Sunday, May 8, 2011

Keinginan berbuat baik dan keinginan berbuat jahat

Oleh: Syeikh Ahmed Ahmed Gad

Dengan nama Allah dan setinggi-tinggi pujian bagi Allah. Adapun selepasnya..

Allah tidak mengira atau menghitung manusia berdasarkan bisikan hati dan lintasan fikiran. Ketika turun ayat:

“Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu”. (al-Baqarah: 284)

Para sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kami telah dibebankan dengan amal yang kami tidak mampu. Lalu Nabi saw menjawab: Katakanlah: "Kami dengar dan kami taat ". Kemudian mereka berkata pula: “Kami dengar dan kami taat”. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (al-Baqarah: 286),

dan dalam hadis:

" Allah telah mengampuni umat saya untuk apapun yang melintasi fikiran mereka, selagi tidak dilakukan atau diperkatakan".(Bukhari: 6664), dan (Muslim: 127)dan lain-lainnya.

Oleh sebab itu,  Allah SWT tidak mengira atau mencatat bisikan hati dan lintasan fikiran.  Al-Kirmani berkata: "Hadith ini menyatakan bahawa sesuatu yang wujud di dalam fikiran tidak memberi kesan apa-apa, tetapi ia hanya dikira apabila sesuatu yang wujud dari segi perkataan dalam bentuk ucapan dan dari segi perbuatan dalam bentuk praktikal". (Fath al-Bari, syarah hadis Bukhari).

Firman Allah swt:

“Barangsiapa membawa amal yang baik, Maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya; dan barangsiapa yang membawa perbuatan jahat Maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan)”. (Al-An’am: 160)

Di dalam hadith:

“Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan dan kejahatan, kemudian menerangkan tentangnya. Maka barangsiapa yang bercita-cita hendak mengerjakan kebaikan tetapi belum mengamalkannya, Allah mencatat -bagi orang tersebut- di sisi-Nya dengan kebaikan yang sempurna. Barangsiapa yang bercita-cita hendak mengerjakan kebaikan kemudian melakukannya, maka Allah akan menulis untuknya dengan sepuluh kebaikan sehingga 700 kali ganda dan dilipat gandakan sebanyak-banyaknya.. Kemudian barangsiapa yang bercita-cita hendak melakukan kejahatan tetapi belum mengamalkannya, maka Allah akan mencatat untuknya kebaikan yang sempurna. Tetapi barangsiapa yang bercita-cita hendaklah melakukan kejahatan kemudian melakukannya, maka Allah akan mencatat untuknya satu kejahatan sahaja”. (Bukhari: 6491 dan Muslim: 131)

“Berkata Malaikat:   “Wahai Tuhan, di sana terdapat hambaMu yang hendak melakukan kejahatan- Ia melihat hal itu –Allah berfirman: “Perhatikanlah, sekiranya dia melakukannya, maka catatkanlah untuknya seperti yang dilakukan. Sekiranya dia meninggalkannya (tidak melakukannya), maka catatkanlah untuknya satu kebaikan kerana meninggalkan kejahatan itu lantaran takut balasanKu”. (Muslim: 129)

Dalam sebuah hadith:

“..Barangsiapa yang bercita-cita hendak melakukan kebaikan yang mana Allah mengetahui bahawa hatinya berasa teruja terhadapnya dan dia beriya-iya hendak melakukannya, maka Allah mencatat untuknya satu kebaikan penuh”. (Ahmad: 4/345)

Maksud “himma”: Bercita-cita hendak melakukan sesuatu. Menurut Ibn al-Qayyim: “himma” ialah permulaan kehendak.

“Himma” terbahagi kepada:

1 – “Himma” dengan makna: Bisikan hati dan lintasan fikiran yang tidak mantap dan tetap di hati, dan tidak diikuti dengan kenyataan atau tindakan. Inilah yang Allah tidak catatkan, kerana ianya adalah bisikan  yang  tidak mampu bagi seorang yang mukallaf untuk menolaknya. Ianya juga adalah lintasan fikiran.

 2 – “Himma” dengan makna: mengingini sesuatu, tersemat kukuh dan bertekad untuk melakukannya, tetapi ia tidak melakukannya...Lintasan fikiran yang tersemat di dalam hati, dan bertekad untuk dikeluarkan di alam wujud, dan kadangkala berlalu lintasan fikiran ini di dalam hati dan merasa senang dengannya. Keadaan pertama, tidak dihukum atau dicatat oleh Allah. Keadaan kedua, dikira satu kesalahan dan menerima hukuman (berdosa), Allah berfirman:

“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang disengaja (untuk bersumpah) oleh hatimu” (Al-Baqarah: ayat 225),

Hal ini seperti, iktikad menjadi kufur dan ragu tentang Keesaan Allah. Al-Baqlani berkata: “Barangsiapa yang bertekad untuk melakukan maksiat di dalam hati dan tersemat di dalam diri, itu adalah dosa .. Barangsiapa yang ada “himma” (bercita-cita hendakkan sesuatu) dengan makna terlintas di dalam hati dan tidak tersemat kukuh atau tetap, itu diampuni. Menurut pendapat yang disepakati, hanya dikira jika disertai dengan tindakan hati”. (Fath al-Bari: 11/334).. Al-Nawawi berkata: “Jelas dalam teks-teks Islam dikira atau diberikan dosa jika hati yang disertai tekad dan tersemat kukuh”. Firman Allah swt:

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar”. (An-Nur: 19)

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), Karena sebagian dari purba-sangka itu dosa”.  (Al-Hujurat: 12)

Jelas dalam teks-teks Islam dan kesepakatan ulama tentang larangan iri hati, penghinaan bagi umat Islam, keinginan yang dibenci untuk mereka dan amalan hati dan tekad yang lain. Allah lebih mengetahui tentangnya. (An-Nawawi: 1 / 337). Ibn al-Jawzi berkata: "Bisikan hati untuk melakukan maksiat tidak dihukum berdosa atau dicatat. Namun sekiranya ditambah dengan tekad dan keteguhan di dalam bisikan hatinya. Maka hal itu termasuk amalan hati yang dihukum atau dicatat". (Fath al-Bari: 11/335).

Perbezaan antara “himma” dan “azam” (tekad):

Sebahagian para ulama membahagikan apa yang terjadi di dalam jiwa.. supaya menunjukkan perbezaan antara “himma” dan “azam” (tekad).

 1 – Yang paling lemah ialah lintasan fikiran kemudian lenyap begitu sahaja. Ini termasuk bisikan.  Hal ini dimaafkan dan ia tanpa ragu-ragu.
 2 – Timbul ragu-ragu, ia bercita-cita hendak melakukannya, kemudian melarikan diri darinya dan meninggalkannya..Tidak berniatnya untuk meneruskan..Hal ini dimaafkan.
  3 - Ia cenderung kepadanya dan tidak melarikan diri darinya, tetapi tidak beriya-iya hendak melakukannya, Ini adalah “himma” yang dimaafkan juga.
 4 - Ia cenderung kepadanya dan tidak melarikankan diri darinya, tetapi beriya-iya hendak melakukannya. Ini ialah “azam” yang merupakan puncak “himma”.

“Azam” terbahagi kepada dua keadaan:

(A)  Ianya termasuk amalan hati sama seperti meragui tentang keesaan Allah. Ia menjadi kufur dan dihukumkan dosa terhadapnya, atau dikira sebagai satu maksiat tanpa menjadi kufur, sama seperti orang yang suka menyakiti muslim yang lain, dan seseorang yang mencintai apa yang dibenci Allah berdasarkan firman Allah swt:

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak Mengetahui”. (An-Nur: 19)

 (B) Ia berazam atau bertekad untuk melakukannya melalui anggota seperti berzina atau mencuri. Ini terdapat perselisihan ulamak tentangnya. Segolongan ulamak berpendapat ianya tidak dicatat dan tidak dihukum dosa kerana berdasarkan sebuah hadith:

“Barangsiapa yang bercita-cita hendak melakukan sesuatu kejahatan tetapi tidak jadi dilakukan, maka tidak dicatatkan sehinggalah dia melakukannya”.

Namun majority ulamak mengatakan telah berdosa kerana wujud kesungguhan dan tekad untuk melakukannya. Abdullah bin al-Mubarak pernah bertanya Sufyan at-Thauri: “Adakah dikira berdosa jika keinginannya yang disertai kesungguhan dan tekad? Dia berkata: “Jika benar-benar tersemat kukuh untuknya”. (Lihat Fath al-Bari: 11/335).

(1) “Himma” jahat:

1 – Sesungguhnya dalam hadith: "barangsiapa yang bercita-cita hendak melakukan kejahatan tetapi tidak mengamalkannya, maka Allah akan mencatat untuknya satu kebaikan " Hal ini kerana takutkan Allah. Ini berdasarkan hadith yang lepas: kerana meninggalkan kejahatan itu lantaran takut balasanKu” ..iaitu keranaKu, dan kerana meninggalkan perbutan yang diniatkan dan bertentangan dengan keinginannya.

“Meninggalkan” di sini bermaksud bahawa ia berupaya melakukannya kerana tidak disebut “meninggalkan” kecuali terdapat keupayaan melakukannya. Namun meninggalkan kerana terlupa, maka ini tidak termasuk seperti yang dimaksudkan oleh hadith, kerana ia tidak berniat baik dan tidak berbuat jahat .. Manakala orang yang bertekad dan bersungguh-sungguh hendak melakukannya, serta berusaha mencari jalan ke arah itu, dan hampir Berjaya dalam tindakan mereka, maka hal ini jatuh kepada kedudukan ‘orang yang melakukan’ sekalipun tidak melakukannya, contohnyanya:

 A – Terdapat hadith dari dua Kitab Sahih:

"Jika dua orang Islam bertemu dengan dua pedangnya, maka pembunuh dan yang terbunuh keduaduanya masuk ke dalam api neraka". Dia bertanya: Pembunuh jelas hukumnya tetapi bagaimana dengan orang yang dibunuh? Nabi mengatakan: " Dia sangat ingin untuk membunuh sahabatnya". (Bukhari: 31, Muslim: 2888),

B - Allah telah menghancurkan dusun dan buah-buahannya kerana pemiliknya bertekad untuk mengelak dari menyerahkan hak golongan miskin, turunlah ayat: “ Sesungguhnya kami Telah mencobai mereka (musyrikin Mekah) sebagaimana kami Telah mencobai pemilik-pemilik kebun”. (Al-Qalam: 17). Mereka adalah golongan yang dikurniakan nikmat Tuhan .. dusun buah-buahan.. Ketika mereka bertekad dan bersumpah untuk mengelakkan dari menyempurnakan hak golongan miskin. Mereka menyangka bahawa mereka mampu melakukannya .. Namun Allah menghancurkan dusun buah-buahan sehingga menjadi musnah dilanda taufan: “Seperti Itulah azab (dunia). dan Sesungguhnya azab akhirat lebih besar jika mereka mengetahui”. (Al-Qalam: 33).

Menurut Al-Qurtubi: Ayat ini menunjukkan bahawa “azam” menyebabkan seseorang harus dihukum, kerana mereka bertekad untuk melakukannya. Justeru mereka dihukum sebelum melakukannya lagi. Hal ini berdasarkan hadith: Jika dua orang Islam bertemu dengan dua pedang.. ". (Al-Jami’ Li-Ahkam al-Quran: 6720).

 2 – Manakala orang yang bercita-cita hendak melakukan kejahatan kemudian melakukannya, maka dituliskan untuknya satu kejahatan.

(2) “Himma” baik:

1 - Sesiapa yang bercita-cita hendak melakukan sesuatu kebaikan, maka dituliskan untuknya satu kebaikan..namun dengan syarat mesti dihadiri hatinya, berdasarkan hadith:

“Barangsiapa yang bercita-cita hendak melakukan satu kebaikan dengan disertai hatinya, dan Allah mengetahui isi hatinya, maka dituliskan untuknya satu kebaikan”.  (Ahmed: 4 / 346),

Di dalam riwayat lain: " Allah mengetahui bahawa hatinya merasai dan bersungguh-sungguh" (Ahmed: 4 / 345: 18 936).

Di dalam Syarah Al-Ahwazi: Menurut Ibnu Hibban “himma” di sini ialah tekad. Namun kemungkinan Allah menulis kebaikan semata-mata ada keinginan untuk melakukan biarpun tiada tekad terhadapnya sebagai tambahan kepada kurniaan Allah". (Syarah hadith al-Tirmidzi: 3073).

 2 - Jika cita-cita itu benar-benar dilakukan, maka dituliskan untuknya dengan sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda dan sehingga jumlah yang dikehendaki Allah.

Kurniaan Allah dalam perkara kebaikan dan kejahatan:

Sesungguhnya kebaikan ditulis hanya kerana wujud “himma” atau keinginan hendak melakukan walaupun tidak melakukannya. Kejahatan tidak ditulishanya kerana wujud keinginan hendak melakukan melainkan setelah ia melakukan kejahatan itu..Setiap amalan yang baik akan dikurniakan sepuluh kali ganda atau berkali-kali ganda. Ibnu Hajar berkata: Ini menunjukkan bahawa amalan yang baik akan digandakan sehingga sepuluh kali ganda adalah pasti. Tambahan dari itu adalah harus; sesuai dengan peningkatan keikhlasan, tekad yang sebenar, kehadiran hati dan manfaat yang luas seperti sedekah jariah, ilmu yang berguna, sunnah yang baik  dan kerja yang mulia dan sebagainya. (Fath al-Bari: 11/333)

Namun amal yang buruk tidak digandakan. Hal ini satu kenyataan tentang kurniaan yang besar dari Allah kepada umat ini. Jika tidak kerana hal ini hamper-hampir tiada seorang pun akan masuk syurga, kerana perbuatan hamba dalam perkara yang buruk lebih banyak  daripada perbuatan baik mereka. (Fath al-Bari: 11/336)

Jelasnya, dengan rahmat Allah dan kurnianNya telah membuka begitu banyak pintu kebaikan dan menjadi begi banyak sebab yang menghapuskan keburukan, antaranya termasuk pekerjaan yang baik selepas pekerjaan yang buruk, bertaubat dan beristighfar, dan pintu yang sentiasa terbuka pada siang dan malam.

 Ya Allah bukakan bagi kami pintu-pintu rahmat-Mu .. Dan batalkan perbuatan-perbuatan jahat kami .. Akhirnya, kami panjatkan segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam.




Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top