Oleh: Syeikh Hijazi Ibrahim Tsarya
Dari Qis, dari Jabir r.a berkata:
“Nabi saw tidak jauh dari ku sejak aku memeluk Islam. Nabi saw tidak pernah melihat ku melainkan pada wajahnya sentiasa mengukirkan senyuman”. (Fath al-Bari )
Dari Abdullah bin al-Harith bin Juza’ berkata:
“Aku tidak pernah melihat seseorang yang banyak senyum melainkan nabi”. (Nawawi dari Muslim)
Di dalam riwayat lain:
“Baginda tidak pernah melihat ku melainkan aku menerima seyuman manis daripada Rasulullah saw”. (Tuhfatul Ahwazi – Tirmizi)
Keterangan dan makna
Senyuman memberikan kesan yang menakjubkan dalam memikat jiwa dan menyatukan hati-hati serta melembutkannya. Senyuman yang dipamerkan kerana mencontohi Rasulullah dan sentiasa diberikan kepada setiap orang yang ditemuinya. Para sahabat mengatakan tentang senyuman:
“Supaya mudah mencapai kesempurnaan bagi sesiapa yang mahukan penyatuan hati dan melembutkannya”. (Tuhfatul Ahwazi)
Allah telah membezakan manusia berbanding haiwan dengan ketawa dan tangis. Tiada sepesis haiwan yang ketawa dan menangis selain manusia. Ada yang mengatakan; Kera sahaja yang ketawa tetapi tidak tahu menangis. Unta sahaja yang menangis tetapi tidak tahu ketawa.
Allah sahaja yang menentukan sebab-sebab manusia ketawa dan menangis. Firman Allah:
“Dan bahwasanya dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis”. (An-Najm: 43)
Menurut Ato’ bin Abi Muslim: “Bermaksud gembira dan bersedih, kerana kegembiraan menerbitkan ketawa dan bersedih menerbitkan tangisan”. (Al-Jami’ li Ahkam al-Quran)
Ada setengah mengatakan; “Ketawa bagi orang yang mahu kerana kegembiraannya di dunia dan tangisan bagi orang yang mahu kerana kesedihannya”.
Ada setengah mengatakan; “Pokok-pokok ketawa kerana cahaya, bumi ketawa kerana tumbuh-tumbahan, langit menangis kerana hujan”.
Ada pula yang mengatakan; “Orang mukmin ketawa di akhirat nanti tetapi menangis semasa di dunia”. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran)
Rasul saw sentiasa senyum dan ketawa bersama para sahabat: Para sahabat bergelak ketawa di dalam majlis Rasulullah di mana baginda turut senyum bersama mereka. Daripada Samak bin Harb berkata: “Aku berkata kepada Jabir bin Samrah: Adakah tuan pernah duduk dalam majlis Rasulullah saw? Jawabnya: Ya, banyak kali. Baginda tidak akan bangun dari tempat baginda menunaikan solat subuhnya sehingga terbit matahari. Apabila saya bagun, barulah baginda bangun. Para sahabat berbual-bual dan kadang-kadang bergelak ketawa seperti zaman jahiliah dan Rasulullah melemparkan senyumannya”. (Imam Nawawi Syarah Muslim)
Kesan senyuman di dalam kehidupan
Lantaran kedudukan senyuman dan kesannya yang besar kepada para muslimin, kita lihat nabi sw amat menggalakkan umat Islam dengan menjadikan senyuman antara sedekah, dan kuntuman senyuman yang disedekahkan itu termasuk ke dalam pahala dan ganjaran seumpama pahala dan ganjaran menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Daripada Abu Zar r.a, berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Senyuman yang kamu berikan di hadapan wajah saudara kamu itu adalah sedekah. Kamu menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar adalah sedekah, kamu menunjukkan jalan yang betul kepada seseorang seseorang yang sesat juga sedekah, pandangan kamu kamu kepada lelaki yang berpakaian comot atau selekeh pandangan kamu dikira sedekah, kamu membuang batu, duri dan tulang yang menghalang jalan juga sedekah, baldi kamu menjadi kosong kerana memberi air kepada saudara kamu juga sedekah”. (Tuhfatul Ahwazi :2 /62/2022)
Dari Abu Hurairah r.a berkata; rasulullah saw telah bersabda:
“Kamu tidak perlu bersusah payah memberikan harta kepada manusia, tetapi memadai kamu melemparkan wajah yang manis (senyuman) dan mempamerkan budipekerti mulia”. ( Faidhul Qadir: 2/557/2545)
Menurut al-Munawi: Tidak perlu kamu memberikan harta kamu kepada orang lain, tetapi memadai kamu mempamerkan budi pekerti yang baik kepada sahabat kamu. Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Iyad seorang yang menepati janji, banyak berkorban, segera melakukan kebaikan tetapi sering mempamerkan akhlak yang buruk, maka kamu tidak akan melihatnya seorang yang terpuji. Ibrahim bin Adham pernah berkata: Seorang lelaki dapat dikenali melalui kemuliaan akhlaknya bukan melalui banyak hartanya, kerana harta yang banyak diwajibkan zakat dan silaturrahin serta sesuatu yang lain sedangkan akhlak tidak seperti itu”. (Faidhul Qadir)
Sesungguhnya manusia tidak akan terdaya menanggung semua orang dengan membelanjakan seluruh hartanya kerana bilangan manusia yang ramai sedangkan hartanya terhad. Ini bukan termasuk di dalam kemampuan manusia. Oleh sebab itu setiap muslim hendaklah menyantuni manusia, menggembirakan mereka dengan wajah yang manis dan ukiran senyuman, kerana perbuatan ini mendatangkan kegembiraan dan keceriaan di dalam hati mereka, kuntuman senyuman mampu membuka hati-hati yang tertutup dan memegang emosi dan perasaannya, kuntuman senyuman mampu memimpin hati yang sesat kepada hidayah atau membuang kemaksiatan ke lembah yang dalam, kuntuman senyuman mampu membuka pintu cita-cita dan harapan di hadapan orang yang kecewa dan berputus asa atau memasukkan kegembiraan di lubuk hati yang dipenuhi kesempitan, kesakitan dan penderitaan…Lihat betapa besarnya peranan wajah anda!
Justeru janganlah anda memandang rendah sesuatu yang baik walaupun kecil..hulurkanlah senyuman manis anda kepada setiap orang yang anda temui dan ceriakanlah wajah anda kepada setiap orang yang anda jumpai.
Senyuman diperlukan jika inginkan dunia
Seandainya senyuman menjadi sedekah yang akan menambahkan berat timbangan di akhirat nanti, maka begitu juga senyuman mampu menghasilkan pulangan di dalam kehidupan dunia. Menurut Dr. Ali Hamady pengarah latihan dan penyelidikan di Intitut Pengembangan Pentadbiran: “Adakah anda ingin mengaut khazanah yang sangat berharga tanpa mengeluarkan sesen pun wang anda? Jika anda inginkannya, maka yang mustahak ialah anda tidak perlukan usaha yang gigih, tidak perlukan waktu atau mengeluarkan harta, tetapi cukup sekadar anda menguntumkan senyuman manis, kerana senyuman adalah pembuka semua kebaikan dan penutup semua keburukan. Ia mempunyai kesan yang menakjubkan. Tidak mungkin hal ini diabaikan oleh orang yang memenangi kasih sayang orang lain. Banyak syarikat besar yang Berjaya mewajibkan kakitangannya yang berinteraksi dengan orang luar supaya sentiasa mengukirkan senyuman bagi memperolehi kejayaan dalam sesuatu urusniaga dan mencapai kepuasan hati pelanggan.
Setengah usahawan mengambil pepatah cina: “Orang yang belum sempurna senyumannya tidak layak untuk membuka perniagaannya”. Inilah yang menjadi dasar dan pegangan mereka untuk memperolehi kejayaan di dalam perniagaan mereka.
Senyuman ketika menyambut atau menerima pelanggan adalah salah satu elemen pentadbiran yang Berjaya, khasnya di dalam sektor perkhidmatan dan perhubungan awam. Begitu juga senyuman sebagai salah satu nilaian yang meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang diperlukan oleh pegawai perhubungan awam, jurujual dan pelayan.
Janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati
Terlalu banyak ketawa membawa keburukan kepada hati yang sama sekali ditegah syarak, kerana ia termasuk perbuatan orang yang bodoh dan buruk yang mewarisi penyakit-penyakit hati.
“Mematikan hati” iaitu berterusan bergelumang di dalam kegelapan kerana berada pada kedudukan orang mati yang langsung tidak bermanfaat kepada dirinya dan tidak cuba mengelakkan diri dari terjerumus kepada perkara yang dibenci. Sepatutnya hati yang hidup dan bercahaya adalah punca segala kebaikan dan hati yang mati dan gelap adalah punca segala kejahatan. Kehidupan dirinya di segi kekuatan, pendengaran, penglihatan dan gambaran maklumat dan hakikatnya bergantung kepada hati. Oleh sebab itu Luqman pernah berpesan kepada anaknya: “Jangan kamu banyak ketawa tanpa ada keperluan, jangan berjalan tanpa arah tuju, jangan bertanya tanpa tujuan, janganlah kamu pedulikan hartamu dan pelihara harta orang lain kerana kebiasaannya kamu mendahulukan harta mu dan harta orang lain kamu kemudiankan”. Musa berkata kepada Nabi Hidhir; “Nasihatilah aku. Lalu Hiddir berkata: Kamu hendaklah selalu mengukirkan senyumana manis dan janganlah selalu melemparkan muka yang masam, kamu hendaklah menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain dan janganlah kamu menjadi orang yang menyusahkan orang lain, tanggalkan dirimu dari sifat gementar, dan janganlah kamu berjalan ke sesuatu tempat tanpa tujuan, janganlah kamu ketawa tanpa keperluan, janganlah meniru langkah orang yang melakukan kesalahan dan tangisilah kesalahan kamu wahai Ibn Imran”.
Di dalam Suhuf Musa: “Sungguh menghairankan kepada orang yang menyakini adanya azab api neraka tetapi masih boleh bergelak ketawa. Sungguh menghairankan orang yang menyakini hari kematian tetapi masih boleh bergembira. Sungguh menghairankan kepada orang yang menyakini Qadar Allah tetapi masih menangisi nasibnya. Sungguh menghairankan kepada orang yang melihat dunia dan menghadapinya tetapi masih boleh berasa tenteram dengannya”. (Faidhul Qadir: 1/124/4118)
Para ulamak membenci banyak ketawa seperti pesanan Luqman kepada anaknya: “Wahai anakku, ketahuilah banyak ketawa mematikan hati” . (Tafsir al-Qurtubi)
Nasihat mampu menghilangkan kedukaan dan memberikan kelegaan dan kegembiraan dalam semua keadaan. Cukuplah bagi orang mukmin mengambil kata-kata Ibrahim bin Adham ketika beliau melalui di satu jalan didapati seorang lelaki berkata dengan nada kesedihan dan kedukaan: “Wahai lelaki, saya ingin bertanya kepadamu tiga perkara, tolong jawab soalan-soalan saya, kemudia Ibrahim berkata: Adakah sesuatu berjalan di alam ini yang tidak menepati kehendaki Allah? Tidak. Jawabnya. Ibrahim bertanya lagi: Adakah sesuatu yang boleh mengurangkan rezeki anda yang ditentukan Allah?. Tidak.jawabnya. Ibrahim bertanya lagi: Adakah sesuatu yang boleh mengurangkan ajal kamu sebentar seperti yang ditetapkan Allah? Tidak. Jawabnya. Lalu Ibrahim berkata: Justeru kenapa anda perlu bersedih dan berduka?”
Biarpun besar mana kedukaan anda hulurkan senyuman manis anda kepada siapa jua yang anda temui kerana semua yang hidup pasti menanggung kesusahan dan cabaran hidup. Alangkah cantiknya orang yang boleh meringankan kedukaan dan kesedihan orang lain dan sudah tentu tidak akan mampu dilakukan kecuali apabila Berjaya mengawal kesedihan dan kedukaannya dan tidak menjadikan kesedihan itu sebagai raja yang menguasai akal dan hatinya supaya dia keluar bertemu manusia dengan ukiran senyuman manis.
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=50498&SecID=363
0 ulasan
Sila berikan komen anda