Tuesday, August 24, 2010

Puasa dan Kelazatan Beribadah



Oleh: Jamal Zawariy Ahmed

Ramadhan adalah peluang keemasan bagi seorang mukmin menjadikan bulan ini sebagai medan beramal ibadah kepada Allah , meningkatkan kedudukannya dan merasai kelazatan melalui pelbagai jenis ibadah yang tidak sama walaupun dihimpunkan seluruh keseronokan dunia. Inilah yang dihayati oleh para salihin di mana bulan Ramadhan lebih utama dalam kehidupan mereka hingga ada di antara mereka yang mengungkapkan:

“Orang-orang miskin yang menghuni dunia mereka meninggalkan keseronokan dunia dan mereka mengetahui ada yang lebih utama daripada dunia. Lalu ada yang bertanya: Apakah yang lebih utama daripada dunia dan segala isinya. Lalu dijawap: Rasa senang dengan Allah”.

Oleh itu seorang yang sentiasa hidup di bawah naungan penyembahan dan ibadah kepada Allah tentunya dikurniakan penyembuhan ke dalam ruh, ketinggian di dalam hati, kemuliaan di dalam jiwa, kerehatan di dalam emosi, kelurusan di dalam tingkah laku dan keprihatinan mengembangkan kebajikan kepada orang lain. Ini di dunia. Sedangkan di akhirat nanti telah ditentukan kesudahannya dan tempat pembalasannya yang abadi. Ketika mana meningkat tahap ibadahnya kepada Allah, maka meningkat juga kedudukannya di sisi Allah seperti yang dinyatakan oleh Ibn ‘Ata’:

Jikalau anda mahu mengetahui kedudukan kamu di sisi Allah, lihatlah apa yang anda lakukan”.

Oleh itu, sekiranya anda melaksanakan tuntutan takwa, mengharapkan keredhaan, pengabdian dan keteguhan di atas perkara tadi, maka ketahuilah bahawa martabat anda adalah tinggi di sisiNya. Sekiranya anda melaksanakan yang lain dari itu, maka ianya tiada nilai di sisiNya.

Justeru sentiasalah mengetuk pintu, menikmati kelazatan beribadah, mengetahui keagungan memuliakan Ramadhan dan kelebihan Ramadhan untuk mu. Orang yang merasai kelazatan itu akan tahu dan menjadikan munajatnya pada bulan ini sebagai langkah memenuhi sebahagian waktu malam, jambatan yang boleh dilalui, petunjuk yang dicintai, permulaan yang mudah dan tenteram, menuangkan keharuman yang halal, janganlah kedekut di bulan Ramadhan untuk mengambil curahan air yang bersih yang turun kepadamu yang mengandungi rahmat yang segar, kelebihan keampunan, limpahan keredhaanNya dan kamu telah mencapai maksud dari firman Allah:

“(Apakah kamu orang musyrik yang lebih beruntung) atau orang yang beribadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, kerana takut kepada azab akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui? Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat sahaja yang dapat menerima pelajaran”. (Az-Zumar: 9)

Kamu adalah salah satu daripada  kumpulan yang disifatkan:

Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap, dan mereka menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka”. (As-Sajadah: 16)

Perasaan kerdil dan berterusan merendahkan diri, mengakui nikmat-nikmat yang tidak terkira banyaknya yang diberikan kepada mu, merasa gerun kepada qudrahNya kepadamu dan mengharapkan kurnian Allah mampu menampung kekurangan diri mu dalam menunaikan hakNya.

Hal ini supaya kamu tidak tertipu dengan amalan dan tidak mengeluh dengan ketaatan atau terpedaya dengan anugerah perkara yang baik, bahkan mengakui kekurangan di dalam hak Allah, hawa nafsu, syahwat dan maksiat yang lebih menguasai dalam banyak keadaan. Justeru orang yang disertai dengan rasa malu, rendah dan kekurangan diri, tenanglah bahwa hal ini termasuk kepada sebab sesuatu ibadah sampai kepada Allah, menjadi tanda diterima dan boleh sampai kepada amalan yang tiada mata yang melihat, tiada telingan yang mendengar dan tiada hati yang terlintas: “Boleh jadi Allah telah membuka pintu ketaatan dan Allah buka pintu penerimaan. Boleh jadi kamu akan mengawal perbuatan maksiat kerana yang menjadi sebab sesuatu amalan  sampai kepada pemikiran yang salah di mana maksiat yang mewarisi kehinaan dan kerendahan lebih baik dari ibadah yang mewarisi kemuliaan dan kebesaran”.

Ayuhlah rasai kelazatan ibadah wahai saudaraku di madrasah 30 hari dan jadikanlah hari-harinya yang menyibukkan kamu dan meningkatkan diri kepada tingkatan ihsan:

“kamu menyembah Allah bagaikan kamu melihat Allah, sekiranya kamu tidak melihatNya pasti Allah melihat kamu”. (Muslim)

Rebutlah lautan rahmat Allah di bulan yang penuh kemuliaan bagi orang yang mahukan kemuliaan dan gemarkan kegembiraan, tumpukan kepada perubahan, membersihkan diri daripada dosa dan kebiasaan buruk yang lampau, membentuk masa depan yang bersinar pada diri kamu dengan penyembahan kepada Allah, kehidupan yang tenteram, memenuhi kesudahan yang cemerlang, penghujung yang penuh kebahagiaan, menundukkan bisikan syaitan dan hawa nafsu kamu, wajibkan sifat kehambaan kepada Tuhanmu. Bangunlah dengan melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut supaya memperolehi kemuliaan penggabungan dan mengambil hadiah Ramadhan. Ketahuilah Allah telah menyebutkan utusanNya nabi Muhammad saw dengan nama hamba sebagai semulia-mulia kedudukan ketika peristiwa Isra’:

“Maha suci Allah, yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil AQsa yang telah Kami berkati sekelililngnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. (Al-Isra’: 1)

Setinggi-tinggi kedudukan dalam tingkatan dakwah:

“Dan sesungguhnya ketika hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembahnya (melaksanakan solat), mereka (jin-jin) itu berebut-rebut mengerumuninya”. (Al-Jin: 19)

Seagung-agung  kedudukan dalam menghadapi cabaran dan dugaan:

“Dan jika kamu meragukan al-Quran yang kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka buatlah satu surah seperti dengannya, dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar”. (Al-Baqarah: 23)

Kurniaan Allah telah dibentangkan di dalam bulan yang mulia ini, mudah-mudahan sebahagiannya kamu mendapatkannya di mana kamu tidak akan merasa susah selama-lamanya selepas itu, sebagaimana hadith nabi:

“Sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan pada hari-hari yang dilalui terkandung anugerah. Rebutlah anugerah itu mudah-mudahan di antara kamu ada yang memperolehinya yang menyebabkan kamu tidak akan susah buat selama-lamanya selepas itu”.  (Tabrani)
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top