Wednesday, July 14, 2010

Siri 2: Dosa Mematikan Hati


Oleh: Dr. Abdullah Farjullah Abdullah

Kita telah membicarakan di dalam tulisan yang lepas tentang beberapa kesan yang menimpa seseorang hamba akibat daripada dosa yang dilakukannya di mana pada keseluruhannya di penghujung adalah mematikan hati dan mungkin lebih jauh dari itu..Ini kerana hati yang mati adalah balasan di dunia kepada orang yang berbuat dosa.

Di dalam tulisan ini kami akan melengkapkan peringatan tentang kesan-kesan dosa ini seperti yang dinyatakan oleh para salafussoleh kerana mengharapkan supaya manusia berhenti dari melakukan dosa dan berusaha untuk bertaubat..seperti yang kami nyatakan sebelum ini bahawa pengetahuan tentang keburukan akibat melakukan dosa dan betapa keji kesan perbuatan maksiat akan membantu seseorang untuk beristiqamah dalam perkara ketaatan dan berwaspada daripada melakukan sebarang dosa.

Di antara kesannya ialah rezeki yang berkurangan atau sempit. Seseorang hamba diharamkan memperolehi rezeki lantaran dosa yang dilakukan. Sabda nabi saw:

“Seorang lelaki yang melakukan dosa diharamkan (disempitkan) daripada memperolehi rezeki”. (Ibn Majah dan Ahmad)

Di antaranya, hilang kemanisan dan keghairahan semasa melakukan ibadah dan ketaatan, lalu bertukar menjadi kebencian dan kehinaan. Di antaranya juga menyebabkan hati manusia menjadi benci dan menjauhkan diri daripadanya.

Di antaranya, hilang sesuatu yang terpenting baginya iaitu masa yang tidak boleh ditukar ganti dan tidak akan kembali semula sampai bila-bila. Masanya hilang dengan sia-sia bermaksud hilangnya keseluruhan hidupnya kerana masa adalah kehidupan. Barangsiapa yang mensia-siakan masanya bererti ia telah merugikan aset, menghilangkan asal kewujudannya dan asas pembinaannya.

Di antaranya, tompokan atau tutupan ke atas hatinya. Seorang hamba yang berbuat sesuatu dosa akan terdapat satu titik hitam di dalam hatinya. Seandainya dia bertaubat titik hitam itu akan terpadam tetapi seandainya terus melakukan dosa yang lain, maka akan bertambah titik hitam itu dan akan terus memenuhi hatinya. Ini yang dikatakan menutupi hati. Firman Allah:  

Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka .” (Al-Mutaffifin: 14)

Justeru seseorang hamba itu diharamkan dari merasai kemanisan beribadah. Apabila ia mengerjakan ketaatan, maka ia tidak merasai kemanisan dan kekuatan hasil daripada ketaatan dan ia tidak memperolehi pertambahan iman, kecerdasan dan keghairahan kepada akhirat, padahal mengerjakan perkara ketaatan sudah semestinya akan membuahkan kesan-kesan ini.

Menurut Ibn Qayyum Rahimahullah di dalam kitabnya ‘Ad-Da’ wad-Dawa’: “Cara mencegah daripada menerima balasan akibat perbuatan dosa ialah dengan mengerjakan perkara ketaatan dan menghentikan dosa dengan ketaatan yang lain. Kemudian menghentikan dosa dengan ketaatan yang ketiga, kemudian keempat dan seterusnya. Oleh itu ia menghentikan perbuatan dosa dengan pelbagai ketaatan ataupun ibadah. Setiap satu ibadah adalah lebih baik baginya daripada dunia dan segala isinya. Hal ini laksana seorang lelaki yang memakan pelbagai jenis makanan yang baik baginya akan menghindarkan dirinya daripada penyakit yang berpanjangan” .

Sesuatu dosa akan mengundang dosa yang lain, kemudian akan menambahkan dosa yang lain lagi, kemudian dosa yang ketiga, kemudian bergabung tiga jenis doa, lalu mengundang dosa yang keempat dan begitulah seterusnya hingga dosanya telah sebati dan meresap di dalam dirinya. Ini kerana balasan sesuatu kesalahan adalah kesalahan seterusnya. Begitulah yang ditegaskan oleh para salafussoleh.

Oleh itu lenyap apa yang ia sukai dan yang baik baginya, kerana Allah tidak mempertemukan kepada hambaNya keseronokan perkara haram di dunia dan keseronokan apa yang ada di akhirat. Firman allah:  

“Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang-orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan): "Kamu Telah menghabiskan rezkimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu Telah bersenang-senang dengannya; Maka pada hari Ini kamu dibalasi dengan azab yang menghinakan Karena kamu Telah menyombongkan diri di muka bumi tanpa hak dan Karena kamu Telah fasik". (Al-Ahqaf: 20)

Ini kerana orang mukmin tidak akan dilenyapkan kesenangan-kesenangannya di dunia, tetapi seorang mukmin mestilah meninggalkan sebahagian kesenangannya di dunia untuk kesenangan di akhirat. Sedangkan orang kafir mereka tidak beriman dengan hari akhirat, kerana itu mereka begitu ghairah dan bersungguh-sungguh menikmati kesenangan semasa di dunia.

Perbuatan dosa mencegah hati daripada berangkat meninggalkan hal dunia dan menumpukan hal akhirat. Hati yang dikotori perbuatan dosa terus kebingungan dan kehilangan panduan hinggalah hati itu meninggalkan hal dunia dan menumpukan hal akhirat. Apabila hati cenderung kepada akhirat, maka ia semasa di dunia akanmemperolehi taufik dan pemeliharaan Allah dari semua arah dan sentiasa bertambah dengan bekal iman dan takwa sehingga penghujung nyawanya..Sebaliknya kalau hatinya tidak cenderung kepada hal akhirat, maka sudah pasti hatinya akan merasa sempit, payah, letih, malas dan berat untuk berbuat kebaikan.

Di antara kesan yang paling serius, musibah yang paling berat dan luka yang paling kronik ialah Allah, para malaikat dan hamba menjauhkan diri darinya..Oleh itu seorang hamba yang tidak melakukan ketaatan dan sibuk dengan kemaksiatan pasti Allah menjauhkan darinya. Begitu juga para malaikat dan hamba keseluruhannya. Sama seperti jikalau seorang hamba menerima Allah dengan melakukan perkara ketaatan, maka Allah juga akan menerimanya dengan memberikan taufik dan hidayah. Begitu juga makhluk Allah yang lain turut menerima dengan mendoakan kesejahteraan dan pemeliharaan daripada dosa.

Kesimpulannya bahawa kesan-kesan maksiat yang buruk lebih banyak daripada yang diketahui oleh seorang hamba. Begitu juga kesan-kesan ketaatan lebih banyak daripada yang diketahui oleh seorang hamba. Justeru kebaikan di dunia dan akhirat terhasil daripada ketaatan kepada Allah dan keburukan di dunia dan akhirat terhasil daripada kemaksiatannya.

Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=14598&SecID=360
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top