Wednesday, August 11, 2010

Menyambut Kedatangan Ramadhan dengan Hati Yang Bersih



Oleh: Dr. Basim Amer

Hati yang bersih ialah yang bersih daripada segala keburukan, yang paling utama mensyirikkan Allah, diikuti terlibat dengan syubhat dan syahwat dan semua perbuatan yang dikeji di dalam Al-Quran dan Sunnah, seperti khianat, hasad dengki, kedekut, takabbur dan cintakan dunia. Hati yang bersih juga adalah hati yang ikhlas beribadah kepada Allah kerana dia mengetahui hak –hak Allah dan menunaikannya dalam bentuk yang paling baik.

Hati yang bersih merupakan perjalanan selamat pada hari akhirat. Firman Allah: “Iaitu pada hari harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang mengadap Allah dengan hati yang bersih”. (As-Sya’ara’: 88-89)

Jika anggota ini (hati) baik  maka baik keadaan seorang hamba dan rosak anggota ini maka rosak keadaan dirinya. Sabda nabi saw: “Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad ada seketul daging yang apabila baik maka baiklah jasad seluruhnya dan apabila rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, yang daging yang dimaksudkan itu adalah hati”. (Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana apa yang ada di dalam hati tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah sahaja, maka amalan hati lebih utama daripada amalan anggota. Para salihin daripada zaman silam menekankan kebersihan hati sebelum perkara lain. Menurut Hasan al-Basri: “Anak Adam, bagimu kata-kata dan amal. Amalanmu lebih utama daripada kata-kata. Bagimu perkara rahsia dan terang-terangan. Perkara rahsia lebih utama daripada terang-terangan. (Lihat Madarij Salikin Oleh Ibn Qayyim).

Menurut Abdullah bin Mubarak: “Aku tidak pernah melihat seorangpun yang tinggi keperibadiannya seperti Imam Malik. Beliau banyak solat dan puasa tetapi beliau tidak dilakukannya kecuali dalam keadaan rahsia. (Lihat Sairu I’lam an-Nubala’)

Hampirnya dengan bulan Ramadhan amat bersesuaian mengingatkan jiwa tentang urusan yang penting ini, iaitu mempersiapkan hati dan bermujahadah supaya hati menjadi bersih. Tugas ini bukanlah mudah tetapi pada waktu yang sama bukanlah mustahil. Malah sesiapa yang berjihad dan berusaha menjaga hatinya pada jalan Allah tentu dia akan sampai dan beroleh kejayaan. Firman Allah: “Dan orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik”. (Al-Ankabut: 69)

Oleh itu bagi seorang hamba yang hatinya mampu sampai kepada martabat hati yang bersih atau yang hampir dengannya, maka hatinya layak memperolehi keberkatan bulan yang mulia. Di antaranya hatinya lebih dekat dari lainnya dengan memperolehi keampunan dan kerahmatan. Ini kerana jika Allah memerhatikan hati seorang hamba maka sewajarnya hati yang memperolehi keampuanan Allah ialah hati yang bersih.   Di antaranya pemilik hati yang bersih akan mendapat kelazatan di dalamn hatinya yang tiada tolok banding semasa menunaikan ibadah dan munajat kepada Tuhan bumi dan langit. Hal ini berbeza pemilik hati yang lain, mereka tidak mendapat kelazatan seperti ini. Begitu juga terpancar kesan kelazatan semasa membaca al-Quran. Semua orang membaca al-Quran di dalam bulan ini tetapi tidak semua memperolehi manfaat dan mencapai kebaikan dan keberkatannya. Justeru pemilik hati yang bersih mereka memperolehi sesuatu kebaikan daripada al-Quran dengan sebab adanya kesucian hati dan keikhlasan kepada Allah kerana mereka membaca al-Quran dengan mentadabbur, memahami dan memikirkan maksudnya. Dengan sebab itu mereka merasai kemanisan al-Quran semasa membacanya. 

Daripada kesan-kesan tersebut ketika di bulan Ramadhan manusia mencari hati yang penyayang, lidah yang pemaaf, tangan yang lemah dan wajah yang bersinar. Sifat-sifat ini tidak akan terkumpul melainkan oleh pemilik hati yang bersih. Oleh kerana Ramadhan adalah bulan pembebasan daripada api neraka, maka manusia yang paling utama dan hampir mendapat pembebasan ialah mereka yang memiliki hati yang bersih, kerana Allah telah merahmati hamba yang berhati bersih dan ikhlas berahsia daripada dimasukkan ke dalam api neraka.

Demikianlah di antara kebaikan dan keberkatan yang diperolehi oleh hati yang bersih di bulan yang mulia ini. Justeru ini adalah seruan supaya kita menyambut Ramdhan dalam keadaan hati yang bersih dan suci, tiada syirik, hasad dengki, permusuhan dan apa jua kejelekan dan kerosakan hati. Sebaliknya orang yang terdapat di dalam hatinya keburukan demikian hendaklah dia bermujahadah dan berusaha melawannya.

Saya menegaskan bahwa sesiapa yang menyambut ketibaan bulan yang mulia dengan hati yang bersih ini tentulah dia akan mendapati suatu perasaan dan kesan yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Saya memohon kepada Allah yang Maha Tinggi dan Agung supaya memberikan rezeki kepada kita dengan kebersihan hati dan mengurniakan taufik kepada kita supaya taat kepada Tuhan Yang Mengetahui Perkara Ghaib, selawat dan salam ke atas nabi Muhammad, keluarga dan para sahabatnya.   

-----------------
Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam Universiti Bahrain


Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=69128&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top