Thursday, November 4, 2010

Hadiah sepuluh pertama Zulhijjah



Oleh: Syeikh Ahmed Ahmed Jad

Sepuluh hari pertama

Allah telah bersumpah dengan hari-hari 10 pertama Zulhijjah. Firman Allah:

“1.  Demi fajar,2.  Dan malam yang sepuluh,3.  Dan yang genap dan yang ganjil”. (Al-Fajr: 1-3)

Menurut setengah ahli tafsir: “fajr” ialah fajr hari Nahar (Eidul Adha), iaitu hari haji akbar (terbesar)..”Dan malam yang sepuluh” ialah dari awal Zulhijjah dan berakhir pada hari Nahar. “Dan yang genap dan yang ganjil” ialah hari-hari Tasyrik.

Firman Allah:

“dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang Telah ditentukan”. (Al-Hajj: 28)

 “Hari-hari yang ditentukan” ialah hari-hari yang sepuluh.

Firman Allah:

“Dan berdzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang”. (Al-Baqarah: 203)

“Hari yang berbilang” ialah hari Tasyrik, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. 

Hari-hari yang sepuluh; ialah yang melengkapkan 40 hari nabi Musa. Firman Allah:

“Dan Telah kami janjikan kepada Musa (memberikan Taurat) sesudah berlalu waktu tiga puluh malam, dan kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), Maka sempurnalah waktu yang Telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam”. (Al-A’raf: 146)

30 hari ialah sepanjang bulan Zulkaedah dan 10 hari pula hari sepuluh yang pertama Zulhijjah. Miqat nabi Musa sempurna sehingga hari nahar, berpeluang berbicara dengan Allah dan padanya juga Allah menyempurnakan agama kepada Muhammad saw.

Di dalam hadith:

“Hari sepuluh ialah hari raya Adha, yang ganjil ialah hari Arafah dan yang genap ialah hari Nahar. (Musnad Imam Ahmad: 327/3), (Shakir / Hamzah: 14448 Sahih)

Kelebihan hari-hari sepuluh

Allah SWT melebih setengah makhluk ke atas yang lain, menciptakan langit-langit dan melebihkan yang ke tujuh, menciptakan bumi dan melebihkan Ummul Qura (Mekah), menciptakan malaikat dan melebihkan Jibril, Israfil dan Mikael, mengutuskan rasul dan melebih sebahagian ke atas sebahgian yang lain…menjadikan bulan dan melebihkan 4 bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab, Allah telah memilih dari bulan-bulan yang haram ini hari-hari yang dilebihkan, di antaranya 10 pertama dalam bulan Zulkaedah.

Kelebihan amal soleh pada hari-hari sepuluh

1.      Sabda nabi saw:

“Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah..Bukan jihad  fi sabillah? Jawab nabi; Ya, Jihad fi sabillah tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid)”. (Abu Daud di dalam Bab Puasa: 2438 dan Bukhari di dalam Bab Dua hari raya: 969 dan terdapat riwayat selain mereka).

2.      Sabda nabi saw:

“Tiadalah hari yang lebih disukai Allah untuk beribadah kepadanya dari hari-hari 10 pertama Zulhijjah yang menyamai puasa setiap hari seperti puasa sunat dan qiam setiap malam seperti qiam pada malam lailatul Qadr”. (Tirmizi di dalam bab Puasa: 758 dan Ibn Majah: 1728)

3.      Dari Hafs isteri nabi saw berkata:

“Empat amalan yang tidak pernah ditinggalkan nabi saw ialah: Puasa pada hari ‘Asyura’, hari-hari 10 Zulhijjah, tiga hari setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Nasa’i dalam bab Puasa: 2412, Ahmad: 287/6, Shakir / Hamzah: 26339 Sahih dan rawinya tsiqah)

4.      Daripada sebahagian isteri nabi saw:

“Bahawa nabi berpuasa pada hari Asyura, 9 Zulhijjah, tiga hari setiap bulan dan puasa isnin dan khamis”. (Nasa’i dalam bab puasa: 2368 dan Abu Daud di dalam bab puasa: 2437)

Amal soleh pada hari-hari 10 Zulhijjah tidak terbatas, meliputi solat khususnya solat malam dengan khusyuk, tadabbur dan muraqabah..puasa, sedekah, memberi makan kepada fakir miskin, berzikir, berdoa, amar ma’ruf  dan nahi mungkar, bertaubat, mendidik jiwa.

Amalam soleh pada hari-hari ini lebih afdal dari yang lain, kerana ianya termasuk hari-hari yang penuh berkat dan juga kerana ibadah pada waktu orang lalai lebih afdal. Oleh kerana itu menjadi hamba yang beribadah pada waktu ini menambahkan kelebihan ke atas hamba yang beribadah pada waktu lain.

Kelebihan hari Arafah

Arafah ialah nama tempat diadakan wuquf dan dinamakan Arafah kerana Jibril a.s berkata kepada nabi Ibrahim.. “Arafta” (Anda telah ketahui). (Ahmad: 298/1, Shakir: 2707 dan sanadnya sahih dan terdapat riwayat lain)

Kemuncak amalan haji ialah pada hari Arafah berdasarkan hadith: “Haji adalah hari Arafah..”. (Abu Daud di dalam bab Manasik: 1949 dan terdapat riwayat lain). Iaitu hari yang Allah turun ke langit dunia di mana ia menghiburkan penghuni langit menghiburkan penghuni dunia.

Kelebihan amal soleh pada hari Arafah

1.      Nabi saw pernah ditanya tentang kelebihan puasa pada hari Arafah? Jawab nabi: “Kifarah dua tahun”. Nabi saw ditanya tentang kelebihan puasa pada hari Asyura’?. Jawab nabi: “Kifarat setahun”. (Ahmad: 295, Shakir / Hamzah: 22416 Sahih, Muslim 1162 dan terdapat riwayat lain)

Di dalam satu riwayat:

“Puasa pada hari Arafah pahalanya menyamai puasa selama dua tahun, puasa pada hari Asyura menyamai puasa selama setahun”. (Ahmad: 307/5 Sahih)

2.      Sabda nabi saw:

“Seafdal-afdal doa ialah pada hari Arafah dan seafdal-afdal apa  yang aku katakan, aku dan nabi-nabi sebelum aku ialah: Tiada Tuhan melainkan Allah semata-mata tiada yang sekutu bagiNya”. (Al-Muwatta’ kitab al-Quran hlm 188, Tirmizi di dalam ad-Dakwat: 3585)

Kelebihan hari Nahar (Eidul Adha)

Hari Nahar ialah hari di mana berlakunya ujian kepada al-khalil Ibrahim a.s dengan anaknya, Ismail. Kemudian Allah telah menggantikan gadaian untuknya dan hari di mana tercapainya perbualan kepada Musa a.s dan hari di mana sempurna agama dan lengkap nikmat untuk nabi Muhammad.

Riwayat dari Imam Bukhari bahawa seorang lelaki Yahudi berkata kepada Umar bin al-Khattab: “Wahai Amirul Mukminin, Ada ayat di dalam kitab yang kamu baca, kalaulah ianya turun di kalangan Yahudi tentulah hari itu kami akan jadikan perayaan. Manakah ayat itu? Lalu Umar membacakan:

“pada hari Ini Telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan Telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan Telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu”. (Al-Maidah: 3)


Menurut Umar: Kami telah mengetahui hari dan tempat tersebut di mana turun ayat ini iaitu di Arafah pada hari jumaat”. (Bukhari di dalam Iman 45, Muslim dan lain-lainnya)

Kelebihan amalan pada hari Nahar (Eidul Adha)

1.      Dari Aisyah bahawa nabi saw bersabda:

"Tiada amal yang lebih disukai Allah yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Adha daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah (memperolehi pahala) sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka elokkanlah ibadah korban kamu". (Tirmizi di dalam al-Adohiy: 1493 dan Ibn Majah di dalam al-Adohiy: 3126)

2.      Rasulullah pernah ditanya:

“Apakah ibadah korban ini? Jawab nabi: Sunnah bapa kamu Ibrahim. Lalu mereka bertanya lagi: Apakah kelebihan bagi kami ya Rasulullah? Jelas nabi saw: Setiap bulu adalah satu hasanah. Lalu mereka bertanya lagi: Apakah setiap bulu ya Rasulullah. Jelas nabi lagi: Setiap helai dari bulu binatang korban adalah satu hasanah”. (Ibn Majah 3127)

3.      Orang yang ingin berkorban pada Eidul Adha, dilarang memotong rambut dan kukunya pada hari-hari 10 sehingga melaksanakan korban. Di dalam hadith:

“Apabila masuk hari-hari 10 Zulhijjah dan kamu ingin melakukan korban, maka kamu hendaklah menahan diri dari memotong rambut dan kukunya”. (Muslim: 1977 dan Abu Daud: 2791)

Ulamak berbeza pendapat tentang hukum larangan dalam hadith ini. Menurut Abu Daud: Haram, menurut Syafie: Makruh dan menurut Abu Hanifah dan Malik: Harus. (‘Aunul Ma’bud: 489/7 dengan rumusan yang ketat)  

Berzikir semasa Hari Tasyrik

Tidak dibenarkan berpuasa pada hari Tasyrik, kerana ia adalah hari untuk menikmati makanan, minuman dan berzikir. Namun hubungan dengan Allah dan berzikir kepadanya tidak boleh berhenti. Rasulullah sentiasa mengingati Allah dalam semua keadaan.

Dalam sebuah hadith: Hari-hari Tasyrik adalah hari makan, minum dan berzikir kepada Allah”. (Muslim: 1141 dan lainnya) Ada riwayat: “..Janganlah berpuasa pada hari-hari ini, kerana hari Tasyrik adalah hari makan, minum dan berzikir”. (Kasyful Khafa: 870. Feqh as-Sunnah: Juz 1 hlm 376)

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=56584&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

3 ulasan

  1. salam kalau penduduk mysia yang tidak mengerjakan ibadah haji yg hendak melakukan ibadah qurban adakah juga dilarang memotong rambut kuku, boleh tolong jelaskan tq

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana bertanya. Ya, dilarang memotong kuku dan rambut sehingga selesai ibadah korban 10 Zulhijjah. namun, seperti yg dinyatakan, mazhab syafie hanya mengatakan makruh shj. Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  3. Salam, kalau orang yang sedang menunggu untuk wukuf di arafah, dan akan membuat kurban, padahal sebelum berniat ihram dan memakai kain ihram disunatkan membuang kuku, trim janggut dan sebagainya. Macamana dengan percanggahan ini. Tk

    ReplyDelete

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top