Thursday, August 26, 2010

Badar al-Kubra..Sunnah Kemenangan dan Kekalahan



Oleh: Al-Fadil Syeikh Muhammad Abdullah al-Khatib

Ketahuilah bahwa Ghazwah Badar yang dirakamkan dalam sejarah manusia mendedahkan tentang sebab-sebab hakiki sesuatu kemenangan dan kekalahan. Ia merupakan ‘buku’ yang terbuka untuk dibaca oleh generasi demi generasi pada semua zaman dan semua tempat yang tidak akan bertukar bukti-buktinya dan tidak berubah sifat-sifatnya kerana Perang Badar termasuk salah satu tanda-tanda kekuasaan Allah dan sunnah-sunnahNya yang berlaku di alam semesta ini selagi langit dan bumi masih ada. 

Ketika umat kita ditimpa kekalahan pada 5 Jun 1967 dalam Perang Mesir-Israel dan kemenangan berpihak kepada Yahudi yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah sepertimana yang diulas oleh setengah akhbar pada masa itu – yang sepatutnya umat – merasa terkejut menerima kekalahan ini cuba mencari sebab apa yang berlaku. Lalu timbul dakwaan yang menyesatkan dan penjelasan yang menyimpang tentang kekalahan ini. Kita telah mendengar bahwa sebab kekalahan ini ialah kerana kemajuan dan kecanggihan teknologi musuh dan Israel adalah Negara yang maju. Justeru jika kita inginkan kemenangan ke atas Israel kita mestilah sampai ke tahap tertinggi dalam bidang sains dan kita bertukar kepada masyarakat moden.

Namun pada hakikatnya alasan yang menyeleweng ini tidak dapat diterima oleh semua pihak hingga kepada rakyat biasa kerana ia jelas bertujuan untuk mengalihkan umat dari sebab yang sebenar, iaitu akidah Islam yang merupakan rahsia kecemerlangan umat Islam sepanjang sejarah. Sungguh menghairakan jika kita menafikan sejarah kita sendiri kerana tidak mahu mengambil pengajaran dan pelajaran darinya.  

Kita percaya orang Islam tidak menolak kepentingan kemajuan sains dan ciptaan-ciptaan moden dan tiada orang Islam yang mengutamakan unta daripada kapalterbang atau tongkat daripada kereta perisai, tetapi semua kemajuan sains dan semua jenis senjata yang paling canggih pada pandangan orang Islam hanya pemalsuan fakta yang telah diakui dan dipraktikkan dengan keimanan dan kepercayaan terhadap akidahnya.

Kita katakan kepada mereka;

Adakah tentera Islam memiliki teknologi tinggi ketika bergegas meninggalkan kota Madinah untuk menyekat petualang dan musuh. Bahkan sepanjang sepuluh tahun mereka telah terlibat dengan 27 peperangan dan 47 sariyyah yang mana tidak pernah walaupun sekali kalah sekalipun dengan kelengkapan dan jumlah tentera yang sedikit.  

Adakah pejuang terdahulu memiliki kemajuan sains ketika keluar dari Semenanjung Arab dan membebaskan rakyat dari kekejaman Kerajaan Rom dan keangkuhan kerajaan Parsi?

Kenapakah mereka meraih kemenangan dan selain mereka pula menanggung kekalahan di hadapan tentera yang hina di muka bumi dan bangsa yang paling keji di dunia?

Mereka meraih kemenangan kerana memiliki kekentalan semangat dan keyakinan yang kukuh kepada Allah, risalah dan akidah, kerana titik permulaan pada setiap umat ialah akidah yang mengatur perilakunya, menggariskan jalannya dan menentukan matlamatnya di atas muka bumi ini.

Perang Badar al-Kubra yang kita bicara ini adalah bukti terbaik tentang apa yang kita perkatakan seperti yang dinyatakan oleh Allah:

Dan sungguh, Allah telah menolong kamu dalam Perang Badar padahal kamu dalam keadaan lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuriNya”. (Ali-Imran: 123).

Rasulullah telah memuji pemimpin-pemimpin mereka dengan sabdanya ketika mendoakan mereka:

“Ya Allah, sesungguhnya mereka lapar, lalu Engkau kenyangkanlah mereka. Ya Allah, mereka berkaki ayam lalu Engkau berilah mereka kenderaan untuk dinaiki. Ya Allah, mereka tidak berpakaian, lalu Engkau berilah mereka pakaian. Ya Allah, mereka miskin, lalu Engkau berilah mereka kekayaan dengan kurniaan Mu”.

Padahal mereka tidak memiliki kuda yang muda bersama mereka selain dua ekor kuda tua, tidak ada pada mereka unta tangkas melainkan 70 ekor unta yang baru tumbuh gigi. Setiap dua orang, tiga orang dan empat orang akan bergilir-gilir menunggang unta muda itu, bahkan nabi saw sama seperti yang mereka lakukan. Salah seorang dari dua sahabat yang mengiringi baginda berkata: “Tungganglah unta ini ya Rasulullah supaya kami berjalan kaki”. Lalu baginda berkata kepada keduanya: “Aku tidak perlukan upah dari kamu berdua”.

Berwaspada dan tegas menentukan pendirian

Rasulullah pada awalnya keluar dari Kota Madinah bersama kumpulan kecil tentera dan bukan ketumbukan tentera yang besar, tetapi setelah mengetahui kehilangan kafilah Abu Sufyan dan sebaliknya tentera Quraisy dalam perjalanan menuju ke Badar Rasulullah telah menukar pendirian dengan tegas dan berwaspada dan mengerah semua orang Islam dalam barisan ketenteraan. Justeru ketua di barisan belakang ialah Qis bin Abi Sa’sa’ah, Ketua di barisan depan ialah Zubair bin Awwam. Sementara itu tiga orang memegang senjata dan bendera, bendera putih dibawa oleh Mus’ab bin Umair. Bendera hitam di bawa oleh Ali bin Abi Talib dan seorang lelaki Ansar. Kemudian tiba kumpulan peninjau yang menyampaikan berita tentang musuh. Semua ini memerlukan pendirian yang spontan yang juga satu keadaan yang genting yang mendorong Rasulullah mengambil semua sebab dan langkah. Kemudian nabi saw bermesyuarat dengan semua kepimpinan tertinggi tentera. Maka jelas kelihatan semangat yang tinggi di kalangan semua sehingga dinyatakan oleh Saad bin Muaz yang berkata: “Teruskanlah mengikut kehendak mu ya Rasulullah seperti yang engkau kehendaki. Maka demi Dia yang mengutuskan dikau dengan kebenaran, seandainya engkau menyuruh kami mengharungi lautan ini pastilah kami akan mengharunginya bersama-sama engkau. Bahkan tiada seorangpun yang tertinggal dari kalangan kami. Kami sabar di dalam peperangan kami juga benar di dalam pertemuan. Maka gembirakanlah kami dengan keberkatan Allah”. Hal ini telah melegakan baginda. Lantas nabi berkata: 

“Maralah dan bergembiralah kerana Allah telahpun memberi janjiNya dan kejayaan ke atas salah satu kumpulan (kafilah atau tentera Quraisy). Demi Allah sesungguhnya aku seolah-olah  melihat ketewasan kaum kafirin”.

Ketika di Badar Allah telah temukan dua pasukan: Tentera Islam berada di sebelah wadi yang terdekat dari Madinah dan tentera musyrikin berada di sebelah wadi yang jauh dari Mekah. Mereka telah ditemukan oleh Allah tanpa dirancang namun terdapat hikmat ilahi seperti yang dikehendaki oleh Allah ketika bilangan tentera Islam yang sedikit dan kelengkapan yang serba kekurangan sedangkan bilangan tentera musyrikin yang ramai dan kelengkapan yang cukup supaya pertemuan yang sungguh menakjubkan ini sebagai pemisah antara kebenaran dan kebatilan dan neraca yang mampu dinilai oleh manusia tentang sebab kemenangan dan kekalahan.  

Perbezaan ketara antara yang diingini oleh manusia dan yang dikehendaki oleh Allah dapat disaksikan di dalam Ghazwah Badar. Kalaulah mereka – golongan yang tidak mempunyai kelengkapan – melihat kisah perniagaan yang diraih keuntungannya oleh orang Islam, kisah satu kaum yang menyangka akan menyerang satu kafilah yang mampu ditewaskannya. Firman Allah:

“Sedangkan kamu mengingnkan bahwa yang tidak mempunyai senjata untukmu”. (Al-Anfal: 7)

Inilah yang diingini oleh tentera Islam. Tetapi apa yang dikehendaki Allah  ialah Perang Badar, kisah akidah dan pertolongan Allah, kisah kemenangan kebenaran ke atas musuh-musuh yang lengkap bersenjata, kisah kemenangan hati ketika berhubung dengan Allah dan bersih dari kelemahan hati, memenangi ke atas jiwanya dan berubah keyakinannya tentang pertimbangan zahiriah, iaitu apabila kebenaran dan kebatilan bertemu pastilah kebenaran yang menang. Firman Allah:

“Tetapi Allah hendak membenarkan yang benar dengan ayat-ayatNya dan memusnahkan orang-orang kafir sampai ke askar-askarnya. Agar Allah memperkuat yang hak (Islam) dan menghilangkan yang batil walaupun orang musyrik tidak menyukainya”. (Al-Anfal: 7-8)

Berlindung dan berharap kepada Allah

Peperangan Badar sama seperti peperangan Islam yang lain semuanya berlaku atas kehendak, urusan, tadbiran dan takdirNya. Rasul saw telah mengambil semua langkah yang membawa kepada kemenangan, kemudian berserah dan berlindung kepada Allah dengan menadahkan tangan sambil berdoa. Daripada Umar Al-Khattab r.a berkata: “Ketika hampir berlangsung Perang Badar nabi saw telah memandang ke arah para sahabatnya yang berjumlah 300 orang lebih dan memandang ke arah tentera musyrikin yang berjumlah 1000 orang lebih. Lalu baginda mengadap ke arah kiblat sambil mengemaskan selendang dan jubahnya, kemudian berdoa:

“Ya Allah, berilah pertolongan seperti yang engkau telah janjikan itu. Ya Allah seandainya kumpulan orang Islam ini tewas dan binasa maka tentulah selama-lamanya tidak akan ada orang yang akan menyembahMu”.

Baginda berterusan memohon ke hadrat Ilahi dengan penuh khusyuk menadah tangan ke langir sehingga Abu Bakar terasa kasihan kepada Rasulullah, beliau mengekori baginda dari belakang sambil berkata: “Wahai Rasulullah, bergembiralah. Demi jiwaku di tanganNya. Allah akan perkenankan apa yang dijanjikan itu”.

Lalu turun ayat:

“Ingatlah, ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhanmu, lalu diperkenankan bagimu, “Sunnguh, aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”. (Al-Anfal: 9)


Semua itu adalah antara bantuan dari Allah yang merupakan sebagai berita gembira. Manakala kemenangan hanyalah datang daripada Allah.

“Dan tidaklah Allah menjadikannya melainkan sebagai khabar gembira agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Al-Anfal: 10)

Orang mukmin telah ditentukan semua takdirnya oleh Allah di dunia dan terlaksana ketentuan itu berdasarkan kehendakNya.

Demikianlah ahli Badar. Ketika pertempuran antara muslimin dan musyrikin akan bermula nabi saw telah turun dari tempat duduknya untuk memimpin barisan tentera muslimin sehingga kelihatan baginda adalah orang yang paling berani dan orang yang paling dekat dengan musuh. Kemudian baginda mengambil segengam pasir yang bercampur anak batu dan menghembuskan ke aras mereka. Lalu Allah telah mencampakkan perasaan gerun di dalam hati musyrikin dan memecahkan barisan mereka sambil berkata:

“Perkukuhkan barisan kamu menghadapi mereka kerana pasukan mereka akan dihancurkan dan dibinasakan”.

Selepas berlangsung pertempuran beberapa ketika baginda memerhatikan tentera muslimin kelihatan tentera musyrikin mulai tewas dan Allah telah campakkan di dalam hati mereka perasaan gementar dan memecahkan barisan tentera mereka di hadapan jalan-jalan para mukminin yang zuhud di dalam kehidupan di mana mereka adalah “ahli ibadah di waktu malam dan seorang yang tangkas di waktu siang” (ruhban al-lail wa fursan fin-nahar).

Inilah dia Islam di dalam dunia tarbiyyah, jundiyyah dan qiadah (pendidikan, ketenteraan dan kepimpinan) seperti yang dapat disaksikan daripada pertempuran ini. Justeru sampai bila kita mahu mengambil asas yang menyimpang sedangkan di sisi kita terdapat satu sumber khazanah rabbani (rosid rabbani) ?

Allah telah menghancurkan pelampau dan penentang tegar. Abu Jahal telah datang ke Badar bersamanya penyanyi, penari, gendang dan arak. Beliau keluar dari Mekah dengan perasaan angkuh, bangga dan riya’. Semua ini adalah untuk menghalang perjuangan di jalan Allah. Bilakah para penari berdiri teguh di dalam pertempuran atau bilakah penyanyi meraih kemenangan di dalam peperangan atau peminum arak berdiri teguh di medan? Bilakah slogan-slogan dan kata-kata indah meraih kemenangan ke atas hakikat dan amalan?

Orang-orang Islam yang berpegang dengan akidah ini memiliki segala-galanya tetapi tanpanya tiada apa-apa lagi. Kami katakan kepada orang-orang yang telah diracuni oleh serangan pemikiran yang menyangka bahwa kemajuan tidak dikecapi jikalau seseorang berpegang kuat dengan agama. Kami katakan kepada mereka: Bahwa dunia di sekeliling kita terhimpun di atas asas agama. Justeru kenapakah orang-orang Islam dilarang menerima kebenaran ini?

Salah seorang pengasas Zionis mengungkapkan: “Kehidupan beragama Yahudi tanpa yang lain adalah rahsia berkekalan Israel, dan Israel akan terus kekal selamanya seandainya terus berpegang dengan Taurat. Tetapi sekiranya Israel meninggalkan Taurah sudah tentu Israel akan lenyap sejarahnya di padang pasir sahara sekalipun mereka berjaya menetap di negeri dan tanahirnya sendiri”.

Oleh itu adakah kita insaf dan menyedari bahwa satu-satunya jalan untuk kejayaan, kemenangan, kepemimpinan dan kemuliaan bermula dengan frasa “Tiada Tuhan melainkan Allah” sebagai manhaj hidup yang lengkap dan sempurna untuk orang Islam.

Ya Allah kurniakanlah kepada kami akhlak ahli Badar, keteguhan hati mereka dan keyakinan mereka. Berilah taufik kepada kami supaya memudahkan kami berjalan di atas jalan mereka.

Sesunggunya Engkau pemilik nikmat kekuasaan dan nikmat kemenangan.
  
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=53367&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

2 ulasan

  1. Assalamualaikum.
    Saya hendak meminta izin untuk memuatkan artikel ini ke dalam blog saya.
    Artikel dan blog yang menarik

    ReplyDelete
  2. Waalaikum salam.
    Terima kasih saudara Abu Hanifah kerana mengikuti blog yang tak seberapa ini. Saya izin dan galakkan sekiranya saudara mahu memuatkan apa jua artikel di dalam blog ini ke mana-mana blog atau apa jua. Semoga kebaikannya tersebar dan sampai kepada seberapa ramai orang.

    ReplyDelete

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top