: 

"Apakah pendapatmu seandainya engkau tahu bahwa malam itu adalah malam Lailatul Qadar apa yang patut aku doakan? Lantas Nabi mengajarkan: “Bacalah: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني. (Tirmizi dan Ibn Majah)

6. Menjauhi persengketaan dan permusuhan

Ini kerana persengketaan merupakan sebab sesuatu kebaikan terhalang dan terlindung.

Dari Ubadah bin Somit r.a berkata: Nabi telah keluar untuk memberitahu kami tentang malam Laitul Qadar, tetapi nabi telah melihat dua lelaki Islam sedang bersengketa dan bertengkar. Lalu nabi bersabda: “Aku telah keluar untuk memberitahu kalian tentang malam Lailatul Qadar tetapi dua lelaki telah bertengkar menyebabkan kebaikan malam itu diangkat”. (Bukhari)

7. Banyak membaca al-Quran

Seandainya anda mengkhatamkan al-Quran setiap minggu pada 20 hari pertama Ramadhan tentu anda boleh mengkhatamkan setiap tiga hari pada 10 hari akhir Ramadhan. Seandainya anda mengkhatamkan setiap tiga hari pada 20 hari pertama Ramadhan sudah tentu anda mampu mengkhatamkan setiap malam pada 10 hari akhir Ramadhan. Inilah amalan para salaf as-saleh.

Diriwayatkan bahawa Aswad bin Yazid mengkahatamkan al-Quran setiap enam hari. Tetapi apabila masuk bulan Ramadhan beliau mengkhatamkan dalam tiga malam, bahkan apabila masuk 10 malam yang akhir beliau mengkhatamkan setiap malam. Demikian riwayat tentang Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie yang mengkhatamkan setiap malam.

Al-hafiz Ibn Rejab berpendapat dalam keadaan biasa beliau melarang membaca al-Quran kurang dari tiga hari khatam. Tetapi semasa berada di tempat yang afdal seperti Mekah atau semasa waktu yang afdal seperti bulan Ramadhan dan 10 yang akhir, tidak makruh mengkhatamkan kurang tiga hari sebagaimana yang dilakukan oleh salaf as-soleh.

8. Mandi dan memakai pakaian baru

Diriwayatkan bahwa para salaf as-soleh apabila memasuki 10 malam mereka mandi setiap amalam dan mengkhususnya malam ganjil dengan memakai pakaian baru. Ibn Jarir berkata: Mereka suka mandi setiap malam 10 akhir. Nakhae mandi setiap malam 10 akhir. Di antara mereka mandi dan memakai pakaian cantik pada malam-malam yang diharapkan Laitul Qadar.

Menurut Hamad bin Salamah: Thabit al-Banani dan Hamed al-Towil memakai sebaik-baik pakaian, kelihatan kemas dan mengindahkan masjid pada malam yang diharapkan Lailatul Qadar. Menurut Thabit: Tamim ad-Dary  membeli pakaian dengan harga seribu dirham dan dipakai pada malam-malam yang diharapkan Lailatul Qadar.

Menurut Ibn Jarir: Kebanyakan salaf- soleh mereka mandi pada setiap malam 10 akhir. Di antara mereka Ayub As-Sakhtiany. Imam Malik turut melakukan perkara yang sama bila dinyakini malam Laitul Qadar. Beliau mandi dan memakai pakaian yang cantik. Beliau tidak akan memakainya lagi kecuali pada bulan Ramadhan akan datang. Begitu juga salaf- soleh yang lain.

Ayuhlah wahai saudaraku..kita merebut malam 10 akhir Ramadhan sebagai jalan menuju ke syurga dan keredhaan Allah, bahkan kita berusaha bersungguh-sungguh semampu mungkin. Kita mengingati bahwa orang yang mengharamkan dirinya daripada meraih kelebihan bulan ini maka haram baginya kemapunan dan pembebasan daripada api neraka. Kita mohon kepada Allah supaya menjadikan kita ke dalam golongan orang yang dibebaskan daripada api nereka dan orang-orang yang diterima amal ibadahnya.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=53843&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top