Sunday, July 18, 2010

Sya’ban Bulan Anugerah Ilahi



Oleh: Usamah Jadu

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Rasulullah dan orang yang mengikutinya.

Bulan mulia dan berkat kian menghampiri kita. Bulan membangkitkan hidayah dan iman dan menjemput kita kepada ketaatan, ibadah dan ihsan. Justeru sebagai mukadimah kepada bulan Ramadan yang berkat dan latihan kepada umat Islam dengan berpuasa, qiamullail dan amal-amal soleh hingga merasai kelazatan bertaqarub kepada Allah dan menghirup kemanisan iman. Apabila menjelang bulan Ramadan, mereka akan menerima dengan cita-cita dan tekad yang tinggi, jiwa yang bergelora dan menolong mereka untuk taat dan mengasingkan diri untuk beribadah. Dalam tulisan ini kami akan membincangkan tiga skop berikut:

- Fadilat Bulan Sya’ban
- Hikmat nabi saw memperbanyakkan berpuasa di bulan Sya’ban
- Langkah mencontohi nabi dan kita umpama sedang mengetuk pintu bulan yang mulia

1. Fadilat Bulan Sya’ban

Dari Usamah bin Zaid r.a berkata: Nabi saw berpuasa berturut-turut hingga kami berkata nabi tidak berbuka, nabi berbuka hingga hampir-hampir tidak berpuasa hingga jumaat kecuali dua hari kalau nabi berpuasa, nabi berpuasa pada kedua-duanya. Nabi tidak banyak berpuasa dalam sebulan seperti berpuasa dalam bulan Sya’ban. Lantas aku berkata: Wahai nabi, engkau berpuasa hingga hampir-hampir tidak berbuka, engkau berbuka hingga hampir-hampir tidak berpuasa kecuali pada dua hari sekiranga engkau berada pada keduanya itu, engkau berpuasa pada dua hari itu. Lalu nabi bersabda: Manakah dua hari? Nabi menerangkan lagi: “Isnin dan khamis. Dua hari tersebut diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Aku suka jika amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa”.

Di dalam hadith ini sahabat yang mulia Usamah bin Zaid r.a menggambarkan puasa nabi dalam bentuk umum. Berdasarkan petunjuk nabi jelas bahawa nabi berpuasa di mana kadang-kadang memanjangkan puasanya hingga sahabat menyangka nabi tidak berbuka. Kadang-kadang nabi berbuka berturut-turut hinggan sahabat menyangka nabi tidak berpuaa. Ini seperti yang diungkapkan oleh Aisyah r.a bahawa beliau berkata: “Nabi saw berpuasa hingga kami katakan nabi tidak berbuka. Nabi berbuka hingga kami katakan nabi tidak berpuasa. Dari anas bin Malik r.a berkata: “Nabi saw berpuasa hingga dikatakan nabi berpuasa dan berpuasa, nabi berbuka hingga dikatakan nabi berbuka dan berbuka.

Ini bermakna puasa dan buka nabi diketahui keseluruhannya. Sahabat yang melihat pada hari nabi berpuasa mengatakan nabi tidak berbuka. Sahabat yang melihat pada hari nabi berbuka mengatakan nabi tidak berpuasa kerana kebanyakan hari nabi berbuka. Semua ini adalah petunjuk nabi saw.

Amalan sunnah berpuasa pada hari isnin dan khamis

Nabi saw sentiasa berpuasa kedua hari ini di bulan Sya’ban malah mengambil berat terhadapnya seperti yang diberitakan oleh Usamah bin Zaid r.a dalam hadith terdahulu. 

Begitu juga hadith dari Ummul Mukminin Aisyah r.a bahawa nabi saw sentiasa berpuasa isnin dan khamis. Ketika para sahabat mengetahuinya mereka bertanya: “Ya Rasulullah, engkau berpuasa isnin dan khamis”. Lalu nabi menjawab: “Sesungguhnya pada hari isnin dan khamis Allah mengampunkan dosa pada kedua-dua hari ini kepada setiap muslim kecuali orang yang memutuskan hubungan”.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi saw bersabda: “Pintu syurga dibuka pada hari isnin dan khamis. Lalu dosa setiap hamba diampunkan Allah selain dosa mensyirikkan Allah dengan sesuatu, kecuali lelaki yang bermusuh antara satu sama lain. Lalu malaikat berkata, tunggulah sehingga dua lelaki ini berbaik semula”. (Muslim)

Ketika nabi saw ditanya tentang hikmah puasa pada hari isnin dan khamis. Nabi bersabda: “Pada hari tersebut amalan diangkat kepada Tuhan sekalian alam. Aku suka ketika amalanku diangkat aku sedang berpuasa”.

Amalan yang diangkat kepada Allah pada kedua hari ini adalah khas, bukan umum seperti pada waktu pagi dan petang kerana amalan diangkat pada waktu malam sebelum siang dan pada waktu siang sebelum malam, seperti hadith sahih riwayat Muslim dan Ibn Majah.
Jelaslah, kita telah memahami bahawa nabi saw sering berpuasa pada hari isni dan khamis bahkan nabi amat mengambil berat terhadapnya kerana baginda suka sekiranya amalan baginda diangkat kepada Allah nabi sedang berpuasa.

Nabi saw memperbanyakkan puasa pada bulan Sya’ban

Ramai yang mengetaui bahawa nabi saw berpuasa di dalam bulan Sya’ban, bahkan puasanya lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.Menurut Aisyah r.a yang berkata: “Aku tidak melihat rasul saw menyempurnakan puasa sebulan melainkan di dalam bulan Ramadan. Aku tidak melihat rasul saw banyak berpuasa seperti di dalam bulan Sya’ban”.

Buat mereka yang mengambil sunnah nabi dan mencontohi baginda saw serta menyatakan kepada dunia bahawa rasul saw sebagai qudwah mereka, kami katakan; Sambutlah bulan kekasihmu nabi saw yang telah diterangkan tentang keistimewaan dan kedudukan bulan ini. Nabi telah mengajarmu fadilat dan kelebihannya. Justeru bagaimana keadaan nabi saw di bulan Sya’ban seperti yang dilaporkan bahawa nabi memperbanyakkan berpuasa di dalamnya. Oleh itu apakah yang patut kamu lakukan?

2. Hikmah nabi saw memperbanyakkan berpuasa di bulan Sya’ban

Para sahabat tidak berbeza pendapat tentang keadaan nabi saw di bulan Sya’ban yang memperbanyakkan berpuasa. Oleh itu apakah hikmahnya?

Menurut Imam Syaukani Rahimahullah: “Kemungkinan hikmah berpuasa di bulan Sya’ban kerana akan disusuli bulan Ramadan yang diwajibkan berpuasa. Nabi saw memperbanyakkan berpuasa di bulan Sya’ban yang menyamai ganjaran dua bulan lainnya kerana puasa di bulan ini menjadi latihan dan persiapan puasa di bulan Ramadan”.

Menurut Ibn Rejab al-Hanbali Rahimahullah: “Bulan Sya’ban adalah bulan dilupakan kebanyakan manusia yang berada antara bulan Rejab dan Ramadan yang terletak antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rejab bulan Haram dan bulan Ramadan bulan puasa. Manusia sibuk dengan dua bulan ini sehingga mereka lupakan bulan Sya’ban. Ramai yang menyangka bahawa berpuasa di bulan Rejab lebih utama dari berpuasa di bulan Sya’ban, kerana Rejab bulan haram. Tetapi yang sebenar bukan begitu kerana Aisyah r.a berkata: Sekumpulan orang pernah menyebut kepada rasul saw tentang puasa di bulan Rejab, nabi bersabda: “Di manakah mereka di dalam bulan Sya’ban”.

Di dalam sabda nabi saw: “..bulan yang ramai orang melupakannya yang berada antara Rejab dan Ramadan” menjadi dalil tentang galakan memakmurkan waktu-waktu yang dilupakan manusia dan terpedaya dengan waktu tersebut. Sebahagian para salafussoleh menggalakkan supaya menghidupkan antara dua isya’ (maghrib dan isya’). Begitu juga keutamaan qiam di tengah malam di waktu ramai orang yang melupakannya kerana sibuk tidur pada waktu ini.

Nabi saw pernah bersabda: “Sekiranya kamu mampu jadilah orang yang mengingati Allah pada waktu tersebut (yang orang melupakannya), lakukanlah”. Ini adalah dalil tentang keutamaan bersendirian untuk mengingati Allah pada waktu tertentu kerana tidak ramai orang yang mengingati Allah.

Hikmah lain kita dapat lihat berdasarkan hadith Usamah bin Zaid r.a “…iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Tuhan semesta alam. Aku suka ketika amalanku diangkat aku sedang berpuasa”. Nabi saw suka sekiranya ketika amalan diangkat dan ditutup amalan sepanjang setahun dia sedang melakukan ibadah dan ketaatan yang terbaik.

Selain itu puasa di bulan Sya’ban sebagai latihan menghadapi puasa di bulan Ramadan supaya bila masuk bulan Ramadan tidak merasa berat dan terbeban malah telah terbiasa dan terlatih dengan ibadah puasa. Begitu juga dengan puasa di bulan Sya’ban akan mendatangkan kemanisan iman yang menyebabkan seorang itu lebih cergas dan bertenaga untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Bulan Sya’ban adalan bulan Membaca Al-Qur’an

Menurut Salamah bin Kuhail Al-Hadrami al-Kufi seorang ulamak Tabiin menyatakan, orang yang soleh apabila tiba bulan Sya’ban mereka akan memenuhinya dengan bacaan Al-Quran. Mereka mengatakan ini adalah bulan membaca al-Qur’an.

Kita kini mengetuk bulan yang mulia.

Ini adalah musim ketaatan dan ibadah serta peluang terbaik untuk memasukkan kita ke dalam golongan yang akan dibalas dengan syurga. Alangkah indahnya anggota keluarga saling berlumba-lumba dalam ketaatan kepada Allah. Alangkah baiknya para mukmin saling bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan, ketakwaan, ibadah dan ketaatan terutama pada bulan ini.

Sebelum kita berpisah kami ingin menyampaikan beberapa pesanan yang bermanfaat buat saudara yang kami kasihi:

1. Meneladani rasul saw dalam ketaatan dan ibadah kepada Allah yang memperbanyakkan berpuasa pada bulan ini.

2. Wanita muslimat diharap segera mengganti (qada’) puasa Ramadan tahun lalu sebagai mencontohi isteri-isteri nabi saw yang melewatkan ganti puasa Ramadan pada bulan Sya’ban supaya menepati puasa nabi pada bulan ini.

3. Semua orang memperbanykkan tilawah al-Quran, mentadabbur maknanya dan mengulangkaji hafazan sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan bulan diturunkan al-Qur’an.

Mudah-mudahan dengan paparan di atas menjadikan kita benar-benar bersedia menyambut kedatangan Ramadan pada tahun ini.

Semoga Allah menerima amal soleh kami dan kamu semua. Selawat dan salam serta keberkatan untuk junjungan kita nabi Muhammad saw sebagai guru yang terbaik.

----------------------------
Penulis adalah anggota parlimen dari Ikhwan Muslimin
Terjemahan http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=67941&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top