Thursday, October 28, 2010

Mementingkan diri merosakkan ukhuwwah dan masyarakat



Oleh: Prof. Dr. Muhammad Dasuqi

Rasulullah telah mengingat Golongan Ansar tentang sikap mementingkan diri. Daripada Usaid bin Hudhair r.a bahawa seorang lelaki Ansar telah bertanya:

“Wahai Rasulullah, bolehkah tuan ajarkan saya seperti yang tuan ajarkan si fulan”. Lalu nabi menjawab: “Kamu akan temui selepasku sikap mementingkan diri, bersabarlah hingga kamu temuiku di Haudh (telaga di akhirat)”. (Muttafaq Alaih)

Kita hari ini adalah Ansar (penolong) kepada dakwah Allah dan kita ingin sentiasa berada di atas manhaj golongan Ansar dan mengikuti peninggalan mereka supaya kelak kita dihimpunkan bersama mereka dan kita dapat menemui nabi saw di telaga Haudh tanpa digantikan dengan orang lain denan sebab bekerja menurut sunnahnya. Melalui logic Huzaifah r.a yang berkata: Ada sahabat yang bertanya nabi saw tentang kebaikan, sedangkan aku bertanya nabi tentang keburukan pula kerana bimbangkan ia akan menimpaku”. Perbuatan seperti ini sebenarnya satu usaha yang dapat membawa kepada merawat penyakit mementingkan diri sendiri yang berleluasa dalam masyarakat dan sebagai satu langkah pencegahan daripada “farmasi” iman dan “hospital” yang mengubat jiwa.

Sebagai permulaan saya ingin bicarakan tentang ‘mementingkan diri’ dengan maknanya yang lebih luas dalam pelbagai bidang sama ada dari segi zahir atau maknawi, bukan hanya dalam bidang hartabenda sahaja, tetapi dalam bidang-bidang keduniaan yang luas. Ada juga kerosakan-kerosakan lain perlu kita awasi antaranya berkaitan penyakit mementingkan diri iaitu kedekut atau bakhil,

Kedekut (sangat bakhil, tamak haloba dan terlalu cintakan kesenangan dunia) ialah salah satu penyakit  yang mustahil akan wujud kesatuan, dapat hidup berkumpulan dan saling tolong-menolong. Apabila hati kering untuk menyemai kebaikan dan bersikap kedekut atau tamak haloba, maka siapakah yang maju ke hadapan untuk melakukan program kebajikan atau apa jua program yang memberi manfaat kepada orang ramai? Apabila sifat kedekut telah menguasai, maka bagaimana ingin melaksanakan jihad, menegakkan keadilan atau menegakkan Negara?

Kedekut kadang kala dalam bentuk seseorang hanya memberikan masa terluangnya untuk dakwah dan bukan memberikan masa-masanya yang utama untuk dakwah bagi membawa misi mengembangkan dakwah dan menyebarkan kebaikan untuk semua manusia serta tidak bakhil dalam semua keadaan yang diperlukan bagi mencapai sebuah jamaah Islam yang memenuhi ciri-cirinya.

Allah telah menjadikan jiwa manusia. Allah telah menurunkan al-Quran kepada kita yang membicarakan tentang jiwa ini dan cara mendidiknya. Firman Allah:

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung. (At-Taghabun: 16)

Firman Allah:

“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karuniaNya menyangka, bahwa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Ali-Imran: 180)

Nabi saw telah melarang keras sikap kedekut ini di dalam banyak hadith. Daripada Anas bin Malik r.a, Rasulullah saw telah bersabda:

“Tiga perkara yang membinasakan: Kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang dituruti dan perasaan kagum (ujub) pada diri. Tiga perkara yang menyelamatkan: Takutkan Allah dalam rahsia dan terangan, niat (yang ikhlas) sama ada semasa kaya atau fakir dan berkata benar sama ada ketika suka atau marah”. (Baihaqi)

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a, Rasulullah saw telah bersabda:

“Dua perkara yang tidak boleh ada pada orang mukmin iaitu bakhil dan akhlak yang buruk”. (Tirmizi)

Terdapat banyak sebab timbul sikap mementingkan diri, kedekut dan individualistic yang kita lihat zahirnya dalam kehidupan manusia sehingga di dalam masjid. Kami nyatakan sebahagian darinya; 

-          Kelemahan iman di dalam jiwa. Justeru setiap kali iman menurun, maka bertambah sikap mementingkan diri dan setiap kali meningkat iman, maka sifat itsar (mengutamakan orang lain) mengambil tempat sikap mementingkan diri.
-          Cintakan dunia dan saling berlumba dalam perkara yang dicela. Menurut al-Asma’e: Saya pernah mendengar seorang Arab menyebutkan tentang seorang lelaki dengan berkata: “Saya memandang pada si fulan dengan pandangan rendah lantaran besarnya dunia pada pandangannya”.

Banyak ayat al-Quran yang meletakkan dunia pada neraca yang betul. Firman Allah:

“Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu orang-orang Shiddiqien dan orang-orang yang menjadi saksi di sisi Tuhan mereka. bagi mereka pahala dan cahaya mereka. dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat kami, mereka Itulah penghuni-penghuni neraka”. (Al-Hadid: 20)

Firman Allah:

“16.  Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.17.  Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal”. (Al-A’la: 16-17)

Hadith nabi saw tentang hal ini, antaranya: Dari Abu Hurairah r.a, sabda nabi saw:

“Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”. (Muslim)

Dari Sahl bin Sa’ad, sabda nabi saw:

“Kalau dunia di sisi Allah diumpamakan seperti sayap nyamuk tentulah orang kafir tidak dapat meminum walau setitik air”. (Tirmizi)

Dari Abu Musa al-As’ari bahawa Rasulullah saw telah bersabda:

“Siapa yang lebih mencintai dunia akan merosakkan akhiratnya dan siapa yang lebih mencintai akhirat akan merosakkan dunianya. Oleh itu utamakanlah alam yang kekal berbanding alam yang akan binasa”. (Ahmad)

Ada riwayat mengatakan bahwa nabi Isa a.s melihat dunia dalam bentuk seorang perempuan tua tanpa sebarang perhiasan. Nabi Isa bertanya perempuan tua itu: “Adakah anda pernah berkahwin? Jawabnya: Saya tidak membilangnya. Nabi Isa bertanya lagi: Semua mereka telah mati semasa masih menjadi suamimu atau semua mereka telah berpisah denganmu? Jawabnya: Bahkan semua mereka telah terbunuh. Lalu Isa menyatakan: “Celakalah kepada suami-suamimu yang masih tinggal kerana tidak mengambil iktibar dari suami-suamimu yang lepas di mana seorang demi seorang mati dan tidak menjadikan kamu beringat atau berwaspada tentang kematian mereka”.

Ada pendapat mengatakan: Bandingan orang yang merebut dunia seumpama orang yang meminum air laut. Setiap kali bertambah meminum airnya maka bertambah pula dahaga sehingga membunuhnya. Orang yang bijak ialah orang yang mengeji dirinya dan memenuhi dunia untuk akhirat dan menganggap dunia sebagai negeri yang perlu dilalui untuk ke negeri yang kekal.

Pada ketika anda mengetahui bahawa keadaan umat Islam seakan buih yang mengalir seperti yang digambarkan oleh nabi saw dalam hadithnya disebabkan sifat “wahn” yang terhasil dari cintakan dunia dan bencikan mati, maka sedarlah bahwa ia menjadi punca kelemahan umat dan penodaan kehormatan mereka.

-          Lupakan mati dan panjang angan-angan. Ketika seorang manusia lupa tentang mati dan tenggelam dengan dunia, dengan itu bahtera kehidupan dilayari  di dalam kegelapan laut yang penuh dengan gelora dan badai yang membinasakan. Ini membawa kepada hak-hak Allah dan hamba tidak dilaksanakan dengan sempurna. Seterusnya menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan dan syahwat yang tercela memimpin ke jalan yang rugi. Sedangkan di kala kita melihat kematian dalam kehidupan kita umpamanya ketika berada di dalam kematian kecil (tidur) setiap hari dan mengiringi jenazah dan ketika kita baca tentang kematian di dada-dada akhbar, tentulah kita akan membersihkan jiwa dari sifat kedekut, dan mempersiapkan ‘kapal terbang’ yang akan berlepas ke negeri akhirat yang mengandungi nikmat yang kekal.

Syahwat yang keji ialah yang terkeluar dari keperluan manusia dan terkeluar dari nikmat yang Allah keluarkan kepada hambaNya dan rezeki-rezeki yang baik sehingga mengubah manusia kepada memenuhi keinginan syahwat sepanjang hidupnya. Hal ini menyebabkan manusia saling berlumba dalam perkara yang keji dan tenggelam di dunia yang sementara. Syahwat keji yang utama ialah syahwat perut, kemaluan, tamak, hasad dengki, cintakan pangkat, sombong, angkuh..dan semua yang membawa kepada akhlak yang buruk.

Islam dengan segala cabang dan ajarannya mahu mendidik syahwat supaya menjadi penyelamat bukan menjadi perosak. Firman Allah:

“Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang Telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang Mengetahui”. (Al-A’raf: 32)

-          Bertemankan kejahatan. Teman atau rakan di dalam hidup manusia adalah salah satu factor yang membawa kepada ketinggian dan keruntuhannya. Firman Allah SWT:

“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”. (Az-Zukhruf: 67)

Oleh sebab itu nabi saw amat menekankan teman karib. Dari Abu Hurairah r.a, nabi saw bersabda:

“Agama seseorang bergantung kepada agama rakannya. Oleh itu perhatikanlah siapa yang menjadi rakan kamu”. (Ahmad)

Qudwah di dalam hidup manusia adalah contoh teladan yang memberi kesan negative atau positif. Setiap kali bertambah makna ukhuwwah dan itsar maka tubuh mulai sembuh dan hampir pulih kerana mencontohi golongan yang boleh dijadikan contoh teladan yang hidup bersama kita.

-          Tidak membuat muhasabah atau refleksi diri. Sesungguhnya jiwa perlu kepada aku janji setiap hari bahkan setiap jam sebelum ianya menyimpang jauh. Firman Allah;

“9.  Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,10.  Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”.(As-Syams: 9-10)

Seorang muslim ialah orang yang mampu mengawal dirinya dan meneliti setiap saat adakah ia terjerumus kepada sifat individualistic dan mementingkan diri ataupun ia berada di dalam keteguhan dan ketinggian di atas jalan itsar dan bersifat dermawan?

Demikianlah dinyatakan beberapa sebab utama supaya kita melakukann satu usaha meneguhkan jati diri dan mengesan awal sebelum penyakit terus merebak.

Adapun tentang cara merawatnya, marilah kita sentiasa berada dalam majlis yang meningkatkan iman, menghirup nilai tarbawi dan nasihat yang praktikal. Kepada Allah saya meminta agar kita dikurniakan kefahaman yang betul dan amalan yang ikhlas.


Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=70840&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top