Monday, July 12, 2010

Pengajaran dari Peristiwa Isra’ dan Mi’raj


Oleh: Dr. Abdul Hadi Syahin Hamudah

1.Nabi saw telah menemui lebih daripada dua puluh kabilah Arab dan mengajak mereka kepada Islam. Namun tiada satupun yang beriman kecuali seorang remaja Nasrani yang bernama Addas. Semua kabilah menolak dakwah nabi bahkan menyuruh budak-budak yang tidak mengerti apa-apa supaya melemparkan batu kepada nabi hingga berdarah kedua kaki baginda saw yang mulia itu. Lalu nabi terpaksa kembali ke Mekah melalui perlindungan seorang lelaki musyrik yang bernama Mut’im bin Adi. Sungguhpun nabi saw berdukacita terhadap penolakan ini tetapi baginda enggan mendoakan kehancuran kepada mereka malah berdoa supaya mereka diberikan hidayah. Justeru nabi saw adalah pembawa rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah:  

“Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam”. (Al-Anbiya’: 107)

2. Allah menggembirakan nabi saw setelah kesedihan ini ekoran penolakan kabilah-kabilah yang ditemuinya, dengan mengutuskan sekumpulan jin yang mendengar nabi membaca al-Qur’an lantas beriman dengan nabi dan mendokong dakwah nabi. Mereka telah memikul dakwah ini dengan menyeru kaum mereka supaya beriman. Kini mereka menjadi golongan yang lebih baik dalam menyahut dan menerima dakwah berbanding manusia.

Firman Allah:  

“Katakanlah (Muhammad) , telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengarkan (bacaan), lalu mereka berkata, kami telah mendengarkan bacaan yang nmenakjubkan (Al-Qur’an). Yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukansesuatupun dengan Tuhan kami”. (Al-Jin: 1-2). 

Seolah-olah utusan (Jibril) daripada Allah berkata kepada nabinya, Sekalipun manusia mendustakanmu namun golongan jin tetap membenarkanmu, sekalipun penduduk bumi menolakmu namun penduduk langit menerimamu, sekalipun sebahagian manusia menghinamu, namun Allah memuliakanmu dengan penerimaan malaikat dan para nabi di langit.

Adakah kita memikul dan mendokong risalah seperti para jin? Nabi saw telah memuji mereka di dalam sabdanya;  

“Mereka adalah golongan yang lebih baik penerimaan risalah berbanding kamu”, sambil membaca ayat: “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”. (Ar-Rahman: 13). Para sahabat menjawab: Wahai Tuhan kami, tiada mana-mana nikmat yang kami dustakan”. 

3. Bermula perjalanan Isra’ daripada Masjidil Haram di Mekah, menjelaskan kepentingan masjid ini di dalam Islam, iaitu masjid yang pertama dibina untuk manusia yang telah dilakukan oleh para malaikat dan ditegakkan asasnya oleh nabi Ibrahim dan Ismail a.s, orang ramai sentiasa bertawaf mengelilinginya siang dan malam. Kalau manusia berhenti dari bertawaf akan diganti oleh para malaikat. Melalui Baitullah al-Haram iaitu Kaabah para muslimin mengenali tauhid yang sebenar-benarnya kepada Allah dan kesatuan dan ikatan antara sesama muslimin, kerana Allah mengikat dan menghubungkan mereka semua dengan Allah yang esa dan satu-satunya. Bahkan semua manusia menghadapkan wajahnya kepada Kaabah dari segenap pelosok bumi untuk solat tanpa mengira negeri mana sekalipun sama ada dekat ataupun jauh.

4. Perjalanan Isra’ ke Masjid al-Aqsa di Palestin, menunjukkan kepada perpindahan kepimpinan daripada bangsa yahudi yang telah melakukan kerosakan di muka bumi ini dan mereka tidak diberi peluang lagi untuk memimpin manusia, kepada umat yang baru yang membawa risalah dan hidayah iaitu umat penutup sekalian nabi saw. Firman Allah:  

“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah”. (Ali-Imran: 110)

5. Bumi Palestin dan sekitarnya adalah bumi yang berkat, berkat dari segi hissiah (yang boleh dilihat dan disentuh dengan fizikal) dan maknawiah. Di Palestin ada Baitul Maqdis iaitu kiblat yang pertama umat Islam, tanah haram yang ketiga suci, tempat persinggahan Isra’ dan Mi’raj nabi, di sinilah ramai para nabi hidup dan dikebumikan seperti nabi Ibrahim, Lut, Ya’qub, Yahya, Zakaria a.s.

Allah telah memuji Baitul Maqdis di lima tempat di dalam al-Qur’an, antaranya Allah sebutkan sebagai negeri Islam yang bebas yang tidak dimiliki oleh mana-mana raja atau rakyat tetapi dimiliki oleh Islam dan para muslimin di mana jua berada. Hal ini menjelaskan bahawa kewajipan kita ke atas negeri Palestin, penduduknya dan kesuciannya yang berada di atas bumi tersebut.

Di dalam hadith nabi menyatakan daripada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a: 

“ Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama2 kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya.Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah.” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya” (Bukhari)

Oleh itu seluruh negeri Islam yang berada disekelilingnya termasuk di dalam maksud hadith di atas.

6. Nabi saw telah memilih untuk meminum susu menggantikan air dan arak menunjukkann bahawa nabi saw memilih fitrah, di mana manusia lahir dalam keadan fitrah. Jibril a.s menyebutkan: “Kamu telah memilih fitrah”. Firman Allah:
 
“..(sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut fitrah itu”. (Ar-Rum: 30)

Kita mempelajari bahawa hati seorang muslim mestilah putih bersih seumpama susu. Hati yang bersih tidak mengingini keburukan, tidak mengenali kedengkian dan tidak ada perbezaan apa yang ada di dalam batinnya kerana dalam Islam batin adalah lebih mulia dan utama daripada zahirnya.

7. Nabi saw mengimamkan solat sunat di hadapan para nabi dan rasul terdahulu di Baitul Maqdis, menunjukkan kedudukannya yang tinggi di sisi Allah ketika menjadikan nabi saw sebagai imam solat kepada seluruh para anabi dan rasul, serta menunjukkan kepada kesatuan risalah-risalah terdahulu dari segi sumber, objektif dan matlamat. Sumber risalah-risalah nabi seluruhnya adalah daripada Allah dan objektifnya adalah mengajak manusia menyembah Allah dan matlamatnya ialah mengharapkan keredaan Allah. Justeru para nabi semuanya adalah bersaudara di mana setiap orang daripada mereka menjalankan peranan dan tugasnya serta nabi datang selepasnya untuk menyempurnakan risalah terdahulu. Di dalam hadith dari Muawiyah bin Abu Sufyan:  

“Bandingan diriku dan bandingan dengan para rasul sebelumku ialah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah. Lalu ia menyempurnakannya kecuali satu batu bata. Orang ramai menyatakan; kalaulah diletakkan satu batu bata tentulah rumah itu sempurna. Oleh itu, akulah batu bata tersebut”. (Bukhari)

8. Peristiwa yang disaksikan sendiri oleh nabi saw di dalam perjalanan Mi’raj, menunjukkan suatu peringatan kepada umat daripada melakukan penyelewengan dan penyimpangan kerana balasannya sangat pedih dan berat. Oleh sebab itu nabi saw mengingatkan umat daripada penyakit-penyakit ini seperti riba, zina dan memakan harta anak yatim kerana semua ini adalah penyakit sosial yang menghancurkan individu dan masyarakat

Riba: menjadikan golongan kaya memerah darah orang miskin dan menambahkan harta kekayaannya melalui kesusahan orang miskin serta menambah kefakiran dan kesusahan kepada golongan miskin. Firman Allah: 

“Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan kerana gila”. (Al-Baqarah: 275)

Zina: mencampur aduk keturunan, membuka pintu kejahatan dan kerosakan serta menyebarkan penyakit dan wabak. Firman Allah:  

“Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana zina itu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”. (Al-Isra’: 32)

Memakan harta anak yatim adalah satu jenayah zalim seolah-olah menjadikan pengawal sebagai pencuri dan penternak sebagai serigala. Oleh sebab itu al-Quran menggambarkannya dengan menelan api neraka di dalam perutnya. Firman Allah:  

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api dalam perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala”. (An-Nisa’: 10)

9. Difardukan solat di langit semasa dalam perjalanan Mi’raj, menunjukkan tentang kepentingan solat di dalam Islam iaitu yang merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Nabi pernah bersabda daripada Buraidah bin Hasib al-Aslami:
 
“Perjanjian antara kami dan mereka ialah tentang solat. Barangsiapa yang meninggalkannya telah menjadi kufur (kafir)”. (Tirmizi)

Oleh itu solat adalah mi’raj kepada ruh dan jiwa sebanyak lima kali setiap hari tetapi memperolehi lima puluh kali ganda pahala dan ganjaran di sisi Allah. Ia juga menunjukkan bahawa seorang muslim mengangkat dirinya dan ruhnya mengatasi syahwat dan syubhat, dan sentiasa merujuk kepada kuasa tertinggi dan berhubung terus dengan Allah dalam semua urusan hidup. Justeru seorang muslim tidak rela meninggalkan solat ataupun melewatkannya.

10. Juga kepentingan ubudiyyah (pengabdian) di dalam Islam di mana Allah memuji hambaNya dan mengungkapkan ubudiyyah ke atas nabiNya di permulaan Surah Al-Isra’. Firman Allah:  

“Maha suci Allah, yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil AQsa yang telah Kami berkati sekelililngnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Al-Isra’: 1) 

Firman Allah:
 
“Sungguh, Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan”. (An-Nahl:128)

Melalui takwa dan ihsan menyampaikan manusia kepada martabat ubudiyyah yang merupakan salah satu sifat tertinggi, puncak ketundukan dan perasaan terhadap keagungan Allah SWT.

Akhirnya, kita mohon kepada Allah mengembalikan Masjid Al-Aqsa ke dalam genggaman Islam dan umat Islam.

-----------------
Penulis adalah Profesor Dakwah dan Perbandingan Agama di Fakulti Usuluddin dan Dakwah, Universiti al-Azhar

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=51572&SecID=213
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top